October 21, 2010

Kerajaan Turun Padang 2010 Di Hulu Langat

PKNS, BBB, 12 Zulkaedah = 20 Oktober (Rabu):


Pihak Berkuasa Kerajaan Negeri mengarahkan pihak pentadbir tertinggi negeri dari Exco, Setiausaha Kerajaan, membawalah kepada Wakil-Wakil Rakyat, Pegawai Daerah, hinggalah kepada penghulu, Ketua Kampung, Ketua-Ketua Jabatan dan agensi-agensi kerajaan menyertai Program Turun Padang Kerajaan Negeri yang diadakan dari daerah ke daerah di negeri Selangor. Tujuan Turun Padang ialah untuk memberi penerangan dan dialog kepada pelaksana dasar kerajaan, khususnya Ketua-Ketua Kampong, agar mereka memahami dasar-dasar Kerajaan dan mampu menyampaikannya kepada rakyat dan membawa permasalahan dan aduan dari rakyat ke atas agar dapat diselesaikan dengan baik.


Demikianlah pagi hari ini merupakan Hari Turun Padang pada peringkat Hulu Langat yang diadakan di Dewan Cempaka, PKNS. Bagi tujuan ini hadir Ybhg. Dato`Tarmedi bin Hj. Omar, Timbalan Setiauasaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Tuan Haji Zainal Abidin bin Aala, Pegawai Daerah Hulu Langat, Y.B. Dr. Shafie bin Abu Bakar Adun Bangi, Y.B. En. Lee Kim Sin Adun Kajang, Y,B.Haji Khasim bin Abdul Aziz, Adun Lembah Jaya, Ampang, En. Rizal mewakili Y.B. Dr. Yaakob Sapari, En Zulkefli bin Khalid, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah), Pegawai-pegawai dari berbagai jabatan dan agensi, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampong. Jumlah yang hadir lebihkurang 150 orang dan 80 daripada ketua kampong yang seluruhnya berjumlah 120 mukim hadir.


Majlis bermula dengan ucapan Tuan Pegawai Daerah. Menurut Tuan Haji Zainal Abidin, Dato` Menteri Besar mau pihak pentadbir membuat lawatan keseluruh negeri Selangor bagi menerangkan polisi dan perjalanan pentadbiran Negeri Selangor, Hulu Langat menurutnya adalah kawasan ketiga dari segi lawatan. Menurutnya lagi, ``Ketua-ketua kampong di Hulu Langat adalah sebahagian dari 368 kampong tradisi di seluruh negeri Selangor yang juga mempunyai lebihkurang 5.000 orang ahli JKKK. Mereka semua adalah saluran penting bagi menyampai dan mendapatkan maklumat. Tuan Pegawai Daerah mengucap terima kasih, terutama kepada penghulu dan ketua kampong yang memberi kerjasama yang erat bagi segala kegiatan yang diadakan oleh Pejabat Daerah seperti program Kacau Dodol hingga kegiatan ini dimasukkan dalam Guinness Book of Record. Kerjasama juga bagi acara Melantik Ketua Kampong, acara Membantai pada 31 Ogos yang lepas dan sebagainya.


Yang Berbahagia Dato` Tarmedi bercakap tentang Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor, Sistem Mikro Kredit bagi mereka yang berpendapatan kurang RM1,500 layak memohon, bantuan computer kepada ketua-ketua kampong, ketua-ketua kampong perlu membantu dan menggalakkan mendaftar pengundi bagi yang belum mendaftar dan peruntukan bagi ketua-ketua kampong yang perlu digunakan dalam hubungan dengan rakyat.


Adun Bangi sebagai tuan rumah juga diberi peluang bercakap. Beliau berterima kasih di atas peluang yang diberi. Menurutnya pertemuan dan dialog hari ini amat penting. Penghulu dan ketua kampong menurutnya adalah lapisan ketiga dari segi pentadbiran negeri. Mereka adalah pengantara bagi kerajaan menyampaikan maklumat dan arahan dan pihak kerajaan mendapat maklumat dan aduan. Pertemuan memberi ruang kefahaman kepada penghulu dan ketua kampong tentang peranan mereka dan menjadikan mereka lebih efektif. Menrutnya adalah menjadi tanggungjawab kita bagi menjadikan Selangor terus berdaya maju.


Dalam sesi dialog dan soal jawab, seorang Ketua kampong dipilih mewakili satu dari 7 zon bagi seluruh Hulu Langat. Zon-zon berkenaan ialah, Ampang I, Ampang II, Beranang, Cheras, Hulu Langat, Kajang dan Semenyih. Berbagai soalan dikemukakan. Antaranya mengenai rumah PPRT, Hadiah anak ke universiti, elaun ketua kampong wajar dinaikkan, Hadiah Masuk Universiti, Skim Mesra Usia Mas yang perlu diubah format, tambahan peruntukan kepada ketua kampong, ansuran untuk ketua-ketua kampong, TAWAS, jalanraya yang banyak rosak diminta dibaiki, warung-warung tepi jalan mengganggu lalulintas, pembuangan sampah haram, rumah prehatin, Jalan antara Pekan Bangi ke Semenyih rosak teruk perlu dibaiki, cara pembahagian zakat, kad kuasa perlu diperluaskan kepada yang layak, masalah dadah dan pendatang haram.


Segala soalan dijawab satu persatu terutama oleh Dato` Tarmedi Omar, manakala soalan-soalan yang berhubung dengan jabatan dan agensi yang wakilnya datang dijawab oleh ketua atau wakil yang datang seperti dari Polis, JKR, PAID, Zakat dan sebagainya. Majlis berakhir dengan makan tengahari.


Sekian.

No comments:

Post a Comment