January 3, 2010

Aduan Dan Berita Dari Sungai Tangkas

Sungai Tangkas, 14 Muharram = 31 Disember (Khamis):


Pagi ini menerima aduan dari Saudara Zainal Alam, AJK penduduk dari sana, menyatakan beberapa orang pemilik di atas tanah (Lot 1085) berhampiran Balai Polis di sana, tanah berkedudukan di antara lot 8780, 8812 dan 8820, mengadu kawasan rumah mereka diceroboh oleh pemaju yang sedang membina tapak bagi didirikan bangunan apartment di sana.



ADUN segera turun menyaksikan dan didapati sempadan dianjak berkali-kali hingga sebahagian dari rumah diroboh dan dibaiki mengikut "sempadan baru". ADUN sendiri menyaksi dua tanda sempadan baru yang makin ke dalam dan memakan ruang rumah, akibat sempadan baru diubah dan ditanda baru. Ini akan melibatkan rumah lain yang akan terkena, selari dengan penandaan yang baru. Usaha untuk menemui pemaju yang pejabat operasi dan penjualan bagi apartment di sini tidak berjaya, kerana pekerja belum datang walaupun jam sudah 10.00. pagi. Setelah sejam pulang ke pejabat, saudara Zainal membawa dua pengadu Encik Harun dan En. Nazrin dan dua wakil dari pemaju. Mereka dibawa ke bilik mesyuarat di atas pejabat dan ADUN memimpin perbincangan bagi memastikan kedudukan sebenar.



ADUN mewakilkan Sdr. Zainal turun sekali lagi ke lokasi bersama mereka yang datang ke mesyuarat. Pada sebelah petang maklumat dari Saudara Zainal bahawa pihak pemaju mengaku membuat kesilapan dan mengaku akan membuat pembetulan.



Kerja Cuci Kereta Belia 4 B Merosakkan Jalan

Pekerja-pekerja di Pondok cuci kereta Belia 4 B (Dulu diiklankan nama ini pada pondok – kita ada gambar yang diambil dahulu) di bawah deretan kedai, termasuk Pejabat Polis Sungai Tangkas, masih meneruskan operasi cuci kereta, walaupun sudah diroboh oleh pihak MPKj. Kedudukan tempat cuci kereta ini bukan saja merosakkan pandangan, tetapi menyebabkan jalan bertar yang baru diturapkan rosak, pecah dan berlopak dengan air cuci kereka. Kerosakan jalan ini mengganggu lalulintas dan membahayakan pengguna dan pejalan kaki. Sudah tentulah hasil diterima oleh pencuci kereta itu amat kecil dibandingkan dengan kerugian akibat dari kerosakan jalan, kerana jika mau dibaiki kembali akan memakan peruntukan ribuan ringgit dan akan rosak kembali akibat dari air mengalir ke jalan dari tempat cuci kereta.

~Tinjauan ADUN Bangi bersama Saudara Zainal Alam~


Kita berharap pihak pencuci yang menjalankan kerja cuci kereta ini lebih merasa bertanggungjawab dan tidak meneruskan kerja yang merosakkan jalan, mengganggu keselesaan dan kepentingan awam. Ketua kampung dan ahli MPKj setempat diharap dapat mempastikan tempat ini tidak terus diceroboh bagi menjamin kebersihan dan
keselesaan jalan awam.




Lalu Lintas dan Keluar Masuk Ke Stesyen Komuter UKM Lebih Selesa

Menjelang tahun baru 2010 pihak pemaju telah berjaya menyiapkan jalan lencongan ke Komuter UKM dari jalan Kajang-Bangi. Jalan masuk berlampu isyarat lebih selesa dan lebih terjamin dari segi keselamatan kerana ada lampu isyarat yang mengawal jalan masuk sama ada dari Kajang atau dari Bangi-UKM masuk ke Komuter atau jalan keluar dari Komuter sama ada ke Kajang atau Bangi. Lalu lantas ini memberi keselesaan juga kepada penduduk Sungai Tangkas dan taman-taman universiti, Institut German Malaysia dan Pejabat KWSP di bahagian yang lebih ke dalam di Sungai Tangkas. Kita bersyukur kepada Allah dengan kemudahan ini, sementara kemudahan-kemudahan yang lain yang sedang dirancang dilaksanakan.



No comments:

Post a Comment