December 3, 2011

Ke UPSI Melengkapkan Teori

BBB, 07 Muharram 1433 = 03 Disember (Sabtu):

Pagi ini penulis insya Allah ke Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim bagi membentangkan kertas kerja bertajuk : Gagasan PESURAT Pelengkap TAKMILAH: Bangi Makmal Menyerlah.

Teori Takmilah adalah Teori Sastera Islam yang mula diperkenalkan pada 1992 dan telah digunakan di dalam kajian bagi peringkat Sarjanamuda, Sarjana dan Doktor Falsafah.
Takmilah menampilkan keunggulan pendekatan Teori Sastera Islam. Pada puncaknya bertolak dari falsafah tauhid yang Allah mempunyai sifat-sifat sempurna – termasuk Kamal, Qahhar & Jalal. Penelitian dan Penitian dari segi sastera ialah melalui sifat Jamal. Dilihat dengan mata seni dan sastera, segala ciptaan Allah adalah indah dari segi lahiri, maknawi dan hakiki. Di atas alur inilah peneliti dan pengamal sastera Islam seharusnya melayari dan menjalani pengalaman kreatifnya dengan menanggapi alam besar dan rumusan dari alam kecil (al-Qur`an) dan menjadi inspirasi dan ilham yang mencurah-curah bagi ditumpahkan ke dalam karya-karyanya.

Mampukah seorang sasterawan menanggapi sumber yang besar, agung dan kudus di atas? Tidak mungkin tanpa keilmuan, bakat dan komitmen seseorang yang dikenali sebagai `Sasterawan`. Pendidikan sastera pada hakikatnya adalah pendidikan terhadap insan bagi meningkatkan mereka pada tahap Khalifah–Rabbani–Kamil. Jalur yang dilalui sasterawan melalui pembinaan jiwa dan peribadi ‘Ahsan’ bahkan khalayak sastera yang merupakan pengguna bagi hasi-hasil sastera berperibadi dan bersifat Ahsan. Lantaran itu bakal sasterawan perlu mendalami bidang sastera, keilmuan yang berhubung dengannya, menghayati dan mengapresiasi seni dan lebih daripada itu menghasilkan karya itu sendiri.

Pada peringkat puncak ialah pembinaan karya dari segi lahiri dan maknawi yang meniti garis estetika yang kesemua elemen memuncak kepada TAKMILAH. Pada peringkat ini memerlukan seorang ‘sasterawan’ menanggapi alam lahiri-maknawi dan mencernakannya sebagai elemen-elemen estetika dan mencurahkannya sebagai karya yang tinggi dengan daya estetik. Sebagai sebuah karya yang bermutu tercerna di dalamnya, nilai-nilai keislaman serentak dengan keluasan tanggapan alamiah, maknawiyah dan rohaniah.

Apakah elemen-elemen pelengkap bagi Takmilah yang diistilahkan dalam kertas kerja sebagai `Gagasan PESURAT` Pelengkap TAKMILAH? Kalau dilihat pada pendekatan TAKMILAH di atas, maka tumpuannya ialah kepada aspek sastera semata-mata dan terpisah dari alam keliling yang memupuk, mencerna dan menghasilkan karya itu sendiri, sedangkan pada hakikatnya alam kelilingnya yang terdiri misalnya dari keilmuan, latihan, pengalaman, pegangan, sudut pandangan adalah sama tercerna dan menggauli sebagai kesatuan padu di dalam sesebuah hasil karya.

Menyedari elemen-elemen berkenaan sebagai `a part and parcel` bagi karya dan sama sekali tidak terpisah, maka sebagai pelengkap, maka Gagasan PESURAT adalah pelengkap bagi Takmilah.

PESURAT tidak lain dari memberi tumpuan terhadap penghasil karya secara tertulis. Perluasan darinya memberi kesan kepada berbagai-bagai aspek yang lain.
Sekurang-kurangnya ada lima perkara penting yang ditampilkan melalui PESURAT:

a) Penambahan penggunaan istilah keislaman antaranya dari al-Quran. Istilah Pesurat adalah diambil dari al-Quran – kata ‘Surat’ yang terdapat dalam awal setiap surah (114) dan sepuluh tempat yang lain di dalam al-Quran. Surat bererti sesuatu yang tertulis sesuai dengan orang Islam sebagai ‘Ahlul Kitab’ (The People of the Book), iaitu sesuatu yang tetap, boleh dipercayai dan dapat disaksikan. Pesurat ialah orang yang menulis sama ada tulisan yang bersifat ilmu dan yang bersifat kreatif.
b) Pesurat merangkumi aspek yang bersifat sastera yang di dalam istilah Islam dikenali sebagai `Adab` yang istilah ini diwakili huruf A di dalam istilah PESURAT, manakala satu aspek lagi ialah Tamadun yang diwakili oleh T di dalam PESURAT. Pendek kata Gagasan PESURAT adalah gagasan yang merangkumi segala bidang ilmu – dan berperanan juga di dalam memupuk jiwa kreatif.
c) Pesurat yang mendukung peradaban dan tamadun berperanan dalam membina Negara Islam. Membina Negara Islam bukan saja hanya melalui politik, ekonomi dan sosial, tetapi seharusnya disertai keperluan-keperluan yang lain. Pendek kata membina Negara Islam yang mantap yang menepati sebagai Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur.
d) Bangi Bandar Ilmu adalah contoh sesuai bagi mini ‘Negara Islam’, kerana di sini ada beratus masjid dan surau yang setiap satu diimarahkan. Di sini dan sekitarnya ada berpuluh pusat pengajian tinggi, ribuan tenaga pengajar, berpuluh kolej pengajian dan berpuluh ribu pelajar. Tenaga pengajar yang ribuan jumlahnya mampu menghasilkan buku pelbagai bidang ilmu yang dikuasai mereka dan mengangkat Bangi sebagai Bandar Ilmu dan mencetuskan aliran dan pemikiran Bangi.
e) Sebagaimana Islam memberi rahmat bukan saja kepada orang Islam, demikianlah Gagasan Pesurat bersifat universal dan memberi manfaat dan didikan kepada yang Islam dan bukan Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment