January 29, 2010

`Tadarus Keliling` Dari Surau Ke Surau Di BBB

`Tadarus Keliling` Dari Surau Ke Surau Di BBB

Bandar Baru Bangi, 13 Safar – 29 Januari (Jumaat):

Satu keunikan Bandar Baru Bangi yang dikenali sebagai `Bangi Bandar Ilmu` yang mendukung niali-nilai Islam ialah kegiatan Tadarus Qur`an dari surau ke surau bersifat bulanan. Menurut Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang juga merupakan Ahli MPKj, ``Program tadarus keliling bulanan ini adalah merupakan idea bersama Persatuan Penduduk BBB dengan Persatuan Surau-Surau yang diketuai oleh Tuan Haji Ghazali Abbas yang juga pemimpin Surau An-Nur yang merupakan surau yang paling aktif dengan berbagai kegiatan dianjurkan oleh surau tersebut setiap minggu, bahkan setiap hari.``

Bila ditanya kepada Tuan Haji Ghazali, sejak bila aktiviti tadarus dimulakan, menurut beliau. ``Sejak lima tahun yang lalu.``.
Bila ditanya kepada Dr. Tajul Ariffin, ``Bagaimana idea ini tercetus ?``
``Kita mempunyai Persatuan Surau-Surau di Bandar Baru Bangi yang mempunyai 24 surau. Pengerusi dan Setiausaha sering bermesyuarat membincangkan aktiviti dan kepentingan surau dan Persatuan Surau-surau yang berindukkan Surau An-Nur sering mengadakan mesyuarat dengan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang juga merupakan induk bagi persatuan-persatuan penduduk taman-taman. Dari situ timbul cadangan mengadakan tadarus dari surau-surau.``
``Apakah istimewanya Tadarus Dari Surau ke Surau itu ?`` Tanya ADUN kepada Haji Ghazali..
``Ialah membaca al-Qur`an itu baik dan dituntut, tapi di samping itu memupuk silaturrahim antara pimpinan surau-surau dan penduduk setempat di mana tadarus itu diadakan,`` Kata Haji Ghazali, ``Tanpa tadarus keliling kita tidak biasa dan mungkin tidak ziarah ke surau-surau lain. Macam hari ini saya pertama kali datang ke surau ini.``

Pada petang ini – Jumaat 29 Muharram 1431 bersamaan 15 Januari 2010 adalah tadarus mutakhir, iaitu diadakan di Surau Bangi Perdana Bandar Baru Bangi. Hadir bagi tadarus pada petang ini ADUN Bangi, Dr. Tajul Ariffin, Tuan Haji Ghazali, pengerusi-pengerusi surau-surau yang membawa bersama mereka jamaah surau masing-masing (sejumlah lima enam orang dari satu surau. Jika dibawa terlampau ramai mungkin tidak muat surau). Surau Bangi Perdana yang menjadi `Tuan Rumah` adalah dipengerusikan oleh Dr.Mohd Aderi Che Noh dan Imam utamanya ialah Tuan Haji Abdul Karim.
Bagaimana dengan perjalanan tadarus ?

Sebenarnya pada kebiasaannya keputusan untuk diadakan tadarus di sebuah surau pilihan dibuat keputusan pada tadarus di surau sebelumnya. Dari keputusan ini maklumat disebarkan melalui hebahan sembahyang Jumaat (Bagi surau yang dibenarkan mendirikan sembahyang Jumaat), melalui sembahyang jamaah di surau-surau, bahkan melalui hebahan surat tentang surau mana dipilih, tarikh dan masa. Kadangkala hebahan melalui poster dibuat.

Pada hari tadarus surau yang menjadi tuan rumah bersedia, termasuk minuman (biasanya air mineral bagi menyejukkan tekak mereka yang bertadarus) dan nasi sebagai jamuan selepas tadarus. Biasanya nasi kotak polistrin.

Petang tadarus pihak Surau an-Nur menghantar juz`-juz` Qur`an yang berasingan bagi setiap juz` (nipis), biasanya melebihi 5 salinan bagi setiap juz`.
Acara bertadarus bermula selepas sembahyang maghrib, biasanya dimulai dengan ucapan Pengerusi Surau mengalu-ngalukan hadirin ke surau, dikuti dengan ucapan oleh YDP Persatuan Penduduk. Bagi kali ini kebetulan ADUN hadir diminta ADUN menyampaikan sepatah dua kata. ADUN memuji kegiatan tadarus dan berharap kecintaan kita terhadap Qur`an lebih mendalam. Mungkin sekali sekala dapat diadakan konvensyen mengenai al-Qur`an dan pameran keilmuan yang berhubung dengan al-Qur`an. Kemudian diikuti dengan taklimat kaedah bertadarus, biasanya disampaikan oleh Tuan Haji Ghazali.

Kumpulan tadarus mestilah sebanyak 30 kumpulan, termasuk kumpulan perempuan di sebelah tabir (30 juz` mesti dikhatamkan). Sekurang-kurang bagi setiap kumpulan dua orang (bergilir membaca, biasanya satu halaman, seorang menyemak bergilir gilir hingga tamat satu juz`). Jika hadirin ramai yang datang katakana sampai melebihi 150 orang, bagi satu kumpulan lima orang atau lebih. Tadarus biasanya dimulai oleh Tuan Imam Surau dengan memulai dengan ummul kitab. Pembacaan biasanya dari selepas maghrib berterusan hingga jam 9.00 atau jika ada yang lambat tamat mungkin sampai jam 9.30. Bila sudah tamat 30 juz` dari 30 kumpulan, maka acara khatam Qur`an dijalankan oleh Imam dengan membaca ayat lazim dari Surah al-Dhuha hingga Surah al-Nas beramai-ramai dan kemudian diikuti dengan doa khatam Qur`an. Berikutnya salat Isya didirikan diikuti dengan jamuan kecil. Dalam masa jamuan ini interaksi hadirin berlaku. Kegiatan ini memberi manfaat yang mungkin ada orang yang tidak bertadarus di rumah secara banyak dan bersendirian, maka sekurang-kurangnya sebulan sekali bertadarus dengan agak banyak secara beramai-ramai, di samping menerima teguran dari segi bacaan dari kawan-kawan yang sama bertadarus. Kepentingan dari segi kemasyarakatan amat jelas, kerana dengan melalui tadarus dapat berkenalan dan merapatkan hubungan antara satu sama lain. Pada kali ini YDP Dr. Tajul Ariffin Noordin ditanya apakah kemungkinan pembaikan boleh dilakukan terhadap tadarus yang telah berjalan sejak lima tahun itu ?
Beliau menjawab kemungkinan pada masa hadapan kita adakan ceramah dari pakar bidang Islam atau al-Qur`an mengiringi tadarus, di samping mengadakan konvensyen dan pameran secara lebih besar sebagaimana dikatakan oleh YB, bagi meluaskan lagi kefahaman jamaah yang menghadiri tadarus tentang Islam dan Qur`an. Walau apapun `Tadarus Keliling` Dari Surau Ke Surau menjadi budaya ilmu dan Islam yang identik dengan Bandar Baru Bangi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment