October 23, 2010

Sumbangnya Nada Ketukan!

Anekdot:


Pelancaran `Mesra Rakyat` di sebuah padang di Bandar Seri Putera pada Sabtu 16 Oktober 2010 lalu, ialah dengan memukul gong yang digantung pada pemidang bertiang dua disediakan di atas pentas di hadapan tamu-tamu. Adun Bangi dan Ahli Parlimen Serdang ditentukan dalam program dikehendaki memukul secara bertingkah menandakan pembukaan. Sebelum memukul, kami berbincang untuk memukul tiga kali seorang secara bertingkah.


Selepas memukul dan kami turun dari pentas dan ke kerusi tamu, seorang dari tamu menegur secara bergurau,

`Pukulan Y.B. Teo nampaknya lebih garang dari Y.B. Shafielah,` kata penegur berkenaan. Aku tersindir dengan teguran berkenaan dan berfikir pantas bagi menjawab secara spontan terhadap gurauan, sedang Y.B. Teo ketawa riang tanpa simpati terhadap Adun Bangi seolah-olah dia berada pada pihak yang menang!


`Eh! Saya dah pukul agak kuat, masih kurang garang ? Soal balasku.

`Yalah,` kata seorang tamu lagi melemah dan mengalahkan hujahku.


`Memang orang perempuan sekarang lebih hebat dan lebih kuat dari orang lelaki !` kata seorang tamu lain. Sambil dijawab Y.B. Teo, `Betul ! Betul !` seolah memberi pukulan k.o. padaku.

Seorang tamu yang lain lagi mencelah, ``Memanglah Y.B. Teo lebih bertenaga, mampu menjaga sebuah kawasan Parlimen yang luas, sedang Y.B. Shafie menjaga sebuah kawasan kecil Dun Bangi. Di bawah kawasan Parliman Y.B. Teo pulak tu!` tambah tamu berkenaan.


Seorang yang lain tambah memarakkan sindiran dan meningkah, `Malulah orang lelaki pada orang perempuan!` Y.B. Teo turut menyokong perli dan batu api yang dilemparkan kepada Y.B.Adun Bangi dan menambah, `Patut kena tukar!`katanya.

Aku mati akal, tetapi tetap menjawab, walaupun dalam nada mengalah,

`Y.B. Bangi memanglah bernafsu besar, tetapi tenaga kurang!``

Semua yang mengacah Adun dan Ahli Parlimen tadi ketawa berderai!


Sementara itu pengacara majlis Mesra Rakyat mengumumkan bahawa, acara seterusnya ialah persembahan muzik gamelan dari anak-anak Sekolah rendah dari kalangan penduduk setempat. Bila dimulakan kami dapati pukulan yang dilakukan anak-anak hanya satu nada berulang-ulang.


Bila berakhirnya permainan muzik, pengacara menginterview ketua kumpulan,

`Lama mana berlatih untuk pertujukan ini ?`

`Seminggu,` jawab ketua spontan! Dalam hati kami, padanlah pukulan pun satu nada. Pengacara bertanya lebih lanjut,

`Siapa melatih ?`

`Cikgu Gamelanlah! Kata ketua. Betullah jawapannya secara bersahaja. Apabila pengacara bertanya,

`Lagu apa yang dibawa ?``

Ketua kumpulan nampaknya ragu-ragu nak jawab. Mungkin mereka masih berlatih pada tahap mengharmonikan ketukan. Belum masuk kepada lagu-lagu khusus. Tapi ketua menjawab melencong dari soalan,

``Sepatutnya ada pantun (lagu) masa bermain.`` Pengacara bertanya,

`Siapa patut berlagu ?``, `Cikgu, kami belum tahu,` jawab ketua.

`Mengapa dia tak datang berpantun ?`, tambah pengacara.

`Mungkin dia malu, kerana pukulan kami tak menentu !`

`Tapi pukulan berbunyi Tun ! Tun ! Tun ! Itu agaknya pantun ! kata pengacara.

`Yalah agaknya,` kata ketua. Sedang pendengar ketawa mendengar jawapannya.

Itulah tahap pembelajaran bermain muzik gamelan anak-anak Sekolah rendah berkenaan. Kaedah memukulnya sebenarnya adalah agak payah, kerana umumnya berdasarkan intuisi tanpa notasi, kecuali mereka yang telah mahir nota muzik. Apa yang dinamakan gamelan itupun tidak lengkap dari segi alat, ianya lebih merupakan Muzik Cak Lempong.


Sekian.

No comments:

Post a Comment