October 10, 2010

Perkasakan Pendidikan Persekolahan Selepas Pengekalan UPSR Dan Peniadaan PMR

BBB, 01 Zulkaedah = 09 Oktober (Sabtu):


Pengumuman Menteri Pelajaran Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia pengekalan penilaian UPSR dan `Peniadaan` PMR adalah disambut baik. Sebenarnya pada ketika rancaknya perbincangan tentang rancangan `Menghapuskan UPSR dan PMR` pada pertengan tahun ini, kita juga turut terpanggil memberi pandangan berhubung dengan cadangan menghapuskan kedua-dua penilaian tersebut. Kita menganggap isu ini adalah isu besar yang melibatkan sistem pendidikan Negara, kualiti pendidikan, masa depan pelajar-pelajar dan maju dan mundurnya Negara. Dengan sebab itu kita turut menulis memberi pandangan demi kepentingan pendidikan Negara agar keputusan yang diambil adalah tepat.

Kita telah menulis pada 3 Julai 2010 dengan memberi pandangan agar dikekalkan penilaian pada peringkat rendah dan dikeluarkan sijil – tidak semestinya atas nama UPSR, namun boleh ditukarkan kepada SSR (Sijil Sekolah Rendah) dan sebagainya. Kita juga mencadangkan agar ditiadakan PMR secara formal, tetapi penilainan pada peringkat menengah sebelum SPM (boleh ditukar kepada SSM –Sijil Sekolah Menengah) diamanahkan kepada pihak Sekolah menjalankan penilaian, tetapi dengan kawalan dan pemantauan oleh pihak Kementerian secara berterusan.

Dengan pengekalan UPSR, buat jangka pendek dapat menghilangkan keresahan di kalangan Sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan meneruskan Sekolah dan kurikulum Sekolah jenis-jenis kebangsaan sebagaimana yang ada sekarang. Tetapi yang paling baik yang ada sepatutnya hanya satu aliran Sekolah rendah sahaja. Ini tidak bererti penghapusan pelajaran bahasa Cina dan Tamil dari kurikulum pendidikan, sebaliknya pelajaran-pelajaran bahasa ini dimasukkan ke dalam kurikulum pendidikan Sekolah rendah hingga ke peringkat menengah dan dibenarkan diambil oleh semua pelajar.

Dengan pengekalan UPSR dan peniadaan PMR, bukan bererti kita mengekalkan kurikulum yang ada baik pada peringkat UPSR dan PMR tanpa penilaian, tetapi menuntut pembaikan, pembaharuan, peningkatan kualiti dan prestasi pelajar-pelajar dari peringkat rendah hingga kepada peringkat SPM. Dalam kata lain kurikulum pendidikan hendaklah dinilai kembali dan menuntut pembaikan dan peningkatan dari tahap paling rendah kepada tahap paling tinggi (SPM). Pembaikan hendaklah mengambil kira mutu matapelajaran, kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran, penanaman sikap berdikari, kreatif, inovatif, nilai keagamaan, kemasyarakatan dan kemanusiaan.

Tuntutan ini memerlukan gemblengan tenaga pakar di dalam berbagai-bagai bidang yang disatukan bagi mencapai keunggulan hasrat yang diinginkan agar pendidikan Negara kita adalah pendidikan yang mantap yang mengeluarkan pelajar-pelajar yang berkualiti bukan saja dari segi keilmuan, bahkan dari segi syaksiah dan peribadi. Produk pendidikan Negara hendaklah menjadi pewaris generasi Negara yang memartabatkan bangsa dan bertaraf global.

Sekian.

No comments:

Post a Comment