February 25, 2012

Rasmi Kelas Jahitan Dan Sampaikan 6 Mesen Jahit Kepada Kelas Jahitan Sungai Ramal Luar

Baitul Imtiyaz, Sungai Ramal Luar, 26 Rabiul Awal 1433 = 19 Februari 2012 (Ahad):

Seawal jam 8.30 pagi Adun Bangi tiba di hadapan Bangunan Baytul Imtiyaz Perpustakaan, Sungai Ramal Luar bagi menyaksikan kegiatan yang berhubung dengan jahitan dan menyerahkan 6 buah mesen jahit Singer Jenis Portable kepada Pengurus Kelas Jahitan di Sini – Puan Norlela.

Hadir sama pada pagi ini ialah Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir, Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh, Nazir Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar, Puan Noraini Hussein, Timbalan Ketua Muslimat Pas Negeri Selangor, Wakil Syarikat Singer, saudara Fuad AJK Masjid, 20 orang pelajar Kemahiran Shah Alam didatangkan dengan sebuah bas bagi memeriahkan majlis diadakan serta peserta dan penduduk setempat. Sempena dengan majlis ini diadakan pertandingan menjahit, melukis bagi kanak-kanak, urut, potong rambut dan pemeriksaan kuku – khas untuk wanita dan percuma. Demonstrasi jahitan oleh pihak Singar juga diadakan.

Majlis bermula dengan Al-Fatihah dan Ucapan Perasmian dari Adun. Beliau mengucapkan tahniah kepada Muslimat Sungai Ramal Luar kerana berjaya mengadakan Kelas Jahitan diusahakan terutama oleh Puan Lela Mahat dan AJK. Kelas ini telah berjalan sejak sebulan yang lepas dan mendapat sambutan yang baik. Kelas jahitan dan masakan pernah dijalankan di Pejabat Adun, tetapi tidak berkekalan, kerana kesukaran mendapat tenaga guru. Usaha mengadakan Kelas Jahitan di Baytul Imtiyaz ini adalah terbesar dan teratur. Kita berharap ianya lebih berjaya. Kelas ini diadakan ialah bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk mempelajari jahitan secara sambilan atau kemungkinan menjadikannya sebagai bidang mata pencarian. Setakat ini Adun difahamkan latihan memotong dan menjahit baju kurung, baju blous dan jubah dan akan diperluaskan kepada jahitan-jahitan yang lain. Latihan buat masa ini disertai oleh wanita dan mungkin diperluaskan kepada lelaki pada masa akan datang.

Atas kesungguhan pihak Penganjur, pihak Adun memperuntukkan sebanyak RM5,000 bagi melaksanakan kursus Kelas Jahitan di sini. Antaranya membeli 6 mesin jahit jenis portable yang mudah alih. Adun berharap bila pelajar-pelajar dapat mencapai mutu jahitan yang standard, kempen dibuat dikalangan kita dan orang ramai bagi menempah jahitan dan Adun berharap kelas ini akan berjalan secara baik dan maju. Adun juga menyebut bahawa, pihak penganjur Kelas Jahitan ini juga memohon peruntukan `Selangorku` bagi meluaskan kelas Jahitan dan Juga Memasak. Kita berharap pihak kerajaan dapat memberi peruntukan bagi meluaskan kelas ini ke kawasan-kawasan yang lain di Dun Bangi.

Selepas merasmikan Kelas Jahitan Baytul Imtiyaz Adun menyerahkan mesin-mesin jahit kepada Puan Norlela dan mengikuti Demonstrasi menmggunakan mesin jahit canggih yang diformatkan secara digital dan Adun sendiri turut melakukan jahitan secara digital berkenaan.

Selepas itu Adun melawat dan melihat jahitan-jahitan yang dipertandingkan, menyaksikan pertandingan melukis di kalangan kanak-kanak dan melihat dari luar perkhidmatan mengurut, membersih muka, memotong rambut dan membersih kuku yang khusus bagi wanita.

Sekian.

2 comments:

  1. salam..ada kekosongan lagi tak utk sertai kelas jahitan tu?

    ReplyDelete
  2. Pn Inspirasi Abadi,

    kelas jahitan di Sg Ramal Luar ni dah hampir ke penghujung.

    tapi ada satu lagi kelas yg mungkin akan atau baru bermula di Desa Surada.
    Sila hubungi Puan Zaiton 0179926246 untuk maklumat lanjut.

    terima kasih.

    ReplyDelete