Koferensi HISMA yang mengambil tema `Membina Peradaban Bangsa` bertempat di Dewan Konvensyen, Bangunan E Learning, UPSI selama 2 hari (2 – 3 Disember) mengambil tema `Sastera Membina Peradaban Bangsa`. Selama dua hari ini sebanyak 15 kertas kerja dibentangkan oleh tokoh-tokoh di dalam bidang kepakaran masing-masing. Adalah diharapkan dari kertas-kertas kerja mampu menjadi wadah mentransformkan bangsa kepada tahap peradaban unggul.
Harapan ini sebenarnya selari dan tidak bercanggah dengan kertas penulis yang melihat Gagasan Pesurat Pelengkap Takmilah dalam mentransformasikan bangsa kearah peradaban dan tamadun. Cuma di dalam konferensi yang ditekankan ialah bahan dan bidang sastera, tetapi tidak dengan ilmu-ilmu yang lain, manakala penulis melihat secara keseluruhan, bahkan menguasai keilmuan yang lain dari sastera adalah perlu bagi membina peradaban.Yang lebih ditekankan melalui Pesurat ialah membina insan yang menghasilkan surat yang meningkatkan peradaban.
Dilihat kepada penyusunan kertas-kertas kerja yang dapat diterbitkan sebagai kertas prosiding ada semacam pentahapan bagi memberi ruang pembinaan peradaban. Sekurang-kurangnya ada tiga tahap transformasi yang dapat dikategorikan. Kertas-kertas peringkat awal dari segi topik yang sewajar mendahului yang lain ialah kertas-kertas yang berhubung dengan pendidikan sastera ini ditulis oleh saudara Ibrahim bin Mohamad dengan judul Sastera Dalam Pendidikan Di Sekolah dan saudara Abdul Halim Ali dengan judul Kesusasteraan Melayu Dalam Pendidikan dan Pembinaan Negara Bangsa, Zainal Kling dengan judul Kesusasteraan dan Pendidikan, saudara Naffi Mat dengan judul Pendidikan Kesusasteraan Melayu, Persoalan dan Tantangan, manakala Siti Khairiah Mohd Zubir dengan judul Pendidikan Kesusasteraan Melayu Anjakan dan Pembinaan Jati Diri Bangsa dan Kosmos Teras Transformai Pendidikan Bahasa Melayu oleh Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir. Dengan judul-judul berkenaan ini bererti 6 kertas kerja berhubung dengan pendidikan. Dalam kata lain lebih dari 1/3 kertas-kertas yang dibentang adalah membicarakan tentang pendidikan kesusasteraan.
Menurut saudara Ibrahim, ``Sastera adalah sebahagian daripada budaya manusia serta merupakan ekspresi diri manusia dan juga manifestasi estetik manusia terhadap bahasa yang dipertuturkan oleh mereka sendiri.`` (Sastera Membina Peradaban Bangsa, 2011: 1).
Zainal Kling memetik pendapat Wiki, ``Literary language , therefore is a double negation, both of the thing and the idea. It is in this space that literature becomes possible where words take on a strange and mysterious reality of their own, and where also meaning and reference remain allusive and ambiguous.`` (hlm. 16). Jelas dalam sastera itu berlaku transformasi dari satu lapisan makna kepada lapisan-lapisan.
Menurut saudara Abdul Halim Ali dalam hasrat mau membina peradaban bangsa tidak mudah, menurutnya, ``Memang sesuatu yang tidak dapat disangkal, bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk membina identiti Negara bangsa dalam suasana masyarakat di Malaysia yang mempunyai latar budaya dan anutan yang berbeza-beza.`` (hlm. 29). Tetapi itulah cabaran terhadap arkitek budaya dan tamadun bangsa.
Transformasi tahap kedua dinilai menurut pendekatan Gagasan Pesurat dan Takmilah ialah tahap kreasi sastera itu sendiri yang diperkatakan oleh tokoh-tokoh seperti, Affifuddin Haji Omar Penulis Prolifik Politik Global: Satu Kajian oleh Mohd Yusof Hasan, Penulis Bukan Melayu Dalam Menghasilkan Karya Kesusasteraan Pelbagai Budaya Di Malaysia oleh Mahzan Arshad bersama Abdul Jalil Othman dan Chew Fong Peng, Konsep Amar Makruf Nahi Mungkar Dalam Puisi-Puisi Melayu Tradisional oleh Ani Binti Haji Omar, Worldview Pembinaan Negara Bangsa Dalam Cinta Daerah Perjuangan oleh Azhar bin Haji Wahid, Puisi Melayu Tradisional Dalam Pembinaan Peradaban dan Negara Bangsa oleh Mohd Rusli Saludin dan Estetika Puisi Melayu Islami: Kesan Pengalaman Kerohanian dan Keinsanan oleh Kemala.
Tahap penciptaan ini dapat kita lihat dari pendapat berikut. Menurut Mohd Yusof Hasan,
``Sepanjang tahun 2009 hingga 2011 ini, Affifudin telah menghasilkan enam buah novel: Mujahid Agung, Paradoks, Seri Dewi Malam, Dielektika Atau Dendam, Odisi Anak Kampar dan Getir. Mengikut pengarang, novel-novel Paradoks dan Dendam telah menjadi `best-sellers`. (hlm. 54).
Menurut Mohd. Rosli Saludin, ``Sastera Rakyat ialah sastera yang sepenuhnya telah dihasilkan oleh golongan rakyat jelata. Gubahannya adalah gubahan yang begitu menarik sekali dan memang menjadi kebanggaan rakyat bawahan – contoh:
Penakik pisau siraut
Ambil galah batang lintabung
Selodang jadikan nyiru
Nang setitik jadikan laut
Nang sekepal jadikan gunung
Alam berkembang jadikan guru.
(hlm.186).
Nikmati pula daya kreasi dan estetik gubahan Kemala dengan puisinya `Laut` yang memenangi hadiah Karya sastera 1972.
Laut
Akulah laut
Gadis cantik tidur di peraduannya
Sisiksisik riak di tubuhku
Lukisan detik dan tarian angin
Bersatu di gemersik ingin
Saujana ketengan ini.
(hlm.136).
Tahap ketiga ialah penilaian yang boleh dimanfaat dari kertas-kertas kerja Memperkasakan Penyelidikan Dalam Pendidikan Sastera Dan Pengajian Sastera oleh Zamri Mahamod, Menilai Semula Sastera Islam Di Malaysia oleh Mana Sikana dan Gagasan Pesurat Pelengkap Takmilah: Bangi Makmal Menyerlah oleh Shafie Abu Bakar. Lihat pendapat Zamri Mahamod hasil dari penilaian:
``Penyelidikan dalam pendidikan sastera /Pengajian Sastera perlu dibuat transformasi jika mahu penemuan kajian dapat/boleh memberi impak kepada sistem pendidikan Negara.`` (hlm. 83).
Manakala saudara Mana Sikana berpendapat hasil dari penelitiannya:
``Mengikuti perkembangan sastera Islam di Malaysia, dapatlah dikatakan bahawa dewasa ini, ia tidak semarak pada suatu ketika dahulu yang meriah dengan persidangan demi persidangan, diikuti dengan penulisan teks serta diraikan pula oleh banyaknya dengan pertandingan menulis karya Islam.`` (hlm. 91).
Manakala Shafie Abu Bakar yang mengemukakan kertas kerja, ``Gagasan Pesurat Pelengkap Takmilah: Bangi Makmal Menyerlah, menggunakan gagasannya dalam menulis tulisan ini yang memperlihatkan tahap penilaian terhadap sastera dan adanya transformasi nilai sastera yang meningkatkan peradaban.
Sekian.
No comments:
Post a Comment