January 31, 2010

Tahniah Dan Mohon Maaf

Impian Country Resort, Hulu Langat, 14 Safar = 30 Januari (Sabtu):

Hari ini ADUN Bangi mempunyai program yang ADUN berhasrat dan berjanji untuk menghadirinya, tetapi oleh kerana program berlanjutan menyebabkan ADUN membuat keputusan tidak menghadirinya dan memohon maaf.


Mulai jam 8.30 pagi ADUN berada di Impian Country Resort di atas bagi menyambut kehadiran YB Dato' Dr. Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Exco Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam ke Program Retreat PAS Serdang. Inilah julung-julung kali Dato' Dr. Hassan menghadiri majlis rasmi selepas beliau diberi 'Peringatan Amaran' oleh Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat berhubung dengan kes yang dihadapinya. Dr. Hassan kelihatan bersemangat dan dalam Ucapan Perasmiannya beliau menggesa PAS Serdang secara khusus dan PAS Negeri Selangor yang disifatkannya 'LEKA' agar bangkit menyusun strategi, mencergas dan memperkasakan PAS serta memperbaiki prestasi dalam pilihanraya akan datang. Majlis Perasmian yang nampaknya menarik minat YB Dato' Dr. Hassan ini berlanjutan sehingga jam 12.00 tengahari.

ADUN Bangi dihubungi oleh pihak Sekolah Agama Bandar Seri Putera bertanyakan program Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Penubuhan PIBG Sekolah yang baru dibuka. ADUN memohon maaf, oleh kerana kelewatan masa dan jika berkejar ke Sekolah, tidak kesempatan. Walau bagaimana ADUN mengucapkan tahniah kepada Pengerusi PIBG dan jawatankuasa yang baru dilantik. Diharap dengan lantikan ini dapat membantu pihak sekolah memajukan Sekolah Agama Bandar Seri Putera.

Bagi program-program yang lain ADUN telah memberitahu, kemungkinan hadir jika berkesempatan, tetapi jangan terlampau mengharapkan. Maaf kepada En. Azlan Ketua Kampung Kampung Bahagia, Pekan Bangi, kerana ADUN tidak dapat hadir ke upacara menyampaikan geran pemilikan tanah yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah, Pejabat Daerah Hulu Langat. Tahniah kepada Kelompok pemohon yang berjaya mendapat lot-lot tanah di Kampung Bahagia bagi mereka mendirikan rumah masing-masing. Peristiwa ini ADUN menganggap amat penting, kerana ini adalah julung kali pada masa ADUN menjadi Wakil Rakyat dan ADUN terlibat di dalam usaha menyokong permohonan kelompok penduduk di sini dan diluluskan permohonan oleh Karajaan Pakatan Rakyat bagi penduduk lot-lot tanah bagi kawasan rumah di Kampung Bahagia ini. Majlis ini ADUN difahamkan disempurnakan oleh Ketua Timbalan-Timbalan Pegawai Daerah, Hulu Langat Tahniah.

Program yang juga ADUN tak dapat menghadiri, tetapi penting, ialah tidak dapat menghadiri bagi menyambut kehadiran YB Dr. Halimah Binti Ali Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan yang juga ADUN Selat Kelang datang melawat ke Sekolah Agama Lepai, Bandar Baru Bangi. Pihak sekolah amat mengharap pertolongan dan bantuan bagi membina bangunan bertingkat sekolah tersebut bagi mengisi keperluan dan perkembangan sekolah. Kita berharap ada sesuatu tindakan yang diambil oleh YB Dr. Halimah dan pihak sekolah serta AJK pentadbirnya yang diketuai oleh Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi juga Ahli MPKj mendapat apa yang diharapkan. Insya Allah. Pada hari ini ADUN seharian berada di Impian Country Resort dari pagi ke malam kerana memenuhi agenda yang ADUN terlibat dan pulang jam 12.00 malam dan esok (hari ini) akan ke sana lagi selepas menghadiri program di Kajang Utama pagi ini.

Sekian.

1 comment:

  1. Mesyuarat Agung PIBG Kali Pertama SRABSP
    Oleh Khai@BSP


    Bandar Seri Putra 30 Jan. - Sekolah Rendah Agama Bandar Seri Putra (SRABSP) buat julung kali telah mengadakan mesyuarat Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) buat kali pertamanya. Majlis tersebut telah dihadiri oleh lebih daripada dua ratus orang ibu dan bapa. Majlis yang sepatutnya dirasmikan of ADUN Bangi YB Dr. Hj. Shafie Abu Bakar telah dimulakan sedikit lewat dari yang dirancangkan.

    Mesyuarat yang bermula pada pukul 9.30 pagi tadi telah dimulakan dengan bacaan doa dan taklimat sekolah kepada ibubapa. Semasa taklimat tersebut, Guru Besar Ustaz Khairul Amri Jamian (Ustaz Khairul) telah memaklumkan bahawa sekolah walaupun secara fizikalnya dibawah daerah Hulu Langat, bagaimanapun dari segi pentadbiran pendidikan diletakkan dibawan daerah Sepang. Ini menurutnya untuk memudahkan urusan sekolah kerana daerah Hulu Langat sendiri mempunyai terlalu banyak sekolah bawah pentadbirannya. Menurutnya lagi jumlah semasa murid SRABSP adalah seramai 1085 orang dengan 34 orang guru untuk kedua-dua sesi pagi dan petang.


    Gambar: Guru Besar SRABSP Ustaz Khairul Amri

    Merurutnya lagi, pada hari pertama sekolah, guru tetap sekolah tidak dapat hadir dalam masanya menyebabkan beberapa pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) (jurusan pendidikan) telah dipanggil untuk menggantikan guru-guru tersebut. Bagaimanapun, masalah timbul apabila ibubapa yang cuba mendapatkan maklumat tentang sekolah gagal dijawab oleh guru-guru ganti dari KUIS ini. Masalah ini selesai dengan kehadiran guru-guru tetap sekolah.

    Menyentuh mengenai kewangan sekolah, Ustaz Khairul dengan tegas menyatakan itu adalah antara masalah utama sekolah agama secara amnya. Ini kerana tiada perutukan khas daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Semua kewangan sekolah adalah diperolehi daripada kutipan yuran pelajar. Maka sekolah amat berbesar hati jika ada sebarang sumbangan tambahan dapat dibuat kepada sekolah secara berkala agar pihak pengurusan dapat memberikan apa yang terbaik buat anak-anak SRABSP.

    Pemilihan jawatankuasa agak perlahan kerana ibubapa tidak mengenali satu sama lain yang menyebabkan mesnyauat ditangguhkan untuk sesi jamuan ringan. Apabila disambung kembali, 10 ibubapa telah dipilih untuk memegang jawatan dalam PIBG yang diketuai oleh En. Lokman Bin Md Sarip.

    Berikut senarai jawatankuasa PIBG SRABSP Sesi 2010/2011:


    Gambar: YDP PIBG SRABSP En Loqman Md Sarip

    Penasihat: Ustaz Khairul Amri Bin Jamian

    YDP: En Lokman Bin Md Sarip

    Naib YDP: En Iqbal Bin Ismail

    Setiausaha: En Mohd Hafeez Bin Aziz

    Bendahari: Cik Noraliza Binti Mohd Zomin

    AJK:
    1. En. Safri Bin Said
    2. En. Azizuddin Bin Zailan
    3. En. Mohd Najib Bin Md Sariff
    4. En. Badrul Shah
    5. Cik Norziah Binti Othman
    6. Cik Mariah Binti Mohd Saleh
    7. Cik Salmah Binti Pa'wan
    8. Cik Zamnura Binti Mat Desar

    Sesi terakhir adalah pembentangan usul. SRABSP telah membuat kompilasi dan mengkategorikan usul dan cadangan ibubapa yang dibuat secara bertulis sebelum mesyuarat. Kebanyakannya telah dipersetujui untuk dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa antaranya pengurusan trafik dihadapan sekolah, masalah kebersihan, melewatkan masa permulaan sekolah, kolaborasi dengan PIBG SKBSP dan lain-lain lagi.



    Selain itu, yuran PIBG juga hebat diperbahaskan dan akhirnya ketetapan telah diperolehi dengan yuran tahunan sebanyak RM50 setahun untuk setiap anak bagaimanapun untuk yang mempunyai lebih daripada 2 orang anak, ianya ditetapkan sebanyak RM100 (2 x RM50).

    Mesyuarat ditangguhkan oleh YDP beberapa minit sebelum pukul 1.00 tengahari.

    ReplyDelete