December 10, 2011

Menghargai Hadiah Buku-Buku Dari Pelajar-Pelajarku

BBB, 14 Muharram = 10 Disember (Sabtu):

Selonggok buku masih berada di atas mejaku, sengaja aku tidak asingkan atau simpan di atas rak buku di pejabatku. Ada semacam kebanggaan melihat buku-buku ini. Sekali sekala aku mencapai buku-buku berkenaan dan melihat sepintas lalu dan meletakkan kembali secara tersusun di atas meja. Aku berhasrat untuk menjadikan buku-buku ini topik penulisanku di dalam blog, tetapi tidak mungkin untuk membuat review satu persatu. Buat permulaan aku akan memperkatakannya secara menyeluruh.

Sebenarnya pada hari pemergianku ke UPSI, Tanjung Malim pada 03 Disember 2011 bagi membentangkan kertas kerja di dalam Konferensi Ilmuan Sastera Malaysia (HISMA), sebelum tiba waktu aku membentangkan kertas kerja, aku telah dihadiahkan oleh dua pelajarku di sana sejumlah 13 buah buku yang dikarang oleh mereka. Hadiah ini bagiku adalah merupakan penghargaan yang tinggi kepadaku. Sekaligus memperlihatkan kejayaan pelajar-pelajar berkenaan yang kini menjadi tenaga pengajar di UPSI, bahkan sebagai pimpinan yang dinamik di dalam bidang akademik.

Pelajar dimaksudkan ialah saudara Mohd Rosli Saludin yang pernah menulis tesis peringkat sarjana di bawah penulis (1998) yang pada masa itu sebagai Profesor Madya di Jabatan Persuratan Melayu, UKM. Beliau menulis tesis mengenai Teromba. Tajuk ini penulis cadangkan berikutan dengan kursus Puisi Tradisional yang penulis sampaikan dan diikuti antaranya oleh saudara Rosli Saludin. Kelulusan yang dicapai oleh saudara Rosli melayakkan saudara Rosli menjadi tenaga pengajar di UPSI yang semasa di sana beliau melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah di Universiti Malaya. Tajuk tesisnya ialah perluasan mengenai Teromba. Keperluan untuk mencapai kecemerlangan di dalam bidang akademik ialah menghasilkan kertas kerja yang bermutu dan diterbitkan di dalam jurnal-jurnal terkenal pada peringkat universiti, nasional dan antarabangsa dan penulisan buku-buku yang bermutu. Di dalam kalangan ahli akademik terkenal ungkapan, ``Either you publish or you parish.`` Di dalam hal ini saudara Rosli Saludin seorang tenaga akademik yang gigih menyelidik dan menghasilkan buku-buku. Tumpuan penyelidikannya di dalam bidang kepakarannya, iaitu Teromba dan puisi serta bergiat dalam teater.

Semasa di UPSI beliau telah menghadiahkan kepada penulis sebanyak 5 buah buku, iaitu:

1) Teromba dalam Puisi Melayu Tradisional (2009) – Tesis Sarjana

2) Teromba Hubungan dengan Pendidikan Kesusasteraan ((2009)

3) Teromba Sebagai Wahana Komunikasi Adat Melayu Tradisional (2010)

4) Seri Menanti Tanah Beradat Bermula Di Sini (2011)

5) Peranan Ibu Soko Dalam Adat Perpatih Di Negeri Sembilan (2011).

(Terdapat beberapa buah buku lagi yang dihasilkan oleh saudara Rosli Saludin).

Jelas dari buku-buku yang dihadiahkan kepada penulis, saudara Rosli menumpukan kajian utamanya kepada Teromba, disamping puisi. Menjelaskan tentang Teromba kata saudara Rosli,

``Teromba ini adalah kata-kata adat kepunyaan masyarakat Melayu, walaupun khusus diamalkan di negeri Sembilan dan sebahagian daripada Melaka iaitu wilayah Naning. Teromba ini adalah nadi keunikan dan kehebatan Adat Perpatih. Di dalamnya mengandungi maklumat, nasihat, pengajaran, pendidikan, teguran terhadap masyarakat. Semuanya disampaikan secara bersopan dan berhemah.`` Contoh:

Apa hutang emak dengan bapa ?

