June 30, 2012

Warisan Masjid-Masjid Lama Di Selangor: Satu Ulasan Buku

BBB, 09 Sya`ban 1433 = 29 Jun 2012 (Jumaat):

Ini adalah buku pertama diterbitkan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) setebal 200 halaman semasa Adun Bangi diamanahkan menjadi Pengerusi. Walau apapun kedudukan dan mutu buku ini, ianya adalah menjadi kebanggaan bagi Adun.


Dalam kata-kata aluan Adun Bangi selaku Pengerusi Padat menyatakan:

``Peranan dan usaha yang telah dimainkan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dalam mendokumentasikan masjid-masjid lama di negeri Selangor adalah suatu langkah yang amat penting bagi membuktikan negeri ini menegakkan syiar Allah sejak zaman berzaman.``

Buku Warisan Masjid-Masjid Lama Di Selangor adalah hasil penyelidikan dan ditulis oleh saudara Mohd. Zainudin Haji Abdullah dan Noorhayati Md. Yatim yang kedua-duanya adalah Pegawai di PADAT.


Masjid adalah institusi penting di dalam masyarakat Islam, fungsi utamanya ialah sebagai tempat menunaikan ibadat solat – solat Jumaat dan solat-solat fardu dan sunat. Lebih dari itu ianya juga sebagai institusi pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan. Lojiknya masjid telah wujud sewujudnya umat Islam di Selangor. Fokus bagi kajian masjid-masjid bagi buku ini ialah Masjid lama. Logiknya berdasarkan penerimaan Islam di Selangor telah lama tentulah banyak masjid lama.


Pengkaji cuba menghadkan kajian kepada masjid lama yang berusia lebih dari 100 tahun di Selangor, tetapi hanya terdapat 4 buah sahaja. Ini tidak bererti tidak banyak masjid dalam tempoh 100 tahun lepas, kerana berlaku kerosakan, pemindahan tapak dan pembinaan yang baru. Empat buah masjid lebih 100 tahun yang kedapatan di Selangor ialah dua di Daerah Kelang, satu di Daerah Sabak Bernam dan satu di Daerah Hulu Langat. Dua Masjid di Kelang ialah Masjid Kampong Tok Dagang (1876) dan Masjid Sungai Kandis (1906), Masjid Raja Alang, Beranang (1900) dan Masjid Lama Kampong Pancing, Bedena, Sabak Bernam (1905). Bagi mendapat jumlah yang lebih banyak, maka konsep lama adalah dikira masjid yang dibina sebelum era kemerdekaan (1957). Dengan tempoh sedemikian didapati ada sebanyak 46 buah masjid lama (sebelum 1957) daripada keseluruhan masjid di Selangor berjumlah 380 buah (tentulah statistik terbaru makin bertambah).


Dari segi pendekatan penulisan buku dibahagikan kepada 10 bab. Lima bab adalah mebicarakan masjid-masjid mengikut daerah-daerah (Ada bab yang membicarakan lebih dari satu daerah), manakala 5 bab membicarakan tentang ibadat solat, pengertian masjid, sejarah dan reka bentuk masjid (semua bahagian awal) dan dua bab terakhir mengenai ragam bentuk dan hias dan terakhir elemen simbolik.

Bermula dari Daerah Kelang (bab 4), masjid-masjid lama di daerah ini ialah:

Masjid Ar-Raudhah, Kg. Sungai Kembong

Masjid Ar-Rahman, Kampong Sungai Pinang

Masjid Al-Muhsinin, Kampong Sungai Kandis

Masjid Samadiah, Pelabuhan Kelang

Masjid Kampong Dato` Dagang, Kampong Jawa.

Masjid Di Raja Sultan Suleiman , Klang

Masjid Nurul Ehsan, Kampong Sungai Udang.

Masjid Lama Daerah Kuala Selangor dan Hulu Selangor

Masjid Jamiul Ar-Riduan, Simpang Empat, Jeram

Masjid Jamiul Ubudiah, Kampong Sungai Darah Batang Kali.

Masjid Rahmani, Kampong Permatang, Kuala Selangor

Masjid Jami` Kariah Sungai Masin, Batang Kali

Masjid Syeikh Ismail, Simpang Tiga, Ulu Bernam

Masjid Ar. Rahimah, Ampang Pecah, Kuala Kubu Bahru.

Masjid Lama Daerah Sabak Bernam

Masjid Hashimiah, Kampong Sungai Limau

Masjid Lama Kampong Pancang Bedena

Masjid Lama Marzukiah, Kampong Lubuk Pusing

Masjid Badli Shah, Kampong Parit Enam

Masjid Al-Abrar, Kampong Batu 2, Sapintas

Masjid Kampong Peket 100 sawah

Masjid Kampong Tebuk Sultan, Sungai Tegar Selatan

Masjid An-Nur Kampong Sungai Haji Dorani

Masjid Kampong Tebuk Mufrad

Masjid Ma`rufiah, Kampong Parit Baru

Masjid Lama Daerah Hulu Langat dan Daerah Sepang

Masjid Raja Alang, Pekan Beranang

Masjid Raja Muda Musa, Pekan Semenyih

Masjid Al-Ulum, Bukit Bangkong

Masjid Lama Daerah Kuala Langat.

Masjid Al-Istiqamah, Kampong Sungai Buaya

Masjid Al-Mutmainnah, Kampong Labuhan Dagang.

Masjid Ar-Rahman Kampong Sungai Manggis

Masjid Nurul Iman, Kampong Batu 10, Kebun Baharu

Masjid Al-Inayatul Rahman, Kampong Batu Laut

Masjid Sultan Alaeddin Alam Shah, Kampong Bandar

Masjid Jamiatul Ehsani, Kampong Sijangkang


Bagi masjid-masjid lama di atas terdapat tiga bentuk yang dominant. Bentuk-bentuk ini terpengaruh dengan budaya terdahulu, kesesuaian alam sekitar dan pengaruh moden.

Tiga bentuk berkenaan


Pertama mengambil bentuk bumbung bertingkat ini adalah pengaruh klasik yang dipengaruhi pandangan falsafah klasik tiga tingkat Ahadiyah, Wahdah dan Wahidiyyah. Ini digambarkan kepada tiga peringkat. Tiga tingkat ini juga sebagai airwell atau ruang udara keluar masuk. Contoh Masjid Al-Rahman, Kg. Sungai Pinang, Klang, Masjid Lama Kampong Pancang Bedena. Masjid demikian terdapat di Kelantan (Kampong Laut), bahkan di Banten, Jawa.

Bentuk kedua adalah masjid tempatan yang berbentuk bumbung limas yang merupakan kebanyakan bentuk rumah Melayu yang biasa diperbuat dari kayu atau batu. Ianya sesuai dengan klimek dan iklim tempatan yang panas - hujan. Contoh Masjid Syeikh Ismail, Simpang Tiga, Hulu Bernam, Masjid An-Nawawi, Kg. Delek, Kelang. Manakala Masjid yang lebih kemudian adalah masjid dari batu yang dibina dengan bermenara dan berkubah yang banyak kedapatan kini. Contoh Masjid Sultan Suleiman, Klang dan Masjid Jame` Pekan Kajang dan lain-lain. Walau bagaimana didapati ada masjid yang dibina sebelum Merdeka tidak tersenarai dan terlepas dari kajian. Contoh Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar yang dibina (1929). Begitu juga dengan Masjid Sungai Ramal Dalam yang dibina dalam tempoh hampir bersamaan dengan Sungai Ramal Luar. Masjid Pekan Bangi juga dibina sebelum dari tarikh kemerdekaan. Ini masjid-masjid terletak di dalam DUN Bangi, mungkin banyak lagi masjid yang dibina sebelum kemerdekaan di Selangor, tetapi terlepas dari kajian.


Selain dari membicarakan tentang pengertian Islam dan penyebaran, erti masjid, sejarah dan reka bentuk. Penulis membicarakan pada bahagian akhir tentang ragam hias dan simbolisme. Masjid sebagai tempat suci, maka ragam hiasnya hendaklah mengukuhkan rasa kesucian. Ragam hias biasa pada sebuah masjid ialah dengan menghias dalamannya dengan ayat-ayat suci yang diiukir pada tingkap, pada dinding atau panel-panel yang digantung. Ayat suci ini pula ditulis dengan ragam seni khat seperti nasakh, raq`ah, thuluth dan sebagainya. Selain itu dihias dengan ukiran awan larat, motif tumbuhan dan geometric design yang diperturunkan secara tebuk tembus dan sebagainya. Ini banyak digunakan pada mimbar khutbah. Ragam hias juga terdapat pada cucur atap dan bahagian atas bangunan dengan menggunakan elemen kaca berwarna yang memancarkan kilauan wana-warni.


Sebagaimana motif-motif ragam hias perlu murni, demikianlah bagi binaan masjid kaya dengan simbol-simbol keislaman yang bukan saja suci tetapi kudus.. Misalnya bagi binaan sebuah masjid banyak mengambil bentuk bulat yang melambangkan kesempurnan yang mencerminkan kesempurnaan adalah sifat Allah sebab itu mihrab, menara, tiang-tiang masjid mengambil bentuk bulat. Sebagaimana disebut juga bumbung diberi bertingkat secara gasal – juga mencerminkan kekudusan lantaran Allah suka kepada yang gasal.


Kajian tentang masjid di Selangor tidak harus terhenti setakat ini. Ruang menambah dan memperbaiki buku ini masih banyak baik dari segi fakta dan huraian. Manakala masjid-masjid yang dibina selepas kemerdekaan tidak harus dibiarkan tanpa kajian. Jumlah masjid sedemikian jauh lebih besar (334 – bilangan semakin bertambah). Banyak keistimewaan masjid-masjid selepas merdeka. Manakala di sana terdapat beribu surau (1750 – Jumlah ini makin bertambah) yang patut juga diberi perhatian dan kajian. Kajian bagi masjid dan surau ini bukan saja dari segi binaan dan bangunan, tetapi dari segi sejarah, peranan, kedudukannya di tengah masyarakat setempat dan fungsinya dari segi dakwah Islamiah secara menyeluruh.


Pengarang buku Warisan Masjid Lama Selangor berjaya mengkaji dan menghasilkan buku yang mengabadikan masjid lama yang dapat mengelak dari kepupusan maklumat. Buku ini adalah sumbangan penting kepada warisan, budaya dan peradaban Selangor, Negara dan Umat yang pasti manfaatnya dapat sama dinikmati generasi akan datang.

Sekian. Wallahu a`lam.

June 29, 2012

YB Dato` Mahfoz Omar Rasmi Markas Pilihanraya Di `Rumah Sarawak` Bangi

Bandar Baru Bangi, 08 Syaaban 1433 = 28 Jun 2012 (Khamis):

Malam ini YB Dato` Mahfoz Omar Naib Presiden Pas merasmikan Markas Gerakan Pilihanraya bagi Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi. Markas ini seberang jalan, betul-betul berhadapan dengan Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Bangi yang juga sebagai Markas Pas Serdang. Rumah ini dibeli oleh Abang Ahmad Kerdee Masagos dan sebelum beliau berpindah ke sini sebagai kediaman tetapnya, beliau meminjamkan sementara kepada Pas Cawangan Seksyen Satu di BBB ini bagi dijadikan Markas Pilihanraya ke 13 sehingga selepas pilihanraya. Sejak sebulan lepas rumah yang telah rosak (rumah lama di Seksyen terawal di BBB) ini diperbaiki atas perbelanjaan Abang Ahmad sendiri. Beberapa kali gotong royong telah diadakan oleh ahli-ahli Cawangan Pas 1/7 dan 1/3 yang diketuai oleh Haji Kamaruddin Yusof Ketua Cawangan 1/7 BBB. Kami namakan markas ini `Rumah Sarawak`, bukan saja kerana rumah ini dibeli Abang Ahmad berasal dari Sarawak, tetapi kami juga akan menolong mengatur strategi dari markas ini bagi membantu pilihanraya di Sarawak yang dijangka Abang Ahmad akan bertanding di Sarawak. Sebelum ini beliau pernah bertanding pada peringkat Dewan Undangan Negeri di sana, tetapi kalah dengan majoriti tipis 300 undi. Dari markas ini akan dijadikan juga Markas Membantu Pas Sarawak menghadapi pilihanraya di sana. Sebagai bukti Majlis Penerangan dan Penerangan pada malam ini juga melancarkan pungutan derma bagi membantu Pas Sarawak, khusus Abang Ahmad bagi menghadapi pilihanraya ke 13 di Sarawak. Pungutan bantuan bukan setakat malam ini, tetapi berterusan dan sesiapa yang mau turut sama membantu dan berderma bolehlah menghubungi Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Bangi.

Majlis Penerangan dan Perasmian pada malam ini bermula dari petang dengan pembacaan Yasin dan doa selamat, Penerangan mengenai pilihanraya dari Pengarah Tuan Haji Mazwan Johar, solat Maghrib berjamaah, makan malam dan Isya` berjamaah. Majlis Penerangan dan Perasmian bermula dari jam 9.00 malam dihadiri oleh YB Dato` Mahfoz Omar Naib Presiden Pas, Adun Bangi yang juga Ketua Cawangan 1/3, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, Tuan Haji Mazwan Johar Timbalan YDP, Tuan Haji Kamaruddin Yusof Ketua Cawangan 1/7. Abang Ahmad selaku Tuan Rumah, Dr. Tajul Ariffin Noordin Mantan YDP Persatuan Penduduk BBB, Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk BBB, ahli-ahli dari kedua-dua cawangan Seksyen Satu dan para hadirin yang berjumlah 500 orang.

YB Dato` Mahfoz yang datang dari Parlimen menyertai sidang hari terakhir hari ini dalam ucapannya menyatakan pihak BN kini paling takut kerana berdepan politik tidak menentu. Kemenangan Ikhwanul Muslimin di Mesir memberi kekuatan semangat kepada Pas tetapi menakutkan BN, kerana bimbang trend ini akan berlaku di Malaysia, bahawa BN akan jadi seperti rejim Mubarak! Sabah, Sarawak dan Johor adalah tali hayat BN. Mereka memasang agen-agen mempastikan tidak berlaku `Berpaling Tadah` pimpinan di ketiga negeri ini. Bagi kita Jalan ke Putrajaya, walau pun begitu dekat dengan Bangi ini, tapi bagi mempastikan kejayaan, perlu diruntuhkan ketiga-tiga kubu yang mereka anggap kuat bagi mereka. YB Mahfoz berkeyakinan rakyat makin sedar dan makin menyokong Pakatan Rakyat. Beliau menyebut, walaupun Dato` Dr. Hasan Ali menyerang Pakatan, tapi makin ramai tokoh-tokoh menyertai Pas. Ini memeningkan Dr. Hasan Ali. Ini bererti dia bukan faktor menggugat Pakatan Rakyat. Beliau berpendapat Rakyat mampu membuat perubahan. Kesedaran ini menjadi asset bagi Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya.

Sebelum daripada itu Adun Bangi menyampaikan ucapan menyelar pihak BN menggunakan wang rakyat berbilion-bilion ringgit bagi membeli undi rakyat secara rasuah kewangan melalui BRIM 1, mungkin BRIM 2 dan pemberian wang secara langsung kepada berbagai-bagai pihak. Tiada Perdana Menteri sebelum ini mengambil pendekatan menggunakan wang rakyat secara boros dan langsung. Dengan tindakan ini ia membawa Malaysia ke jurang bankrupsi sebagaimana negeri Greek. Idris Jala sendiri membuat spekulasi Malaysia akan bankrupt pada 2019. Kiranya mereka kalah mereka meninggalkan masalah kepada kerajaan baru – Kerajaan Pakatan Rakyat Insya Allah. Adun Bangi juga bercakap tentang ketiadaan leadership dari BN di Selangor. Mereka jangan harap untuk menawan Selangor. Najib tidak yakin dengan pimpinan BN yang ada di Selangor, kelihatan dalam mencari-cari. Dijangka pada hari Ahad nanti Dia akan turun dengan Ummi Hafilda ke Bangi, khabarnya. Kita tidak takut. Rakyat kenal siapa Ummi Hafilda sebagaimana mereka kenal Altantuya dan Rosmah!

Ustaz Shafie Ngah memberi tumpuan dalam ucapannya mengenai Umno yang tidak boleh diharap dari segi membela orang Melayu. Beliau menyebut pada tahun 1995 tanah reserve Melayu tinggal 1.7 juta hektar, hilang 44% dari jumlah asal. Akibat dari Projek Wilayah Iskandar di Johor orang Melayu kehilangan 20,000 hektar tanah dan dikuasai pemilik luar, khususnya Singapura. Pulau Redang Terengganu dikuasai Syarikat Vincent Tan. Mereka beli tanah dengan harga RM500 seekar dan jual dengan harga RM700,000. Felda yang disahamkan di BSKL melibatkan 20,000 hektar tanah reserve Melayu yang boleh tergugat jika saham Felda menghadapi kerugian.

Manakala Abang Ahmad bercakap tentang kedudukan ekonomi Sarawak yang dulu berada terkehadapan di Malaysia, kini makin menurun. Beliau berkeyakinan Sarawak akan berubah dan Pakatan Rakyat cerah pada pilihanraya ke 13 nanti

Sementara itu pada 25 Jun 2012 lepas satu ceramah juga telah diadakan di Padang Taman Putra Kajang (Dun Bangi) disampaikan oleh YB Dr. Mariah, YB Dr. Shafie Abu Bakar, Ustaz Shafie Ngah, Dato` Fauzi Shaari, sdr. Thani Hamzan, Ustaz Khalil bin Abdul Hadi dan sdr. Adram Musa. Pada malam itu diadakan Majlis Penyerahan borang-borang keahlian Pas oleh pemuda-pemuda yang keluar dari Umno.

