December 9, 2011

Dakwah Di Malaysia Juga Mengambil Pendekatan Wasatiyyah ?

Shah Alam, 12 Muharram = 08 Disember (Khamis):

Ayat al-Qur`an menegaskan pendekatan dakwah hendaklah secara `Bil-Hikmah wal Mau`izah al-Hasanah`, (al-Nahl: 125). Ia adalah pendekatan dakwah yang lengkap, sempurna dan sesuai di mana-mana tempat dan bila-bila masa, tetapi Prof. Dato` Dr. Sidek Baba hari ini mencadangkan apa yang dinamakan `Manhaj Malizie` - Manhaj Malaysia yang mengambil pendekatan wasatiyyah sesuai dengan pendekatan yang diambil Kerajaan Malaysia yang dipinjam dan dipopularkan oleh Dato` Seri Najib Perdana Malaysia itu bagi pendekatan politik terbarunya. Pendapat ini disampaikan oleh Profesor Sidek Pengerusi Jwatankuasa Dakwah Negeri Selangor itu dalam Seminar Transformasi Dakwah Negeri Selangor yang dianjurkan oleh JAIS bertempat di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam di sini hari ini. Sayangnya di dalam memahami keadaan dan keunikan Malaysia yang berbilang kaum itu tidak dikemukakan bagaimanakah dakwah wasatiyyah yang patut diguna dan dipraktikkan bagi mendakwah kepada Islam. Sebaliknya dengan sikap skeptic beliau melahirkan kebimbangan terhadap usaha Kristian mengkristiankan terhadap umat Islam di Negara ini – menurutnya dengan bantuan luar seperti dari Singapura dan Jakarta. Beliau membentangkan kertaskerja berjudul: Transformasi Dakwah: ``Dimensi Era Dakwah Semasa.``

Majlis yang terus bermula dengan pembentangan kertaskerja oleh Prof. Sidek itu menjadi tandatanya, tanpa pemubukaan dan perasmian kerana terus dengan pembentangan, tetapi pada akhir pembentangannya beliau yang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Negeri Selangor itu merasmikan seminar. Beliau nampaknya menggantikan Y.A.D Dato` Setia Hj. Mohd Adzib bin Mohd Isa selaku Perasmi, tetapi tidak dapat menghadirkan diri. Turut tidak dapat hadir untuk menyampaikan Ucapan Alu-aluan S.S. Tuan Hj. Marzuki bin Hussin, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Selangor. Kehadiran adalah ramai memenuhi dewan persidangan, ketika ditanya Ustaz Ali Timbalan Ketua Pengarah Jais, menurutnya, ``Dengan menggunakan saluran masjid-surau, penghulu dan ketua-ketua kampong.`` Tiada Adun yang hadir melainkan penulis.

Seminar separuh hari pada hari ini diisi dengan pembentangan dua kertas kerja dan Forum Perbincangan.

Bagi kertas kerja kedua yang berjudul, Peranan Pendakwah Wanita Dalam Menjana Transformasi Dakwah sepatutnya dibentangkan oleh Y. Bhg. Profesor Dato` Sri Dr. Zaleha Kamaruddin yang mencetuskan isu penggantungan tugas Profesor Abdul Aziz Bari baru-baru ini, tetapi terpaksa ditarik balik. Sayangnya hasrat ingin melihat dan mendengar pembentangannya tidak kesampaian, kerana beliau juga tidak menghadirkan diri. Sebaliknya secara bidan terjun tempatnya digantikan oleh Profesor Madya Dr. Maznah bt. Daud dari UITM. Beliau yang juga bercakap tentang metod dakwah dan berharap antara lelaki & perempuan bekerjasama di dalam dakwah sebagaimana dakwah Rasulullah dengan sokongan isteri Baginda Saydatina Khadijah.

Pada dasarnya apa yang dibentangkan tentang konsep, metode dan approach adalah ulangan dari apa yang pernah dan selalu dibentangkan dengan tambahan-tambahan. Sebenarnya kita berdepan dengan persoalan dakwah semasa dan praktikal yang banyak yang menuntut pendekatan dan penyelesaian. Contoh Dilema saudara baru dalam mendepani masyarakat: Cara Menyelesaikan, Galakan & Bimbingan Kepada Pelajar-Pelajar Masuk Islam Di Pengajian-Pengajian Tinggi, Kejayaan dan Kegagalan PERKIM dalam Dakwah Islamiyah di Malaysia, Peranan MACMA dalam Dakwah di kalangan masyarakat Cina di Malaysia. Institusi Dakwah di kalanagn masyarakat India: Fungsinya. Dan Pendekatan Dakwah di Sabah: Kejayaan dan Teladan. Dengan tajuk-tajuk sedemikian merupakan sesuatu yang baru, segar dan informative serta dapat menghidupkan perbincangan dan mencergaskan gerakan dakwah.

Forum perbincangan pada bahagian terakhir menarik dan hidup. Dua ahli panel mengambil bahagian, iaitu Y. Bhg. Dr. Zulkifli Al-Bakri dan Y.Bhg. Tuan Haji Nicholas Sylvester dengan moderator Y.Bhg. Dato` Aidit Bin Ghazali. Tajuk Forum ialah Cabaran Transformasi Dakwah Islam di Era Globalisasi.

Dr. Zulkifli berkata kerja dakwah adalah kerja mulia dan tuntutan kepada semua umat Islam, tetapi bagi umat Islam terperangkap dengan kejahilan dan tidak memahami keadaan dan tidak fokus pada keutamaan. Orang yang bercakap dari hati akan singgah di hati sebaliknya yang bercakap dimulut setakat di mulut sahaja - tidak ke mana-mana.

Tuan Haji Nicholas maukan masing-masing menggunakan kepakaran di dalam berdakwah, yang pandai ceramah hendaklah berceramah, yang pandai menulis perlu menulis dan perlu menggunakan media baru yang amat berkesan untuk dakwah.

Semasa sesi soal jawab dibuka, peserta yang hadir berjumlah lebih dari 1,000 orang itu diberi peluang mengemukakan soalan dan pendapat antaranya persoalan kesan buruk jika antara ulama` dan Umar`a tidak sehaluan, kegagalan dakwah kepada orang Cina yang lebih suka menerima Kristian dari Islam, soal orang Melayu menjuarai politik, tetapi tidak menjuarai basmi rasuah, ketidakadilan, nepotisme, kronisme dan sebagainya. Dan Islam jangan ditonjol dengan identiti Melayu tetapi adalah dari segi universal. Ini menarik Barat makin menerima Islam, sebaliknya di Negara kita mengasosiasikan dengan Melayu-Islam sebagai kelemahan dan kemunduran. Imej Islam sebegini perlu diperbaiki. Dan ditampilkan dengan pakej imejnya yang sempurna dan lengkap.

Sekian.

No comments:

Post a Comment