December 31, 2011

Kunjungan Ke Sekolah Tahfiz & Arabic Malaysia (STAM), Sampaikan Peruntukan


Sungai Ramal Dalam, 05 Safar = 30 Disember (Jumaat):


Pihak Adun memohon pihak STAM menentukan tarikh dan masa bagi Adun berkunjung untuk menyampaikan peruntukan yang diluluskan oleh pihak Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan. Hari ini pagi Jumaat, jam 10.00 dipilih oleh pihak Sekolah bagi Adun berkunjung. Dengan memandu Hilux Adun bersama isteri & Nabilah dan kali ini buat pertama kali saudara Azizi, walaupun bertongkat, mau bersama pergi. Dia datang ke pejabat dipandu isterinya dan saudara Amir Osman naik kereta Azizi, kami berkonvoi ke STAM bagi menyampaikan peruntukan. Tepat jam 10.00 pagi kami tiba ke pekarangan sekolah disambut oleh Tuan Haji Ishak Yusof Penasihat Sekolah, Puan Ainon Mardziah bt. Dun Pengetua, guru-guru dan pelajar-pelajar. Tiba

sama ialah Tuan Haji Mohd Yusof Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar. Kami diiringi berkompang ke dalam Dewan Sekolah yang sedia di dalamnya pelajar-pelajar.


Selepas duduk di hadapan bersama tamu-tamu majlis terus berjalan dengan jemputan kepada Ustaz Haji Ishak membaca doa dan ucapan alu-aluan dari Pengetua Ustazah Ainon Mardziah yang mengucap terima kasih kepada tamu-tamu kehormat yang hadir. Beliau memaklumkan kini Sekolah dalam minggu-minggu (pengenalan kepada pelajar-pelajar baru) yang datang mendaftar dan mengikuti program penerangan, hafazan, motivasi kerohanian dan qiyamullail. Esok pelajar-pelajar cuti hingga 8 Januari 2012.


Menurut Ustazah Ainon Mardziah, Sekolah mengambil pendekatan mulai dari permulaan masuk pelajar didedahkan dengan hafalan hingga tamat 30 juz`dan menghadapi pelajaran akademik. Umumnya didapati pelajar-pelajar yang hafal al-Quran lebih terang hati-jiwa dan mudah menghadapi pelajaran, bahkan lulus dengan cemerlang berkat menghafal al-Qur`an. Ustazah Ainon mengucapkan terima kasih di atas pemberian peruntukan yang difahamkan nilainya ialah RM50,000/=.


Dari percakapan Adun bersama Ustaz Ishak bahawa terdapat seramai 150 orang pelajar dari tingkatan satu hingga lima di STAM. Guru yang berkhidmat ialah seramai 20 orang. Menurutnya, ``Pihak Sekolah terpaksa memperuntukkan sejumlah dapatannya kerana membayar sewa bangunan, iaitu sebanyak RM6,500/= sebulan. Pihak Sekolah memikirkan bagi mendapat tapak dan bangunan yang tetap.. Mulai tahun ini menurut Ustaz Ishak, dalam jangkaan Sekolah ini sepenuhnya menjalankan program tahfiz..


Adun Bangi dalam ucapannya memaklumkan bahawa Pemberian Peruntukan dari Kerajaan Negeri Selangor adalah bagi tahun ketiga dan saya difahamkan inilah pertama kali Sekolah menerima peruntukan daripada Kerajaan Negeri, iaitu berjumlah RM50,000/. Menurut Adun ini ialah satu-satunya sekolah yang mendapat peruntukan yang agak besar. Pada kebiasaan satu-satu sekolah yang dipohon diberi antara RM 10,000 hingga Rm20,000 sahaja. Peruntukan yang diberi keseluruhan oleh Kerajaan negeri sebanyak RM6,000 dipohon oleh 175 buah Sekolah. Hitung panjang bagi sesebuah Sekolah hanya RM35,000 sahaja. Pada kebiasaan permohonan yang tinggi diberi perhatian ialah untuk memperbaiki atau menambah bangunan. Adun dapati

permohonan peruntukan yang dibuat Sekolah adalah bertujuan untuk menambah ruang bagi tiga kelas, membaikpulih dapur dan tempat letak makanan. Mau beli computer untuk makmal sekolah dan baiki sistem air yang banyak masalah.. Jumlah yang dipohon Sekolah pada asalnya sebanyak RM200,000, tetapi yang dapat dilulus hanya RM50,000 sahaja, namun begitu kita bersyukur kepada Allah lantaran Kerajaan negeri Selangor begitu prihatin kepada rakyat negeri Selangor. Adun juga mengingatkan bahawa peruntukan adalah bersifat tahunan, sebab itu pada tahun hadapan (2012) buatlah permohonan.


Ucapan Adun diakhiri dengan Perasmian Penutup Minggu Pemahaman Pengajian dan Silaturrahim. Kemudian Adun menyerahkan cek berjumlah RM50,000/= kepada Ustaz Ishak selaku Penasihat dengan disaksikan oleh Pengetua, Tuan Haji Mohd. Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar. Berhubung dengan keperluan mencari tapak, Adun sokong jika tempat dan harga munasabah .

Sekian.

December 30, 2011

Sekolah Al-Amin Buka Ma`had Tahfiz: Adun Bangi Sampaikan Sumbangan Kerajaan Negeri Selangor

Sungai Tangkas, Bangi, 01 Safar = 26 Disember (Isnin):

Sekolah Al-Amin yang terletak di Sungai Tangkas, Bangi adalah merupakan salah sebuah Sekolah Agama Swasta termaju di Dun Bangi. Sekolah yang dibina 1992 di Sungai Tangkas ini ditadbir oleh kumpulan intelektual dan professional yang membuat pendekatan terkini dan berinovasi dalam pengajaran serta menambah nilai dari segi kurikulum. Dengan pendekatan terkini, banyak pihak yang merasa yakin dengan pendekatan yang dilakukan dan ramai dari kalangan ibu bapa yang sedar dengan kepentingan agama dan pendekatan terkini menghantar anak-anak mereka belajar di sini. Keyakinan bertambah dengan ramai keluarnya pelajar berjaya yang menyambung pengajian di dalam dan di luar Negara. Sekolah ini menyediakan pengajian pada peringkat rendah dan menengah. Pentadbiran dikendalikan oleh satu jamaah yang terdiri dari:

Pengerusi PIBG: Tuan Haji Ridzuan bin Jaafar

Pengetua/G. Besar: Pn. Rohida bt. Jamaluddin

Ahli Lembaga Executive: Pn. Norain bt. Hayun

Dan Ahli-Ahli Jawatankuasa yang lain.

Sekolah ini tidak saja bergantung pada yuran pelajar-pelajar, tetapi dengan ikhtiar dari PIBG & Lembaga dan sokongan ibu bapa yang bersemangat tinggi, maka pihak Sekolah dapat mendirikan bangunan-bangunan sekolah hasil dari dana yang diusahakan. Pada tahun lepas Sekolah juga berjaya mendirikan Musalla yang agak selesa seharga RM500,000/=.

Sekolah Al-Amin yang berada di bawah badan Muslih dan berdaftar di bawah JAIS ini mempunyai Lembaga Pemegang Amanah yang ditubuh di bawah Lembaga Pengelola Sekolah bagi mencari dana dan menambahkan asset Sekolah. Lembaga Pemegang Amanah ini terdiri dari Engku Zairul dari Islamic Relief, Prof Jailani dari Kumpulan Serdang Bangi Berhad, Tuan Haji Shahrom Mohd Sharif, Dr. Mohd Nor Ghani dan Enche Muhammad (maaf jika nama dan title tidak lengkap). Pihak PIBG dan Lembaga kini dalam usaha menyiapkan bangunan Ma`had Tahfiz yang dijangka dibuka pada awal tahun 2012 dan seramai 23 pelajar sudah mendaftar. Sudah tentulah dengan adanya Ma`had Tafiz Al-Qur`an ini menjadi daya tarikan bagi ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke Sekolah ini. Sekolah ini juga bekerjasama dengan Islamic Relief bagi menolong kanak-kanak miskin meneruskan pengajian.

Adun Bangi hadir ke Sekolah Al-Amin pada pagi ini ialah bagi menyerahkan cek bantuan kepada Sekolah ini dari Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal insan sejumlah yang tidak begitu besar, iaitu sebanyak RM30,000/=. Tuan Haji Ridzuan dalam ucapan alu-aluan mengucapkan terima kasih di atas sumbangan kerajaan negeri Selangor. Menurutnya, Walaupun jumlah RM30,000/= adalah tidak begitu banyak, tetapi sekurang-kurangnya dapat menampung kekurangan yang diperlu Sekolah. Beliau memaklumkan bangunan Ma`had Tahfiz 90% siap dan masih memerlukan derma. Dari segi pembangunan, tapak Sekolah begitu sempit dan kemungkinan Sekolah yang bangunan setingkat akan diroboh bagi memberi laluan kepada bangunan bertingkat bagi menambahkan ruang.