Sekian.

June 28, 2012

Meneliti Misteri Jugra: Rasmi Kerja Ekskavasi Arkeologi

Kuala Langat, 07 Sya`ban 1433 = 27 Jun 2012 (Rabu):

Bukit Jugra adalah salah sebuah pusat pemerintahan awal Kesultanan Selangor di Jugra, selepas Kuala Selangor, bermula dengan Sultan Abdul Samad (1857-1898). Di Bukit Jugra terdapat kesan peninggalan sejarah yang penting, seperti Insitu Jugra, Tapak Pejabat Daerah dan kesan tapak bangunan yang lain.Tempat-tempat ini masih mistri dan perlu dikaji. Di sini terdapat tinggalan-tinggalan arkeologi yang mengukuhkan era kesultanan dan pemerintahan di Jugra dan mungkin terdapat tinggalan-tinggalan yang lebih awal dari itu. Bidang arkeologi memerlukan kepakaran, lantaran itu pihak PADAT mengadakan MOU bersama Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya yang bidang arkeologi menjadi sebahagian dari Jabatan Sejarah di bawah Fakulti tersebut. MOU ditandatangani di PADAT pada 23 Mei 2012 lepas.

Berdasarkan MOU di atas, maka pada hari ini diadakan Majlis Perasmian Kerja-Kerja Ekskavasi Arkeologi di Bukit Jugra Lama di atas. Majlis bermula dengan membaca Yasin dan doa di Masjid Kampong Permatang, Jugra. Hadir bersama ialah Puan Hajah Azlinda Azman Ketua Eksekutif Padat, Encik Mohd Ezham Penghulu Kawasan Bandar Jugra, Dr. Sufian bin Sabtu Pensyarah Universiti Malaya yang membimbing pelajar-pelajar mengekskavasi lokasi, Puan Intan Ketua Bahagian Arkeologi Padat, Encik Adnan bin Mud Pegawai Tadbir Padat, Tuan Haji Abdul Aziz Imam Masjid Kg. Permatang, mahasiswa/mahasiswi (22 orang) Selepas membaca Yasin dan doa diadakan sedikit ucapan disampaikan oleh saudara Adnan yang menerangkan kepada tamu tujuan kehadiran. Beliau meminta agar mereka tidak dicuriga. Mereka pula dikehendaki menjaga adab sopan dengan masyarakat setempat. Mereka akan berada di lapangan dari 25 Jun hingga 18 Ogos. Mereka menginap di rumah-rumah yang di sewa khas di Jugra.

Tuan Penghulu En. Mohd Ezhuan juga mengucap terima kasih kerana memilih kawasan Jugra untuk diekskavasikan. Beliau berharap dari ekskavasi akan menemui sesuatu yang berharga yang akan lebih mempopularkan Jugra sebagai salah satu destinasi pelancongan. Adun Bangi selaku Pengerusi Padat mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis. Adun juga berharap semoga Allah memberikan kemudahan bagi kerja-kerja yang akan dilakukan. Kita harap kata Adun, kita akan dapat menemui beberapa artifak . Pencarian kita bukan setakat di dalam tanah, tetapi juga dari penemuan tuan-tuan dan puan-puan. Jika ada sesiapa dapat kemukakan kepada pihak Padat sebarang bahan sejarah, kita akan mempertimbangkan sagu hati. Adun berharap dengan pembukaan ekskavasi di sini mencapai objektif dan menghasilkan penemuan-penemuan. Selepas perasmian hadiah-hadiah cenderahati disampaikan oleh Adun dan juga Puan Azlinda kepada mereka yang berkenaan. Jamuan diadakan sempena pembukaan.

Selepas daripada itu Adun dan semua pihak bergerak ke lokasi ekskavasi, iaitu di tapak yang merupakan perumahan dan juga tapak bagi runtuhan Pejabat Daerah. Tumpuan awal bagi peringkat permulaan ialah bagi tapak binaan.

Lokasi tapak ekskavasi ialah di atas Bukit Jugra Lama, iaitu bahagian atas dari Insitu Jugra yang mempunyai jalan rentas berjalan kaki ke atas, tetapi kami mendaki ke atas bukit terlebih dahulu dengan kenderaan dan turun melalui denai yang telah dirintis. Tapak ini pada asal berada di dalam semak dan tumbuhan kayu hutan dan dibersihkan. Tapaknya di pinggir bukit yang sengaja ditarah seluas 2 x 2 meter bagi memuat bangunan. Menurut Puan Intan Arkiologis Padat, ``Tempat ini ditemui secara tidak sengaja di dalam mencari tapak untuk diekskavasi Di sini terdapat bekas tapak bagi tiang bangunan, longgokan batu bata dan juga atap yang sama dengan atap Insitu Jugra. Tapak ini mungkin bangunan tempat meninjau kawasan yang dapat dilihat sungai dan sebarang pergerakan keluar masuk di Kuala Sungai Langat.

Semasa tiba ke lokasi, mahasiswa/siswi membuka payung-payung lindungan dan peralatan bertempat di tepi tapak lokasi ekskavasi. Kawasan tapak telah direntang dengan tali. Menurut Dr. Sufian yang mengetuai Ekskavasi dan pernah membuat kajian di Lembah Bujang, Kedah. ``Rentangan silang tali mewujudkan 15 trench (kotak ruang) yang setiap ruang akan dicarigali secara teliti oleh 3 orang mahasiswa/i.`` Seterusnya Dr. Sufian memaklumkan kepada Adun, ``Terdapat beberapa lapisan tanah dari permukaan ke bawah yang setiap lapisan mempunyai warna.`` . Beliau menunjukkan katalog warna-warna tanah. Sedikit tanah diambil dan diadukan dengan warna-warna di dalam katalog warna tanah berkenaan. Ada 10 warna lapisan tanah seperti humus, gelap, kelabu, cerah, pasir dan kuning. Perlapisan berlaku dalam sejarah yang dialami permukaan tanah yang bertambah lapisan misalnya akibat dari penutupan dari hakisan, penambakan, reputan tumbuhan, aktiviti manusia yang merubah permukaan dan sebagainya. Dalam masa perubahannya ini, khususnya dari aktiviti manusia membuat bangunan, dan masa kediaman berlaku tinggalan bahan-bahan misalnya peralatan yang digunakan dari logam, tembikar, duit shilling timah, perak dan sebagainya. Pada tapak ini Adun diterangkan oleh Puan Intan tentang batu bata yang diikat dengan pecahan batu dan campuran menjadikannya sebagai `semin` yang mengikat batu-batu bata bagi pembinaan bangunan.

Cara menggali ada kaedahnya, antaranya menggunakan sodek pembancuh semin dengan mengorek tanah dan diletakkan dalam bekas pertama dan diperhati kandungan, bila dipasti tiada apa bahan carian bersifat arkeologi, maka dipindah kepada bekas kedua yang berlainan warna bekas, terakhir akan dilonggok sebagai bahan yang telah dikaji. Cara yang lebih canggih ialah dengan mengesan tanah yang diambil dengan menggunakan alat pengesan logam. Adun mau melihat kaedah ini, tetapi alat ini masih belum dibawa ke lokasi, Pengorekan ini akhinya sampai ke tanah bawah yang asal berwarna kuning yang bukan tambahan akibat dari pertambahan alamiah atau akibat dari aktiviti manusia. Ia menjadi had terakhir penggalian bagi satu-satu trench.

Sebagai merasmikan aktiviti ekskavasi dan cari gali Adun dibekal dengan sepasang sarung tangan, pengacau pembancuh simen dan alat perelai dan sebuah bekas plastik. Adun mengorek tanah dan meletakkannya dalam bekas plastik dan mempastikan kandungan dan memindahkan ke bekas yang lain. Ini dilakukan beberapa kali korekan tanah. Turut sama menggali ialah Tuan Penghulu En. Mohd. Ezhuan. Selepas daripada ini, mahasisawa/i terus berada di tapak, sedang kami termasuk Puan Azlinda, Dr. Sufian, Puan Intan, Nabilah, Aisyah dan beberapa yang lain menuruni denai jalan ke bawah yang menyampaikan kami ke Insiti Jugra. Di Insitu Jugra tumpuan kami lebih melihat kepada struktur susunan batu blok granit yang diikat dengan bahan batu dan campuran. Menurut Puan Intan, ``Teknologi ini sama dengan pembinaan Kota Melaka yang pada masa itu masih belum ada simen.`` Adun menambah, ``Cara susunan batu blok granit macam susunan batu binaan ``kaabah.``, iaitu disusun cara bertindih, berselang dari lapisan bawah ke atas, lantas kelihatan batu-batu granit empat segi diperkukuhkan dengan bahan semacam `simen kapur` yang melekatkan antara dua blok.

Dr. Sufian mencelah, bahawa teknologi ini selain dari bersifat tempatan, juga dipengaruhi India, yang British bawa semasa ke Negara ini. Beliau bergurau, "Jika mahu kepastian dari segi kajian, patut ke India," katanya.

Walau apa pun dari pemerhatian terhadap teknologi binaan secara khusus dan rangkaian binaan yang terdapat di Bukit Jugra ini, kelak setelah hasil kajian lengkap, wajar semuanya ini akan dipeta, dilakar, disusun, ditulis dan dibukukan sebagai warisan bagi generasi akan datang.``

Kajian ini adalah asli, kerana Jugra masih belum terdapat di dalam peta arkeologi, tiada dalam kajian dan catatan selama ini. Bahkan istilah Jugra itu sendiri masih misteri dari segi asal usul perkataan dan maknanya.

Sekian.

June 27, 2012

Rumah Tradisi Selangor: Di manakah Hendak Ditempatkan?

Shah Alam, 01 Syaaban 1433 = 21 Jun 2012 (Khamis):

Pada Rabu 29 Februari 2012, Adun Bangi selaku Pengerusi Padat ke Kuala Selangor bermesyuarat di Palma Hotel, Kuala Selangor tentang `Rumah Tradisional Selangor`. Pada tengahari itu juga Adun bersama rombongan – sebahagian dari yang bermesyuarat, ke Kampong Permatang yang agak jauh ke dalam dan menyaksi serta meneliti `Rumah Tradisi Selangor` yang dimaksudkan yang boleh disifatkan sebagai `istimewa`, tetapi terbengkalai. Jika tiada usaha menyelamatkan, maka akan runtuh dan hilang. Rumah ini tidak lagi dihuni (rosak), kecuali bahagian belakang (tambahan) dihuni oleh waris turunan. Difahamkan, waris sedia melepaskan pemilikan dengan bayaran berpatutan.

Dalam mesyuarat ada dua pendapat. Pendapat pertama, Rumah Tradisi Selangor ini perlu dibaikpulihara, tetapi dikekalkan pada tapak yang ada kini secara asli dan pengunjung boleh datang menyaksikan keunikan Rumah Tradisi Selangor. Iklan mempopularkannya perlu dibuat. Masalahnya Kampong Permatang ini begitu jauh terpencil, tiada saiapa yang mahu datang kecuali mereka yang benar-benar berminat. Contoh bagi membuat kajian dan penyelidikan.

Pendapat kedua, Rumah Tradisi Selangor ini perlu diselamatkan dengan memindahkannya ke kawasan Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam. Rumah ini perlu dibaikpulih dan ditempatkan di pekarangan Muzium bagi menjadikannya salah satu daya tarikan bagi pengunjung-pengunjung. Pendapat ini mendapat sokongan yang banyak. Rundingan dengan waris rumah dan usaha memindahkannya diusahakan. Sebenarnya kajian dan peta ukuran terhadap rumah ini telah dilaku dan direkodkan, apabila dirombak untuk pemindahan dan pemasangan kembali dapat dikekalkan keaslian.

Pada tengahari hari ini pertemuan dengan Ybhg. Dato`Haji Mohd. Jaafar bin Atan Dato` Bandar Shah Alam dapat dilakukan, iaitu melalui Mesyuarat Bagi Membaikpulih Bangunan Muzium dan Kemasan Dinding. Turut ditimbulkan di dalam mesyuarat ialah Rancangan Memindahkan Rumah Tradisi Selangor Ke Pekarangan Muzium, sama ada di pinggir sebelah kanan berhampiran Bangunan MBSA atau sebelah kiri berhadapan Muzium. Cadangan ini kurang disetujui oleh Dato` Bandar, kerana ruang terlampau sempit, lagi pula mengganggu kawasan parking dan juga merosakkan pandangan. Beliau mengesyurkan agar dilihat kemungkinan tapak di belakang Bangunan Teater Di Raja, dipinggir sebuah padang yang terdapat di siti. Terbaik dikawasan bersebelahan dengan Muzium.

Perlu diingat bahawa menempatkan Rumah Tradisi Selangor, bukan semata-mata meletak bangunan dan membuka kepada orang ramai untuk melihatnya. Tetapi bersama Rumah Tradisi Selangor hendaklah ditempatkan pada tempat yang suasana alam kelilingnya semacam suasana kampong. Misalnya ada satu dua pokok kelapa dan satu dua pokok buah-buahan dan ada kepuk padi, ada taman bunga. Misalnya ada bunga raya, bunga melor, bunga mawar. Di belakang ada tanaman dan sayur yang boleh dipetik segera untuk dimasak. Di tangga rumah atau atas lamburnya ada tempayan air dan cebok bagi membasuh kaki.

Rumah Trasisi Selangor ini bertiang tinggi yang membolehkan anak-anak bermain dan berlari di bawahnya, terutama di bawah rumah ibu. ini ada tersimpan alat-alat permainan anak-anak, mungkin terdapat jala atau pukat, lesung menumbuk padi dan sebuah basikal tua.

Naik ke atas, maka ianya hendaklah bersuasana rumah yang sedang dihuni. Ruangnya terhampar tikar mengkuang, ada peralatan membuat telepuk dan jahitan kelingkan, tersangkut didinding baju kebaya dan Melayu Selangor. Di dinding tanduk rusa yang disangkut padanya songkok dan kupiah. Ada ayat-ayat Quran bersama ukiran. Tersusun pada rak ialah kain baju dan sajdah. Sebuah Quran di atas rehal di atas sebuah kotak peti simpanan barang-barang. Di satu sudut terdapat cerana dengan peralatan makan sirih seperti daun sirih, kacip, cembul-cembul untuk pinang, kapur dan gambir. Diguna oleh tuan rumah dan dihulur juga kepada tetamu berkunjung sebagai penghormatan.

Di bahagian tengah terdapat tikar yang dalam proses menganyam.Terdapat tabir yang memisah tempat tidur dengan dapur. Dibahagian bumbung terdapat ruang sebagai bilik untuk anak perempuan dara bersembunyi, khususnya bila ada tamu yang ajnabi.

Ke belakang ke bahagian dapur terdapat ruang untuk tetamu perempuan datang melalui tangga dapur (tangga belakang). Di dapur sendiri terdapat dapur tanah, bertungku batu, bertiang kayu yang menggunakan kayu api untuk memasak. Terdapat periuk belanga dari tanah juga guri beras, tempayang yang disimpan air dan bagi kegunaan memasak yang airnya diambil dari perigi berdekatan rumah atau dari sungai berdekatan. Terdapat golok, pisau dan parang. setandan pisang, sayur bayam, kangkong dan labu juga buah-buahan tempatan seperti rambutan, manggis, langsat dan pulasan. Bersebelah bekas air terdapat bekas ikan haruan, keli dan puyu untuk dimasak. Juga terdapat ubi kayu, keledek dan nenas. Terdapat rak mangkuk pinggan dan cawan lama yang agak antik. Tersusun talam kecil dan besar bagi hidangan. Di atas rak terdapat bungkusan tempe, bungkusan ikan kering dan daging salai. Manakala atas para di atas dapur tersusun berbagai bahan keperluan dapur.

Pendek kata bila melawat ke rumah Selangor tercermin segalanya yang bersifat dan berbudaya rakyat Selangor.

Sekian.

June 26, 2012

Ke Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan: Masalah Obesiti & Masjid Terbengkalai

Seri Kembangan, 27 Rejab 1433 = 17 Jun 2012 (Ahad):

Begitu kontradiknya tajuk di atas. Apa hubungannya masalah obesiti (gemuk) dengan Masjid Terbengkalai? Tapi itulah realitinya. Penduduk Rimbawan, Seksyen 2, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan mendapat geran RM50,000 daripada pihak Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (My Sihat) bagi menjalankan berbagai-bagai aktiviti yang berhubung dengan kesihatan. Program berlangsung dari 3 Disember 2011 hingga 10 Jun 2012. Sebanyak 54 aktiviti telah dijalankan pada setiap hujung minggu selama 6 bulan. Program sebagai kajian berfokus kepada 170 orang dari segi menurunkan berat badan sekurang-kurangnya 15%. Program ini disokong oleh urusetia yang terdiri dari 20 tenaga.

Pada hari ini adalah Hari Penutup. Persatuan Penduduk Taman Pinggiran Putra mengharapkan YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim dapat turun bersama YB Tuan YB Dr. Xavier Jayakumar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prehatin. Namun YAB Dato` Menteri Besar tidak dapat hadir, lantas mewakilinya kepada YB Dr. Abd. Rani bin Osman Selaku Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor. Namun beliau juga tidak dapat hadir dan mewakili kepada Adun Bangi, selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam.

Adun Bangi setelah mencari-cari tempat bersama saudara Azizi, masih dapat sampai tepat pada waktu jemputan jam 3.00 petang. Berturut di belakang tiba juga YB. Dr. Xavier. Jadi kami terus diiring ke pentas yang terletak di tepi sebuah padang dan di tepi padang terdapat khemah-khemah agensi-agensi yang mengambil bahagian seperti Jabatan Kesihatan, pihak Polis, Bank, Takaful, Bomba dan beberapa yang lain. Hadir bersama di dalam majlis selain dari kami berdua ialah En. Abdul Rauf Pengerusi Persatuan Penduduk Villa Rimbawan, Seksyen Dua, Taman Pinggiran Putra, En. Arman Shah bin Abdul Manan Setiausaha Persatuan Penduduk, Puan Suzana bt. Isa Ahli Majlis setempat.

Bercakap mengalu-ngalukan kehadiran kami En. Abdul Rauf memaklumkan bahawa selama enam bulan tempoh kajian yang dialami penduduk berbagai-bagai kegiatan yang telah dilakukan. Kegiatan terbaru bagi Majlis Penutup diadakan pertandingan futsal, trek jogging, pertandingan mewarna, kerja tangan wanita. Beliau juga memaklumkan. Persatuan Penduduk yang mengendalikan program didaftarkan pada 28 Ogos 2008 yang keahliannya kini berjumlah 125 orang daripada 198 rumah di kawasan Rimbawan. Majoriti penduduk adalah Melayu. Kediaman di sini diwujudkan untuk kakitangan dan pesara Jabatan Perhutanan Negeri Selangor. En. Abdul Rauf meluahkan perasaan bahawa, ``Penduduk tidak mempunyai sebarang tempat bertemu, kecuali di tanah lapang dan padang permainan. Pihak persatuan dengan kerjasama penduduk telah bersama membina sebuah dewan komuniti di atas tapak masjid untuk aktiviti riadah.

Adun Bangi selaku Pembantu Exco Agama, berterima kasih di atas jemputan hadir dan dapat berkenalan dengan penduduk setempat dan memahami masalah yang dihadapi penduduk yang memerlukan tempat kegiatan bagi masyarakat setempat. Sebuah masjid yang diidamkan oleh penduduk wajar segera disiapkan. Kepentingan masjid amat dirasakan, khususnya apabila tiba bulan Ramadhan nanti. Saya difahamkan kata Adun, ``Ada sedikit masalah yang dihadapi penduduk. Adalah difahamkan pembangunan masjid sudah dilakukan sebagai projek usahasama antara Persatuan Pesara dan Kakitangan Jabatan Perhutanan Selangor dan Pelangi Home di atas tanah berkeluasan 1.255 ekar beralamat Plot B, Jalan PP 19, Seksyen 2, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dan mendapat kelulusan Pejabat Tanah dan JAIS.

Perjanjian telah ditandatangani antara pihak Pemaju serta PPKJPS dengan pihak Pemaju bersetuju menyumbang kos pembinaan masjid RM1,200,000.00, sebuah surau RM100,000.00 dan sebuah Dewan Orang Ramai RM300,000.00. Sejak Mac 2008 tender pembinaan masjid dikeluarkan. Pada Jun 2008 pihak kontrektor memberhentikan kerja-kerja disebabkan lambat mendapat tuntutan bayaran dari pihak PPKJPS. Kos sebanyak RM341,285.00 telah dibayar untuk kerja-kerja awal dan kerja pembinaan terbengkalai.

Perbincangan pernah diadakan antara Persatuan Penduduk, PPKJPS dan Pelangi Home SB. Pihak Pemaju setuju memasukkan baki sumbangan sebanyak RM1,158,715.50 kepada pihak PPKJPS dengan bayaran berkala RM200,000.00 sebulan mulai Januari 2011 dan dimasukkan terus ke dalam akaun Tabung JK Pembinaan Masjid, Taman Pinggiran Putra dan membuat permohonan pungutan derma dari JAIS dan mendapat kelulusan. Namun menurut Persatuan Penduduk pungutan derma berkenaan tidak pernah dimaklumkan kepada umum. Pihak Persatuan mengharapkan mereka diberi ruang untuk sama berusaha menyiapkan masjid. Namun Adun difahamkan tidak ada sekata antara Persatuan Pesara, AJK Pembinaan Masjid (juga Ahli dari Persatuan Pesara) dan Persatuan Penduduk.

Adun berpendapat ketiga-tiga pihak perlu duduk berunding dengan ikhlas hati bagi tujuan membina masjid yang tapaknya sudah dibina. Duit yang ada hendaklah digunakan bagi pembinaan. Jika ada kesepakatan, kita percaya penduduk dan orang ramai tentulah berminat untuk menambahkan derma, tetapi dalam keadaan sekarang menimbulkan keraguan bukan saja di kalangan penduduk, tetapi juga pihak pentadbir dan pemerintah.

Majlis seterusnya ialah ucapan dari YB Dr. Xavier yang memfokuskan tentang kesihatan yang menyatakan biaya kos kesihatan 70% ditanggung kerajaan, 30% swasta. Dapatkan perkhidmatan percuma kerajaan. Beliau melahirkan kebimbangan ramai dari kalangan penduduk mengalami obesiti yang mengganggu kesihatan. Ini menurut YB Dr. Xavier, bukan saja kurang exercise, tetapi juga disebabkan oleh tabiat permakanan. Sebab itu selalulah exercise dan jaga dari segi permakanan. Berhubung dengan denggi di MPSJ, menurut YB Dr. Xavier statistic minggu lepas terdapat 6 kes. Tempat membiak aedis rumah terbengkalai, kilang dan rumah kediaman. Keseluruhan terdapat 4,908 kes denggi dengan 12 kematian. Di Selangor kes denggi: Kelang 1,445, Petaling 1,364, Hulu Langat 1092, Sepang 67 dan Sabak Bernam 66. Beliau menyeru semua pihak menjaga kesihatan.

