December 15, 2011

Rasmi Kem X-Plorasi Potensi Diri 2011

Bukit Unggul, Jenderam, 14 Muharram = 10 Disember (Sabtu):

Dalam masa cuti panjang sekolah ini berbagai pihak mengambil inisiatif menganjurkan berbagai kegiatan berfaedah bagi memenuhi masa lapang pelajar-pelajar. Penganjur-penganjur terdiri dari masjid, surau, persatuan ibu bapa, Sekolah dan NGO. Demikianlah antara penganjur di kawasan Dun Bangi, ialah Pewaris bersama Paksi Serdang dan Nisa` dengan kerjasama Pejabat Adun. Aktiviti berkenaan bertempat di Nur Bukit Unggul, Jenderam, iaitu satu kawasan rekreasi menarik terletak di pinggir bukit di belakang Padang Golf di bahagian depan Bukit Unggul. Jumlah pelajar yang mengambil bahagian 30 orang. Mereka berumur antara 12 hingga 17 tahun. Mereka datang dari Bangi, Balakong, Cheras dan Bukit Jalil.

Pagi ini ialah Upacara Perasmian oleh Adun. Hadir bersama ke upacara ialah Pengerusi Kelab Pewaris saudara Mohd Fadhli Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pemuda Pas Serdang saudara Rusli Jusoh dan Pengarah Program saudara Hassan Fikri bin Safar. Objektif X-Plorasi sebagaimana dicatat ialah:

1) Melahirkan remaja berilmu dan mempunyai jati diri Muslim yang mithali dan berjiwa teguh.

2) Mengenali dan mengembangkan potensi individu secara menyeluruh, bersepadu dan mampu mencapai kesejahteraan dan kecemerlangan diri.

3) Membina generasi muda yang peka dan prihatin dengan persekitaran serta dapat memberi sumbangan bermakna terhadap rakan sebaya, keluarga dan masyarakat.

4) Memperkemaskan lagi sistem pengurusan masa dan keyakinan diri pelajar

5) Mengadakan kursus gabungan antara kem motivasi akademik, kem ibadah dan kem kenali potensi diri secara intensif.

6) Menyediakan mekanisme atau perantara ke arah memupuk silaturrahim dan ukhuwwah di kalangan remaja Islam.

Pengerusi Kelab Pewaris saudara Mohd Fadhli Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan remaja-remaja terpilih adalah bernasib baik, kerana berpeluang mengikuti program motivasi dan amali yang dibimbing oleh pakar-pakar di dalam bidang masing-masing. Beliau berharap melalui Kem X-Plorasi Potensi Diri akan melahirkan bakat-bakat tersembunyi di kalangan pelajar-pelajar yang mengambil bahagian.

Adun Bangi dalam ucapan perasmian mengucap tahniah di atas kejayaan Pewaris-Paksi & Nisa` menganjurkan Kem X-Plorasi Potensi Diri 2011 di tempat yang menarik, nyaman dan jauh dari kesebokan. Menurut Adun, ``Generasi muda sekarang bernasib baik, kerana berada di dalam zaman, di mana kesedaran tentang kepentingan pelajaran begitu tinggi dan peluang menyambung pengajian pula begitu banyak. Ini disokong dengan berbagai-bagai aktiviti yang mendorong pelajar-pelajar belajar, bahkan mengenal potensi diri. Ini berlainan dengan generasi dulu dalam mana pada masa itu budaya motivasi belum popular, bahkan belum dikenali. Inisiatif lebih bersifat berdikari atau dari semangat dan dorongan ibu bapa dan keluarga. Sebab itu ambil peluang terbuka dan ikutilah kursus, motivasi, kem pelajaran dan potensi mengenal bakat dan kemampuan diri. Sekiranya peluang sedemikian tidak diambil, kemungkinan pelajar-pelajar menghabiskan masa kepada kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah, apalagi jika terjebak dengan gejala-gejala negatif. Masa muda adalah relatifnya pendek, ambillah peluang dengan kecergasan yang ada pada pelajar-pelajar untuk membina dan memperkukuhkan masa depan.

Adun mengingatkan, setiap orang mempunyai kemampuan dan keistimewaan diri yang kadang-kadang tidak diketahui oleh pelajar sendiri. Dengan melalui Kem X-plorasi Potensi Diri ini diharap pelajar-pelajar dapat mengenali bakat dan potensi diri – misalnya sebagai pemimpin, berbakat dalam bidang seni, penulisan, pidato dan sebagainya. Dengan mengenali bakat memudahkan perkembangan dan kemajuan sebagai potensi masa depan. Adun berharap dari remaja-remaja yang mengikuti Kem X-Plorasi Potensi Diri akan lahir tokoh-tokoh berbakat yang menyerlahkan potensi diri sebagai pemimpin pada masa hadapan menggantikan pemimpin kini yang tiba masanya memberi ruang.

Sekian.

No comments: