October 31, 2010

Adun Bangi Sampaikan Peruntukan RM30,000 Kepada SRJK Tamil, West Country

West Country, 21 Zulkaedah = 29 Oktober (Jumaat):
Adun Bangi pada malam ini menyampaikan cek bernilai RM30,000 kepada Pengerusi PIBG SRJK Tamil Encik Murthy bertempat di SRJK Tamil West Country. Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi En. Sivakumar, AJK PIBG, Pemangku Guru Besar Cikgu Ganith, Ketua Dewan Himpunan Serdang saudara Ari Krishnan, Dr. Subranium, saudara Sam, saudara. Abu Bakar, Shahrum dan ibu bapa yang berjumlah 30 orang.
Peruntukan sedemikian telah disalurkan kepada Sekolah Tamil, Cina dan Sekolah Agama Rakyat sejak tahun lepas, tetapi bagi Sekolah-sekolah Tamil pada tahun lepas disalurkan melalui sebuah syarikat menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dari pihak Sekolah-Sekolah Tamil, oleh kerana peruntukan tidak sampai ke Sekolah dan digunakan bukan untuk kepentingan Sekolah Tamil, bahkan digunakan bagi kepentingan luar dari Sekolah Tamil Negeri Selangor. Akibat dari tidak puas hati ini membawa kepada satu pertemuan diadakan di kalangan pentadbir-pentadbir Sekolah Tamil dan Y.B. Dr. Xavier bertempat di Annex, Dewan Negeri Selangor. Perbalahan berlaku dan hampir mencetuskan insiden pertentangan fizikal, tetapi dapat ditenteramkan. Satu keputusan diambil, bahawa peruntukan hendaklah disalurkan terus kepada pihak Sekolah dan Peruntukan hendaklah dilakukan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Modal Insan yang pada malam itu turut hadir – Y.B. Dr. Halimah Ali bersama Y.B. Dr. Xavier Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin. Maka pada malam ini peruntukan secara terus disampaikan melalui Adun Bangi. Begitulah bagi Sekolah-sekolah yang lain melalui Adun di mana Sekolah itu berada. Peruntukan tahunan ini digunakan oleh Sekolah bagi kepentingan Sekolah.
SRJK Tamil West Country di Jalan Reko, Bangi ini mula berpindah ke West Country (Timur) sejak 1995 dari Sekolah Ladang (sejak 1950an). Sekolah ini mempunyai 430 murid (termasuk murid Tadika) dengan 30 orang guru. Sekolah terletak di atas kawasan seluas 6 ekar di tempat yang strategic. Sekolah ini tidak mendapat bantuan penuh dari Kerajaan Persekutuan, tetapi Bantuan Modal berdasarkan per-head. Sekolah ini dianggap antara salah sebuah Sekolah Tamil yang besar dan maju berbanding dengan seluruh SRJK Tamil di negeri Selangor yang berjumlah 97 buah.
Pengerusi PIBG Encik Murthy mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Adun Bangi di atas peruntukan yang diberi. Menurutnya peruntukan yang diberi akan diguna dengan sebaik-sebaiknya bagi kepentingan Sekolah dan murid-murid.

Adun Bangi yang diberi peluang bercakap sebelum menyerahkan cek menyatakan pihak Kerajaan Negeri Selangor mengambil berat tentang persekolahan Sekolah-sekolah di negeri Selangor, khususnya Sekolah-sekolah rakyat yang selama ini tidak diberi perhatian oleh kerajaan Pusat. Banyak lagi kemudahan pelajaran yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri seperti bantuan pelajar miskin, insentif kepada pelajar yang masuk universiti dan pinjaman pelajaran bagi pelajar yang masuk ke Universiti. Adun Bangi setiap tahun memberi insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang, disamping membantu pelajar-pelajar miskin. Adun Bangi berharap SRJK Tamil West Country menjadi antara Sekolah terbaik di Hulu Langat, atau sekurang-kurangnya terbaik di antara Sekolah-sekolah di Bangi.


Dalam hubungan dengan SRJK Tamil di West Country, ini bukanlah kali pertama bantuan kepada Sekolah dilakukan. Pada tahun 2009 Adun Bangi telah mendirikan sebuah Pondok Pengawal Sekolah – Sekolah ini mempunyai pengawal-pengawal 24 jam. Selama ini mereka tidak mempunyai tempat khusus. Pondok pengawal itu didirikan di sebelah kiri pintu masuk Sekolah tersebut.

Baru-baru ini Adun Bangi juga menyediakan peruntukan membaiki pintu-pintu kelas Sekolah yang telah rosak. Sebanyak 14 buah pintu digantikan dengan yang baharu. Selepas penyerahan cek dan minuman Adun Bangi dibawa melihat pintu-pintu kelas yang diganti baharu, disamping ditunjukkan beberapa tingkap bilik yang rosak dimakan anai-anai yang memerlukan peruntukan untuk membaikinya. Adun meminta ditulis surat menyatakan peruntukan yang diperlukan bagi membaiki tingkap-tingkap yang rosak itu.


Sekian.

October 30, 2010

Mendekati Masyarakat India Di West Country

BBB, 16 Zulkaedah = 24 Oktober (Ahad):

Komposisi kaum India di Dun Bangi adalah sebanyak 8%. Mereka adalah komuniti penting di Dun ini, sebab itu mereka tidak boleh diabaikan. Untuk lebih tepat dari segi pendekatan yang seharusnya diambil, maka wajar dibuat secara teliti dan kalau boleh secara ilmiah. Ini tidak bererti selama ini interaksi dengan mereka tidak dilakukan. Ianya sebenarnya adalah berterusan, tetapi didorong oleh keinginan membaiki pendekatan, maka pada hari ini sebuah bengkel diadakan. Bengkel bertajuk:

Bengkel Mesra Rakyat Masyarakat India

Bengkel ini dianjurkan oleh Lajnah Penerangan Kawasan dan Dun Bangi bertempat di Bilik Cempaka, Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi bermula dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang. Sesi ini adalah bersifat teori, manakala pada sebelah petangnya, iaitu dari jam 2.30 – 5.00 petang adalah sesi praktikal dalam mana peserta-peserta yang berjumlah 50 orang itu menziarah masyarakat India bertempat di West Country.

Pada sebelah pagi jam 9.00 pagi diadakan Majlis Perasmian. Majlis dihadiri saudara Azmi Ahmad Pengerusi Lajnah Penerangan, Saudara Mohd. Fitri Abdullah Penceramah, AJK Penerangan dan peserta-peserta.

Dalam ucapan perasmiannya Adun Bangi, mengucapkan tahniah kepada Lajnah Penerangan yang berjaya mengadakan bengkel yang penting ini. Masyarakat India di Dun Bangi adalah masyarakat penting yang mencirikan masyarakat multi-rasial di Serdang, khususnya di Dun Bangi. Mereka hendaklah diberi perhatian. Cara terbaik ialah dengan memahami masyarakat berkenaan dan mengambil pendekatan terbaik berinteraksi dengan mereka. Mereka bersama mewarnai budaya Negara dan bangsa bukan baru, tetapi sejak awal sejarah dari zaman Lembah Bujang ke Melaka dan ke zaman merdeka. Istilah dan adat mereka mempengaruhi adat dan budaya Melayu. Mereka bangsa yang mempunyai budaya dan tamadun lama dan tinggi. Tamadun mereka bukan saja lempah ke Malaysia, bahkan ke Asia Tenggara. Pendeknya mereka sebahagian daripada kita. Memahami mereka bererti kita memahami masayarakat kita dan memahami budaya kita. Kita mau merapatkan hubungan dengan mereka dan hidup sebagai satu masyarakat Malaysia yang harmoni dan progresif.

Selepas perasmian pembentangan bagi slot pertama ialah :



Adab Ziarah & Pantang Larang Masyarakat India yang disampaikan oleh saudara Fitri Abdullah. Kertas ini amat penting dan praktikal, kerana AJK Adun sering membuat kunjungan kepada masyarakat India seperti menyampaikan bantuan sempena hari-hari perayaan, sambutan atau ada anggota masyarakat India sakit dan berlaku kematian. Dengan memahami pantang larang masyarakat India dapat mengelak dari kekeliruan dan dari berlaku perkara yang tidak menyenangkan. Begitu juga bagi slot 2, dengan memahami perkara yang boleh dibuat dan yang tak boleh dibuat dalam hubungan dengan masyarakat India dapat menjadi panduan bagi ziarah, bahkan interaksi dengan masyarakat India.




Sesi pada sebelah petang adalah amat penting dalam mana selepas memahami masyarakat India, maka ziarah masyarakat India di West Country adalah merupakan sesi praktikal, Pengalaman yang ditimba dari sini akan dapat digunakan dalam hubungan dengan masyarakat India seperti di Pekan Bangi, Bukit Mewah, bahkan di mana jua ada masyarakat India. Dengan ini membantu kita membentuk masyarakat harmoni di Dun Bangi, Serdang bahkan di mana jua. Terima kasih kepada semua yang terlibat.


Sekian.

October 29, 2010

Profesor Dato` Dr. Nik Anuar Mahmud Kembali Ke Rahmatullah

BBB, 21 Zulkaedah = 29 Oktober (Jumaat):


Setelah berusaha beberapa bulan bagi mengubati penyakit barah ususnya, Prof. Dato` Dr. Nik Anuar Nik Mahmud menemui ajalnya pada jam 7.00 petang kelmarin di HUKM. Jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya di Seksyen 1/3 di sini pada malam tadi dan pagi ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Tangkas Lama pada jam 11.00 pagi ini setelah disembahyangkan di Masjid UKM. Ramai temannya, terutama dari kalangan ahli akademik, penduduk setempat dan kenalan beliau menziarahi jenazahnya baik di rumahnya atau di Masjid UKM.


Pada masa hayatnya beliau dan isterinya – Puan Datin Rahilah bt. Harun adalah pendukung kuat Pas jalan 1/3. Mereka berdua menjadi AJK Cawangan 1/3.

Dari segi profesyennya beliau adalah Profesor dalam bidang sejarah Tradisi. Banyak menghasilkan buku dan artikal dalam bidang berkenaan sehingga berkelayakan dilantik sebagai Profesor di dalam bidang sejarah. Pada masa berlakunya pertikaian antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura berhubung dengan Pulau Batu Putih, Profesor Dr. Anuar ditugaskan menghimpun bahan-bahan sejarah dalam hubungannya dengan Kerajaan Johor dan Singapura. Bagi melengkapkan bukti beliau berulang alik dari Kuala Lumpur ke London dan tempat-tempat yang lain mengumpul bukti-bukti berhubung dengan Pulau Batu Putih. Beliau menghadiri sidang-sidang berkenaan Batu Putih antara Kerajaan Malaysia dan Singapura.

Apabila kes Batu Putih diserahkan kepada pengadilan Mahkamah Antarabangsa di The Haige, beliau adalah salah seorang tenaga akademik yang bekerja kuat mengemukakan hujah ilmiah berhubung dengan tuntutan Malaysia di atas kedaulatan Batu Putih dengan menghadiri sidang-sidang Mahkamah Bangsa-Bangsa Bersatu di The Hague.

Mengenang jasanya pada tahun lepas (2009) Profesor Dr. Anuar dikurniai Darjah Kebesaran Kerajaan Kelantan dengan gelaran `Dato`.


Profesor Dato` Dr. Anuar Mahmud menyedari penyakit yang dialami semasa di London beberapa bulan yang lepas dalam rangka membuat penyelidikan di sana. Sejak itu beliau dan keluarganya berusaha mengubati penyakitnya di HUKM dan di UPM dan Allah mennetukan ajalnya semalam. Al-Fatihah.

Sekian.

Ramah Mesra Dengan Komuniti 8/30

Bandar Baru Bangi, 15 Zulkaedah = 23 Oktober (Sabtu):


Hadir ke sini bersembahyang Isyak berjamaah dan bersalat Hajat bagi Keselamatan Penduduk dan Kejayaan Anak-Anak. Kemudian menyertai penduduk Beramah Mesra sempena Jamuan Tahunan yang diadakan pada malam ini. Hadir sama ialah En. Yusoff Bachik Ahli MPKj, En. Rashid Ibrahim YDP Persatuan Penduduk di sini, Tuan Imam Abdul Rahman, Imam Tarmizi dan juga disertai oleh wakil-wakil dari Surau Al-Abrar dan Al-Mujahidin berdekatan.


Menurut YDP En. Rashid setiap lorong perumahan di sini yang mempunyai 8 lorong menyediakan makanan yang berlainan. Setiap lorong menyediakan gerai bagi makanan untuk dipilih penduduk yang hadir. Sebanyak 32 jenis makanan dapat disediakan. Demikianlah penduduk bersatu padu dan bekerjasama apa jua rancangan dipersetujui. Sejak 5 tahun lepas, bermula taman di sini dihuni berbagai-bagai kegiatan diadakan oleh penduduk seperti carnival sukan, gotong royong bersih kawasan, kegiatan kerohanian, mengadakan sambutan hari-hari kebesaran Islam dan sebagainya.


Antara projek besar dalam tindakan, ialah mendirikan surau tetap bagi penduduk kawasan ini. Proses ke arah pendirian sedang berjalan rancak. Bagi kelulusan oleh pihak JAIS, maka surau sementara sekarang perlu didaftarkan. Pendaftaran dibuat dengan nama surau ini sebagai Surau Al-Ukhwah. Penduduk juga berhasrat mendapat sebuah Balai Komuniti bagi kegunaan penduduk. Menurut En. Rashid tapak bagi Balai Komuniti ini telah dikenal pasti. Persatuan Penduduk juga membeli beberapa unit khemah yang sedang digunakan sekarang dengan cara meminjam peruntukan dari penduduk atas konsep a-Qardhul Hasan sebagai modal. Khemah ini disewakan kepada penduduk misalnya untuk perkahwinan dan sebagainya. Hasil dari dapatan akan dibayar kepada peminjam melalui al-Qardhul Hasan tersebut.

Selepas sembahyang Isyak jamuan bermula, tetapi sebelum jamuan Adun dan En. Yusoff sama meninjau gerai-gerai yang disediakan oleh lorong-lorong. Sambil itu Adun juga memilih makanan. Antara makanan yang menjadi daya tarikan ialah panggang kambing yang dipanggang secara terbuka.


Oleh kerana program ini adalah program terakhir bagi Adun pada malam ini, jadi Adun berpeluang beramah mesra dengan penduduk secara santai sambil makan-makan. Program sedemikian dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk yang 70% daripada mereka keluar menyertai Program Ramah Mesra ini.

Sekian.

Hadir Ke Kafa Integrasi Jalan 6 Dan Kafa Integrasi Seri Intan

BBB, 15 Zulkaedah = 23 Oktober (Sabtu):


Jam 8.30 pagi bertolak ke Sekolah Kafa Integrasi di Jalan 6 bagi merasmikan Mesyuarat Agung PIBG julung-julung kali diadakan atas arahan pihak JAIS. Kesampaian Adun Bangi disambut oleh Tuan Haji Mohd. Ali bin Mohd Pengerusi Sekolah dan Ustazah Bainah bt. Omar selaku Guru Besar. Turut hadir ialah Tuan Haji Adnan bin Adam selaku Pengerusi Surau al-Falah yang mana Sekolah Kafa ini berada di dalam kawasan surau berkenaan. Kehadiran ibu bapa agak sederhana, iaitu dalam lingkungan 50 orang.


Pengerusi Sekolah Tuan Haji Mohd Ali dalam ucapan alu-aluannya menggalurkan sejarah Sekolah Agama Rakyat di sini bermula pada awal 1990an dengan menyewa rumah teres satu tingkat berdekatan dengan surau. Pelajar permulaan 20 orang. Permohonan dibuat melalui JAIS, bagi mendapatkan bangunan tetapnya. JAIS meluluskan peruntukan sebanyak RM450 ribu dan dapat mendirikan bangunan dua tingkat yang lebih selesa diguna. Sekolah digunakan sejak beberapa tahun yang lepas ini mempunyai seramai 120 pelajar dengan guru seramai 9 orang. Sekolah ini menggunakan kurikulum Jais dan Lepai. Pelajar yang berkelulusan baik berpeluang menyambung pelajaran di Sekolah Agama Menengah di Selangor yang berjumlah 23 buah dan boleh ke Sekolah Menengah Agama seperti Sekolah Hamidiah Kajang.


Adun Bangi sebelum merasmikan Mesyuarat Agung Kali Pertama berharap Sekolah Kafa Integrasi Jalan 6, menjadi sebuah Sekolah yang maju dan diharap ramai lagi pelajar memohon ke Sekolah ini – Insya Allah.


Dari Sekolah Kafa Integrasi Jalan 6, Adun bergerak ke Sekolah Kafa Integrasi di Taman Seri Intan, Bangi. Pihak Sekolah menjemput Adun sempena Hari Khatam Qur`an dan Hari Perpisahan pelajar-pelajar yang tamat dari Sekolah itu. Walau bagaimana ketibaan Adun agak lewat, iaitu jam 11.00 pagi. Adun tidak berkesempatan menyaksikan acara-acara yang dijalankan. Adun diraikan oleh Haji Mustafa Sulaiman Pengerusi Sekolah dan beberapa orang AJK yang masih ada. Selamat berpisah kepada pelajar-pelajar yang menamatkan pengajian di Sekolah ini dan berharap mereka maju jaya menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.


Sekian.

October 28, 2010

Ceramah Galas Di Stadium Seksyen Lima Belas

BBB, 20 Zulkaedah = 27 Oktober (Rabu):



Ceramah malam ini dianjurkan oleh Pemuda Pas Cawangan Serdang dengan kerjasama Pas Kawasan Serdang bertempat di Stadium Bangi, Seksyen 15, BBB. Ceramah bertujuan memungut dana bagi pilihanraya kecil Galas. Penceramah jemputan pada malam ini ialah Y.B. Dato` Mahfuz Omar Naib Presiden Pas, Ustaz Azman Shapawi Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Adun Bangi dan Saudara Mohd. Adram Musa, Ketua Pemuda Pas Serdang yang juga selaku Bendahari Dewan Pemuda Pas Pusat. Hadir sama pada malam ini ialah Cikgu Ridhuan Ketua Cabang PKR Hulu Langat, Ustaz Shafie Ngah Timbalan YDP Pas Serdang yang juga Ahli MPKj, Tuan Haji Mazwan Johar Naib YDP Pas Serdang yang juga Ahli MPKj dan Puan Nor Aishah Ahli MPKj.


Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Shukor Atan itu bermula jam 9.15 malam dengan ucapan saudara Mohd Adram selaku Tuan Rumah yang mengalu-ngalukan kehadiran penceramah-penceramah jemputan dan orang ramai yang memenuhi ruangan hadapan stadium yang berjumlah melebihi seribu orang. Saudara Adram menekankan tekad dan perjuangan Pas yang mau menegakkan Islam di Negara ini berdasarkan Al-Qur`an dan Al-Sunnah. Perjuangan kita menurutnya, sudah menunjukkan kejayaan dan kita berusaha bagi meningkatkan kejayaan. Permasalahan yang dihadapi masyarakat kini kerana kehilangan pegangan. Kita perlu kembali kepada Islam secara syumul, tegas saudara Adram.


Adun Bangi bercakap tentang Galas, peranan Serdang dalam membantu Galas, pemergian Adun bersama pasukan dari Bangi beserta dengan Sepang, Sungai Besar dan PJS. Rombongan dari Bangi bertugas di Bandar Baru Gua Musang mulai dari 24 – 26 Oktober dan melakukan kerja-kerja penculaan dan turun memberi sokongan pada hari penamaan calon. Adun juga bercakap tentang kehilangan kepercayaan terhadap Umno yang tidak mampu mencetuskan idea yang bernas, tetapi mengulangi perkara yang sama setiap kali bermesyuarat agung termasuklah mesyuarat agung pada minggu lepas. Kegagalan mereka membela Melayu dipersalahkan kepada orang lain. Mereka mempertajamkan rasa perkauman. Adun Bangi juga bercakap tentang ekonomi Negara yang lemah kerana hutang yang makin bertambah dan kemungkinan menuju kepada bankrupsi 2019 sebagaimana yang disebut oleh Idris Jala. Beliau juga menyentuh tentang kedudukan Malaysia terkebelakang dari Negara-negara Asean dan masalah sosial yang dihadapi masyarakat.


Penceramah jemputan pertama Ustaz Azman Shapawi menyatakan bahawa Umno berikrar membela agama, bangsa dan tanahair, tetapi tindak tanduk umno bercanggah. Contoh pertandingan fesyen pakaian wanita yang dianjur Rosmah dikatakan Islam, tetapi bercanggah dengan Islam. Beliau juga bercakap tentang hutang Negara yang kini berjumlah 362.9 bilion yang jika dibahagi dengan penduduk Negara ini setiap rakyat kini berhutang sebanyak RM14,000. Dalam pada itu Najib tetap ghirah untuk membina `Bangunan Warisan` seratus tingkat yang memberi implikasi kepada ekonomi Negara. Beliau juga menyentuh tentang perjanjian `Monsoon Cup` Terengganu selama 8 tahun yang kerajaan negeri terpaksa menanggung kos bayar kepada penganjur dari Barat itu berjumlah RM32 bilion. Beliau juga mempersoalkan ungkapan Datuk Seri Najib bahawa Kerajaan BN akan mempertahankan Puterajaya dengan apa cara sekalipun. Adakah tindakan kekerasan akan dilakukan kiranya BN kalah ? Beliau juga membicarakan soal Felda yang menekan peneroka dan baru-baru peneroka berjaya menyaman Felda dan mendapat pampasan sebanyak RM11 juta.


Y.B. Dato` Mahfuz Omar menyatakan bahawa dasar Umno-Bn sekarang adalah tidak menentu arah. Beliau menyifatkan Persidangan Umno yang berlangsung baru-baru ini sebagai `Persidangan Raja Lawak Malaysia`. Di Malaysia Umno tidak berminat dengan Islam, tetapi di luar Negara – contoh di Amerika mau Bantu menyelesaikan masalah Islamaphobia di sana. Konon Umno jaguh Islam ! Beliau juga menghuraikan berhubung dengan bajet yang dibentangkan di dalam Parlimen baru-baru ini yang disifatkan sebagai `Bajet Seluar Dalam` yang menurut Sdr. Mahfuz disebut begitu detail termasuk penarikan cukai terhadap seluar dalam ? Beliau menyifatkan bajet baru-baru ini bukan dengan tujuan untuk membela golongan miskin – Sebab itu rakyat miskin akan terus miskin.

Sekian.

Menangkap Saat Indah Di Gua Musang

Di luar jangkaan

Dari sebuah kunjungan

Tiba kami ke lokasi menarik

Terasing dan terpencil













Sungai Ketil jernih air mengalir

Menghakis batu batan di tepian

bertabur krikil sekitar larian

Sedang akar pepohon menjalar

Merimbun pohon segar menghijau

Kami seolah ditarik ke tepian

Menyentuh sejuk air dipergigian

Menikmati keindahan menyegarkan.

Di pinggiran berdiri megah

Gua batu kapur berjeragah

Oleh luluhawa hujan panas

Berjuta tahun menyimpan sejarah

Menghuni di sini hidupan

Kelawar, siwah dan enggang

khususnya musang mengidentitikan

Perbukitan di sini sebagai `Gua Musang`

Sedang di tepian rail keretapi

Gemuruh setiap laluan

Menghubungkan Gua Musang ke luaran.













Sedang kami menanggapi

Saat-saat indah di sini

Tiba-tiba sepasang enggang

Di puncak bukit kapur muncul

Memuncak dan menjunam

Menangkap mangsa terbang

Sedang kami dari bawah

Fokus kamera mengarah

Menangkap keindahan spontan

Sebelum saat itu menghilang.














Shafie Abu Bakar,

Gua Musang,


17 Zulkaedah 1431

25 Oktober 2010.