October 16, 2010

Masalah Hakisan Cerun Di Taman Bukit Kajang Baru: Pengajaran Betapa Ketidaktelitian Mengundang Bahaya Dan Kerugian

Bukit Kajang Baru: 07 Zulkaedah = 15 Oktober (Jumaat):


Permasalahan dihadapi yang menimbulkan pertanyaan ialah bagaimana diluluskan sebuah taman perumahan (di atas) di Jalan 12 Bukit Kajang Baru bersempadan dengan cerun bukit setinggi 20 meter dan lebar 60 meter yang membahayakan penghuni rumah teres di jalan tersebut, sekaligus membahayakan penghuni rumah apartment lima tingkat bahagian atas dari cerun bukit curam tersebut. Kerana bimbang berlakunya tanah runtuh, terutama apabila hujan lebat, maka 30% daripada penghuni rumah apartment di atas, terutama yang berhampiran dengan tebing yang curam telah berpindah. Seramai 110 penghuni saja yang masih bertahan dan terus tinggal di apartment tersebut, walaupun berdepan dengan ancaman bahaya tanah runtuh.


Aduan dari bahaya tanah runtuh ini berlaku sejak sebelum pilihanraya 1999 lagi dan berkali-kalilah Adun Kajang pada masa itu (1999-2004) menerima aduan bagi tempat ini dan juga lereng bukit yang mempunyai tangki air sebelah atas. Tindakan yang diambil, ialah membuang tanah runtuh (kini tempat ini disekat dari dimasuki) dan menutup dengan plastik bahagian yang membahayakan.


Aduan yang disenaraikan sejak 2006 hingga terkini (14.10.2010) sebenarnya adalah lanjutan dari siri aduan yang lalu yang hingga kini masih tidak berselesaian. Tindakan diambil oleh MPKj seperti menutup kawasan runtuh dengan plastik adalah bersifat sementara dan sama sekali tidak menjamin keselamatan.


Kehadiran ke sini pagi ini terdiri dari Ahli Parlimen Serdang Y.B. Teo Nie Ching, Adun Bangi Dr. Shafie Abu Bakar, Tuan Haji Shafie Ngah (Ahli MPKj), Sdr Mohd Adram Musa (Ahli MPKj), Sdr Chandra Mohan (Ahli MPKj), En. Abdul Halim bin Samah Jabatan Kejuruteraan MPKj, Pn. Komala juga dari Jabatan Kejuruteraan MPKj, En Muhammad Hambali Juruteknik Awam MPKj, Wakil dari Ikram, penduduk setempat dan beberapa yang lain sebagai memberi penjelasan dan jawapan kerana isu ini ditimbulkan di dalam MPKj, akan dibawa ke Dewan Negeri dan mungkin dibawa juga ke Parlimen.


Apa yang diterangkan bahawa pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mencadangkan kepada kerajaan Negeri melantik IKRAM untuk mengkaji dan mengenalpasti masalah dan bagaimana mengatasinya.. Laporan IKRAM disiapkan sejak Mei 2007 dengan mencadangkan anggaran kos bagi kerja-kerja peningkatan kestabilan cerun yang melibatkan dua kawasan:

a) Kawasan A melibatkan kos RM 653.000.
b) Kawasan B melibatkan kos RM 556,000

Tetapi tak diluluskan. Yang diluluskan hanya kos perkhidmatan Ikram sebanyak RM 229,648.68. Pada akhir Disember (12 Dis. 2007) pihak MPKj membuat anggaran perbelanjaan bagi membaikpulih cerun sebanyak RM1,340,750.00, tetapi tiada respond dari pihak berkaitan.

Mutakhir dimaklumkan oleh MPKj pihak Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi membaikpulih, tetapi apabila didapati oleh IKRAM cerun bertambah kritikal dan anggaran kos meningkat kepada RM2.8 juta. Pihak MPKj terpaksa membuat permohonan semula kepada Kementerian sejak 30.9.2010. Sementara menunggu kelulusan pihak MPKj memasang kanvas heavy dan light duty bagi mencegah hakisan.

Demikian jemputan melawat tapak ini sekadar untuk makluman sebagai persediaan kalau-kalau perkara ini dibangkitkan pada musim sidang sama ada di Parlimen dan juga di Dewan Negeri, di samping dibangkitkan di MPKj. Kelulusan belum tentu dan pembaikpulihan masih juga tidak menentu. Semua masih menunggu.

Pengajaran yang boleh diambil, kesilapan dan pengabaian dari keselamatan pembinaan rumah di cerun dan pinggir bukit dan tindakan meluluskan secara sewenang-wenang mengundang risiko kepada penghuni-penghuni dan pihak kerajaan yang demi keselamatan terpaksa mengeluarkan peruntukan baikpulih, kadang-kadang melebihi kos projek asal. Jika diteliti atau disekat dari kelulusan awal, maka duit rakyat yang perlu dikeluarkan dengan banyak dapat diselamatkan bagi pembangunan dan kepentingan rakyat di bahagian lain yang lebih berfaedah. Kita menunggu tindakan membaikpulih dan jadikan kes ini sebagai pengajaran masa depan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment