BBB, 23 Syawal = 02 Oktober (Sabtu):
Dalam menghadiri Hariraya, berbagai peristiwa yang lucu dan menyeronokkan di alami Adun Bangi hingga antaranya dapat dijadikan bahan anekdot berikut:
1) YB Tamu Yang Dijemput, Menjadi Penyambut Tamu Yang Hadir
Oleh kerana pada hari, terutama Sabtu dan Ahad dalam bulan Syawal ini banyak jemputan yang diterima. Adun menyusun jadual dari satu tempat ke satu tempat menurut seturut yang terdekat dan dapat diikuti masa secara tepat, agar tidak mengganggu masa jemputan lain dan terlambat.
Pagi ini jemputan terawal ialah jam 8.00 pagi di Padang Kawasan 4/8 Seksyen 4, Bandar Baru Bangi. Adun bersama Pengiring Sdr. Azizi tiba tepat jam 8.00 pagi dan sengaja tidak makan pagi di rumah. Bila tiba hanya ada seorang dua yang sedang menyusun tempat. Mereka terkejut dengan kehadiran kami yang awal. Kami katakana pada mereka, ``Tak apa ! Kerana waktu ini memang waktu yang dijemput. "un turut sama memnyusun tempat. Kebetulan makanan awal tiba ialah nasi lemak. Tanpa upacara Adun orang terawal membuka panggung, makan nasi lemak ! Sambil itu menyambut mereka yang mula datang. Melihat keadaan ini seorang daripada mereka berkata,
``Kita yang menjemput Adun, Adun pula jadi Tuan Rumah menyambut tamu!`
2. Menu Yang Semakin Sedap
Ketika menghadiri Hariraya di Balairaya Kampung Bahagia, Pekan Bangi, Ketua Kampung menghidangkan makanan satu persatu. Ketika diminta berucap ringkas Adun menyatakan,
``Saya tidak dapat berlama di sini, takut tak ada ruang untuk makan di tempat lain!``
Para hadirin seolah bertanya sebabnya. Menurut Adun,
``Ketua kampong kita ni bijak mengatur strategi menghidangkan makanan!``
Tambah Adun, ``Mula-mula dia hidangkan makanan raya biasa, lemang, kita makan!``
``Kemudian, dia masuk dan keluarkan yang lebih sedap Sate Kajang, makin selera kita makan.`` Kata Adun lagi,
``Kemudian dia keluarkan, Sop tulang, kita juga makan.``
Seterusnya kata Adun, Ketua Kampung menyatakan ``Ini Y.B. Kena makan ! Nasi Dagang dari Pantai Timur !
Adun memang sukakan Nasi Dagang dan makan.``
Tambah Adun, ``Saya memang tidak boleh lama di sini, kalau saya berlamaan, entah makanan apa yang lebih sedap akan dikeluarkan oleh Tok Ketua Kampong kita,`` tambahnya.
``Saya takut tidak ada ruang lagi untuk dimakan di tempat lain ! ketawa Adun secara bergurau diikuti para hadirin.
3. Ceroboh Kawasan Orang
Pada pagi ini juga Adun berkesempatan hadir ke Majlis Sambutan Raya di Surau An-Nur Kantan Permai sambil juga meraikan Bakal-Bakal Haji. Hubungan baik Adun dengan penduduk, khususnya dengan AJK Surau berterusan sejak Adun jadi Adun Kajang lagi (1999-2004), bahkan hingga kini sekali sebulan Adun datang mengajar di surau ini. Oleh kerana belum tiba lagi tamu kehormat VVIP yang hadir. Adun dijemput menyampaikan ucapan sulung di majlis tersebut. Sedang Adun Bangi berucap, tiba-tiba Ahli Parlimen Hulu Langat, diikuti Adun Kajang (Kantan Permai di bawah DUN Kajang dan Parlimen Hulu Langat) sampai. Sesudah mereka duduk dikerusi tamu depan majlis, Adun Bangi meneruskan ucapan dengan berkata,
``Tuan-Tuan dan Puan-Puan, saya terpaksa memendekkan ucapan dan memohon maaf kepada Ahli Parlimen Hulu Langat dan Adun Kajang, kerana tanpa izin, saya telah menceroboh kawasan mereka !
Diikuti dengan ketawa para hadirin.
4. Y.B. Teo Nie Ching Makin Popular
Ketika menghadiri Rumah Terbuka anjuran Ahli Parlimen Serdang Y.B.Teo Nie Ching bersama Adun Balakong Y.B.Yap Lun Chin, di sebuah padang di Cheras Perdana tengahari ini Adun Bangi diminta berucap. Kata Adun Bangi,
``Y.B. Teo makin popular dengan `Isu masuk Surau Al-Huda dan bertazkirah !``
Tanda popular tambah Adun Bangi, ``Orang ramai makin sayang kepadanya, lihatlah orang ramai dari semua kaum ramai datang bertali arus ! Ini menandakan Y.B. Teo, makin bertambah popular dengan Isu Surau ! Kata Adun Bangi lagi,
``Saya cemburu dengan populariti Y.B. Teo yang makin meningkat, berbanding dengan populariti saya yang merosot !`` Adun Bangi menambah,
``Pada pagi ini saya difahamkan Y.B. Teo dipanggil Polis Kajang untuk disoal siasat berhubung dengan Isu Suraunya.`` Adun Bangi seterusnya menyatakan,
``Mujur Y.B. Teo ada di sini dapat meraikan tetamu. Kalau beliau terus ditangkap oleh Polis Kajang pagi tadi, pastilah populariti Y.B. Teo meroket naik meninggalkan populariti Adun Bangi yang menjadi sebahagian DUN Serdang ketinggalan di darat !``
5. Terlaksananya Impian Penduduk
Pada sebelah petang Adun Bangi menghadiri Sambutan Idul Fitri di Taman Kajang Impian, BBB. Kawasan perumahan ini baru dihuni. Inilah kali pertama penduduk di sini mengadakan sambutan Idul Fitri di Padang Permainan di sini. Ketika Adun Bangi diminta berucap ringkas, Adun berkata,
``Tuan-Tuan dan Puan-Puan tidak lagi berimpi ! Kalau dulu Tuan-Tuan dan Puan-Puan mengimpikan untuk mendapat kediaman yang selesa bagi keluarga, kini impian Tuan-Tuan dan Puan-Puan sudah terlaksana dan menjadi kenyataan. Al-hamdulillah.``Tambah Adun, `` Binalah rumah tangga, keluarga dan alam sekitar yang indah ini sebaik mungkin, semoga ianya menjadi syurga bagi keluarga Tuan-Tuan dan Puan-Puan !
6. Beraya Di Apartment Taman Sepakat Indah
Pada malamnya Sdr. Azizi menemani Adun ke Apartment di atas. Ketika merasmikan sambutan hari raya di bawah bangunan di sini, antara lain Adun berkata,
``Saya bergembira sifat sepakat bukan setakat nama bangunan semata-mata, tetapi menjadi amalan penghuni apartment di sini,`` tambah Adun, ``Buktinya penduduk di sini bersepakat bergotong royong mengadakan Majlis Sambutan Idul Fitri di sini sejak semalam lagi.`` Kata Adun lagi, ``Tuan-Tuan dan Puan-Puan, khususnya anak-anak berpakaian warna warni dan begitu indah sesuai dengan Sepakat Indah !`` Tambah Adun,
``Teruskan keindahan sepakat ini bagi berbagai-bagai kegiatan, insya Allah Tuan-Tuan dan Puan-Puan dan keluarga bertambah bahagia.``
7. Bimbang Takut Tak Cukup Makanan
Untuk mengadakan Rumah Terbuka Adun dan Ahli Parlimen Serdang esok, dalam mesyuarat ringkas bagi persediaan terakhir. Seorang ahli menyatakan kerisauan,
``Saya takut, makanan tidak cukup esok !``
``Mengapa ?`` Tanya seorang AJK.
``Masa terlampau panjang dari jam 12.00 T.H. hingga 5.00 petang ! Kalau orang ramai berterusan datang parah kita tak cukup makanan.`` Seorang AJK yang lain menambah,
``Sebenarnya masa asal ialah dari jam 2.00 p.m. hingga 5.00 p.m. kemudian dicadang diawalkan dua jam, tapi bila dianjakkan 2 jam awal, sepatut dianjakkan masa tutup jam 3.00 petang, tapi dalam poster terus jam 5.00 juga.
Adun sedapkan hati mereka,
``Insya Allah, tak mengapa. Makanan cukup. Aturkan menu sebahagian-sebahagian dikeluarkan.`` Adun menambah,
``Andainya makanan habis – tak cukup. Itu menandakan Rumah Terbuka kita mencapai kejayaan, sebaliknya kalau makanan berlebihan menandakan kurang sambutan!``
Sekian.
No comments:
Post a Comment