Dua dari penceramah iemputan sempena Sambutan Jubli Perak Pas Serdang menjangkakan pilihanraya kali ke 13 akan berlaku pada pertengahan 2011. Demikian pendapat diutarakan oleh YB Iskandar, Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor dan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan yang juga ADUN Cempaka. Pendapat yang sama juga disampaikan oleh YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang. Tempoh tersebut sudah melepasi tempoh minimum bagi mengadakan pilihanraya (3 tahun). Sebelum masa tersebut dijangka kemelut yang berlaku di dalam komponen BN seperti perbalahan terutama di dalam MCA dan PPP dapat diatasi dan ekonomi dapat dipulihkan. Sebab itu kata YB Iskandar persiapan menghadapi pilihanraya hendaklah dilakukan dari sekarang. Menurutnya kerja-kerja parti dan khidmat masyarakat selepas bubarnya Parlimen merupakan 10% sahaja dari kegiatan yang dapat dilakukan, manakala 90% lagi ialah kerja-kerja berterusan yang dilakukan sejak dari pengumuman keputusan pilihanraya. Beliau mengingatkan Pakatan Rakyat jangan jadi seperti BN, beberapa hari sebelum mengundi barulah jalan-jalan diturapkan ! Cara sedemikian sudah terlewat dan rakyat tahu menilai.
YB Iskandar melahirkan rasa kekecewaan, selepas kemenangan memperlihatkan semangat pendukung-pendukung parti menurun. Kalau dulu mereka bekerja bertungkus lumus, berkorban tenaga, masa dan harta benda, semangat itu kelihatan luntur. Pengaruh dan perkiraan material menjadi perhitungan. Dulu ceramah dan penerangan, walaupun jauh dihadiri berpuluh ribu orang pendengar, walaupun tempat tidak selesa, kini setelah kita mendapat sedikit kuasa dan mempunyai keselisaan, malangnya kita mulai miskin dari kemahuan dan berkurang dari jihad dan perjuangan. Majlis-majlis ceramah yang diadakan di tempat yang lebih selesa kurang dari kehadiran. Beliau memberi amaran pendukung Pas dan PR jangan merasa begitu selesa yang mengakibatkan kelalaian. Insaf dan sedarlah, perjuangan masih panjang. Kita masih menghadapi sekatan. Kita perlu memulihkan semangat dan insaf. Jika dengan sedikit kurniaan kita lalai, Allah akan menarik nikmat yang diberi. Kita perlu istiqamah. Untuk membuat perubahan kita perlu kepada kekuasaan Negara. Perjalanan ke arah itu perlukan jihad dan pengorbanan.
Saudari Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang menekankan, bagi menambah kekuatan parti dan PR, kita perlu meningkatkan usaha mendaftarkan pengundi. Menurutnya sebanyak 4.3 juta remaja yang masih belum mendaftar menjadi pengundi. Daripada mereka itu seramai 787,000 adalah di Selangor. Pengundi muda adalah penyokong kuat PR, sebab itu usaha meningkatkan bilangan mereka mendaftar menjadi pengundi hendaklah ditingkatkan. YB Teo berkeyakinan PR mampu mengambilalih pemerintahan Negara. Banyak isu-isu yang memihak kepada PR seperti perpecahan serius yang berlaku di dalam parti-parti komponan di dalam BN yang melemahkan BN itu sendiri, kelemahan ekonomi Negara yang menyebabkan banyak peruntukan terpaksa dipotong termasuk di dalam bidang pendidikan. Banyak pula perkara-perkara yang tidak dapat diatasi pihak pemerintahan termasuk isu keselamatan yang menyebabkan rakyat tidak tenteram dan resah gelisah kerana kecurian, rompakan dan ragut menjadi-jadi, masalah sosial terutama di kalangan muda-mudi semakin meningkat, bayaran tol yang membebankan yang melibatkan 10 lebuhraya. Bayaran ini mungkin diwarisi sehingga ke anak cucu, masalah PKFZ yang melibatkan kerugian sebanyak RM12.5 bilion, berlakunya rasuah dalam berbagai bidang yang melibatkan kerugian RM10 bilion setahun, kekuasaan negeri yang tidak dihormati dan sekatan-sekatan terhadap negeri-negeri yang dikuasai PR dan berbagai lagi.
Saudara Idham Lim mahukan pemerintahan berdasarkan Islam diperkukuhkan dan Kelantan dapat dijadikan model dan maukan kemurnian Islam disampaikan kepada semua pihak, terutama yang bukan Islam. Menurut beliau UMNO-BN sengaja memomok-momokkan Islam di kalangan orang Cina, mereka menakut-nakutkan orang Cina jika Islam berkuasa, pada hal jika dilihat kepada negeri Kelantan semua pihak, termasuk yang bukan Islam hidup di dalam keadaan aman. Menurutnya Kelantan mendirikan masjid menurut reka bentuk budaya Cina. Beliau banyak menceritakan episode perampasan kuasa Kerajaan Perak oleh BN yang beliau sifatkan amat tidak demokratik dan bercanggah dengan kemahuan rakyat. Beliau percaya rakyat akan mengembalikan kekuasaan rakyat kepada PR sebagaimana Kerajaan Pusat akan dikuasai PR pada pilihanraya ke 13 yang dijangkan berlaku pada pertengahan 2011 nanti.
No comments:
Post a Comment