Komposisi kaum India di Dun Bangi adalah sebanyak 8%. Mereka adalah komuniti penting di Dun ini, sebab itu mereka tidak boleh diabaikan. Untuk lebih tepat dari segi pendekatan yang seharusnya diambil, maka wajar dibuat secara teliti dan kalau boleh secara ilmiah. Ini tidak bererti selama ini interaksi dengan mereka tidak dilakukan. Ianya sebenarnya adalah berterusan, tetapi didorong oleh keinginan membaiki pendekatan, maka pada hari ini sebuah bengkel diadakan. Bengkel bertajuk:
Bengkel Mesra Rakyat Masyarakat India
Bengkel ini dianjurkan oleh Lajnah Penerangan Kawasan dan Dun Bangi bertempat di Bilik Cempaka, Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi bermula dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang. Sesi ini adalah bersifat teori, manakala pada sebelah petangnya, iaitu dari jam 2.30 – 5.00 petang adalah sesi praktikal dalam mana peserta-peserta yang berjumlah 50 orang itu menziarah masyarakat India bertempat di West Country.
Pada sebelah pagi jam 9.00 pagi diadakan Majlis Perasmian. Majlis dihadiri saudara Azmi Ahmad Pengerusi Lajnah Penerangan, Saudara Mohd. Fitri Abdullah Penceramah, AJK Penerangan dan peserta-peserta.
Dalam ucapan perasmiannya Adun Bangi, mengucapkan tahniah kepada Lajnah Penerangan yang berjaya mengadakan bengkel yang penting ini. Masyarakat India di Dun Bangi adalah masyarakat penting yang mencirikan masyarakat multi-rasial di Serdang, khususnya di Dun Bangi. Mereka hendaklah diberi perhatian. Cara terbaik ialah dengan memahami masyarakat berkenaan dan mengambil pendekatan terbaik berinteraksi dengan mereka. Mereka bersama mewarnai budaya Negara dan bangsa bukan baru, tetapi sejak awal sejarah dari zaman Lembah Bujang ke Melaka dan ke zaman merdeka. Istilah dan adat mereka mempengaruhi adat dan budaya Melayu. Mereka bangsa yang mempunyai budaya dan tamadun lama dan tinggi. Tamadun mereka bukan saja lempah ke Malaysia, bahkan ke Asia Tenggara. Pendeknya mereka sebahagian daripada kita. Memahami mereka bererti kita memahami masayarakat kita dan memahami budaya kita. Kita mau merapatkan hubungan dengan mereka dan hidup sebagai satu masyarakat Malaysia yang harmoni dan progresif.
Selepas perasmian pembentangan bagi slot pertama ialah :
Adab Ziarah & Pantang Larang Masyarakat India yang disampaikan oleh saudara Fitri Abdullah. Kertas ini amat penting dan praktikal, kerana AJK Adun sering membuat kunjungan kepada masyarakat India seperti menyampaikan bantuan sempena hari-hari perayaan, sambutan atau ada anggota masyarakat India sakit dan berlaku kematian. Dengan memahami pantang larang masyarakat India dapat mengelak dari kekeliruan dan dari berlaku perkara yang tidak menyenangkan. Begitu juga bagi slot 2, dengan memahami perkara yang boleh dibuat dan yang tak boleh dibuat dalam hubungan dengan masyarakat India dapat menjadi panduan bagi ziarah, bahkan interaksi dengan masyarakat India.
Sesi pada sebelah petang adalah amat penting dalam mana selepas memahami masyarakat India, maka ziarah masyarakat India di West Country adalah merupakan sesi praktikal, Pengalaman yang ditimba dari sini akan dapat digunakan dalam hubungan dengan masyarakat India seperti di Pekan Bangi, Bukit Mewah, bahkan di mana jua ada masyarakat India. Dengan ini membantu kita membentuk masyarakat harmoni di Dun Bangi, Serdang bahkan di mana jua. Terima kasih kepada semua yang terlibat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment