January 8, 2012

Tersalah Tempat Hantar Minuman: Anekdot

Pada pagi Sabtu hari tak bekerja itu, setelah pulang dari Pejabat selepas datang selepas solat subuh – pulang sementara kerana membeli dan membaca akhbar serta makan pagi, kebetulan tidak ada program sebelah pagi, aku datang lagi ke pejabat untuk menulis. Sedang aku asyik menaip di computer, isteriku yang pulang dari pasar di belakang pejabatku singgah membuka pintu pejabat dan meletakkan barang-barang belian dari pasar di atas meja, menuju ke bilikku. Nampak iseteriku masuk aku bangun menemuinya. Dia bertanya,

``Cina kedai di belakang ada tanya (isteriku), dia ada hantar air minuman yang diorder ke pejabat, ada terima atau tidak ?``

Aku yang terpinga, seingat aku tidak membuat sebarang order spontan menjawab, ``Tak ada,`` sambil menambah, ``Sejak dari subuh tadi hingga kini (jam 10.30 pagi) tidak ada yang datang ke pejabat ini dan tidak perlu mengorder sebarang air !`` aku menghujah terhadap isteriku.

``Tapi kata Cina tu, dia ada hantar air ke sini,`` kata isteriku. Aku berhujah lagi,

``Tapi kalau dihantar pagi ini takkan tak sedar pintu dibuka dan minuman berkenaan tentu diletak atas meja di tepi pintu itu.`` Isteriku terdiam. Dia meninggalkan barang-barang belian dapur dan pergi semula ke kedai Cina di belakang. Aku kembali semula ke meja computer dan menaip.

Lebihkurang 10 minit, isteriku datang kembali dengan seorang perempuan muda, membuka lebih luas pintu pejabat. Aku juga bangun ke bahagian depan pejabat. Isteriku beritahu,

``Ustazah ni beri tahu. Dia order minuman dari kedai Cina petang kelmarin (sebelum pejabat tutup) dan minta hantar ke pejabat.``

Dengan datangnya Ustazah bersama, aku dapat menangkap, Tawkey Cina, mungkin tersilap hantar, dijangka yang mengorder kelmarin – bukan hari ini, ialah kerani perempuan di pejabatku, sebab itu dihantar ke pejabatku, tanpa disedari, sekurang-kurangnya olehku.`

Sebenarnya bersebelahan pejabatku ada Pejabat Tahfiz ABIM. Di pejabat itu memang ada beberapa pekerja. Sejak pagi ini nampaknya banyak selipar di luar. Mungkin ada kursus atau taklimat kepada guru-guru ma`had tahfiznya. Air yang dioder ialah untuk minuman mereka.

Pada jangkaanku air yang disorder, air minuman panas bercawan, memang tiada kedapatan di atas meja. Setelah mencari-cari, Ustazah tadi menunjukkan dengan jarinya,

``Tu air kotak di atas surat khabar !``

Di luar jangkaanku, rupanya yang disorder ialah air kotak (satu karton) di atas bungkusan akhbar ``Selangor Kini``. Aku melihat dan mengangkat air kotak berkenaan, cuba menyerahkan kepada Ustazah, tapi sempat bertanya,

``Berapa kotak semuanya ?``

Sekali lagi isteriku bersama Ustazah pergi semula ke kedai Cina, bertanya, berapa jumlah kotak yang disorder dan harganya. Kemudian mereka kembali dan memberitahu, iaitu sejumlah 34 kotak. Aku membilang semuanya yang ada hanyalah sebanyak 24 kotak sahaja. Pada masa itu lantas aku teringat, bahawa pada malam tadi, selepas aku datang selepas Isyak ke pejabat membuat kerja-kerja biasa, sebelum bersama pasukan turun ke UP Town, Jalan Reko, jam 11.00 malam bagi mengedarkan Kalendar, Akhbar Selangor Kini dan Buletin Bangi di sana, ada kumpulan Nisa` bermesyuarat di bahagian bawah. Jumlah mereka pun dalam lingkungan 10 orang.

Adalah menjadi tradisi dan budaya kami di pejabat ini, bahawa sebarang minuman, khususnya air mineral yang ada atau ditinggalkan di pejabat ini adalah waqaf dan boleh diguna oleh sesiapa. Misalnya jika hendak mesyuarat, selain dari menyediakan makanan, atau tidak perlu kepada makanan, kami check dulu sama ada air ada atau tidak ada di pejabat, tanpa mengira siapa yang beli, atau pejabat yang beli, maka boleh digunakan oleh sesiapa, termasuk untuk mesyuarat. Jika ada kumpulan yang bermesyuarat membeli air dan ada lebihan, biasanya ditinggalkan, maka ianya boleh digunakan oleh sesiapa pun.

Dalam konteks ini pada malam tadi, mesyuarat Nisa` di sini menggunakan 10 kotak dari air tersebut (air buah-buahan). Memang ada tanda dan tinggalan straw dan bekas digunakan. (Aku mendapat maklumat kemudiannya dari seorang Nisa yang bermesyuarat, bahawa anak-anak yang sama dibawa oleh sebahagian daripada mereka merenget maukan minuman tersebut).

Mengetahui jumlah harga semua dari isteriku ialah (34 kotak x RM1.00), maka aku meminta isteriku menjelaskan semua harga berkenaan dan memohon maaf dari ustazah berkenaan. Aku tak bawa sebarang wang, kerana datang tadi, masih berbaju Melayu berkain pelekat (pakaian subuh) tidak perlu bawa wang. Isteriku tak kecukupan wang setelah membeli di pasar tadi. Dia kembali mengambil wang dan membayar jumlah wang berkenaan (RM34.00) kepada Ustazah yang telah membayar kepada Cina semasa ke kedai tadi. Sekali lagi dia mohon maaf dari ustazah yang mahu membeli minuman lain.

Adapun baki 24 kotak minuman buah-buahan berkenaan adalah ditinggalkan di situ sebagai waqaf kepada siapa yang datang, termasuk orang ramai yang datang berurusan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment