October 28, 2010

Ceramah Galas Di Stadium Seksyen Lima Belas

BBB, 20 Zulkaedah = 27 Oktober (Rabu):



Ceramah malam ini dianjurkan oleh Pemuda Pas Cawangan Serdang dengan kerjasama Pas Kawasan Serdang bertempat di Stadium Bangi, Seksyen 15, BBB. Ceramah bertujuan memungut dana bagi pilihanraya kecil Galas. Penceramah jemputan pada malam ini ialah Y.B. Dato` Mahfuz Omar Naib Presiden Pas, Ustaz Azman Shapawi Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Adun Bangi dan Saudara Mohd. Adram Musa, Ketua Pemuda Pas Serdang yang juga selaku Bendahari Dewan Pemuda Pas Pusat. Hadir sama pada malam ini ialah Cikgu Ridhuan Ketua Cabang PKR Hulu Langat, Ustaz Shafie Ngah Timbalan YDP Pas Serdang yang juga Ahli MPKj, Tuan Haji Mazwan Johar Naib YDP Pas Serdang yang juga Ahli MPKj dan Puan Nor Aishah Ahli MPKj.


Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Shukor Atan itu bermula jam 9.15 malam dengan ucapan saudara Mohd Adram selaku Tuan Rumah yang mengalu-ngalukan kehadiran penceramah-penceramah jemputan dan orang ramai yang memenuhi ruangan hadapan stadium yang berjumlah melebihi seribu orang. Saudara Adram menekankan tekad dan perjuangan Pas yang mau menegakkan Islam di Negara ini berdasarkan Al-Qur`an dan Al-Sunnah. Perjuangan kita menurutnya, sudah menunjukkan kejayaan dan kita berusaha bagi meningkatkan kejayaan. Permasalahan yang dihadapi masyarakat kini kerana kehilangan pegangan. Kita perlu kembali kepada Islam secara syumul, tegas saudara Adram.


Adun Bangi bercakap tentang Galas, peranan Serdang dalam membantu Galas, pemergian Adun bersama pasukan dari Bangi beserta dengan Sepang, Sungai Besar dan PJS. Rombongan dari Bangi bertugas di Bandar Baru Gua Musang mulai dari 24 – 26 Oktober dan melakukan kerja-kerja penculaan dan turun memberi sokongan pada hari penamaan calon. Adun juga bercakap tentang kehilangan kepercayaan terhadap Umno yang tidak mampu mencetuskan idea yang bernas, tetapi mengulangi perkara yang sama setiap kali bermesyuarat agung termasuklah mesyuarat agung pada minggu lepas. Kegagalan mereka membela Melayu dipersalahkan kepada orang lain. Mereka mempertajamkan rasa perkauman. Adun Bangi juga bercakap tentang ekonomi Negara yang lemah kerana hutang yang makin bertambah dan kemungkinan menuju kepada bankrupsi 2019 sebagaimana yang disebut oleh Idris Jala. Beliau juga menyentuh tentang kedudukan Malaysia terkebelakang dari Negara-negara Asean dan masalah sosial yang dihadapi masyarakat.


Penceramah jemputan pertama Ustaz Azman Shapawi menyatakan bahawa Umno berikrar membela agama, bangsa dan tanahair, tetapi tindak tanduk umno bercanggah. Contoh pertandingan fesyen pakaian wanita yang dianjur Rosmah dikatakan Islam, tetapi bercanggah dengan Islam. Beliau juga bercakap tentang hutang Negara yang kini berjumlah 362.9 bilion yang jika dibahagi dengan penduduk Negara ini setiap rakyat kini berhutang sebanyak RM14,000. Dalam pada itu Najib tetap ghirah untuk membina `Bangunan Warisan` seratus tingkat yang memberi implikasi kepada ekonomi Negara. Beliau juga menyentuh tentang perjanjian `Monsoon Cup` Terengganu selama 8 tahun yang kerajaan negeri terpaksa menanggung kos bayar kepada penganjur dari Barat itu berjumlah RM32 bilion. Beliau juga mempersoalkan ungkapan Datuk Seri Najib bahawa Kerajaan BN akan mempertahankan Puterajaya dengan apa cara sekalipun. Adakah tindakan kekerasan akan dilakukan kiranya BN kalah ? Beliau juga membicarakan soal Felda yang menekan peneroka dan baru-baru peneroka berjaya menyaman Felda dan mendapat pampasan sebanyak RM11 juta.


Y.B. Dato` Mahfuz Omar menyatakan bahawa dasar Umno-Bn sekarang adalah tidak menentu arah. Beliau menyifatkan Persidangan Umno yang berlangsung baru-baru ini sebagai `Persidangan Raja Lawak Malaysia`. Di Malaysia Umno tidak berminat dengan Islam, tetapi di luar Negara – contoh di Amerika mau Bantu menyelesaikan masalah Islamaphobia di sana. Konon Umno jaguh Islam ! Beliau juga menghuraikan berhubung dengan bajet yang dibentangkan di dalam Parlimen baru-baru ini yang disifatkan sebagai `Bajet Seluar Dalam` yang menurut Sdr. Mahfuz disebut begitu detail termasuk penarikan cukai terhadap seluar dalam ? Beliau menyifatkan bajet baru-baru ini bukan dengan tujuan untuk membela golongan miskin – Sebab itu rakyat miskin akan terus miskin.

Sekian.

No comments:

Post a Comment