Dalam ucapan Adun memaklumkan. Peruntukan yang dibawa adalah merupakan sebahagian dari peruntukan RM6 juta bagi Sekolah-sekolah agama. Pada separuh kedua tahun ini sebanyak 134 buah SAR membuat permohonan. Separuh pertama 41 buah membuat permohonan. Maka ianya diagih-agihkan kepada Sekolah-sekolah berdasarkan keperluan dan proposal yang dihantar. Adun juga mengingatkan, bahawa bantuan adalah bersifat tahunan. Ini bererti untuk tahun hadapan permohonan boleh dibuat pula. Adun Bangi sudahi ucapan dengan harapan yang tinggi agar Sekolah lebih mencapai kejayaan dan menjadi keyakinan dan rebutan ibu bapa bagi menghantarkan anak-anak mereka. Berhubung dengan kekurangan tempat Adun mencadang agar pihak PIBG & Lembaga Pengelola meninjau kawasan dan bangunan-bangunan di Sibertel berdekatan untuk mengguna atau kemungkinan memilikinya, kemungkinan Lembaga & PIBG Sekolah dapat berunding dengan pihak Sibertel dan mengambil alih kawasan yang luas (lebih 30 ekar) dan perumahan yang terbengkalai menjadi kampus baru Sekolah Al-Amin dan dapat membesarkan pengajian kepada peringkat kolej, kolej Universiti atau universiti.

Sekian.

December 29, 2011

Kahwin Dua Pasangan Pengantin Di Rumah Kenangan Sungai Ramal Luar

Sg. Ramal Luar, 29 Muharram = 25 Disember (Ahad):

Rumah Kenangan yang prihatin terhadap anak-anak yatim, miskin, ibu tunggal dan warga emas yang uzur hari ini menjalankan acara perkahwinan dua beradik yang tinggal di rumah kenangan yang menampung penghuni seramai 70 orang itu. Pasangan berkenaan menurut Dr. Marzuki selaku Pengerusi dan Bapa bagi penghuni-penghuni Rumah Kenangan tersebut ialah: En. Shawaluddin bin Haji Harith dan Cik Rohaya bt. Haji Harith dengan pasangan masing-masing. Tamu-tamu terpilih dijemput menghadiri majlis perkahwinan – termasuklah Adun Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar, Tuan Haji Mohd Yusof Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar. Turut hadir ibu bapa bagi pengantin dua beradik iaitu Haji Harith bin Norbit dan Hajah Rom bt. Musa. Hadir sama Mr. Fong dan keluarga yang menurut Dr. Marzuki banyak memberi sumbangan terhadap Rumah Kenangan.

Ketibaan Adun bersama Ketua Kampung dan Tuan Nazir disambut dengan kompang dan iringan salawat dari halaman ke dalam kawasan Rumah Kenangan. Penghuni-penghuni rumah kenangan, terutama yang terlibat dengan program berpakaian seragam. Walaupun Majlis Sempena perkahwinan dua pengantin yang tinggal di Rumah Kenangan, mereka nampaknya bukanlah menjadi fokus keraian, sebaliknya mereka sama sebagaimana penghuni-penghuni lain menyambut dan mengendalikan acara-acara – termasuk menjadi juruacara majlis. Semua program pula adalah disusun dan dikendalikan oleh penghuni-penghuni Rumah Kenangan.

Sebelum Majlis Jamuan diadakan majlis ringkas dengan persembahan pertunjukan silat dari anak-anak penghuni Rumah Kenangan, nasyid dan lakonan. Adun dalam ucapan perasmian mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada dua pasang mempelai yang Adun difahamkan ini julung-julung kali Majlis Perkahwinan dijalankan di rumah Kenangan berkenaan. Adun melahirkan kekaguman terhadap usaha pihak Pengerusi Dr. Marzuki dan pendukung-pendukung Rumah Kenangan yang gigih berusaha dan berdikari dengan mengadakan perusahaan bengkel, construction dan kerja-kerja tangan serta bimbingan terhadap pelajar-pelajar. Adun juga mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar dari Rumah Kenangan yang mencapai kepujian di Sekolah-sekolah yang mereka belajar. Contoh pelajar yang belajar di Sekolah Leftenan Adnan mendapat Anugerah Mas terbaik Akademik dan Syakhsiah, manakala Sekolah di Putra Jaya Hadiah Akhlak Terpuji, manakala Sekolah Tinggi Kajang juga Akhlak Terpuji dan di Sekolah Jalan Bukit sebagai Pelajar Contoh. Adun mencadangkan pihak Masjid Haji Mat Saman bakal dibuka Kelas Tahfiz diserapkan sama pelajar-pelajar dari Rumah Kenangan, agar mereka menjadi contoh dari segi disiplin dan akademik.

Sebelum dari itu Tuan Haji Mohd. Yusof Ketua Kampung mengucapkan tahniah kepada kedua pasangan mempelai dan menawarkan sebarang khidmat yang diperlukan oleh Rumah Kenangan. Pada Akhir majlis ialah jamuan beramai-ramai.

Sekian.

Klinik Bola Sepak Anjuran Adun Bangi

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB 29 Muharram = 25 Disember (Ahad):

Bola sepak atau football adalah permainan antarabangsa, merentasi sempadan dan bangsa, digemari semua pihak sama ada tua atau muda, lelaki atau perempuan. Keunggulan bola sepak menjadi kemegahan, Negara-negara yang terkenal dengan pasukan bola sepak dikagumi seperti German, Brazil, Argentina, Perancis, Sepanyol dan sebagainya. Kelab-kelab bola sepak antara bangsa menjadi sanjugan seperti Arsenal, Manchester United dan sebagainya.

Di Negara kita, walaupun tidak bertaraf antarabangsa tidak kurang sanjungan terhadap pasukan dan wira-wira bola sepak seperti kemunculan pasukan Harimau Muda Malaysia dan kelahiran tokoh bola sepak professional seperti Safi Sali, Khairuddin, Apex dan sebagainya. Kebangkitan Harimau Muda memberi kesan semangat terutama kepada anak-anak muda dan mereka seolah-olah mau terlibat sama. Demikianlah selama ini Adun sering mengadakan pertandingan bola sepak pada peringkat kawasan dan Dun dan mendapat sambutan dari segi penyertaan dan pertandingan. Pada kali ini sebelum penutup Tahun 2011 Lajnah Sukan Adun yang dipengerusikan oleh saudara Dahari menganjurkan Klinik Bola Sepak – maksudnya adalah bersifat latihan yang dibimbing oleh coach-couch yang berpengalaman. Klinik Bola sepak ini mendapat kerjasama Ahli MPKj dan Pemuda Pas Serdang – saudara Adram Musa. Latihan bertempat di Kompleks Sukan, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Sambutan dari anak-anak muda di Bandar Baru Bangi di luar dugaan yang kebetulan masa cuti Sekolah. Menurut saudara Dahari lebih dari 300 peserta hadir, iaitu berumur antara 12 – 14 tahun dan dari tingkatan 5 (17). Terdapat seorang pemain yang pernah bermain ke luar Negara iaitu Mohd. Alias Kaswa yang mewakili Kelab Mutiara Kajang dan pernah bermain hingga ke Singapura, Australia, Jepun dan England. Setiap peserta disponsor sehelai baju berharga RM13.00, dikenakan bayaran hanya RM5.00. Baju adalah menjadi rebutan.

Semasa merasmikan Klinik Bola Sepak Adun memuji pihak Lajnah yang membuat pendekatan baru dari segi melatih pasukan-pasukan bola sepak di Bangi. Adun berharap dari klinik akan dikenalpasti pasukan dan individu yang berbakat dan bakat mereka perlu digilap sehingga menonjol sebagai pemain bola sepak berbakat yang akan mewakili Dun Bangi, kawasan, daerah, bahkan negeri. Turut berucap sebelumnya saudara Adram Musa yang menekankan pentingnya semangat kesukanan dan berpasukan dipupuk dan semangat sedemikian dapat dipraktikkan ke tengah masyarakat..

Adalah difahamkan coach atau jurulatih pada hari ini dijemput khas 3 orang, antaranya dari peserta Harimau Muda B (Pasukan A sedang berada di Australia), mereka ialah sdr. Nik Shafiq dari Harimau Muda (B), manakala dua orang lagi saudara Zulfahmi dari Pasukan Sime Darby dan Abang Cherry juga dari Sime Darby.

Bagaimana Klinik Bola Sepak beroperasi ? Pasukan yang berjumlah lebih 300 pemuda itu dipecah kepada 6 di tengah padang. Bagi setiap pasukan dibimbing oleh coach. Antara aktiviti dijalankan ialah berlari, membuat bulatan dalam mana praktik bola dijalankan seperti, juggling, stop bola dan passing, cara bawa bola,, pergerakan 3, 4,5, - 3, 3 & 4 dan sebagainya. Bagaimana menendang bola finalti, tending sudut, mengejar, tackle, heading, hantar lambung dan sebagainya. Latihan berterusan dari jam 8.30 hingga 11.30 tengahari.

Latihan berjalan dengan baik dan lancar. Dengan klinik latihan diberi bertambah pengetahuan peserta dan menambah kemahiran bermain.

Sekian.

December 28, 2011

Kejutan Kedua Makin Mencabar Kerjaya

Tiba-tiba keceriaan itu terhenti
Seperti udara kehilangan tenaga
Dan pohon-pohon tegak kaku
Sama-sama tafakur kesedihan
Menggugurkan daun kesayuan
Sesungguhnya dia ke mari
Membawa kejutan dan pergi
Lantas rekod perjalanan
Ke hujung tahun itu
Terpercik merah di dinding kenangan
Mengganda berat dengan ujian.

Dengan keputusan
Segala agenda dan gagasan semalam
Berdepan gugatan
Namun dengan tenaga bersisa
Biar ini kejutan kedua
Diri bangkit membebat luka
Meraih peta perjalanan
Menggalas perancangan
Bangi Bandar Ilmu itu
Melakar kejayaan.


Shafie Abu Bakar
Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Bangi,
03 Safar 1433
28 Disember 2011.

Berita Dari Pejabat Daerah Hulu Langat: Isu Tanah , PKNS Tidak Hiraukan Bantahan !

BBB, 02 Safar = 27 Disember (Selasa):

Pada bulan Disember adalah bulan terakhir bagi satu-satu tahun – termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah Hulu Langat yang dihadiri berbagai-bagai jabatan. Maka mesyuarat pada bulan ini adalah mesyuarat akhir bagi tahun ini (2011). Tidak kurang pula ianya merupakan bulan penilaian dan penutup kira-kira, maka dibuatlah penilaian, misalnya perstasi perbelanjaan bagi Adun, Ahli Parlimen dan Ketua Kampong berdasarkan peruntukan yang diuntukkan bagi mereka. Pada umumnya hampir kesemuanya telah membelanjakan peruntukan antara 80 – 95%.

Perkara yang popular dibicarakan pada mesyuarat kali ini ialah berhubung dengan banjir kilat yang berlaku di Kajang pada Jumaat 2 Disember 2011 yang mengakibatkan banjir juga berlaku di Sungai Tangkas dan Kampong Bangi. Pihak JPS menjawab oleh kerana hujan lebat lebih dari kebiasaan, menyebabkan saliran sungai tidak dapat menampung volume air, ditambah dengan kesempitan laluan, halangan jambatan dan bottleneck di tepi warung-warung di saliran di Bandar Kajang. Oleh kerana adanya perjanjian antara pihak MPKj dengan pihak pemilik-pemilik warung, maka ianya tidak boleh diperlebarkan sungai sehingga tempoh perjanjian 2015. Hujah ini dikritik ioleh Ahli Parlimen Hulu Langat yang sama hadir, menurutnya, ``Jika kesempitan menyebabkan banjir, tidakkah wajar dibuat rundingan memendekkan perjanjian, agar peluasan Sungai dapat disegerakan sebelum 2015 ?.

Adun Bangi menimbulkan pertanyaan kepada pihak JKR, tentang pihak manakah yang menurap semua jalan-jalan utama di Bandar Baru Bangi dan di tempat-tempat lain di Dun Bangi, adakah oleh pihak Persekutuan atau oleh pihak negeri. Wakil JKR dalam mesyuarat menegaskan bahawa jalan-jalan yang sedang dan sudah diturap dengan begitu banyak itu adalah dari peruntukan negeri. Jawapan ini adalah bersamaan dengan pertanyaan Adun kepada pegawai yang mengawasi penurapan jalan tempoh hari, bahawa syarikat yang menurap adalah pihak Kumpulan Perangsang negeri Selangor. Adun membuat tinjauan mutakhir dua hari lepas terhadap kerja-kerja melebarkan jalan bagi bulatan dihadapan tol Bandar Baru Bangi bagi memudahkan laluan yang pada waktu puncaknya berlaku jammned terutama pada waktu pagi dan petang hari-hari bekerja.



Sebenarnya ini ialah perluasan kali kedua selepas perluasan yang pernah dibuat sebelumnya. Dengan perluasan ini mengurangkan kesesakan dan lebih melancarkan perjalanan. Kita mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor dan pihak JKR yang memilih dan menumpukan penurapan hampir ke seluruh jalan-jalan utama Bandar Baru Bangi dan jalan-jalan yang lain di Dun Bangi.




Dalam perbicangan juga Adun menimbulkan tentang perumahan terbengkalai Apartment Kelisa Ria, Kg. Sungai Tangkas, di Jalan Reko, Mukim Kajang oleh Syarikat Pemaju, T.J. Plaza Sdn. Bhd. melibatkan 500 unit rumah pangsa. Namun pihak MPKj tidak dapat memberi jawapan memuaskan selain dari memaklumkan projek berkenaan sudah siap 70%. Namun Adun menyebutkan bahawa projek berkenaan diisytiharkan sebagai terbengkalai sejak Julai 2011. Adun juga menimbulkan tentang Asrama Sibertel yang terbiar dan rosak, perkara ini nampaknya di luar maklumat MPKj dan perlu kepada masa untuk penyiasatan sebelum diambil tindakan.


Dalam perbincangan itu Adun juga timbulkan, bagaimana terdirinya bangunan berderet di tepi bulatan ke kiri UKM di belakang papan-papan iklan yang mencacatkan pandangan dan membahayakan, kerana ianya berada di bawah rintisan cable TB yang Hihgly Tension. Adun mengingatkan tempat ini pernah dipohon oleh beberapa pihak yang berminat, kerana kepentingan komersil tanpa memikirkan dari segi kepentingan alam sekitar dan rekreasi, Adun dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi tidak menyetujuinya. Tiba-tiba mengapa kini secara senyap-senyap dan diam-diam di luar makluman dan tidak pernah di bawa ke mesyuarat penyelarasan, tiba-tiba naik bangunan berderet ? Pihak wakil PKNS dalam Mesyuarat J/K Kerja Tindakan Daerah memaklumkan, bahawa tanah berkenaan adalah milik PKNS yang dijual kepada WCB Construction Sdn. Bhd. Jelaslah tindakan menjualnya tanpa mengira ketidaksetujuan Adun dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Ianya amat mencacatkan pandangan dan membahayakan, kerana ianya berdekatan dengan cable letrik yang tinggi powernya. Kita menginginkan kawasan keliling Bulatan Ke UKM menjadi lokasi daya tarikan pandangan yang indah dan menarik, dihiasai dengan pohon-pohon dan bunga-bungaan dan dibangunkan logo `Bangi Bandar Ilmu` sesuai bulatan mengarah ke UKM, German Malaysia Institute juga mengarah Seksyen Satu, Tiga dan Empat Bandar Baru Bangi. Kita mau tempat itu menjadi lokasi seni taman yang menarik. Malangnya kepentingan komersil lebih dipentingkan dari menjaga alam sekitar dan membangunkannya sebagai satu lokasi menarik. Sesungguhnya kepentingan komersil menumpulkan daya imaginasi dan kreativiti yang seharusnya ada pada pihak yang menyusun kedudukan landscaping dan seni taman di Bandar Baru Bangi. Kita berharap perlu disiasat mengapa kelulusan diberi tanpa memikirkan bantahan, sensitiviti dan kepentingan masyarakat.

Perlu diperingatkan bahawa, Bandar Baru Bangi kini mempunyai tanah terhad untuk dibangunkan, sebab itu pihak berkepentingan dari segi komersil dan PKNS sendiri mengintai-ngintai di mana reja-reja tanah yang ada untuk diguna bagi kepentingan komersil, apa lagi jika ada pula yang berminat yang tentunya dengan tawaran harga yang tinggi, kita juga membawa satu contoh lagi, satu kawasan tanah kosong lebih kurang setengah ekar berdepan dengan Dewan Orang Ramai di Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi, tempat ini wajar dikosongkan atau lebih sesuai dijadikan gelanggang sepak takraw atau basketball/volley ball, tiba-tiba sedang kita berusaha untuk mendirikan masjid di tapak masjid di situ, naik iklan di tapak tanah setengah ekar untuk didirikan unit-unit perumahan.

Ini menyebabkan Adun dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi mengunjungi PKNS berbincang dan menghantar surat bantahan, bahawa tanah berdepan Dewan Orang Ramai dan di tepi tapak masjid itu tidak sesuai didirikan perumahan. Tetapi nampaknya PKNS lebih mementingkan komersil dari kepentingan alam sekitar dan kepentingan masyarakat. Tanpa mempedulikan bantahan Adun dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi pihak PKNS menjual dan membenarkan Syarikat mendirikan perumahan yang sememangnya menyakitkan pandangan dan mencacatkan kedudukan Dewan Orang Ramai dan masjid yang bakal didirikan.


Bagi mereka yang tinggal di mana-mana kawasan di Bandar Baru Bangi dan ada reja-reja lebihan tanah yang belum dibangunkan sepatutnya dijadikan kawasan lapang dan rekreasi hati-hati kemungkinan akan diceroboh untuk diisi dengan pembangunan bangunan ! Di Bangi kini banyak pihak yang laparkan tanah !



Sekian.

December 27, 2011

Menyuntik Semangat & Mengurangkan Beban Melalui Program `Back To School` Di DUN Bangi - Dorong Ke Arah Kejayaan

Dewan Cempaka PKNS, BBB, 01 Safar = 26 Disember (Isnin):

Sebagaimana pada tahun-tahun yang lepas, demikianlah sudah menjadi tradisi Adun Bangi mengadakan Program Back To School pada setiap akhir Disember bagi membantu anak-anak miskin di Dun Bangi kembali bersekolah. Demikianlah hari ini program berkenaan di adakan di Dewan PKNS, Tingkat Tiga, bangunan berkenaan. Program kali ini dianjurkan oleh Sekretariat Bangi Bandar Ilmu yang Pengarah programnya ialah saudari Nur Sabrina bt. Mohd Arip dengan kerjasama Pewaris dan Nisa` . Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga jam 12.30 tengahari itu di isi dengan Majlis Pembukaan, motivasi oleh Penceramah Jemputan yang disampaikan oleh Encik Ahmad Fuad bin Hj. Che` Abd. Razak dari Asas Insan Resources & Training, Bandar Seri Putera, Bangi. Oleh kerana Adun mempunyai program di tempat lain, maka ceramah motivasi disampaikan terlebih dahulu kepada ibu bapa dan anak-anak yang memenuhi dewan.. Saudara Ahmad Fuad bercakap tentang perlunya anak-anak diberi perhatian dari segi fizikal dengan menjaga makanan yang baik dan jauhi dari makanan tidak halal, perhatian lebih-lebih lagi dari segi mental dengan mendorong mereka rajin membaca dan mencintai ilmu pengetahuan dan menjaga dari segi emosi dan pergaulan. Anak-anak hendaklah ditanamkan sifat positif di dalam minda dan jiwa mereka, agar mereka mampu menghadapi cabaran dan alam keliling dengan penuh keyakinan dan seterusnya mencapai kejayaan.

Dalam ucapan perasmian oleh Adun Bangi, beliau mengucap syukur kepada Allah, kerana pada tahun ini menurut beliau kita dapat mengadakan sekali lagi Program Back To School. Beliau mengucap terima kasih di atas kehadiran anak-anak bersama-sama ibu bapa. Turut hadir Tuan Haji Rushdi bersama AJK Kebajikan. Serta pimpinan & AJK Pewaris dan Nisa`.Dalam ucapannya lagi , Adun menyatakan, ``Back To School adalah program tahunan Adun bagi membantu anak-anak dari keluarga miskin kembali ke Sekolah menjelang bukanya Sekolah awal Januari tahun 2012 nanti. Menurut Adun, ``Kita memberi perhatian yang tinggi dan utama aspek pendidikan di Bangi, diikuti dengan Kebajikan dan Kesejahteraan.``

Menurut Adun , tujuan mengadakan Back To School, ialah bagi membantu dan menggalakkan anak-anak dapat menghadapi pelajaran dengan selesa. Kalau Jom Shopping warga Emas kita peruntukkan sebanyak RM100/= seorang, maka bagi pelajar-pelajar Back To School juga kita beri RM100.00. Adun difahamkan, seramai 85 dari 120 pelajar yang dipaggil dapat hadir. Beliau berharap, terutama kepada ibu-bapa supaya benar-benar menggunakan peruntukan yang diberi Adun bagi kepentingan persekolahan anak-anak.Selain dari peruntukan Back To School, menurut Adun, banyak lagi skim dan insentif yang diberi Kerajaan Negeri Selangor bagi pendidikan seperti, Skim Pelajar Cemerlang, Skim Masuk Universiti, pinjaman kewangan dari Kerajaan Negeri Selangor tanpa faedah dan boleh bertukar kepada biasiswa jika keputusan pencapaian Terpuji. Menurut Adun Bangi, kita berharap pada anak-anak yang mengambil peperiksaan dan dapat mencapai keputusan cemerlang menaikkan imej Bangi Bandar Ilmu. Mereka diharapkan selepas menyambung pelajaran memberi khidmat pada agama, bangsa dan Negara.

Selepas perasmian, Adun Bangi menyampaikan bantuan kepada pelajar-pelajar dan juga ibu bapa yang datang. Majlis diakhiri dengan bergambar beramai-ramai dan jamuan.

Sekian.

December 26, 2011

Adun Bangi Patah Kaki ? - Anekdot

Kajang, 28 Muharram = 24 Disember (Sabtu):
Selama ini ke mana saja Adun Bangi pergi melaksanakan khidmat masyarakatnya, kecuali hari kerja, maka saudara Azizi bersama, bukan setakat berperanan sebagai pengiring dan mempastikan keselamatan Adun, tetapi juga bertindak sebagai jurufoto professional. Tetapi sejak sebulan mutakhir, saudara Azizi mengalami sakit lutut dan cara jalan beliau tidak begitu selesa, setelah memaklumkan kepada Adun dan terlebih dahulu berbincang dengan keluarganya, maka pada Selasa 20 Disember lepas, beliau masuk Hospital Swasta (KPJ) di Kajang dan terus menjalani pembedahan lutut.
Sememangnya ketiadaan saudara Azizi, Adun Bangi bagai kepatahan kaki. Memang ada yang mengganti, tetapi tiada seperti saudara Azizi sanggup mengikuti Adun kadang-kadang dua hari berturut-turut padat dengan program mengiringi Adun memenuhi program harian, terutama pada hari Sabtu dan Ahad. Bahkan malam-malam beliau juga turut serta, walaupun siangnya hari bekerja. Beliau sebenarnya sering teruji dengan ungkapan oleh sesetengah pihak, ``Apalah faedah mengikut Adun berterusan ?`` Tetapi itu adalah antara ujian yang dihadapinya.
Lantaran kesakitan yang dialami saudara Azizi dan bertujuan untuk memberi rehat kepada saudara Azizi – walaupun beliau mahu turut sama, tetapi kadang kala Adun mendapat khidmat pengiring sementara lain bagi mengurangkan tugasnya. Tanpa beliau dan kadang-kadang Adun berseorangan di dalam menjalankan khidmat, maka Adunlah bertindak sebagai pemandu, menjaga keselamatan diri, sebagai jurufoto dan sekaligus sebagai wartawan.
Jika pada kebiasaan Sdr. Azizi mengepalai rombongan ziarah, sambil mengambil foto, maka pada hari ini kami rombongan Lajnah Kebajikan diketuai Tuan Haji Rushdi mengunjungi beliau di Hospital KPJ Kajang. Setibanya kami, saudara Azizi berada di atas katilnya sambil duduk dengan kaki kanannya yang sudah berjaya dibedah terlantar di atas katil. Isteri dan anak beliau ada bersama menunggu. Setelah bersalam dan bertanya khabar Adun berkata, ``Alhamdulillah saudara Azizi selamat dibedah.`` Kata saudara Azizi, ``Alhamdulillah, Cuma ada rasa sengal lagi sikit-sikit.`` Adun mencelah,``Tapi ni dah ada dua tongkat (tersandar di dinding), dah boleh jalan?`
``Dah,`` jawab isteri beliau, tapi bertongkatlah,`` Kata Adun, ``Kalau begitu wah cepat betul sembuh ya?`` kata Adun melahirkan kegembiraan.
Secara bergurau Adun katakan pada isteri saudara Azizi, ``Tapi kami mohon maaf kepada Puan, antara sebab sdr. Azizi sakit lutut, ialah kerana banyak berjalan mengiringi Adun!” Yang hadir ketawa.
``Tidak,`` jawab isteri saudara Azizi bersungguh-sungguh, ``Sebenarnya sakitnya sudah lama, kalau tidak iring YB dia berjalan juga!`` jawab isterinya, kami ketawa beramai-ramai.
``Tapi bila baik nanti jangan merayau tak tentu pasal sudahlah,`` gurau Adun lagi.
``Harap dia boleh solat dengan sempurna,`` jawab isteri beliau. ``Insya Allah,`` kata Adun. Sejak sakit lututnya bertambah saudara Azizi terpaksa bersolat menggunakan kerusi.
Saudara Azizi menunjukkan lutut kanannya yang dibedah, ``Doktor kata, selepas baik lutut kanan ini, tak perlu dibedah lutut kiri, masih OK katanya,`` kata saudara Azizi. Sebelum ini saudara Azizi pernah memaklumkan bahawa selepas bedah lutut kanannya akan disusuli dengan pembedahan lutut kiri.
Sedang kami berbual, Tuan Haji Hassan Basri AJK Lajnah Kebajikan yang naik lift lebih kemudian tiba, beliau juga sakit lutut dan kurang selesa dari segi perjalanan. Bila beliau masuk, Adun bergurau lagi. ``Yang mengiringi Adun memang banyak berjalan bagi menyampaikan bantuan kebajikan kepada rakyat dan ramai sakit lutut, lihat Tuan Haji Hasan !`` kata Adun dan menambah,
``Tuan Haji Hasan datang hari ini pun nak meninjau kemungkinan nak bedah lutut beliau, berikut dari kejayaan saudara Azizi, ya tak?`` Tanya Adun.
``Mungkin juga, tapi sakit saya sakit otot-otot, bukan tempurung lutut, mungkin lebih kepada terapi dan urut. Setakat ini memang saya ke Hospital UPM setiap minggu menjalani tarapi,`` tambah Haji Hasan. ``Walau bagaimana Sdr. Azizi tidak bermasalah dari segi kos, kerana majikannya adalah Petronas, tapi saya persendirian tentu berat. Tapi kata Dr. sakit saya tidak perlu kepada pembedahan.`` kata Haji Hasan.
Dalam bercakap itu antara kami mencadangkan agar diambil gambar kenangan, apalagi kemungkinan saudara Azizi akan keluar dari wad pada petang ini juga, tapi antara kami tidak membawa kamera, kecuali kamera handphone sahaja, tentulah gambarnya tidak seelok kamera canggih dimiliki saudara Azizi. Gambar-gambar yang diambilnya terang dan bermutu. Gambar-gambarnya juga selalu digunakan oleh akhbar-akhbar Selangor Kini, Harakah dan Sinar Harian. Walaubagaimana, meskipun saudara Azizi tidak membawa kamera canggihnya, tetapi beliau membawa bersamanya I-Pad Samsung yang baru dibelinya. Menurut saudara Azizi, ``Mutu gambarnya tidak kurang dari kamera digital biasa. `` Tapi untuk mengambil gambar bersama saudara Azizi, maka saudara Azizi meminta Isteri dan Anaknya mengambil gambar. Mereka berdua beranak sama mahir menggunakan Kamera pada I-Pad Samsung. Adun bergurau lagi, ``Keluarga saudara Azizi adalah `Keluarga IT`, Adun banyak bergantung, bukan saja mengiringi, tetapi juga pada kepakaran IT.``
Setelah agak lama berbual dengan saudara Azizi dan keluarganya, kami memohon diri untuk melihat seorang lagi pesakit (En. Jailani) – suami kepada seorang ahli Lajnah Kebajikan (Puan Nuraini) yang kami tahu sakitnya, bila tiba ke sini yang kebetulan sama satu aras.
Bila kami sedang bercakap dengan Encik Jailani, tiba-tiba saudara Azizi dengan bertongkat masuk sama ke dalam bilik En. Jailani yang kami ziarahi. Melihat keadaannya yang sudah boleh berjalan, kami gembira dan memberi semangat dan perangsang agar beliau akan segera sembuh dan akan kembali bergiat bersama kami. Insya Allah.
Sementara itu, pada satu majlis anjuran Khidmat Masyarakat Adun, iaitu selepas sehari melawat Sdr. Azizi dan saudara Jailani, Adun bertembung dengan En. Jailani bagi jamuan makan selepas tutup majlis. Terkejut Adun, spontan Adun bertanya,
``Encik Jailani dah sihat macam biasa?`` Jawab En. Jailani, ``Alhamdulillah selepas YB melawat terus sihat! Dan esoknya terus Dr. discharge saya dari Hospital!``
``Ooi, nampaknya ada penawar dari YB melawat sdr. Azizi, terus dapat keluar dari hospital dan selepas itu melawat En. Jailani, terus segar dan dapat keluar esok hari!``semua bersama Adun ketawa. En. Jailani menambah, ``Nampaknya YB kena banyak menziarah pesakit di hospital untuk memberi keyakinan psikologi dan harapan kepada Allah untuk sembuh!``. Adun berkata, ``Nampaknya begitulah!``.
Tanya Adun kepada En. Jailani, ``Apa sebenarnya sakit hingga beberapa hari tinggal di Hospital Pakar yang memang tinggi bayaran itu?``
Menurut En. Jailani, ``Dr. kata keracunan makanan!``
``Tapi sekarang makan berat - Nasi ayam, tak takut keracunan ke?``
Secara bergurau pula En. Jailani menjawab, ``Makan sama YB, insya Allah tak keracunan lagi!`` jawab En. Jailani. Puan Nuraini isteri En. Jailani yang bersama turut menambah,
``Duit YB beri semasa lawatan itu, kami membeli sesuatu yang istimewa sebagai kenangan lawatan YB,`` kata Puan Nuraini. Adun menjawab secara terkejut, ``Ya ke?, tanpa menanya apa yang dibeli Puan Nuraini, bahkan Adun sendiri tak tahu berapa jumlah wang yang dimasukkan ke dalam sampul oleh Tuan Haji Rushdi.

Apa yang kami alami ziarah dari kawan ke kawan yang sama bergiat memberi semacam kesegaran dan mengukuhkan ukhuwwah di kalangan kami. Ini agaknya memberi kesan kegembiran kepada saudara Azizi dan sdr. Jailani yang sakit, sehingga mereka sembuh lebih awal dari sepatutnya. Alhamdulillah.
Sekian.

December 25, 2011

Al-Quran Keperluan Bagi Kesempurnaan Amalan

Masjid Al-Hasanah, BBB, 28 Muharram = 24 Disember (Sabtu):

``Kesempurnaan pembacaan Al-Qur`an adalah pra-syarat bagi kesempurnaan Ibadat,`` kata Adun Bangi. Tambahnya, `` Solat tidak sempurna (tidak sah), tanpa kesempurnaan bacaan Al-Qur`an, sekurang-kurangnya membaca Al-Fatihah yang menjadi rukun solat.`` Katanya lagi, ``Sudah menjadi tradisi murni di dalam masyarakat Islam, jika di kampong anak-anak dihantar kepada guru mempelajari abjad, muqaddam dan keseluruhan Al-Qur`an.`` Tambah Adun,

Pada zaman tradisi seorang yang tidak khatam Qur`an dianggap tidak berpelajaran dan tidak boleh menyertai majlis-majlis yang ada kaitan dengan pembacaan Al-Qur`an.`` Menurut Adun lagi, ``Kini anak-anak dihantar ke Pasti atau pengajian-pengajian yang seumpamanya bagi memenuhi tuntutan dan fungsi yang sama.``

Demikian antara ungkapan yang disampaikan oleh Adun Bangi ketika Merasmikan Majlis Penutup Kursus Penghayatan Al-Qur`an Dan Pemantapan Solat Remaja 2011 bertempat di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi. Program dianjurkan oleh Adun Bangi dengan kerjasama Masjid Al-Hasanah, Paksi dan Nisa` Serdang.

Berhubung dengan kepentingan Al-Qur`an, menurut Adun, ``Al-Qur`an adalah sebagai kemu`jizatan Rasulullah s.a.w. Al-Qur`an adalah menjadi induk dan sumber bagi tamadun keilmuan keislaman dan juga keilmuan umum – termasuk sains. Ianya juga menjadi induk bagi perkembangan peradaban, bahasa, sastera dan kerohanian Islam. Tambah Adun, ``Mempelajari Al-Qur`an melapangkan dada di dalam pengajian di dalam berbagai-bagai ilmu pengetahuan. Menjadikan lidah seseorang fasih dan insya Allah mengelak sesorang dari lupa dan lekas nyanyuk.`` Adun juga memaklumkan, ``Menghafal Al-Qur`an semasa umur masih kecil dari 6 tahun hingga 12 tahun, insya Allah bukan saja mudah ingat, bahkan insya Allah juga kekal dan tidak lupa. Sesungguhnya Al-Qur`an juga penawar jiwa dan menyembuh penyakit.``

Adun mengucapkan tahniah kepada penganjur yang berjaya mengadakan Kursus Penghayatan Al-Qur`an yang diikuti oleh 120 pelajar pada peringkat Sekolah rendah (6 -12 tahun) dan menengah (12 – 17 tahun), yang secara tidak langsung dapat mengisi masa lapang dalam usaha membentuk akhlak dan peribadi mulia pelajar-pelajar.

Sebelum daripada itu Pengarah Program saudara Mohd Zaid bin Sabran dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan, ``Kursus berlangsung selama lapan hari (14 – 15 Dis. & 19 – 23 Dis.) setiap hari mulai jam 8.00 hingga 5.00 petang. Menurut Sdr. Zaid, pelajar dipecah kepada 12 kumpulan. Pelajar Sekolah rendah 7 kumpulan dan menengah 5 kumpulan. Menurut saudara Zaid, objektif program ialah:

  • Membimbing dan membantu peserta agar dapat mempertingkatkan pengetahuan dan amalan ajaran Al-Quran
  • Memberi garis panduan kepada peserta berkaitan kaedah untuk menunaikan solat secara sempurna
  • Meningkatkan penghayatan dalam diri peserta untuk berakhlak mulia
  • mewujudkan satu kumpulan remaja yang bertanggungjawab terhadap pembinaan akhlak komuniti.
Melalui kursus yang dijalankan pelajar-pelajar telah dibimbing dan digalakkan memperkembangkan potensi diri, berlumba dalam pertandingan sihat sehingga dapat dapat mencungkil bakat dan potensi yang ada pada diri pelajar. Ini terserlah dari pertunjukan yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar dalam Majlis Penutup dan juga dari hadiah-hadiah yang disampaikan kepada mereka baik secara individu dan juga secara kumpulan.

Sesungguhnya kursus yang mereka ikuti ini adalah salah satu siri dalam mendidik, mencungkil dan menggilap bakat dan potensi yang ada pada pelajar-pelajar. Kita harap kursus yang seperti ini akan terus diadakan dari masa ke masa.

Sekian.

A HAPPY CHRISTMAS

A HAPPY CHRISTMAS

A Happy Christmas to all Christians, especially those who are in Bangi Constituency.

Good Luck for all.

Thank you.

Dr. Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,

25 Dicember 2011.

December 24, 2011

Misi Kemanusiaan: Selangor Pelopori Anti Pemerdagangan Manusia !

MPKj, Kajang, 27 Muharram = 23 Disember (Jumaat):

Pemerdagangan manusia adalah setua wujudnya masyarakat manusia. Pada zaman dahulu dikenali dengan `hamba abdi`. Mangsa diperlakukan sebagai barang dagangan yang boleh dipindah dan diexploitasi fizikal dan tenaga mereka. Pada zaman moden ini pemerdagangan manusia terus berlaku, bahkan lebih dahsyat:

``Pemerdagangan manusia merupakan satu bentuk perhambaan moden yang melibatkan exploitasi seks, buruh paksaan, perhambaan, paksaan melakukan aktiviti yang menyalahi indang-undang, pemindahan organ manusia, ancaman kecederaan berat atau sekatan fizikal, penyalahgunaan proses undang-undang, kekerasan, fraud dan paksaan.

Malaysia adalah merupakan Negara transit dan destinasi untuk aktiviti pemerdagangan manusia. Ianya menjadi transit bagi kedatangan imigran haram misalnya dari Iraq, Pakistan, Iran dan sebagainya untuk ke Australia dan lain-lain tempat. Untuk tempatan pula menjadi tempat kemasukan wanita dari berbagai Negara timur seperti Cina, India, Mongolia, Turkistan, Turkiministan, Afghanistan dan sebagainya. Ianya berlaku antaranya bagi memenuhi Permintaan untuk pekerja seks. Selain daripada itu kemasukan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja murah. Kebanyakan permintaan tenaga murah pula dipenuhi oleh warga atau rakyat Asia Tenggara seperti Indonesia, Myanmar, Vietnam, Filipina, Kampuchia dan sebagainya.. Kebanyakan daripada mereka dibawa ke Malaysia /melalui Malaysia secara seludup sama ada melalui jalan laut, darat dan udara. Bangsa-bangsa Bersatu telah menganggarkan sebanyak 2.5 juta manusia terlibat dalam tenaga kerja paksa, 56% daripada mereka adalah warga Asia.

Malaysia telah menggubal Akta Anti pemerdagangan manusia 2007 (Akta 670) dengan tarikh pelancaran dan pelaksanaannya pada 2008 dan Selangor adalah negeri terawal menubuhkan Majlis Anti pemerdagangan manusia Negeri Selangor (MAPMAS) pada 10 Januari 2011.selaras dengan Selangor Sejahtera didukung oleh 5 Exco, kebajikan (YB Rodziah) , Pelaburan (YB Teresa Kok), Pendidikan (YB. Dr. Halimah), Pelancongan (YB.Elizabith Wong) dan Kerajaan Tempatan (YB Ronnie Liu). Hari ini dua orang dari tenaga MAPMAS datang ke MPKj bagi memberi penerangan tentang MAPMAS. Mereka berdua ialah Puan Ruzaini bt. Mohd. Rusli dan Puan Noraini bt. Yusof. Menurut mereka:

Melalui MAPMAS) mereka memantau perkara-perkara yang mungkin berlaku kepada pekerja-pekerja dalam Negara seperti:

Gaji pekerja tidak dibayar
Gaji yang rendah disebabkan status tanpa dokumen
Penderaan fizikal disebabkan tuntutan kerja di luar batas
Pergerakan yang terhad
Bekerja lebih masa tanpa dibayar
Penyalahgunaan sistem perundangan untuk memeras ugut pekerja

Bagi pekerja-pekerja asing

Buruh asing yang tidak berdokuman
Membayar untuk kemasukan secara salah
Pemerdagangan

Menurut Puan Ruzaini dan Puan Noraini, prehatin terhadap kezaliman dan pengexploitasi manusia dan digerak misi kemanusiaan Selangor mengambil inisiatif menubuhkan MAPMAS. Menyokong penubuhan MAPMAS YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Menetri Besar Selangor menegaskan:

``Kerajaan Selangor memilih untuk tidak berdiam diri dalam hal pemerdagangan manusia dan MAPMAS adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri juga akan mengerahkan semua jentera sedia ada dan bekerjasama dengan semua pihak bagi membanteras jenayah pemerdagangan manusia di Selangor.``

Piagam Anti Pemerdagangan Manusia Negeri Selangor:

Kerajaan Negeri Selangor percaya bahawa:

Semua insan yang diciptakan Tuhan adalah setaraf dan memiliki hak-hak asasi yang bersifat sejagat.

Tiada manusia yang berhak diperdagangkan sebagai suatu bahan komoditi atau ditempatkan dalam suatu suasana perhambaan. Pemerdagangan manusia adalah bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan agama masyarakat bertamadun, justru wajib diperangi demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri Selangor.

Objektif MAPMAS

Membantu Kerajaan Negeri dalam memantau kes-kes jenayah pemerdagangan manusia di negeri Selangor.
Membantu mangsa-mangsa jenayah pemerdagangan manusia untuk mencari pusat perlindungan sementara
Menyediakan khidmat advokasi kepada mangsa-mangsa serta menjalankan kegiatan berkaitan aspek perundangan sedia ada dan
Menjalankan kempen-kempen kesedaran berkaitan jenayah pemerdagangan manusia di seluruh negeri Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor komited untuk:

a) Menyelamatkan generasi pewaris negeri Selangor dari kemusnahan dan mempastikan keselamatan dan perkembangan ekonomi.

b) Mempromosi kesedaran terhadap kedurjanaan pemerdagangan manusia dan menjalankan program-program pencegahan.

c) Menggubal undang-undang peraturan dengan penguatkuasaan dan pendakwaan yang berkesan

d) Mempromosikan keadilan sosial untuk mewujudkan satu persekitaran kehidupan yang selesa kepada rakyat.

e) Memerangi perbuatan rasuah yang menjadi penyebab utama peningkatan jenayah pemerdagangan manusia.

Sekian.

