October 24, 2010

Ajaran Sesat Di Selangor

Masjid Jamek Kajang, 13 Zulkaedah = 21 Oktober (Khamis):

Pada malam ini Adun Bangi mengalu-ngalukan kehadiran SS. Dato` Abdul Majid bin Omar Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Selangor memberi ceramah di Masjid Jame` Kajang atas tajuk di atas dengan tajaan oleh pihak Jabatan Agama Islam Daerah Hulu Langat. Menurut Adun dalam kata alu-aluannya, ceramah sedemikian adalah penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang ajaran salah bagi kepentingan diri, keluarga dan masyarakat. Menurutnya ceramah sedemikian patut diperluaskan. Nazir Masjid Tuan Haji Hanafi turut mengalu-ngalu dan berterima kasih kepada SS Dato` Haji Abdul Majid, kerana sudi hadir bagi menyempurnakan program pada malam itu. SS Dato` Abdul Majid, bercakap tentang Ajaran Salah atau Sesat, khususnya di negeri Selangor. Menurutnya, Selangor sebagai sebuah negeri yang terbuka dengan kemasukan berbagai kemajuan ke negeri tersebut, maka Selangor juga menjadi saluran kemasukan pengajaran salah/sesat. Hadir pada malam ini ialah Ustaz Bong Salleh Selaku Pemangku Pentadbir PAID Hulu Langat, Ustaz Mohd Nor Pegawai Penyelidik dari PAID, imam-imam, pegawai-pegawai masjid dan ahli jamaah

Menurut SS Dato` Abdul Majid, Timbalan Mufti, bahawa:

``Ajaran salah atau sesat, ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa ajaran atau amalan yang dibawanya itu adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan pada hakikatnya ajaran atau amalan yang dibawa itu bertentangan dengan ajaran Islam sebenar yang berdasarkan kepada Al-Qur`an dan As-Sunnah serta bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.``

Menurutnya ,``Kemunculan kebanyakan ajaran sesat ini dipercayai berpunca daripada pengaruh, kebudayaan, adat, mencari kemasyhuran, kekayaan, bermotifkan seks serta kepercayaan lama yang mengandungi unsur-unsur animisme dan dinamisme.``Contoh ajaran sesat yang timbul di Malaysia seperti ajaran Taslim di Pulau Pinang dan ajaran Qadyani atau Ahmadiah di Jeram dan Gombak di Selangor.

Ajaran-ajaran ini masuk antaranya melalui pengajaran penyeleweng dari segi akidah, syariat dan tasauf tanpa menggunakan kitab panduan yang muktabar. Cara pengajarannya bersifat mengasingkan diri di tempat tertentu dengan jumlah tertentu, kerana takut pengajarannya dapat dikesan dan didedahkan tentang penyelewengan.

Ajaran juga masuk melalui tarikat dan amalan-amalan meragukan. Ada yang mendakwa tarikatnya diambil secara direct daripada Rasulullah. Ajaran juga disampaikan melalui kepercayaan amalan tradisi yang bercampur aduk dengan khurafat dan kepercayaan-kepercayaan tempatan. Mereka yang terikut dengan ajaran sesat kerana kejahilan mereka tidak berusaha belajar dari guru-guru yang muktabar yang mengajar secara terbuka di masjid dan surau. Terdapat timbulnya ajaran sesat kerana mencari pengaruh dan kedudukan seperti ajaran Al-Arqam yang memuja guru, atau kerana motif ekonomi seperti perubatan-perubatan secara batin, bedah batin dan sebagainya yang menentukan jumlah-jumlah bayaran tertentu dari segi perkhidmatan. Bagi kalangan intelektual moden juga terpengaruh dengan hujah dan bahasan terhadap agama secara moden dan anjuran-anjuran tertentu terhadap agama seperti dilakukan oleh seperti Sisters Islam dan sebagainya.

Di Malaysia sebagaimana telah disebut Selangor menjadi negeri yang banyak dengan ajaran sesat. Kebanyakan di bawa dari luar oleh mereka yang datang ke Selangor
Terdapat 25 ajaran sesat yang telah difatwakan:

Terdapat 23 ajaran yang dalam siasatan. Daripada jumlah ajaran sesat di atas 8 daripadanya masih aktif, manakala 17 yang tidak lagi aktif. Kita berharap mereka yang terjebak dengan ajaran sesat dapat kembali ke pangkal jalan. Mana-mana yang masih mengikuti atau mengamalkan sesuatu ajaran yang telah didapati sesat atau menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenarnya boleh diambil tindakan melalui enakmen Jenayah Syariah No. 9 Tahun 1995 Seksyen 12 © - Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan kesalahan atau apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sekian.

No comments:

Post a Comment