January 22, 2010

Taman Melor Berhasrat Mendirikan Masjid

BBB, 6 Safar = 22 Januari (Jumaat):



Taman Seri Melor mempunyai sebuah surau kecil yang diberi nama Surau al-Muhajirin Surau ini berjalan dengan baik di bawah kepimpinan Pengerusinya Tuan Haji Abdul Aziz bin Abu Bakar. Berbagai-bagai kegiatan diadakan seperti pengajaran, pengajian, bimbingan anak-anak, sambutan hari-hari perayaan Islam dan sebagainya. Pendeknya kebanyakan kegiatan penduduk yang 90% beragama Islam adalah berpusat di surau ini. Hubungan dengan Persatuan Penduduk di bawah Pengerusinya Tuan Haji Hashim bin Haji Rahim juga amat baik. Dengan pertambahan penduduk, maka surau yang didirikan sejak 1997 berikut dari Taman Seri Melor mulai diduduki (1995) ini dirasakan agak sempit. Usaha bagi pembesaran telah dirancang. Perkara ini pernah disampaikan kepada ADUN pada pertengahan tahun 2009, memandangkan tapak surau merupakan tanah yang sempit dan belum digezatkan, ADUN pernah mencadangkan agar dipohon tapak tetap ditepi tasik berdekatan sebagai tapak masjid yang memungkinkannya menjadi 'Masjid Terapung' di Bandar Baru Bangi. Idea ini nampaknya diterima oleh Jawatankuasa dan mereka bekerja ke arah menjayakan hasrat murni berkenaan.


~Para AJK Surau meninjau kawasan cadangan pembinaan Masjid~


Kawasan tasik dan tanah sekelilingnya seluas 13.4 ekar adalah merupakan tanah bekas lombong milik kerajaan berkedudukan bersebelahan Taman Seri Melor dan berdekatan dengan kelompok rumah-rumah pangsa di Seksyen 7, manakala banyak lagi bangunan tinggi dalam pembinaan. Pihak AJK Surau dan Persatuan Penduduk telah membuat survey dan mendapati bagi tapak masjid diperlukan ialasebanyak 5 ekar, selebihnya untuk keperluan rekreasi. Di atas tapak ini kelak bukan saja didirikan masjid, tetapi lengkap dengan rumah Imam, rumah Bilal dan rumah Siak, dewan kuliah dan seminar, kelas pengajian/tuisyen, perpustakaan, bilik mandi jenazah, tempat memasak bahkan melibatkan tempat riadah seperti jimnasium, gelanggang takraw/badminton dan permainan lain, juga tempat komersil seperti kedai komputer, kedai serbaguna, kedai gunting dan kios makanan. Masjid ini kelak akan diguna bukan saja oleh penduiduk Taman Seri Melor, tetapi juga, Taman Seri Intan, Seksyen 7 dan 8, Empat Tambahan, West Country dan Kajang Mewah yang melibatkan puluhan ribu penduduk. Buat masa ini kegiatan ibadat dan agama di kawasan berkenaan ditampung oleh beberapa surau. Sebuah surau di Seksyen 7, iaitu Surau al-Islah di Kajang Mewah diberi keizinan mendirikan sembahyang Jumaat. Tempat ini tidak kecukupan ruang, walaupun penambahan demi penambahan ruang dibuat.


Dalam masa enam bulan terlantik jawatankuasa pembinaan masjid yang dipengerusiksn oleh Tuan Haji Mohamad Nasir Jusoh dan disetiausahakan oleh Sdr. Yem bin Parmin.Jawatankuasa telah berusaha membuat survey, plan layout, landscaping, mengenal pastibentuk bangunan mirip kepada yang jangka didirikan. Bahkan dalam masa tersebut Jawatankuasa menemui mereka yang berpotensi dapat membantu membiayai kos bangunan yang dijangka memerlukan peruntukan lebih dari RM10 juta,. Pembinaan tertaklik pada kelulusan tapak dari jabatan-jabatan berkenaan dan keizinan dari JAIS diperolehi.