Hutangnya di atas lima perkara:

Sepertama kerat pusat
Kedua upah bidan
Ketiga bedak langir
Keempat akil baligh
Kelima nikah kahwin
Yang kecil digedangkan
Yang bingung dicerdikkan
Ibarat ayam
Pagi lepas petang direban
Yang jantan diserah mengaji
Yang betina diserah menjahit
Kecil dah godang
Bingung dah cerdik
Kerana hutang emak dengan bapanya.

(Teromba Sebagai Wahana Komunikasi Adat Melayu Tradisional, 2010: 20-21).

Diatas kegigihan dan dedikasi saudara Rosli Saludin beliau dikurniakan bintang Dato` Paduka, Negeri Sembilan dan kini Profesor Madya dan Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di UPSI.

Seangkatan dengan saudara Rosli Saludin dan sama mengikuti kursus di bawah kendalian penulis di Jabatan Persuratan Melayu, UKM ialah saudara Abdul Halim Ali. Tahun-tahun 1990an terkenal sebagai tahun-tahun yang rancak dengan pembicaraan teori. Antara teori ialah Formalistik, Strukturalisme, Fenomenologi, semiotic, psikoanalisis, Puitika Sastera Melayu, Persuratan Baru, Perkaedah Melayu, Takmilah, Teksdealisme dan sebagainya. Saudara Abdul Halim lebih terpikat dengan teori-teori di samping kajian mengenai puisi. Sebab itu beliau menulis bagi peringkat sarjana di bawah bimbingan penulis tentang Pasca-Moden Dan Pertentangan dengan Islam. Beliau lulus 1998 dan kemudian menjadi tenaga pengajar di UPSI dan membuat Ijazah Doktor Falsafah di sana dengan judul Teori Estetika Bersepadu. Semasa penulis ke UPSI beliau telah menghadiahkan lapan buah dari karangan dan karangan bersama beliau iaitu:

1) Pengantar Teori & Kritikan Sastera: Barat Dan Malaysia (2011)

2) Mendekati Puisi Melayu Tradisional (2006).

3) Di Sekitar Puisi Melayu Moden (2007).

4) Penghayatan Kesusasteraan Melayu Moden – Bersama Azhar Haji Wahid (2005).

5) Dalam Redup Wajah Ibu (Penyelenggara Kumpulan Puisi) (2011)

6) Wahai Api Jadikan Dingin Jadikan Embun (Penyeleggara Kump. Puisi (2009).

7) Bahasa Dan Kesusasteraan (Penyelenggara bersama Harun Jaafar) (2002)

8) Air Limpah (Penyelenggara Kumpulan Puisi) (2007).

(Selain dari di atas banyak lagi karya-karya yang dihasilkan saudara Abdul Halim Ali).)

Dari judul-judul di atas, memperlihatkan saudara Abdul Halim meminati bidang teori dan puisi. Berhubung dengan teori sastera saudara Abd. Halim Ali berpendapat:

``Teori Sastera dapat disebut sebagai bidang ilmu yang meneliti sifat-sifat yang terdapat dalam teks kesusasteraan yang berkaitan dengan teori itu sendiri. Dengan adanya teori sastera dapat membantu mempermudahkan sesuatu karya atau ciptaan seni dinilai, ditanggapi dan dipertanggungjawabkan secara ilmiah (Pengantar Teori dan Kritikan Sastera, 2011: 9-10).

Atas dedikasi saudara Abdul Halim yang menulis teori dan kritikan, menulis puisi dan kaedah pengajaran beliau dilantik Profesor Madya dan pernah menjawat jawatan Timbalan Dekan Pengurusan dan Penyelidikan, Felo Institut Peradaban Melayu dan kini Presiden Persatuan Penulis Budiman.

Dengan dinamika Profesor Madya, Dr. Rosli Saludin dan Profesor Madya Dr Abdul Halim dan tenaga-tenaga akademik di jabatan dan Fakulti kegiatan bahasa dan sastera di UPSI memuncak. Dapatlah dikatakan UPSI bertanggung jawab dan terus memartabatkan bahasa Melayu di UPSI dan Negara sejak dari Zaman Za`ba dengan Jabatan Karang Mengarang menggunakan bahasa Melayu hingga di UPSI dengan Fakulti Bahasa dan Komunikasi dalam membina peradaban bangsa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment