January 10, 2010

Islam Membawa Mesej Kesejahteraan Dan Menghormati Kebebasan Beragama

Shah Alam, 24 Muharram = 10 Januari (Ahad):

Dalam masa Islam menuntut pendukungnya berdakwah agar rahmat dan kesejahteraan yang dibawa Islam dapat dinikmati bersama oleh semua makhluk, pada masa yang sama Islam menghormati kebebasan beragama dan tidak memaksa di dalam beragama. Sebab itu benci membenci di antara agama, apa lagi bakar membakar rumah ibadat dan ancam mengancam satu pihak terhadap yang lain adalah bercanggah dan dilarang di dalam agama Islam.

~Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang menyampaikan ucapan untuk majlis pembukaan~

Menurut YB Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Pas "Berlakunya perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam, kerana pelakunya tidak memahami ajaran Islam." Beliau menambah, "Islam menuntut umatnya tafaqquh dan faham mengenai ajaran Islam agar tidak berlaku tindakan yang salah."
Beliau berkata sedemikian ketika berucap merasmikan Majlis Taklimat Isu-Isu Semasa yang dianjurkan Lajnah Penerangan Pas Pusat dengan kerjasama Lajnah Penerangan Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya, Shah Alam di sini hari ini.

Isu membakar gereja, merosak kenderaan dan tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab adalah timbul dari sentimen yang tidak terkawal diakibatkan antaranya oleh mainan media, bahkan kenyataan-kenyataan bercanggah kepimpinan tentang penggunaan kalimah "Allah" berhubung dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Mingguan Catholic Herald menggunakan kalimah "Allah" 31 Disember lalu yang kini ditangguhkan keputusan itu melalui Mahkamah Rayuan.

Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Islam menghormati kesucian gereja sebagaimana dilakukan oleh Khalifah Umar Ibn al-Khattab semasa melawat sebuah gereja di Baitul Maqdis.

Tambah Tuan Guru, Islam melindungi orang bukan Islam. Beliau menyebut tentang Hadith Rasulullah s.a.w bermaksud:

"Siapa yang menyakiti orang bukan Islam (Dhimmi) di Negara Islam, sesungguhnya dia menyakiti daku dan aku adalah musuhnya di hari kiamat."

Andainya berlaku peperangan bagi mempertahankan Islam, Islam melarang tenteranya dari melakukan pembunuhan atau penganiayaan terhadap perempuan, orang tua, kanak-kanak, rahib di gereja, bahkan jangan merosakkan tanaman dan jangan membunuh binatang.

Beliau membaca ayat Quran yang kemudian diberi maksudnya:

"Hendaklah kamu berperang pada jalan Allah terhadap mereka yang memerangi kamu dan jangan kamu bersifat melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada mereka yang melampau (al-Baqarah: 190).

Berhubung dengan penggunaan kalimah Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi. Bagaimanapun penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di dalam Negara ini.


Mesej Islam adalah kesejahteraan dan keselamatan serta rahmat kepada seluruh alam. Ini adalah tercermin dari maksud kalimah Islam itu sendiri dan banyak dari ayat-ayat Quran dan Hadith. Sesungguhnya, keamanan suatu nikmat yang tidak ternilai harganya. Peliharalah secara bersama.

No comments:

Post a Comment