January 20, 2010

Denggi Menyerang Seri Ayu

Bandar Baru Bangi, 03 Safar = 19 Januari (Selasa):



Jam 10.00 ADUN menerima telefon dari Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat memaklumkan kes demam denggi berlaku di Pangsapuri Seri Ayu, iaitu blok-.blok asrama tempat tinggal pekerja-pekerja kilang Bandar Baru Bangi, juga menjadi asrama kepada pelajar Politeknik Mara. Lima belas minit kemudian menerima pula paggilan daripada Pemberita Nanyang, Cik Lim, bertanyakan lokasi Kilang Carrier yang dicarinya. Beliau menerima maklumat berlakunya kes denggi di kalangan pekerja kilang yang mengeluarkan air-cond itu. ADUN menceritakan berita yang baru ADUN terima dari Pejabat Kesihatan Daerah. Justeru, beliau membuat keputusan untuk datang ke Pejabat ADUN.


Keluar bertiga, ADUN bersama Cik Lim dan pengiring En. Shahrum pergi melawat asrama pekerja di Pangsapuri Seksyen 4 Bandar Baru Bangi. Kediaman berpagar ini mempunyai 7 blok yang setiap blok menampung penghuni seramai 600 orang. Pelajar Mara seramai 800 orang tinggal di blok 4 dan 5. Bangunan-bangunan yang lain dihuni pekerja-pekerja dari Kilang Sony, Kenseisei, Hitachi, Carrier, Occident dan sebagainya.


Sejumlah 29 orang menurut pengawal mengalami demam yang dijangka denggi. Demam ini menurutnya berlaku sejak dua minggu lepas. Blok-blok yang terlibat dengan denggi ialah 1, 2, 3, 5 dan 7. Kami meminta izin masuk ke dalam kawasan blok-blok. Tidak kelihatan penghuni di luar kerana mereka keluar bekerja. Beberapa orang pelajar Mara kelihatan baru datang berurusan mendaftar masuk asrama. Kawasan dalam pagar relatifnya bersih, tetapi di luar pagar di tepi hutan sampah dibuang berlonggak di luar, tiada pintu untuk pekerja pemungut sampah untuk mengambilnya. Nyamuk memang banyak. Bila pintu kenderaan kami dibuka, nyamuk-nyamuk menyerbu masuk ke dalam. Kami berusaha mematikannya bimbang kalau-kalau nyamuk berkenaan membawa virus denggi. Ada kemungkinan penyakit diakibatkan oleh longkng-longkang kurang bersih dan sistem pembentungan yang dimaklumkan tidak begitu baik dan berbau. Kemungkinan lain ialah dari air bertakung di bilik-bilik air yang tidak diberi perhatian dan juga dari takungan-takungan saluran di bahagian atap pangsapuri.




Berdekatan dengan pintu pengawal ada sejumlah warung yang tidak teratur dan menjadi sumber makanan tambahan penghuni membeli makanan. Tahap kebersihan boleh dipersoalkan. Bila ditanya seorang dua peniaga warung, mereka mendakwa bertahun mereka berniaga tak ada masalah. Mereka mendakwa, denggi mungkin dibawa dari luar, kerana pekerja-pekerja ramai dari mereka pekerja Indonesia keluar masuk, terutama pada hari-hari minggu. Tak pasti di mana Pengurus asrama iaitu, MAISA Enterprise, tertera nama Abbas Saliman Bin Dato' Adzam pada papan iklan. Tertera juga kata-kata "Pangsapura Bersih Rakyat Sihat" pada papan kenyataan. Dari kawasan pangsapuri. Kami meninjau kawasan pasar malam Rabu dan Jumaat yang berdekatan dengan pangsapuri yang kami jangka kemungkinan dari sini boleh jadi juga membawa penyakit. Walau bagaimanapun kawasan di sini juga relatifnya adalah bersih. Mungkin pembersihan dilakukan selepas berlakunya denggi. Pada masa itu juga pekerja-pekerja sedang membersih sampah-sampah yang dibuang di tepi hutan berdekatan dengan pasar malam yang hutan ini juga bersambung ke tepi kawasan pangsapuri.



Dari Seksyen 4, kami pergi ke kawasan kilang-kilang di sebelah kawasan Seksyen 16. Berpuluh kilang di tempatkan di kawasan berkenaan bersempadankan Teras Jernang dan Lebuhraya Utara-Selatan Plus. Kami melawat Kilang Carrier. Di pintu masuk ke kilang ini kelihatan pengunjung-pengunjung. Pengawal dan pekerja memakai penutup hidung-mulut (mask). Kami memperkenalkan diri dan diberi kad gantung dan mask untuk dipakai dan diminta ke ruang tamu di lobi. Kami diuji dengan alat pembias untuk memastikan taraf kesihatan, takut kalau-kalau membawa penyakit. Kawasan sekeliling bersih. Kami dimaklumkan oleh pegawai, memang ada berlaku kes demam melibatkan 11 orang pekerja. Sebelum ini dimaklumkan pernah kilang ditutup sehari kerana kuarantin dan pembersihan. Pegawai dari Jabatan Kesihatan Hulu Langat juga membuat lawatan ke sini. Walau bagaimanapun, menurut pegawai di sini, keadaan adalah terkawal.



Selepas melawat ke Kilang Carrier yang mengeluarkan air-cond, kami bergerak melawat Kilang Hitachi yang bersebelahan jalan. Setelah memaklumkan kepada pengawal, kami diterima baik dan dibawa menemui En. Rivan General Manager Mengenai Hal Kebajikan Awam. Menurut En. Rivan ada enam kes yang disyaki denggi. Tetapi dalam kawalan. Menurut Encik Rivan, pihak Kilang sendiri mengadakan 'forging' dari semasa ke semasa dan terakhir sekali pada hari Ahad lepas. Pihak kilang menurutnya akan membuat gotong royong pembersihan pada 6 Mac 2010 yang akan bekerjasama dengan MPKj. ADUN berminat untuk bekerjasama. Terima kasih kepada Rivan dan yang lain-lain yang telah memberi kerjasama yang baik.

Sekian.

No comments:

Post a Comment