October 11, 2010

Tengku Razaleigh Tidak Sepatutnya Diperlakukan Sebagai Barangan Antik !

BBB, 03 Zulkaedah = 11 Oktober (Isnin):


Bintang Tengku Razaleigh Hamzah diserlahkan kegemerlapannya di dalam politik oleh Tun Razak. Beliau selain dari pernah menjadi Menteri Kewangan yang cemerlang pernah juga diamanahkan menjadi peneroka awal memimpin Petronas oleh Tun Razak. Beliau hampir mengalahkan Dr. Mahathir dalam pertandingan memilih Presiden Umno pada pemilihan tahun 1980an. Kekalahannya menyebabkan beliau dipinggir oleh Dr. Mahathir yang membawanya menubuhkan Parti Semangat 46. Perkembaliannya kepada Umno tidak membuka ruang kepadanya diberi jawatan di dalam kabinet baik pada zaman Mahathir maupun pada zaman Abdullah Badawi. Kewibawaan Tengku Razaleigh memang diakui, tetapi beliau `disimpan` sebagai barangan antik yang amat berharga.

Pada Zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, biarpun Tengku Razaleigh menyandang kerusi Parlimen Gua Musang, Najib meneruskan tindakan Dr. Mahathir mengasingkan Tengku Razaleigh. Beliau tetap disimpan yang menyebabkan Tengku Razaleigh lebih bersifat menyepi, di samping sekali sekala suaranya jauh bergema dari dalam gua ! Kegarangannya menyerlah dan menakutkan Umno-Bn apabila beliau menyuarakan sokongan tuntutan Kelantan terhadap royalti minyak. Sikapnya ini membuat kerajaan Umno-Bn menggelabah. Barang antik ini yang menyerlahkan diri menyokong tuntutan royalti minyak Kelantan, sepatutnya diambil tindakan, tetapi tidak sampai demikian, kerana Umno-Bn menyedari pengaruh dan kekuatan yang ada pada Tengku Razaleigh.

Kekosongan yang berlaku di DUN Galas, adalah peluang bagi menguji kesetiaan Tengku Razaleigh, sekaligus mengawal mulutnya dari bercakap lantang mengenai royalti minyak. Melantik Tengku Razaleigh menjadi Pengarah Pilihanraya BN di Galas (beliau telah menerima), apalagi jika dilantik menjadi calon `memerangkap` Tengku Razaleigh di dalam situasi yang menuntutnya setia kepada Umno-BN.

Sekarang `Barangan Antik` dikeluarkan dari khazanah simpanan dan dipertontonkan kepada ramai. Bukan setakat dipertonton, tetapi dipuji tentang keistimewaannya, jasa-jasanya dan ketokohannya yang tidak ada tolok bandingnya ! Hakikatnya mereka sedang menguji dan sekaligus mempermainkan Tengku Razaleigh.

Walau apapun, andainya Tengku Razaleigh yang dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya BN di Galas itu dipilih pula menjadi calon dan beliau juga menerima dan ditakdirkan menang dalam pilihanraya itu, hakikatnya Tengku Razaleigh tidak akan ke mana-mana. Selepas kemenangannya kelak, mereka akan bersiap sedia menyimpannya kembali baik-baik ke dalam almari barang-barang antik sebagai barangan yang amat berharga.

Tetapi ingatlah satu bahana besar kepada Tengku Razaleigh, andainya beliau kalah dalam pilihanraya kecil Galas, bahkan sebagai Pengarah sahaja (tidak menjadi calon), malu besar akan ditanggung oleh Tengku Razaleigh dan nilai antiknya juga turut berkurang. Sedangkan Umno-Bn tidak terjejas dari segi maruah, kerana Galas memang milik Pas ! Hakikatnya:


Tengku Razaleigh sedang diuji sekaligus dipermainkan !

Sekian.

No comments:

Post a Comment