Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) banyak menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pekerja-pekerja. Gaji berkenaan dikatakan lebih memberi keuntungan kalangan pengurusan tertinggi dari ketua-ketua setiausaha dan pengarah-pengarah. Dikatakan antara 60% – 70% kenaikan dimonopoli kumpulan elit yang kecil dari segi jumlah. Manakala kumpulan sokongan hanya menikmati antara 30% - 40% kenaikan berkenaan. Lebih teruk mereka yang berada pada kategori kontrak.
Demikianlah pada tengahari hari ini Adun didatangi tujuh orang wakil guru-guru Sekolah Kafa Integrasi Bandar Baru Bangi mengadu masalah yang dihadapi mereka. Dalam pertemuan di Pejabat Adun itu mereka menyatakan,
``Sekolah KAFAI BBB mempunyai 79 guru, 16 daripada mereka adalah guru kontrak.``
Sebagai guru kontrak mereka ditawarkan kerja secara kontrak dua tahun. Kontrak diperbaharui bila tamat dua tahun. Kebanyakan mereka telah berkhidmat lebih dari lima tahun. Mereka diletak di bawah kategori DB27, iaitu guru SPM, STPM yang tidak mempunyai diploma pendidikan yang tangga gaji P1T1: RM1204.55 dan meningkat hingga P1T7: RM1603.85. Terdapat 14 orang yang berkategori sedemikain, manakala 2 orang di bawah DB17 yang mempunyai diploma, tetapi masih tidak dilantik. Satu halangan dari perlantikan, mereka dikehendaki mempunyai diploma pendidikan dan lulus bahasa Arab. Walau bagaimanapun selama ini tidak menghalang mereka dari disambung kontrak selama dua tahun, dua tahun. Tetapi dengan SBPA, kategori guru kontrak berkenaan tidak lagi wujud. Guru-guru akan tamat tempoh berkhidmat dengan sendirinya apabila cukup 2 tahun khidmat. Lebih membimbangkan mereka, seorang dari mereka telah sampai tempoh dua tahun pembaharuan perlantikan, apabila ditanya ke pihak atas, dia dinasihat tidak perlu lagi pergi berkhidmat. Masalahnya jika mereka tidak disambung, dengan umur mereka yang sudah meningkat, sukar bagi mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang baru. Dalam keadaan sekarang juga, setengah daripada mereka sudah membeli rumah dan juga kenderaan di samping tanggungan keluarga anak isteri. Bagaimana mereka mahu hadapi masa depan mereka dengan ketiadaan pekerjaan?
Dengan kedudukan mereka sekarang, Adun menasihati mereka membuat surat rayuan ke atas secara berkelompok untuk dilanjutkan tempoh perkhidmatan. Walau bagaimana Adun berjanji untuk turun ke Sekolah keesokan hari bagi menemui Guru Besar dan guru-guru terlibat bagi lebih memahami kedudukan sebenarnya.
Keesokannya iaitu pagi Jumaat Adun turun dengan dua pengiring ke Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) dan menemui Guru Besar Ustaz Razali Ahmad Shihab dan dihadiri guru-guru kontrak terlibat. Dari pertemuan ini Adun difahami oleh Guru Besar dan Timbalannya, bahawa masalah yang dihadapi oleh guru-guru kontrak ini memang dalam tindakan pihak bahagian guru di Pejabat Agama Daerah Hulu Langat dan juga oleh Pengarah Sekolah Agama JAIS. Mereka sedang berbincang dengan pihak atasan (JPA), di mana hendak diletak mereka – dalam kategori yang sesuai. Antara cadangan jua ialah meletakkan mereka ke bawah kategori guru KAFA. Jika demikian bererti menurunkan pangkat dan pendapatan mereka. Jika demikian adalah tidak adil kepada mereka. Kita berharap nasib-nasib guru-guru kontrak berkenaan perlu diberi penyelesaian segera. Jika tidak perkara ini akan dibawa ke Dewan Negeri bagi mendapat pandangan dan penyelesaian segera.
Walau bagaimana untuk jangka panjang, guru kontrak ini tidak wajar dibiarkan mereka dalam keadaan kontrak berterusan. Kontrak hendaklah bersifat sementara bagi guru-guru berkenaan memperbaiki kedudukan mereka. Misalnya yang tidak mempunyai diploma pendidikan memperbaiki kedudukan mereka dengan mengambil diploma secara sepenuh masa atau sambilan. Bagi yang tidak mempunyai kelulusan bahasa Arab, hendaklah belajar sehingga mencapai kelulusan. Guru-guru hendaklah menanamkan dalam diri mereka sifat suka belajar, bukan saja bagi melengkapi syarat, tetapi bagi meningkatkan ilmuan pengetahuan yang membuka ruang kepada mereka meningkat lebih tinggi dalam kerjaya mereka. Pihak Kerajaan atau majikan hendaklah memberi peluang seluas-luasnya bagi guru-guru menambah dan menyambung pelajaran bagi kebaikan diri dan profession yang dilibati. Adalah wajar difikirkan mekanisme bagi guru-guru kontrak dan sementara menjadi guru tetap dan berpencen.
Sekian.
sememangnya SBPA dilihat kurang memberi kebaikan kepada kakitangan awam terutamanya yang berpangkat rendah. Semoga Pakatan Rakyat akan menggubal sistem baru yang lebih adil dan telus apabila berjaya memegang tampuk pemerintahan di Putrajaya kelak...
ReplyDelete