February 26, 2012

Melancarkan Pertandingan Mengarang Sempena Maulidur-Rasul Di Hulu Bernam

Perpustakaan Desa, Hulu Bernam, 03 Rabiul Akhir 1433 = 25 Februari 2012 (Sabtu):


Selepas solat zohor Adun Bangi bertolak bersama saudara Azizi ke Hulu Bernam dan tiba jam 3.30 petang di Perpustakaan Hulu Bernam. Adun Bangi ke Hulu Bernam dijemput atas kapasiti Pembantu Exco Agama bagi melancarkan Pertandingan Mengarang Cerpen dan Puisi (Sajak) Berunsur Islam anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Hulu Bernam sempena Maulidur-Rasul s.a.w. 1433/2012. Hadir di dalam majlis ialah Tn. Haji Abdul Wahid bin Basri selaku Pengarah Pertandingan, Puan Suziliana Mewakili Pengarah Perpustakaan Negeri Selangor, Cikgu Mustafa Ketua Cabang PKR, Hulu Bernam, saudara Naharuddin bin Abdul Rashid Setiausaha Pertandingan, saudara Fauzi bin Mohd Zain Bendahari, En. Zahir dari Perpustakaan Awam Negeri Selangor, En. Zali dan Puan Fadhilah dari Perpustakaan Hulu Bernam dan para jemputan.

Berucap mengalu-ngalukan para hadirin, Tuan Haji Abdul Wahid menyatakan, ``PKM DUN Hulu Bernam & JKKK Felda Gugusan Sg. Dusun bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) menganjurkan Pertandingan Menulis Cerpen dan Puisi ialah bagi mencungkil bakat dan idea bernas dari penulis-penulis yang berpotensi dalam masyarakat Madani dan karya-karya terbaik memberi impak kepada masyarakat baik di Selangor dan Negara seluruhnya,`` Menurutnya ,``Berlaku tawaqquf dari segi kesuburan penulisan, khususnya yang bersifat keislaman.``

Tambah Tuan Haji Abdul Wahid, ``Pertandingan yang dianjurkan adalah salah satu manifestasi kelahiran rasa cinta kita terhadap Rasulullah s.a.w. Pertandingan ini terbuka kepada Warga Muslim – Remaja dan Pelajar Menengah Atas, Dewasa & IPT. Pertandingan terbuka kepada anak Selangor atau yang bermastautin di Selangor. Penulisan hendaklah di dalam bahasa Malaysia.`` Menurut Tuan Haji Abdul Wahid, ``Antara syarat-syarat Cerpen Remaja panjang antara 1000 – 1,200 perkataan dan IPT antara 2,000 hingga 2,500 perkataan, manakala dalam bidang puisi (tiada had usia), Sajak ialah antara 20 hingga 30 baris perkataan, seorang peserta dibenarkan menghantarkan satu karya bagi satu genre. Hendaklah disertakan dengan karya biodata diri dan dialamatkan kepada:

Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Hulu Bernam,

Balairaya Jalan Besar Hulu Bernam,

35,900 Hulu Bernam.

Atau melalui – e-mail: Sastera_rakyat@yahoo.com

Tarikh tutup penyertaan ialah 6hb. April 2012 (Hadiah tertinggi RM1,000).

Tuan Haji Abdul Wahid mengharapkan pertandingan mendapat respond yang baik dari peserta-peserta.

Puan Suziliana di dalam ucapannya mengalu-ngalukan pertandingan yang diambil inisiatif oleh PKM, Hulu Bernam. Menurutnya, ``Remaja kini lebih terpengaruh dengan media baru – internet. Penganjuran dapat menarik mereka mengasah bakat dalam penulisan dan mendekati diri mereka dengan penulisan yang bercirikan Islam. Mereka boleh gunakan media IT di dalam menghasilkan karya dan menghantarkan melalui IT.`` Menurut Puan Suziliana, ``Beberapa dekat lepas memang ada pertandingan karya yang berunsur Islam sama ada dianjur oleh YADIM, DBP dan Kerajaan Negeri yang melahirkan karya-karya seperti Angin Madinah, Embun Hidayah, Antara Safa dan Marwah, Virus Jihad dan sebagainya.`` Puan Suziliana berharap dengan penganjuran pertandingan menulis Cerpen dan Puisi adalah merupakan usaha permulaan bagi mengembalikan minat penulis dan masyarakat kepada penulisan bertemakan Islam. Pihak Perpustakaan akan memberi kerjasama yang erat bagi menjayakan pertandingan.``

Menyampaikan ucapan perasmian, Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan mengucap tahniah di atas inisiatif pihak JKM Hulu Bernama yang menganjurkan peraduan cerpen dan puisi. Di dalam konteks menyambut Maulidur-Rasul, sesungguhnya berbagai cara dan pendekatan bagi menyambaut Maulidur-Rasul berkenaan. Ada secara ceramah, forum, ada cara perarakan, membaca barzanji, salawat dan sebagainya. Peraduan menulis adalah satu cara pendekatan di dalam melahirkan rasa kasih sayang kita pada Rasulullah s.a.w. Ianya melibatkan daya intelektual dan kreatif

Peraduan ini juga merupakan usaha bagi memulihkan wadah penulisan kreatif yang kini makin malap. Kalau dulu ada anjuran pertandingan penulisan seperti yang dianjurkan oleh YADIM, DBP, Kerajaan Negeri, NGO dan badan-badan penulis, kini semuanya sepi. Kirta berharap ini akan mengembalikan era kegemilangan persuratan dari tahun-tahun 1970 – 2000. Inisiatif ini sepatutnya dihidupkan kembali oleh institusi-institusi di atas. Pertandinagn ini juga secara tidak langsung menyegarkan kembali bahasa Melayuyang ternyata makin diabaikan. Kita berharap Perpustakaan dan institusi-Institusi bahasa terutama DBP dan persatuan-persatuan penulis mengambil inisiatif bagi memulih dan memperkembangkan bahasa Melayu. Mengembangkan daya kreatif dan kemanusiaan sebenarnya memperkembangkan daya kreasi dan kehalusan jiwa manusia yang bersifat lembut dan santun. Dengan ini membentuk manusia yang halus jiwa, berbudi dan bersifat ehsan. Didikan yang melupakan kemanusiaan dan mementingkan sains dan teknogi adalah membentuk jiwa masusia yang keras, kurang berbudi dan hidup cara kasar dan kurang adab. Inilah yang dialami sebahagian besar dari generasi muda yang keras dan kehilangan rasa kemanusiaan. Kalau jiwa manusia dapat dibentuk dengan rasa keagamaan dan kemanusiaan dapat menyumbangkan kepada masyarakat harmoni, beradab dan kemanusiaan. Seharusnya kurikulum pendidikan kita tidak memisahkan antara agama, sains dan kemanusiaan, sebaik-sebaiknya semua pihak menerima pendidikan yang integrated dari segi agama, keagamaan dan kemanusiaan. Kita berharap semua pihak menyedari kepincangan pendidikan ini dan semua pihak membaiki. Peraduan yang diadakan sekurang-kurang memberi saham dalam membentuk jiwa cintakan agama, semarak dengan kemanusiaan disamping menguasai sains dan teknologi. Sesungguh penulisan dan pertandingan yang diadakan dapat memupuk kemanusiaan, keagamaan dan peradaban.


Sekian. Terima kasih.

2 comments:

  1. Assalammualaikum,

    Pertandingan ini untuk orang Selangor je ke?
    kalau orang Penang boleh ikut serta tak???

    ReplyDelete
  2. 6hb baru je habis final kat ipta..lanjutkan la lagi tarikh akhir hantar peraduan ni...nak buat sekarang esei, kami kesuntukkan masa

    ReplyDelete