October 26, 2010

Penangan Panggang Rusa Kami Datang Juga Walaupun Lewat Masa!

Anekdot:

Selepas sembahyang Isyak Adun Bangi bertolak bersama saudara Azizi ke Balakong kerana membuka Cawangan Baru Parti di sana. Dalam perjalanan semasa berada di hadapan UPM telefon berbunyi menanyakan, `Y.B di mana ? Jam berapa boleh sampai ke 4 Tambahan ?

Adun menjawab, `Apa programnya ?`
``Mesra penduduk,`` jawab yang menelefon.
Adun menjawab, `Ya ke ? tapi tak ada dalam catatan diari saya.``
`Tapi, kami sudah hantar secara faks dan diikuti dengan hantaran surat secara tangan!``
Kata suara itu.
``Mungkin saya lupa mencatatkan dalam diari.``
`Y.B. kena datang! Kami sediakan panggang rusa ni.``
`Memang rugi, tapi kalau peringatkan dengan telefon petang tadi atau sekurang-kurang lepas Maghrib tadi, nescaya boleh datang awal dan singgah dalam perjalanan. Sekarang dah lewat. Jam 9.00. Orang Balakong tunggu.``
``Tapi kena datang juga. Orang dah ramai datang.``
``Beginilah kami usaha untuk datang. Jika selepas jam 11.00 kami tak datang. Anggaplah kami tak sempat datang,` kata Adun.
``Tapi harap datang juga,`` balas suara itu.
Selepas bermesyuarat penubuhan cawangan di Balakong dan sedikit makan sebagai meraikan persediaan yang dibuat oleh AJK Penaja Balakong kami meminta diri. Kami pulang tapi berazam mahu singgah di Majlis Mesra Rakyat. Kalau kebetulan majlis selesai tak mengapa.

Bila tiba di Seksyen 4 Tambahan jam 11.30 malam masih ada lebih kurang sepuluh orang. Antara mereka sedang membersih periuk, ada yang sedang menyusun kerusi dan bersimpan barang-barang.

Assalamu alaikum ! Adun memberi salam.
Al-Hamdulillah jawab YDP persatuan penduduk. ``Kami menunggu kehadiran Y.B.`` kata YDP sambil kami bersalam dan dikuti yang lain yang menghentikan tugas masing-masing seketika. Saudara Azizi mengambil gambar merakamkan kehadiran.
`Saya ni dah lewat dari masa yang dijanji, patut tuan-tuan tak tunggu lagi kami,` kata Adun.
``Taka apa, kami pun belum siap mengemaskan barang-barang.``
``Kami datang menghormati jemputan,`` Kata Adun, ``Jangan susah-susah!`` tambah Adun.
Seorang dari ahli bergurau, ``Datang lambat, barang dah kurang.``
``Taka pa. Itulah nasib orang datang lambat. Nasib tak baik melepas!``
Jawab YDP, ``Kami memang reserve panggang rusa dan makanan untuk Y.B.`` sambil beliau menjemput ke meja khas diiringi beberapa yang lain.

Di atas meja bukan saja panggang rusa, tetapi gulai rusa dan makanan-makanan lain turut tersedia. Kata Adun,

``Inilah agaknya yang membuat kami tergerak untuk datang, Nasib baik kami`` tambah Adun.
``Nampaknya setiap tahun di sini ada jamuan daging rusa.` kata Adun
``Kita ada pengusaha ladang rusa yang tinggal di sini,`` jawab YDP.
``Oh, patutlah tiap kali jamuan di sini ada menu daging rusa!` kata Adun.
Resipi daging rusa inilah juga menjadi daya tarikan yang membuat majlis dihadiri ramai penduduk di sini,`` kata YDP.
``Cukup ka ?` Tanya Adun.
``Cukup, bahkan ada yang lebih, sambil YDP menunjukkan bungkusan gulai rusa yang akan dibekalkan bagi setiap pekerja.`` Adun bergurai,
``Nampaknya lebih baik datang lewat ada peluang dapat yang lebihan !``
Datang lewat kadang-kadang melepas !`` kata YDP.
``Sekurang-kurangnya tidak malam ini,`` semua yang bersama ketawa.

Selepas bercakap-cakap, makan dan mendengar beberapa masalah setempat dan jam melewati jam 12.00 kami memohon diri.
Sebelum bertolak kami berdua dibekalkan dengan dua bekas gulai daging rusa. Adun berkata secara bergurau,
``Penangan panggang rusa, datang lewat pun masih boleh merasa, bahkan dibekalkan pula untuk dibawa pulang kepada keluarga.``
Keesokannya, Adun menyemak diari, rupanya benar ada jemputan dari 4 Tambahan. Tapi Adun tersilap catat ke tarikh dua hari lewat !

Sekian.

No comments:

Post a Comment