ADUN Bangi jam 9.30 pagi mengiringi konvoi Pasukan Pendaki Gunung Nuang ke Pondok Pengawal di kaki gunung tersebut di Hulu Langat dan melepaskan mereka mendaki gunung tertinggi di Selangor itu jam 11.00 pagi. Ekspedisi pendakian dianjurkan oleh Unit Amal Serdang di bawah pimpinan Saudara Anuar dengan Pengarahnya Saudara Sabri dan Ketua Pemandu ialah Saudara Khairil.
~Ketua Pemandu, Saudara Khairil bersalaman sebelum memulakan ekspedisi~Kelihatan Saudara Anuar, Ketua Unit Amal PAS Serdang (Berbaju merah, Unit Amal di belakang ADUN)
Iklan penyertaan dilakukan sejak sebulan lepas dan penyertaan amat menggalakkan. Seramai 90 orang menyertai ekspedisi pendakian, iaitu 72 peserta, 12 AJK dan 6 orang pemandu. Peserta kebanyakan dari DUN Bangi, antara mereka dari UKM dan UPM. Terdapat 5 orang peserta muda berumur 15 tahun dan tertua berumur 54 tahun. Menurut Saudara Anuar selaku Ketua dari Unit Amal Serdang, "Expedisi selama dua hari bagi mendaki gunung setinggi 1,498 meter itu. Dari Po Pengawal mereka mendaki melalui empat tahap, iaitu melalui Kem Lolo, Kem Pacat, Kem Pengasih dan Kem Puncak. Dari Post Pengawal ke Kem Lolo dijangka memakan masa selama dua jam. Pada jam 3.00 pagi malam nanti mereka dijangka berada di Kem Pengasih dan bersembahyang tahajjud dan tazkirah di situ. Kemudian bertolak dari situ dan dijangka bersembahyang subuh di Kem Puncak. Di sini mereka membuat kajian dan amali. Pada tengahari keesokan mereka dijangka mulai menuruni gunung kembali ke bawah.
Menurut Saudara Sabri Pengarah Expedisi Pendakian, untuk mendaki perlu mendapat keizinan dan perlu mendaftar dengan Ranger di bahagian Post Pengawal bagi tujuan keselamatan. Peserta dikehendaki mematuhi peraturan dan berdisiplin tinggi, terutama di dalam hutan belantara. Mereka perlu memahami cara hidup dalam perjalanan di hutan misalnya bagaimana menggunakan air yang sedikit bagi mengambil wuduk, catuan makanan yang tidak dibawa secara berlebihan kerana berat dan beban, termasuk beban peralatan bagi perjalanan, cara hidup berpasukan dan bergotong royong seperti menyediakan masakan dan makanan.
Saudara Khairil selaku Pemandu pula menyatakan sebelum expedisi pendakian hari ini, pendakian awal peninjauan telah dibuat bersama pasaukan pemandu yang berjumlah enam orang itu bagi menandakan tempat. Contoh pada puncak gunung hanya ada dua tempat yang setiap satunya hanya dapat memuatkan seramai 100 orang. Menurutnya, "Kita telah menandakan dengan reben satu daripada dua tempat itu," katanya.
Menurut Saudara Khairil, Gunung Nuang boleh didaki dari tiga post berlainan, iaitu dari Hulu Langat, Gombak dan Janda Baik. Kita memilih tempat pendakian yang paling dekat, iaitu Hulu Langat. ADUN bertanya,
Mengapa tidak turun ke Post lain dari permulaan mendaki ?
"Terpaksa diambil dengan kenderaan lain ke sana, di Kem Hulu Langat kita bawa kenderaan dan ditinggal di bawah pengawasan Pengawal. Mungkin pada kali lain boleh kita aturkan" katanya.
Bila ditanya ada kemungkinan sesat di pendakian ?
Menurutnya "Biasa", sebab itu kita mengatur dengan membahagikan pendaki kepada 5 kumpulan, ketua kumpulan yang dilantik bertanggungjawab perlu mengawasi pendaki-pendaki di dalam kumpulannya. Mereka dikehendaki mengikuti trek-trek yang sedia ada. Pendaki-pendaki juga diminta mengawasi mulut dan tidak celupar. Sebaiknya berzikir kepada Allah dan mendoakan keselamatan dari Allah dan melindungi dari mara bahaya.
Sebelum ADUN dijemput menyampaikan ucapan pesanan, Saudara Anwar mejelaskan, bahawa projek pendakian ini adalah projek printis ke arah pendakian yang lebih mencabar. Pendakian ini katanya adalah merupakan latihan kepada projek pendakian masa depan. "Kita mungkin akan mengadakan pendakian ke Gunung Tahan atau Gunung Kinabalu."Tambahnya, "Melalui Unit Amal kita mau membentuk jamaah pemuda yang tahan lasak, berdisiplin dan patuh kepada Allah" Menurutnya "Dari kelasakan dan latihan dapat diaplikasi di dalam khidmat masyarakat seperti kebakaran, banjir, tanah runtuh, gempa dan bencana-bencana alam yang lain."
Menurut Saudara Anuar, "Kemungkinan khidmat masyarakat bukan saja bersifat tempatan dan dalam negeri, tetapi kemungkinan ke luar Negara, sebagaimana Unit Amal pernah menghantarkan pasukannya ke Aceh, Selatan Filipina, Iran dan sebagainya."
ADUN Bangi yang sepatutnya memberi amanat dan melepaskan Pasukan Pendaki dari kawasan Masjid Kajang, tetapi membuat keputusan untuk ikut sama ke Post di kaki gunung berucap di Post Kawalan di kaki Gunung Nuang setelah peserta lengkap dengan peralatan masing-masing.
ADUN mengucap syukur kepada Allah Projek Pendakian yang telah diatur sejak sebulan lepas berjaya dilaksanakan. Mengembara termasuk mendaki bagi memahami ciptaan Allah memang disuruh Allah.
Antara firman Allah bermaksud:
"Katakanlah (Wahai Muhammad) Berjalanlah kamu di muka bumi dan lihatlah bagaimana Allah memulakan ciptaannya" (al-Ankabut: 20).
Firmannya lagi bermaksud:
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan bertukarnya malam dan siang menjadi tanda-tanda bukti bagi mereka yang berfikiran" (Ali Imran: 190).
Dan firmanNya lagi bermaksud:
"Apakah mereka itu tidak melihat bagaimana unta dijadikan. Bagaimana langit diangkatkan. Bagaimana gunung ganang ditegakkan. Dan bagaimana bumi dihamparkan. Maka berilah peringatan sesungguhnya engkau adalah pengingat" (al-Ghashiyah: 17-21).
Sebab itu ADUN mengingatkan agar pendaki-pendaki dapat mempelajari ciptaan Allah dan mengambil iktibar dari ciptaan. ADUN merasa sukacita di dalam pendakian akan bergema azan di pendakian dan puncak gunung serta disertai tazkirah terutama mengiringi solat-solat.
ADUN mengharapkan juga pendakian merupakan latihan bagi memantapkan fizikal agar menjadi kuat sasa, mental menjadi cekal waja dan rohani menjadi bersih suci. Melalui latihan dapat menyediakan diri dan pasukan bagi menyiapkan diri menghadapi ujian dan cabaran di tengah masyarakat. ADUN mendoakan pasukan pendaki dipelihara Allah dan diucapkan selamat mendaki dan selamat menuruni kembali. Insya Allah.
Pasukan dilepaskan selepas bacaan doa dan ADUN bersalam dengan satu persatu peserta yang bergerak melintasi pintu gerbang ke pendakian.
Sekian.
No comments:
Post a Comment