~Pemandangan tasik bersebelahan kawasan cadangan pembinaan~


Penerusan dari usaha dan persediaan di atas, maka pada jam 2.30 petang hari Jumaat 29 Muharram 1431 bersamaan 15 Januari 2010 diadakan pertemuan di Surau al-Muhajirin Taman Melor bagi memberi penerangan dan melihat tapak bagi bakal masjid yang diusaha untuk didirikan. Yang hadir pada petang ini ialah ADUN Bangi, Dato` Ir. Mohd Ghazali bin Osman, Bekas Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia bersama sahabatnya Tuan Ir. Jailani yang Dato` Ir.Mohd Ghazali dijangka menjadi penyumbang dana kewangan, Ustaz Shafie Ngah ahli MPKj, Encik Yusof Bachik Ahli MPKj, di samping Tuan Haji Abdul Aziz Pngerusi Surau, Tuan Haji Hashim Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Melor dan Tuan Haji Mohamad Nasir Jusoh Pengerusi Pembangunan Masjid, ahli-ahli jawatankuasa dan ahli jamaah surau. Ucapan ringkas di dalam pertemuan itu Haji Mohamad Nasir menyatakan hasrat mendirikan masjid hasil dari usaha untuk membesarka surau. Beliau berterima kasih kepada semua pihak terutama kepada Dermawan Dato' Ir. Mohd Ghazali. Hadirin dimaklumkan sebelum ini beberapa buah masjid telah didirikan dari derma Dermawan Dato' Ir. Mohd Ghazali.


ADUN Bangi dalam ucapan ringkas memuji Jawatankuasa yang bekerja keras bagi menjayakan masjid. Beliau berharap masjid benar-benar akan menjadi kenyataan. Beliau bersedia membantu menyegerakan usaha yang memerlukan kelulusan dari pihak-pihak pentadbiran. ADUN berharap dengan tapak dan lokasi yang indah, perlu diberi perhatian dari segi estetika, khususnya dari segi seni bina Islam, biarlah menarik dari segi bangunan, landscaping dan sekitaran. Beliau berharap masjid ini akan menjadi land mark dan salah satu tempat yang menjadi daya tarikan pengujung ke Bandar Bangi. Masjid juga melengkapkan konsep Bangi Bandar Ilmu. Beliau percaya masjid yang bakal mempunyai taman indah tidak akan menjadi lokasi maksiat dengan adanya masjid dan kegiatan-kegiatan agama.



Yang Berhagia Ir. Dato' Ghazali, menceritakan bahawa AJK bersungguh-sungguh datang ke rumahnya membincangkan soal mendirikan masjid ini. "Atas kesungguhan itu saya datang ini," katanya. Beliau berharap usaha mendapat keizinan menggunakan tapak hendaklah segera dilakukan, termasuklah survey dan plan. Setelah keperluan dapat, kita jangka akan membinanya secara berperingkat. Tentulah bangunan masjid perlu diutamakan bagi fasa pertama. Masjid dijangka boleh menampung antara 4,000 hingga 5,000 orang. Ruangnya boleh ditambah bagi keperluan akan datang. Fasa yang lebih kemudian baru kita tumpu kepada pembinaan dewan kuliah, dewan serbaguna seperti untuk majlis perkahwinan, perayaan dan berbagai-bagai kegiatan yang lain. Yang Berbahagia Ir. Dato` Mohd Ghazali nampaknya memberi perhatian, minat dan komitmen yang tinggi bagi membina masjid ini. Apa yang perlu pihak jawatankuasa perlu segera berusaha mendapat kelulusan tanah, kelulusan JAIS dan kelulusan dari berbagai-bagai jabatan yang berkaitan. Pada kebiasaan tempat-tempat dan taman-taman lain mempunyai tapak pembinaan, tetapi tak ada dana, sukar mencari dana dan peruntukan, sebaliknya bagi AJK Masjid ini, dana ada, tetapi kelulusan tapak belum dapat. Diharap usaha kea rah ini segera dilakukan.


Selepas majlis ringkas, ADUN, Ybhg. Dato' Ir. Mohd Ghazali, Ir. Jailani, Pengerusi Surau, Pengerusi Persatuan Penduduk dan AJK di bawa meninjau kawasan tasik yang bakal menjadi tapak masjid itu. Lokasinya memang menarik dan akan lebih lagi menarik bila didirikan masjid dan disempurnakan lagi dengan landscaping dan taman yang menarik. Kita doakan insya Allah masjid yang diidam-idamkan ini insya Allah menjadi kenyataan.


~Cadangan pelan masjid untuk didirikan~


Sekian.

No comments:

Post a Comment