Berikutan dari hujan lebat dan berlakunya banjir di Bandar Kajang, Sungai Tangkas dan Kg. Bangi (2 Dis.), maka pada pagi ini mulai jam 9.00 pagi, Adun dan AJK Kebajikan turun membuat penilaian kerosakan di kawasan di bawah Dun Bangi. Tempat yang menjadi tumpuan dan teruk ialah Perumahan Lembah Mewah dan Kampung Kelapa. Kedua-dua tempat adalah di tepian Sungai Jelok yang melalui Bandar Kajang. Kepesatan pembangunan di kawasan Sungai Jelok dan penebangan pokok-pokok menyebabkan air hujan yang turun dengan lebat mengalir laju memenuhi saliran dan sungai dan tidak dapat menampung volume air, menyebabkan berlaku banjir kilat di sekitar Kajang dan juga Bangi
Adun dan rombongan berjumlah 15 orang dibantu oleh Ketua setempat Tuan Haji Mohd Yusof Kamat dan Ketua Kampong Lembah Mewah En. Abdul Aziz berkunjung di kawasan perumahan Lembah Mewah. Di kawasan ini terdapat empat deretan rumah teres setingkat yang jumlah lebihkurang 100 buah rumah. Kami membuat keputusan untuk melawat dari rumah ke rumah bermula dengan rumah Tuan Haji Jaafar bin Arus. Dalam lawatan Adun, setelah salam, menyatakan tujuan kami berkunjung untuk bertanya berkenaan banjir yang melanda rumah masing-masing, tentang kerosakan yang berlaku seperti peralatan rumah, kenderaan dan sebagainya.
Umumnya bagi rumah-rumah teres di Lembah Mewah peralatan yang rosak ialah carpet, tikar getah, tilam, peti sejuk, kaki almari, kerusi meja dan sebagainya. Daripada 100 buah rumah, kami dapati 20 buah rumah di Lembah Mewah yang sedikit teruk dan wajar diberi perhatian terutama dari segi bantuan. Antara rumah dilawati, ialah rumah-rumah Tuan Haji Ja`far, En. Mustafa bin Buyung, En. Tarmizi bin Osman,, Pn. Hamidah Manap, En. Mohds Rifai, En.Sameon bin Ibrahim , En. Shaari bin Mohd, En. Shukor bin Ibrahim, Pn. Arbaiah bt. Tarye, En. Abdul Aziz (Ketua Kg.), En. Zulkifli, En. Mastur bin Mansor, En. Rustam bin Said, En. Kim Foong, En. Cheung Ke Hack, En. Koo Leong Bok, En Lee Ah Lau, En. Siau Chian Hoo, Puan Ta`atiah dan En.Amir bin Ishak . Boleh dikatakan banjir diperumahan Lembah Mewah sederhana dan ringan..
Berlainan dengan yang berlaku di Kg. Kelapa. Di sini ada beberapa rumah berasingan setengah semi D dan banglo. Contoh rumah En. Murugasu yang tinggal sekeluarga mengalami banyak kerosakan barang-barang. Begitu juga rumah En. Good Free Thomas seorang Lawyer teruk mengalami banjir dan kerosakan peralatan yang agak banyak. Di sini juga terdapat sebuah rumah Charity Sincere Care yang mempunyai penghuni yang dilindungi di rumah ini seramai 50 orang turut sama mengalami kesan banjir, walaupun tidaklah begitu teruk. Kami tidak berpeluang melawat ke dalam. Kerosakan di rumah-rumah berasingan ini dijangka berpuluh ribu. Penghuni rumah kuarter Rubber Research Institute berdekatan juga datang mengadu mengenai kerosakan yang berlaku dan beliau menunjukkan laporan Polis yang dibuat bagi membuktikan barang-barang yang rosak.
Dari taksir penilaian kami akan bawa ke dalam mesyuarat dan kenal pasti mereka yang layak menerima bantuan. Sekiranya kerosakan besar sebagaimana berlaku kepada beberapa buah rumah berasingan dan di luar kemampuan kami, masalah mereka akan di bawa ke atas – ke peringkat negeri. Oleh kerana tempat mereka sering mengalami banjir, Adun turut mengemukakan pertanyaan, ``Mengapa tidak usaha cari kediaman di tempat yang lebih selamat ?`` Jawapan yang diterima, mereka sayang untuk meninggalkan tempat yang mereka tinggal sejak bergenerasi, Sentimental value mengatasi kesusahan yang terpaksa mereka hadapi sekali sekala. Apa yang mereka harapkan kepada pihak berkuasa memperbaiki infra-struktur seperti meluas dan mendalamkan sungai, alihkan larian sungai ke kawasan lain, mengadakan kolam takungan air yang dapat mengurangkan volume air mengalir dan sebagainya. Pendeknya mereka mengharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan mengurangkan masalah banjir yang sangat memberi kesan terhadap mereka.
Terima kasih kepada semua yang mengiringi lebih kurang tiga jam berkeliling. Terima kasih kepada En. Abdul Aziz Ketua Kampong Lembah Mewah.yang setia menunjuk rumah. Tindakan semua pihak membantu melancarkan perjalanan. Keputusan penilaian akan dilakukan secepat mungkin – Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment