October 8, 2010

Bakal-Bakal Haji Dari Pas Serdang Diraikan

BBB, 28 Syawal = 7 Oktober (Khamis):


Pas Serdang pada malam ini meraikan 44 bakal haji dari Pas Serdang bagi tahun ini bertempat di Dataran Usahawan, Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi. Maklumat berkenaan mereka diperolehi melalui cawangan-cawangan. Turut datang sama merai mereka selain dari Adun Bangi, ialah Ustaz Haji Shafie Ngah, Timbalan YDP Pas Serdang yang juga Ahli MPKj, Tuan Haji Mazwan Johar Naib YDP yang juga Ahli MPKj, Saudara Adram Musa Ketua Pemuda Pas Serdang yang juga Ahli MPKj, Tuan Haji Mohd Yusof Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai Ramal Luar, Nazir-nazir, Imam-imam dan AJK surau-surau serta bakal-bakal haji yang diraikan.


Dalam ucapannya YDP Pas Serdang yang juga ADUN Bangi Dr Shafie Abu Bakar mengucap syukur kepada Allah dan tahniah kepada bakal-bakal haji kerana terpilih menunaikan haji pada tahun ini. Katanya,
``Kita mendoakan kepada Allah semoga semua jamaah beroleh Haji Mabrur.``
Beliau menyatakan keyakinan, katanya, ``Pemergian tuan-tuan dan puan-puan menunaikan haji melihat Ka`bah, tempat-tempat yang berhubung dengan peristiwa Nabi Ibrahim dengan isterinya Hajar dan anaknya Nabi Ismail yang berkaitan dengan ibadat Haji, melihat tempat diturunkan al-Qur`an, tempat bermulanya Islam dan kesan perjuangan Rasulullah, tempat-tempat berlakunya peperangan, perjanjian dan pemerintahan zaman Rasulullah dan sahabat-sahabat sama ada di Makkah, maupun Madinah makin mengukuhkan keyakinan tuan-tuan dan puan-puan dan meningkatkan komitmen saudara-saudara dan saudara-saudari dalam menegakkan perjuangan keiislaman.


Adun Bangi berpesan, ``Oleh kerana amalan Haji, bagi setengah daripada kita, ialah amalan fardu sekali seumur hidup, sebab itu perlu ditunaikan dengan amalan sesempurna mungkin, ``Saya percaya bakal-bakal haji sudah cukup bersedia dari segi mental, rohani dan fizikal. Tuan-tuan dan puan-puan sudah pasti mengikuti kursus-kursus haji yang dianjurkan seperti oleh Tabung Haji, masjid-surau, guru pembimbing dan sebagainya. Dalam masa yang berbaki ambil peluang mempertingkatkan kefahaman. Bertanya kepada guru jika masih belum faham. Tuan-tuan dan puan-puan hendaklah bersifat sabar dan menahan diri dan menjaga mulut dari melakukan perkara keji atau mengupat dan mengeji. Dalam pada itu, sesungguhnya tiap bakal haji mau melakukan ibadat sebanyak mungkin, perlu juga diberi perhatian kepada kesihatan fizikal, Sekiranya kita jatuh sakit akan menggangu kita dari melakukan ibadat. Tingkatkan kesuburan dan kedalaman rohani semasa di Tanah Suci. Saya berdoa semoga tuan-tuan dan puan-puan pergi di dalam keadaan yang sihat dan pulang bersih dari dosa serta dalam keadaan sihat dan kembali insya Allah meneruskan perjuangan - maaf zahir dan batin. Sedikit cenderahati disampaikan oleh YDP kepada semua bakal haji.

Sebelum daripada itu Ustaz Shafie Ngah yang mempengerusikan majlis ringkas turut mengucapkan tahniah di atas pemilihan bakal-bakal haji pada tahun ini. Menunaikan fardu haji merupakan penyempurnaan kita menunaikan rukun Islam bererti menyempurnakan perjuangan. Beliau juga berpesan ambillah peluang untuk berkenalan dengan jamaah dari berbagai Negara di dunia ini dan janganlah hanya berada di dalam lingkungan jamaah kelompok sendiri dari Malaysia sahaja. Beliau juga mengakhiri majlis dan membaca doa memohon kesempurnaan haji, kesihatan diri serta selamat pergi dan pulang dalam keadaan sihat dan selamat. Para bakal haji dan hadiri dijemput menikmati hidangan yang disediakan.


Sementara itu selain dari meraikan bakal-bakal haji bertempat di Medan Usahawan di sini. Y.B. Dr. Shafie telah menghadiri beberapa tempat yang diadakan Majlis Meraikan bakal-bakal haji, antaranya disekalikan dengan sambutan raya seperti:


1) Meraikan bakal-bakal Haji di Surau Taman Jasmin pada malam Khamis 30
September 2010.
2) Sambutan Hariraya dan meraikan bakal-bakal Haji di Kantan Permai, Kajang pada pagi Sabtu 2 Oktober 2010
3) Sambutan Hariraya dan meraikan bakal-bakal Haji di Surau at-Taqwa, Sungai Jeluk, Kajang pada malam 3 Oktober 2010.
4) Majlis Meraikan bakal-bakal Haji di Surau An-Naim, Bukit Mewah pada Rabu malam 6 Oktober 2010
5) Majlis Sambutan Idul Fitri dan Meraikan Bakal-Bakal Haji di Masjid Al-Ikhwaniyyah, Taman Cheras Utama, Cheras pada malam 6 Oktober 2010.
6) Majlis meraikan bakal-bakal Haji di Surau Cheras Perdana pada Jumaat malam 8 Oktober 2010.
7) Majlis meraikan bakal Haji di Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar pada Ahad malam 10 Oktober 2010.

Sekian.

No comments:

Post a Comment