January 14, 2010

Lawatan Ke Institusi-Institusi - Tahun 2010 Bermula Ke Jabatan Kemajuan Masyarakat

Hentian Kajang, 27 Muharram = 13 Januari (Rabu):


Mulai dari awal tahun 2010 lawatan akan dibuat secara berkala dan formal ke institusi-institusi yang terdapat di DUN Bangi bagi memahami perjalanan institusi berkenaan, bekerjasama, mengetahui masalah jika ada dan menyelesaikan serta mengiratkan perhubungan. Di DUN Bangi dan kelilingnya terdapat banyak institusi-institusi yang berhubung dengan pendidikan. Terdapat berpuluh pusat pengajian tinggi seperti UKM, UNITEN, USIM,GMI, FMI, UNIKL, KUIS dan lain-lain, berpuluh pusat penyelidikan seperti PORIM, Kajian Tenaga Nuklier, Kajian Tanah, Kajian Petroleum Petronas dan sebagainya. Di DUN Bangi juga terdapat banyak pusat-pusat latihan seperti pusat latihan berbagai bank, Latihan Pos, Giat Mara, Percukaian dan sebagainya. Di DUN ini juga terdapat pusat-pusat pentadbiran seperti Pejabat Daerah Hulu Langat, PKNS, TNB, Pendaftaran Negara, Kebajikan Masyarakat, Alam Sekitar, Pengangkutan dan sebagainya. Di Bangi juga terdapat industri, kilang-kilang dan pusat-pusat perniagaan. Kami bercadang membuat temu janji dan lawatan dengan institusi-institusi berkenaan di mana berkesempatan.

Buat permulaan bagi tahun ini pada hari ini ADUN serombongan terdiri dari Sdr. Haji Mazwan Ahli MPKj, Sdr. Marzuki JKK, Saudari Janet JKK dan Sdr. Shahrom dari Pejabat ADUN melawat ke Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) yang bertempat di Tingkat Dua Hentian Kajang. Kehadiran kami disambut oleh En. Ahmad Asmadi Ketua Jabatan dan pegawai-pegawainya iaitu Puan Norizah dan En. Mohd Hidayat. Selepas berkenalan, taklimat disampaikan oleh En. Ahmad Asmadi yang menurutnya. JKM di sini menjaga kawasan Hulu Langat seperti Ampang, Cheras, Kajang, Bangi, Semenyih dan Beranang yang melibatkan di bawahnya 9 DUN dan 72 kampung yang penduduknya berjumlah 1,113,000. JKM adalah Jabatan Persekutuan dan State. Kakitangan dan peruntukan dari kedua-duanya. Namun peruntukan dari Persekutuan adalah lebih besar. Kakitangan di JKM di sini adalah seramai 49 orang.

Menurut Encik Ahmad Asmadi, JKM hanya memberi bantuan asas sahaja kepada mereka yang layak dan bersifat sementara. Mereka yang diberi bantuan ialah dari kalangan seperti orang cacat, orang kurang upaya, orang tua, anak-anak yatim yang tidak mendapat pembelaan dan ibu tunggal yang daif. Bantuan menurut kadar bersesuaian dari RM150/= hingga RM450/= sebulan. Terdapat juga bantuan modal untuk memulakan pekerjaan. Setiap permohonan dibuat penyiasatan untuk memastikan pemohon layak atau tidak. Kerajaan memperuntukkan bagi JKM seluruh Malaysia antara RM400 hingga RM500 juta setahun.




ADUN Bangi di dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada En. Ahmad Asmadi yang sudi menerima rombongan ADUN melawat JKM. Dengan lawatan, menurut beliau dapat pihak Pejabat ADUN memahami perjalanan JKM dan memudahkan urusan, kerana Pejabat ADUN sering menerima permohonan bantuan dari masyarakat dan sebahagian permohonan ini, mana yang sesuai kita salurkan kepada JKM, sebahagian daripada mereka memohon terus, tetapi memerlukan sokongan dari ADUN. Dengan kefahaman dari lawatan kita dapat menilai dan memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja disokong untuk mendapat bantuan. Semasa perbincangan ADUN berpuashati dengan jawapan Encik Ahmad Asmadi, bahawa tidak benar pemohon-pemohon kepada JKM melalui sokongan ADUN bukan BN ditukar borang dan ditandatangani oleh ADUN BN. Menurutnya tidak berlaku sedemikian.


ADUN mengucapkan terima kasih dan memohon diri dan terpaksa meninggalkan majlis lebih awal dan meninggalkan rombongan meneruskan perbincangan, kerana terpaksa menghadiri program lain yang telah diatur.

No comments:

Post a Comment