December 23, 2011

Gotong Royong Di Taman Jasmin & Seri Kenangan

Taman Jasmin, 22 Muharram = 18 Disember (Ahad):

Persatuan Penduduk Taman Jasmin dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Langat mengadakan gotong royong di Taman Jasmin berikut dari berlakunya kes denggi di kawasan ini. Penerangan diadakan di Pondok Rukun Tetatangga di sini. Hadir ialah Cikgu Zaid Pengerusi Persatuan Penduduk di sini, Che Man dari Jabatan Kesihatan Hulu Langat dan penduduk lebih kurang 30 orang.

Cikgu Zaid melahirkan rasa dukacita, walaupun Program Gotong Royong diiklan di Surau Jasmin selepas solat Jumaat, tapi respond dari penduduk amat mengecewakan. Beberapa orang saja yang hadir. Yang sedikit meramaikan ialah penduduk berdekatan dengan Pondok Rukun Tetangga. Che Man menerangkan tentang denggi dan pencegahan dan pengedaran ebit bagi mencegah denggi.

Selepas minum, Adun bersama penduduk setempat memungut sampah-sampah keliling perumahan, terutama sampah-sampah yang boleh menakungkan air. Selepas itu bersama sdr. Azizi dan Shahrom melawat Taman Bukit Kenangan berdekatan Taman Jasmin yang juga mengadakan gotong royong. Perumhan Taman Bukit Kenangan terdiri dari 7 blok, iaitu Blok L 1 – 4, LM 1 & LM 2. Adun singgah dan bersama dengan mereka – seperti En. Syawal dan En. Abdul Rahim dan rakan-rakan yang sedang membersih parit-parit dan kawasan.

Kerjasama penduduk perumahan di sini adalah baik.

Sekian.

Anekdot Jom Shopping Bersama Sepang

BBB, 26 Muharram = 22 Disember (Khamis):

Hari ini Pusat Khidmat Adun Bangi mengadakan Program Jom Shopping bagi siri ke 6 – terakhir bagi tahun 2011. Dalam ucapan Adun kepada warga emas yang hadir, ``Untuk 6 siri kita berjaya daftar warga emas seramai 1429, tapi Allah telah menjemput terlebih dahulu kalangan mereka seramai 275, kita mendoakan kepada Allah tuan-tuan dan puan-puan seramai 66 orang hari ini terus sihat dan di dalam lindungan Allah.

Semasa shopping di Pasaraya Econsave di Jalan Reko BBB, pihak Khidmat Masyarakat Sepang juga mengadakan Jom Shopping yang sama di Econsave di sini dengan jumlah warga emas 100 orang. Apabila Adun tanya, Ketua Penganjur Encik Abdul Halim, ``Mengapa Jom Shopping di Bangi?``

``Tak ada Pasaraya di Sepang!`` jawab Encik Halim.

``Bukankah ada pasaraya di Nilai lebih dekat dari Sepang?`` Tanya Adun.

``Oh, walaupun Nilai dekat dengan Sepang, itu negeri BN!`` Tambah En. Halim

``Kami mahu shopping di negeri Pakatan, kerana duit yang dibelanjakan dari Kerajaan Pakatan!``

``Oh begitu, hebat dan semangat,` kata Adun.

``Mesti,`` kata saudara Abdul Halim bersungguh-sungguh dan kuat dengan komitmen.

kata Adun

Kalau begitu tambah Adun, ``Kita kena usaha sungguh-sungguh supaya Negeri Sembilan dikuasai Kerajaan Pakatan pada pilihanraya ke 13 nanti.``

``Memang kami sedang menolong jentera pilihanraya Pakatan Rakyat agar jiran kita Negeri Sembilan nanti dapat ditawan dan kita boleh Jom Shopping di Nilai.`` Tambah Encik Halim, sambil ketawa dan menambah, ``Tapi setakat ini, kami datang ke Bangi, bagi merasa bahawa kami menikmati Jom Shopping di kawasan yang kita menangi, rasa lega dan tak tertekan.``

``Bagus !`` kata Adun.

Sebenarnya semasa Adun melayan warga emas dari Bangi melalui kaunter khas di sini, petugas dan warga emas dari Sepang sering mengajak Adun bergambar bersama. Antara warga emas berkata.

``Kita Y.B. juga, tapi Y.B – Yang Bersara,`` katanya

``Bukan mudah dapat bergambar dengan Y.B. `Yang Benar !`` tambahnya.

`Ya ka ? jawab Adun ketawa kecil.

Nampaknya mereka berazam mempunyai Y.B. Wakil Rakyat sendiri yang setakat ini di Sepang tiada Wakil Rakyat dari Pakatan Rakyat baik pada peringkat Parlimen, maupun pada peringkat Dun.

Dalam masa melayan warga emas, seorang Pengurus dari Sungai Pelik, Sepang - Puan Faezah bagi Adun nampak pelik, kerana, Adun melihat setiap warga emas yang shopping, sebaik keluar dari bershopping diambil gambar! Kami ambil juga gambar, tapi pilih-pilih satu dua yang sesuai sahaja. Ini membuat Adun merasa pelik terhadap Pengurus dari Sungai Pelik, Sepang ini lalu Adun bertanya kepada Puan Faezah,

``Ambil gambar semua peserta Jom Shopping ?

``Ya !`` jawab Puan Faezah sambil ketawa yang baru mengambil gambar seorang warga emas.

``Mengapa ?`` tambah Adun bertanya.

``Untuk mengenal pasti mereka, kerana kami di Sepang mendapat sekatan dari BN untuk membuat hubungan. Dengan kedatangan mereka ke Jom Shopping, memberi peluang kami berkenalan dengan mereka. Dengan mengambil gambar dapat mengelak dari tidak kenal mereka selepas ini, kerana ada gambar.`` terang Puan Faezah panjang lebar.

Saudara Halim yang berada di sisi kami menambah,

``Ini juga sebagai rekod kami, Kami akan gunakan gambar ini sebagai hadiah kepada mereka bila kami berpeluang menziarah atau menemui mereka. Mungkin juga kami pamerkan gambar-gambar mereka pada postar atau pamflit sebagai menghargai mereka.``

`Oh, begitu,`` kata Adun dan menambah,

``Mengapa tidak dikeluarkan maklumat di dalam buletin ?`` Tanya Adun. Sebenarnya semasa Jom Shopping ini kami membawa bahan-bahan hadiah tambahan kepada peserta, di samping hadiah tambahan dari Econsave`` iaitu, Selangor Kini terbaru, Buletin Bangi dan Kalendar 2012 yang baru siap diterbitkan, sambil Adun ambil contoh dari kaunter Adun Bangi menghadiahkan kepada En. Halim dan Puan Faezah, bahkan sebelumnya kami hadiah juga kepada pengunjung-pengunjung yang melewati kaunter kami.

``Mengapa tak bawa Selangor Kini yang memang dihantar ke setiap kawasan ?``, terhenti seketika saudara Halim dari menjawab dan berkata,

``Ya juga, tak terfikir nak dibawa,`` katanya.

Kata Adun, ``Antara bahan sebaran maklumat yang boleh disampaikan kepada pengundi kawasan ialah dengan menerbitkan bahan penerbitan seperti buletin mengenai kegiatan setempat, termasuk gambar, postar dan juga jangan lupa mengenai penggunaan media letronik.``

``Semua kawasan ada peruntukan tahunan dari negeri, mengapa tak digunakan melalui Lajnah Penerangan ?`` Tanya Adun.

Terhenti seketika, dan saudara Halim dan Puan Faezah menganguk sambil melihat bahan-bahan yang kami hadiah kepada mereka. Mereka berkata,

``Terima kasih, dengan Jom Shopping bersama Bangi banyak perkara kami dapat pelajari dari Bangi.``

Ketika bercakap itu Adun juga merasa pelik dengan telatah pengiring dari Sungai Pelik, kerana setiap barang yang dibeli warga emas ditulis no dengan marker, Tanya Adun,

``Mengapa ditanda dengan number ?`` Jawab Pengiring,

``Bila pulang naik bas beramai-ramai nanti, barang-barang mereka diangkat ke bas secara bercampur. Dengan tulis no number boleh dipilih masing-masing berdasarkan no. !``

``Oh begitu,`` kata Adun, kita dari Bangi Ada juga naik bas yang dihantar oleh MPKj, tapi tak ramai naik bas, lebih ramai datang atau dihantar dengan kereta sendiri, masing-masing jaga barang-barang sendiri.

``Nampaknya lain padang lain belalang, lain cara di Bangi lain di Sepang.

Kata Adun, ``Apa pun kita harap gerakerja di Sepang lebih digandakan, Jom Shopping satu kegiatan popular, ruang terbuka jika mau tawan kawasan Sepang dengan syarat terus bekerja.``

Sekian.

December 22, 2011

21 Blok Sibertel Terbiar - Rosak: Pemilik Buat Aduan Kepada Adun Bangi

Taman Universiti, Sungai Tangkas, 25 Muharram = 21 Disember (Rabu):

Seramai 17 orang daripada 1,800 pemilik unit Sibertel – Asrama di Taman Universiti, untuk di sewa pelajar datang membuat aduan kepada Adun, bahawa Sibertel berkenaan terbiar dan rosak sebelum mendapat suratan milik dan pembeli-pembeli bukan saja tidak memperolehi pulangan dalam bentuk sewa bulanan, tetapi harta yang dibeli mengalami kerosakan, kerana terbiar, namun mereka terpaksa membayar pinjaman bank sepenuhnya – sebelumnya dari dapatan sewa bulanan dapat menampung bayaran. Blok-Blok Asrama adalah sebanyak 21 blok (mulai dari Blok A – U). Setiap blok mempunyai 54 unit. Keluasan bagi satu unit ialah seluas 300 kaki persegi yang boleh memuatkan 2 katil dan meja seharga pada peringkat awal Fasa Pertama RM33,600.00 & Fasa kedua selepas itu naik kepada RM36,300.

Sibertel asalnya dibina di atas tanah milik Koperasi Belia Malaysia (di bawah ABIM) yang berkesempatan memiliki hartanah di sini pada tahun 1980an. Tanah di sini seluas lebih dari 30 ekar yang antaranya dimiliki pendokong-pendokong ABIM. Dengan trerdirinya banyak pusat-pusat pengajian tinggi, antaranya German Malaysian Institute bersempadan dengan Sibertel, UKM, UNITEN, KL Universiti dan banyak lagi, maka dilihat dari segi komersil, maka didirikan asrama-asrama untuk disewa oleh pelajar-pelajar dan pihak-pihak yang mau menjalankan kursus pendek atau panjang dengan menggunakan penginapan bertaraf pengajian tinggi di sini.

Sejak 1999 pihak Koperasi Belia Islam pemilik tanah membuat perjanjian jual-beli dengan Pemaju yang dikenali sebagai Bidari Ehsan Sdn.Bhd. memajukan hartanah dengan mendirikan bangunan-bangunan asrama sehingga berjumlah 21 blok (A – U). Tetapi hingga kini belum dilakukan pindah milik tanah tersebut. Bagi mendapat modal, maka pemaju menawarkan unit-unit bagi asrama sebanyak 4,500 unit itu dijual kepada orang ramai. Pada peringkat permulaan pentadbiran berjalan dengan baik. Pembeli mendapat pulangan RM280/= sebulan dan dapat membayar hutang bank yang dipinjam. Perjanjian bayaran dijangka berlangsung selama 10 tahun, tetapi selepas dua tahun, bayaran terhenti. Tempat yang pada masa majunya penuh dengan pelajar yang setengahnya disewa pengajian tinggi secara blok, tidak lagi maju dan pelajar yang tinggal makin berkurangan. Syarikat Bidari yang bankrupt telah menjual kepentingannya sekitar 2006 kepada Syarikat Inai Tropika. Hartanah dikatakan dipecah kepada 8 lot dan dua daripadanya dipindah milik kepada Inai Tropika yang mengandungi banyak kemudahan seperti Dewan, kolam renang, rumah kelab (dirobohkan) dan gelanggang sukan. Pengurusan semua hartanah ini dikendalikan oleh Inai Tropika dan mengutip sewa. Tetapi oleh kerana bebanan hutang yang selama ini tertonggak seperti cukai tanah, cukai pintu, insuran, bil air, bil letrik dan berbagai lagi tidak dapat diselesaikan oleh Syarikat Inai Tropika dan keadaan Sibertel terabai dan tidak diuruskan menyebabkan bukan saja terbiar segala peralatan termasuk wayar letrik, kipas dan berbagai alatan lagi dikopak dan dicuri oleh penceroboh.

Pihak pembeli telah berusaha menemui pihak yang berkaitan seperti MPKj, Pejabat Tanah dan Exco Perumahan, tetapi masih belum dapat diselesaikan. Mereka juga mendapat pandangan dari Shu – tan Consultant dan membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam pada 1.6.2010, bahkan antara pemilik membuat laporan-laporan polis, tetapi masalah yang dihadapi mereka adalah berat dan banyak tindakan yang perlu diambil. Kecewa dengan keadaan yang dihadapi mereka, maka hari ini mereka datang membuat aduan kepada Adun Bangi, kerana Sibertel adalah berada di dalam kawasan Dun Bangi. Adun Bangi menerima mereka, bahkan mengadakan mesyuarat dengan mereka di Bilik Mesyuarat Pejabat Adun mulai jam 10.00 pagi. Dari aduan, Adun yang selama ini menjangkakan Sibertel berjalan dengan baik rupanya amat bermasalah sebagaimana diperkatakan di atas.

Dengan rasa prihatin Adun buat cadangan melawat terus ke lokasi jam 11.30 pagi. Tempat yang memang dikawal dan tidak dibenarkan masuk ini, walaupun oleh pembeli diberi kerjasama yang baik oleh pengawal bila Adun dan pembeli-pembeli mengikuti Adun masuk ke kawasan. Alangkah terkejut dan keciwa melihat bangunan-bangunan terbiar, rosak dan hilang peralatan bahkan hingga wayar letrik dikopak dan dirompak. Seorang Penjaga beberapa unit bangunan, iaitu En. Kamal yang tinggal di dalam kawasan tersebut memberitahu, ``Semua bangunan telah rosak, kecuali tiga buah saja yang masih dijaga kerana dihuni oleh penyewa-penyewa, iaitu Blok I, J & K. Blok-blok ini dihuni pekerja-pekerja Sony, Hitachi & lain-lain. Mana-mana unit yang diketahui pemilik dibayar sewa terus kepada pemilik, bagi yang tidak diketahui pemilik dipungut oleh Syarikat Inai (Ada iklan minta pemilik menghubungi pengurus/penyewa bagi pengurusan sewa). Seorang lagi penjaga En. Rau juga beri kerjasama dan memberi maklumat kepada Adun, beberapa bangunan R - U dihuni pekerja-pekerja Bangladish.

Ada satu bangunan baru didirikan untuk Latihan Membuat Roti (Bakery Ria) yang melatih antara 30 – 40 pelajar. Pelajar-pelajarnya tinggal di Blok K. Sebelumnya pelajar-pelajar Kagumas juga guna tempat ini sebagai tempat pengajaran – Kursus Masakan (Culnary) .

Dengan keadaan bangunan-bangunan yang rosak teruk dan terbiar, nampaknya sukar untuk dipulih, bahkan ditambah dengan hutang-hutang tertonggak, walau bagaimana pembeli-pembeli membuat cadangan kepada Adun:

1) Menyatukan balik tanah di bawah satu pengurusan JMB (Joint Management Bhd.). Kini dipecah kepada lapan.

2) Perlu penyiasatan bagaimana dua bidang tanah dijual oleh Bidasari kepada Inai Tropika – sebagai share holder dalam Bidasari).

3) Menyelesaikan masalah cukai tanah, cukai pintu dan berbagai bil perlu diselesaikan.

4) Berusaha untuk mendapat strata title bagi pemilik-pemilik

5) Mendapatkan pengurusan yang berwibawa.

Dalam keadaan sekarang dengan bergantung pada pemilik yang ramai dan pernah diusahakan pertemuan, tetapi gagal, agak sukar untuk diuruskan oleh pemilik-pemilik. Sebagai alternative cadangan Adun:

a) Pihak berkuasa mengambil alih kawasan yang strategik ini dengan membeli hartanah dari pemiliknya – Koperasi Belia Islam dan membayar pampasan kepada pembeli-pembeli. Kawasan ini hendaklah dijadikan pusat pengajian di bawah kerajaan negeri. Misalnya menjadikannya universiti, cawangan universiti atau kolej atau Sekolah Menegah berasrama atau tahfiz.

b) Pihak swasta berwibawa mengambil alih tempat ini dan menjadikannya sebagai pusat pengajian tinggi.

c) Pihak German Malaysian Institut mengambil kawasan berjiran dengannya ini sebagai pembesaran kampus GMI berkenaan dengan bayaran dan pampasan sewajarnya.

d) Mengekalkan tempat ini sebagai asrama berbagai kampus, tetapi diambilalih oleh pihak Kerajaan Negeri atau Persekutuan

e) Membeli tapak ini dengan kerjasama kerajaan Jepun bagi menubuhkan Japanese -Malaysian Institute sebagai pengajian dari Timur bagi mengimbangi pengajian dari Barat (German-Malaysian & French Malaysian Institute) di Bangi.

Sekian.