January 11, 2010

Kecurian Menjadi-Jadi Di Kawasan 1/3, Penduduk Tidak Puas Hati

Jalan 1/3 H, BBB, 25 Muharram = 11 Januari (Isnin):

Sejak dua bulan mutakhir sekurang-kurangnya 15 kes curi berlaku di kawasan 1/3 Bandar Baru Bangi yang tidak satu pun dapat diselesaikan. Kecurian dialami oleh pemilik-pemilik rumah di sini, iaitu Pn. Latifah, Prof. Dr. Ibrahim, Prof. Dr. Kasmiran, Puan Ruzaini, En. Sabil, Rumah En. Kasbun, Pn. Izam, En. Wan Abdul Rahman, Haji Abdul Aziz (Bilal Surau). En. Rusli, Rumah Prof. Dr. Abdul Rahim, En. Izhan dan En. Rashid Sebelum itu pernah berlaku kecurian di rumah saudara Talib, Cikgu Miskiah, Cikgu Mariam dan Kedai Kit Siong (Alamat bagi mereka semua dapat dirujuk).

~Rumah yang terlibat dengan kecurian~

Kecurian juga berlaku dirumah sewa ramai-ramai seperti rumah sewa pelajar di Jalan 1/3C dan hari ini di rumah sewa Pekerja Perempuan No 18, Jalan 1/3H yang merupakan klimeks dari pencurian yang berlaku pada pagi ini. Kecurian pagi ini berlaku lebih kurang jam 5.00 pagi. Lebih dari seorang yang memasuki rumah sewa yang didiami oleh 6 pekerja perempuan bujang, iaitu Munira, Fitriah, Halimatun, Alia, Shikin dan seorang lagi. Lima dari mereka bekerja di Putrajaya dan seorang di Kuala Lumpur.

~3 Ahli rumah daripada 6 orang yang dimasuki pencuri pagi ini~


Pada pagi ini sedang Bilal (Haji Aziz) azan dan ADUN berjalan kaki dari rumak No.11, Jln 1/3K menuju ke Surau al-Umm di Jalan 1/3G datang dua motosikal dari arah depan. ADUN cuba elak menjauhi, bimbang kalau-kalau orang jahat, tetapi sebelum sampai ke hadapn ADUN dua motosikal ini membelok ke kanan ke Jalan 1/3H. ADUN terus ke surau menunaikan sembahyang subuh dan mengikuti tazkirah selepasnya. Berikutnya sebagaimana biasa ADUN tidak pulang ke rumah sebaliknya terus ke Pejabat di No. 8 Jalan 1/4 yang berhadapan dengan rumah ADUN dan menjalankan kerja-kerja pejabat tanpa menyedari apa-apa yang berlaku.

~Fitriah yang kehilangan wang tunai RM 600~

Jam 8.45 pagi setelah kerani-kerani pejabat ADUN hadir ke Pejabat, ADUN menerima telefon dari isteri memaklumkan orang ramai berada di rumah no. 18 Jalan 1/3H kerana berlaku kecurian di rumah pekerja-pekerja perempuan. Pencuri dijangka dua orang memasuki rumah tersebut. Mereka bercakap sesama mereka di dalam bahasa yang tidak difahami penghuni rumah. Masa itu dijangka lebih kurang jam 5.00 pagi. Mereka mencuri antaranya wang tunai RM600 milik Fitriah yang berada pada tingkat atas, di samping hand set dan laptopnya. Kehadiran pencuri-pencuri ini disedari penghuni-penghuni dan mereka berteriak meminta tolong kepada jiran-jiran. Mereka datang menolong. Penghuni-penghuni ini bertindak segera menyelak dan mengunci pintu-pintu, agar pencuri-pencuri terkepung dan pihak polis dipanggil lebih kurang 6.00 pagi. Mereka datang dengan dua motosikal yang ADUN bertembung semasa ke Surau untuk sembahyang subuh tadi. Polis dari Balai Polis Bandar Baru Bangi ini dikenali dengan nama Encik Hafizun masuk ke dalam rumah dan kawannya.berada di luar rumah. Hafizun yang bersenjata api di bawa ke semua bahagian rumah untuk memastikan dapat menemui pencuri. Setelah tidak diketemui pencuri. Mereka juga bawa Hafizun ke stor bahagian bawah dan Hafizun menyepak bungkusan kain tebal, tidak secara sungguh-sungguh dan menganggap tidak ada apa-apa dan mereka pulang ke balai.

~Gumpalan kain tebal yang menjadi tempat persembunyian sementara pencuri yang terperangkap~

~Munirah yang ditolak oleh pencuri semasa hendak melarikan diri dari rumah mereka~

Manakala penghuni-penghuni berenam masih berawas dan bersikap berani dengan menjaga semua pintu bagi mempastikan jika pencuri masih ada di dalam, pasti akan terkepung. Antara mereka, iaitu munira yang merasa ragu dengan kedudukan kain tebal yang berbalut bulat, berlainan dengan kedudukan kain itu selama ini terhampar. Munira mau pastikan balutan itu, tiba-tiba pencuri keluar dari balutan itu dan segera menolak Munira dengan kuat dan Munirah terhempas ke pintu hingga rosak pintu! Pada masa itu kekecohan berlaku di dalam rumah bahagian bawah. Pencuri yang terkepung dengan nekad membengkokkan batang besi nako di dapur hingga bengkok dan meloloskan kepala dan badannya keluar. Pada masa pencuri yang kurus itu sedang meloloskan kepala dan badannya, jiran dari belakang menyedari dan datang untuk membantu, tetapi pencuri yang cuba dikejar melarikan diri melalui jalan belakang ke bahagian bawah. Kemungkinan pencuri-pencuri ini telah mencuri di tempat yang lain, sebelum masuk ke rumah penghuni-penghuni perempuan di sini, kerana ada barang yang ditinggalkan seperti kamera, laptop dan ikan sardine. Dari maklumat yang didapati, pada jam 3.00 pagi yang sama sebelum berlaku kecurian di rumah No. 18 Jln. 1/3H ini, sebuah rumah sewa pelajar-pelajar perempuan di Jalan 1/3B dimasuki pencuri yang kemungkinan dilakukan oleh pencuri-pencuri yang sama dan barang-barang itu kemungkinan dicuri dari sana.

Orang ramai datang ke rumah mangsa-mangsa untuk mengetahui apa yang terjadi dan mau membantu. Berikutnya beberapa kereta peronda polis datang dan pegawai-pegawai bersenjata mesen gun datang, ada yang masuk ke dalam rumah dan ada yang mengeliling rumah. Yang naik ke atas pula ada yang meminta tangga untuk dipanjat bagi melihat, kalau-kalau ada pencuri yang lain bersembunyi di bahagian bumbung atap, tetapi tidak menemui apa-apa.
Sementara itu ketika bersama orang ramai ADUN mendengar rungutan yang berpendapat kecurian oleh kerana gejala dadah yang berleluasa yang tidak diambil tindakan sewajarnya, ada yang mengatakan akibat dari kedatangan pendatang luar yang tidak terkawal dan Bandar Baru Bangi sendiri dibanjiri oleh orang luar. Mereka juga tidak puas hati dengan cara bekerja polis yang disifatkan oleh mereka sebagai sambil lewa, terutama bagi bahagian awal yang dihadiri oleh dua orang polis itu. Masing-masing menceritakan pengalaman mereka membuat laporan yang akhirnya tidak ke mana-mana dan tidak terselesai kes yang berlaku. Saudara Abdul Rashid, menceritakan pengalaman membuat laporan antara layan dan tak layan oleh pihak penerima aduan. Akhirnya tak ada apa penyelesaian. Yang lain berkata lebih baik tak buat laporan, menghabiskan masa dan tenaga. Sementara itu Munirah yang kehilangan duit, tetapi laptop dan handsetnya yang ditinggal pencuri di dapur, beliau sengaja tidak mau menyentuh dan mengalih barangan, kerana kebiasaannya dijadikan bahan bukti, tapi pihak Hafizun menyuruh mengambil dan yang lain-lain dibawa balik ke Balai Polis.

ADUN sendiri merasa tertekan dengan masalah yang tak berselesaian. ADUN turut meninjau di luar dan di dalam dan mengambil gambar-gambar pembuktian. Hingga jam 10.00 pagi jiran-jiran dan orang ramai bersurau memberat di dalam diri masing-masing dengan kebimbangan dan pertanyaan rumah mana dan siapa pula yang akan menjadi mangsa. Timbul berbagai-bagai pendapat untuk mengatasi kecurian seperti mengadakan pos kawalan, tetapi kawasan 1/3 terlampau terbuka dan boleh dimasuki dari berbagai-abagai penjuru, ada yang mencadangkan buat rondaan bergilir-gilir pada waktu malam, atau kalau tidak, perlu mengeluarkan bayaran bulanan untuk menggaji pengawal buat kawalan. Perkara-perkara ini perlu di bawa kepada perbincangan lanjut. Sementara itu tuan rumah sewa Dr. Ghazali melihat kerosakan dan memberi jaminan untuk membaiki kerosakan terutama besi nako dan pintu yang rosak, untuk menghilangkan ketakutan penghuni-penghuni. Adakah kejadian kecurian hari ini sebagaimana kecurian-kecurian yang lain, berlalu begitu saja, tanpa sebarang penyelesaian yang meyakinkan ? Kita harap pihak Polis mengambil tindakan yang efektif dan meyakinkan, agar orang ramai, khususnya penduduk di Jalan 1/3 tidak terus hilang keyakinan terhadap Polis.

Dr. Shafie Abu Bakar,
ADUN, Bangi.

No comments:

Post a Comment