January 18, 2010

Menggalur Usia Pas Serdang: Pencapaian Dan Harapan

Balakong, Serdang, 01 Safar = 16 Januari (Sabtu):

Malam ini bertempat di Dewan Orang Ramai Balakong Pas Serdang melancarkan sambutan Jubli Peraknya yang disempurnakan oleh YB Iskandar A. Samad Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor merangkap Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan yang juga ADUN Cempaka mewakili Dato' Dr. Hasan Bin Mohamed Ali Pesuruhjaya Pas Selangor. Pelancaran diisi dengan penerangan tentang sambutan dari YDP Pas Serdang Dr. Shafie Abu Bakar dan ceramah dari tiga jemputan khas, iaitu YB Iskandar Abdul Samad sendiri, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang dan YB Lim Chuan Hing (Idham Lim Abdullah) ADUN Titi Serong, Perak. Turut hadir YB Yap Lum Chin ADUN Balakong, AJK Pas Serdang, AJK keadilan dan AJK DAP, para jemputan dan orang ramai dan penduduk setempat yang memenuhi dewan.

~YB Iskandar menyampaikan ucapan perasmian~

YDP Pas Serdang menggalurkan tentang perkiraan 25 tahun usia bagi Jubli Perak Pas Serdang. Menurutnya ada keunikannya yang tersendiri.dan ada hubungan dengan pecahan persempadanan pilihanraya yang melibatkan kawasan Serdang kini dan jiran-jirannya seperti Hulu Langat, Puchong dan Sepang. Dari segi kedudukan persempadanan sebahagian dari Serdang kini, termasuk Balakong sebelum perpecahan sempadan mutakhir (2003) berada di bawah Puchong dan sebahagian dari Serdang kini juga seperti Bangi, pernah berada di bawah Hulu Langat. Kawasan Bangi juga pada peringkat permulaan berada di bawah Sepang.

~YB Iskandar semasa gimik perasmian Pelancaran Sambutan Jubli Perak PAS Serdang~

Walau bagaimana Pas Bangi yang kini berada di dalam Serdang setelah persempadanan, mempunyai pertalian yang kuat dengan Hulu Langat. Kekuatan hubungan ini berlaku baik dari segi keberadaan kawasan Pas Bangi, kepimpinan yang memimpin dari Bangi dan Hulu Langat dan kawasan Bangi yang menjadi sebahagian dari Kajang yang mencipta sejarah memenangi pilihanraya pada tahun 1999. Dari segi keberadaan Pas Bangi di Hulu Langat bahawa Bangi berada di bawah Hulu Langat sejak Pas Hulu Langat ditubuh dan didaftarkan secara rasmi (1985), sejak dari itu kepimpinan Hulu Langat adalah kepimpinan Bangi bermula dari YDP-YDP Ustaz Othman Razak, Dr. Che Rusli Che Mat, Dr. Hamirdin Ithnin dan semasa Dr. Shafie Abu Bakar (2002-2003) berlaku perpecahan sempadan dalam mana Bangi dimasukkan di bawah Serdang dan Dr. Shafie membuat pilihan berpindah mengetuai Pas Serdang mulai 2003 hingga kini (Kepimpinan Pas Hulu Langat diambil alih oleh Tuan Haji Abdullah Acheh diikuti oleh Tuan Haji Razali Hassan). Kemenangan Pas Kajang memenangi DUN Kajang (1999-2004) mengeratkan hubungan Bangi dengan Hulu Langat. Sedangkan kalau mau dilihat kepada perkembangan Pas Kawasan Puchong yang pada peringkat awal Balakong adalah sebahagian dari Puchong, ianya bermula dari Tahun 1998 yang mula dipimpin oleh YDP Tuan Haji Yusof Ibrahim diikuti oleh Ustaz Haji Nasir Yusof dan kini oleh Ustaz Sufyan bin Ismail. Jadi Balakong yang menjadi sebahagian dari Puchong, termasuk Seri Kembangan masuk menjadi sebahagian dari Serdang mulai 2003 mempunyai sejarah penubuhan Pas agak baru, mulai 1998. Balakong mempunyai significant, kerana ianya menjadi induk bagi Puchong lama dan kini bahagian yang penting bagi Serdang, di samping Sri Kembangan, sebab itu dipilih sebagai tempat pelancaran bagi Jubli Perak Pas Serdang. Sedangkan pentadbiran parti, sistem filing dan siri mesyuarat Agung Tahunan hingga sudah 25 mesyuarat Agung Tahunan diadakan adalah unjuran dari tradisi mesyuarat-mesyuarat Agung Pas Hulu Langat. Dari segi ini bererti usia Jubli Perak Pas Serdang adalah mengikuti Jubli Perak Pas Hulu Langat. Hulu Langat sebagai abang kandung mengadakan sambutan Jubli Perak pada akhir 2009 dan kita kini sebagai adik kandung kepada Hulu Langat juga mengadakan sambutan Jubli Perak berdasarkan penubuhan Pas di Hulu Langat yang sebahagian dari Serdang (Bangi) pernah menjadi sebahagian dari kawasan Hulu Langat. Kini Serdang dengan keunikan yang disebutkan berdiri sendiri dalam usia yang agak muda, tetapi cergas dan tangkas.

Menggalurkan antara kejayaan cemerlang pernah dicapai, bahawa semasa Pas Hulu Langat yang Bangi sebahagian dari Kajang, Hulu Langat di bawah pimpinan Dr. Che Rusli Che Mat (kini YB Parlimen Hulu Langat) sebagai YDP dan dipangku oleh Dr. Hamirdin Ithnin (1999), kerana Dr. Che Rusli balik bertanding di Perlis, Pas Kajang yang merupakan sebuah DUN di Hulu Langat memenangi kerusi DUN Kajang, walaupun dengan majoriti tipis (37 undi). Kemenangan ini merupakan julung-julung kali dan memecah tradisi, sebuah kawasan multi rasial (51% Melayu) dimenangi calon Pas. Satu fakta menarik bahawa kerjasama antara kaum dan parti terutama dari DAP dan NGO sudah berlaku jauh lebih awal dari wujudnya Perpaduan Kaum dan kemudian, Perpaduan Nasional dan kini Kelab Penyokong Pas. Tokoh-tokoh seperti sdr. Yong Poh, En. Foo, En. Gang Boon Chong, En. Ah Sen, En. Liaw Kon Loong, En. Lai, En. Low, En.Yee Yoon Sang, En. Lee, En. Chee – sekadar menyebut sejumlah kecil nama (antara mereka sudah meninggal), mereka ini adalah dari kelompok penyokong-penyokong Pas dari DAP Kajang dan Semenyih yang banyak membantu ADUN Kajang pada masa itu secara berterusan, manakala dari kalangan NGO seperti En. Lee Kim Sin (kini ADUN PKR di Kajang) dan kumpulan pembantu-pembantunya amat banyak memberi sokongan dan pertolongan dan mereka tetap dikenang.

~ADUN Bangi ketika berucap dalam majlis pelancaran semalam~

Dengan kerjasama semua pihak juga semasa Kajang dimenangi Pas, ADUN pada masa itu, walaupun tidak mempunyai peruntukan, tetapi mampu turun padang dan menjalankan khidmat dengan baik. Antaranya pada setiap hujung minggu Pas dengan kerjasama pendukung dari berbagai pihak membantu mengendalikan kaunter terbuka yang diadakan di pasar-pasar, pasar malam dan ditempat-tempat sambutan diadakan. Lawatan-lawatan dan gotong royong mendapat bantuan dan sokongan yang menggalakkan.

Satu kejayaan ketika Bangi berada di Hulu Langat, ketika di bawah pimpinan YDP Dr. Hamirdin Ithnin dan Pas di bawah pimpinan Presiden Dato' Fadzil Nor, bahawa Hulu Langat pernah memenangi Johan Peringkat Pusat sebagai kawasan yang mempunyai kawasan terbanyak cawangan, iaitu 85 cawangan, manakala Pendang kawasan Presiden Dato` Fadzil Nor memenangi Johan Kawasan yang mempunyai ramai keahlian Pas. Di dalam Dewan Undangan Negeri pula Pas yang diwakili ADUN Bangi (Dr. Shafie Abu Bakar), Sungai Burung (Dato` Dr. Hasan Ali), Gombak Setia (Dato' Ismail Kamus), Sungai Besar (Ustaz Salihin Muhyi), Hulu Kelang (Mohamed Azmin Ali – Keadilan) dan Sungai Pinang (Teng Chang Khem) berjaya membawa suasana baru di dalam Dewan dengan perbahasan yang bermutu dan sering kali mencabar dan menggugat pimpinan BN di Dewan. Pendeknya Dewan menjadi lebih hidup dan menjadi tarikan untuk diikuti setiap kali persidangan Dewan diadakan.

Di dalam politik juga ada pasang surutnya diakibatkan keadaan politik semasa, suasana Negara, faktor kepimpinan, calon dan juga isu-isu semasa. Faktor pemecahan sempadan yang sengaja dilakukan bagi kepentingan dan kemenangan BN, lebih utama lagi faktor perubahan pucuk pimpinan Negara yang mana Dr. Mahathir didesak berundur di dalam keadaan yang tidak disenangi dan harapan yang tinggi terhadap penggantinya Dato` Sri Abdullah Badawi menyebabkan berlakunya sokongan yang tinggi terhadap Dato` Sri Abdullah dan parti-parti pembangkang mengalami kemerosotan dari segi sokongan, termasuk Pas Selangor yang hilang semua kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor (2004), kecuali satu dimenangi DAP di Sekinchan (Ng Suee Lim).

Walau bagaimana kekalahan ini dapat ditebus kembali pada pilihanraya Mac 2008 dengan wujudnya kerjasama antara parti-parti pembangkang di dalam satu pakatan yang dikenali dengan Pakatan Rakyat. Kemenangan Pakatan Rakyat juga akibat dari kelemahan pimpinan BN yang sebelum ini begitu tinggi harapan diberikan kepada pimpinan Datuk Seri Abdullah Badawi, tetapi tidak mampu dipenuhi, sebaliknya membawa banyak masalah dari segi ekonomi, rasuah, masalah sosial, kronime dan nepotisme dan tidak banyak pembangunan yang dapat dilaksanakan.

Dari segi kejayaan, Pas sebagai satu DUN di Serdang berjaya mendapat sokongan padu dan tinggi dari berbagai-bagai kaum sehingga dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri Pas DUN Bangi berjaya meraih majoriti tertinggi bagi Dewan Undangan Negeri Selangor (6,192) dan Pas bersama Pakatan (DAP) berjaya memenangi semua kerusi di kawasan Serdang dari Parlimen dan kesemua DUN-DUN dalam kawasan Serdang. Kerjasama antara DAP dan NGO yang telah berlaku sejak 1999 dan kini ditambah dengan PKR makin dipereratkan sebagaimana kita saksikan pada masa kini. Kegiatan-kegiatan, turun padang dan sambutan-sambutan sering diadakan secara bersama. DUN Bangi sebagai sebuah DUN yang berada dibawah kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Negeri Selangor dan mempunyai peruntukan tahunan senantiasa mengatur kegiatan yang tidak putus-putus menerusi Parti, Kabinet mini ke cawangan-cawangan, taman-taman dan kampung-kampung. Projek, bantuan dan pembangunan selain dari ADUN, diperturunkan oleh Kerajaan Negeri dan Exco-Exco, melalui MPKj dan Ahli-Ahli, Pejabat Daerah, Penghulu dan Ketua Kampung dan berbagai-bagai jabatan.

Adalah menjadi hasrat Pas Serdang dan DUN Bangi untuk memperkukuhkan parti dan jentera parti, memperkenal dan menawarkan keistimewaan Islam kepada semua dan menjadikan Pas Serdang sebuah parti yang kukuh dan mantap. Pas berusaha meningkatkan perkhidmatan terhadap rakyat dengan berbagai-bagai pendekatan dan kegiatan secara berterusan. Pas Serdang akan meningkatkan kerjasama antara parti-parti di dalam Pakatan Rakyat di Serdang, juga pada peringkat negeri dan Negara dan Pas Serdang berharap dengan memperkukuhkan kedudukannya dapat membantu sama menjayakan hasrat Pakatan Rakyat menguasai pemerintahan Negara pada pilihanraya ke 13 nanti, insya Allah.
Sekian.

~Hadirin muslimin dan muslimat yang memenuhi ruang dewan~


No comments:

Post a Comment