Selepas Majlis Perasmian Penutup, lawatan ke gerai-gerai dilakukan dan sidang akhbar juga dilakukan. Adun menerima taklimat lanjut dari Persatuan Penduduk mengenai masjid, tapi tidak dibawa melawat ke tapak. Tetapi atas inisiatif sendiri Adun bersama saudara Azizi singgah mengambil gambar tapak dan binaan yang telah mula didirikan. Sayang masjid yang telah dibina terbengkalai, bukan kerana ketiadaan wang, tetapi oleh ketiadaan kesepakatan penduduk!

Sekian.

June 25, 2012

Ustaz Azhar Idrus Ikon Anak Muda - Kuliah Perdana Di KUIS

KUIS, Bandar Seri Putera, 03 Sya`ban 1433 = 23 Jun 2012 (Sabtu):

Sejak jam 1.00 tengahari kita dimaklumi Kampus KUIS dan Masjid Al-Azhar mulai didatangi kalangan anak muda yang meminati Ustaz Azhar Idrus. Mereka mulai berkampong di Masjid Al-Azhar bersama berjamaah waktu-waktu solat fardu dan sunat dan menolong apa yang patut di dalam menyiapkan persediaan yang patut bagi ceramah Ustaz Azhar pada malam ini. Dari jawapan pertanyaan yang dibuat bahawa golongan muda yang datang ini bukan saja datang dari Sekitar Bangi dan Hulu Langat, tetapi ada yang datang khusus dari Kelantan, Terengganu, bahkan dari Kedah dan Perlis.

Apakah yang membuat golongan muda ini membanjiri Kampus Kuis?

Hadir Adun di Kampus Kuis pada jam 6.30 petang, parking penuh hingga ke luar kampus, bersusun-susun di tepi jalan dan makin ke dalam, makin banyak dengan kenderaan. Walau bagaimana kereta Hilux Adun tidak ditahan dan tidak diminta parking di luar. Sebenarnya sejak pagi tadi Adun dihubungi bertanya sama ada akan hadir atau tidak ke Kuliah Ustaz Azhar pada malam nanti. Mngetahui Adun akan hadir (kami juga sebagai Penaja), no kenderaan Adun diminta. Dan sememangnya sebaik masuk dalam kampus, kereta Adun didahului dua anak muda bermotor hingga berhenti parking betul-betul di tepi masjid. Kami berempat sekereta disambut dan diiringi Imam Imran ke dalam kamar rihat Imam. Kami bercakap dengan beberapa pegawai masjid dan menunggu Maghrib. Kami dimaklumi Ustaz Azhar tiba selepas solat Maghrib.

Sebaik tiba Maghrib kami bergerak ke saf hadapan yang sengaja disekat untuk AJK masjid dan tamu-tamu. Solat Maghrib dipimpin oleh Imam Imran dan selepas selesai doa jamaah menunggu kesampaian Ustaz Azhar. Adun memerhati ke belakang kiri kanan semua ruang penuh, bahkan di ruang .tanah sebelah kanan diberi hamparan bagi jamaah muslimin dan bahagian sebelah kiri bagi jamaah muslimat. Kebanyakan mereka golongan muda lelaki dan perempuan.

Ustaz Azhar tiba terus ke kerusi ceramah. Jangkaan beliau akan bercakap berkenaan tajuk ``Anak Kunci Kejayaan`` sebagai diiklankan di poster dan media, sesuai dengan keberadaan di Kampus Kuis, sebagai panduan kepada pelajar Kuis dan anak-anak muda yang sebahagian besar tentulah dari kalangan pelajar. Namun sebagaimana lepas, pendekatan menurut format yang sama, iaitu pengajaran berdasarkan teks yang digunakan hasil dari karangan beliau. Beliau memulakan pengajaran berdasarkan ayat pertama dari Surah Al-Isra`, iaitu tentang ayat bermaksud:

``Maha Suci (Allah) yang telah menjalankan dengan hambanya (Nabi Muhammad (s.a.w.) pada malam hari dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang kami berkati kelilingnya bagi Kami memperlihatkannya daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.`` ( Al-Isra`: 1).

Walaupun bertolak dari ayat Surah Al-Isra`, nampaknya ianya adalah sebagai tempat bertolak bagi permulaan kuliah sahaja. Daripadanya disentuh berbagai-bagai persoalan. Pada dasarnya perkara yang disampaikan adalah biasa, tetapi di dalam huraiannya ianya sering membawa unsur humor yang menjadikan pendengar tergelak. Kemampuannya mencuit hati pendengar-pendengar inilah yang menjadi tarikan. Contoh beliau menyatakan . Isra` Mi`raj adalah mu`jizat Rasulullah, manakala karamah pada wali. Dua-dua dari kurniaan Allah – Menyalahi adat. `Berjalan atas air bukan karamat, tapi itu labah-labah.` (ketawa), manakala yang memanjat dinding, spiderman (Lagi Ketawa). Contoh ungkapan-ungkapan lain

`Ulama menghafal beribu-ribu Hadith adalah karamah. Ramai yang mau jadi mujtahid, tapi hafal hanya 18 Hadith (Sinis –Gelak).

"Siapa yang rasa pandai bodoh" (Ketawa)

"Siapa yang rasa banyak ilmu jahil,"(Ketawa).

Tawadu` seorang ulama berucap, selepas salam berkata, ``Sesungguhnya saya tidak mengetahui apa-apa..`` Dia pun berhenti dari berucap.(Mengangguk).

``Seorang ulama mengarang beratus buah kitab, bukan macam kita, ``Tanyalah Ustaz!`` (Sinis dan ketawa).

`Mu`jizat dipilih Allah, bukan dipilih dalam pilihan raya dengan banyak poster.` (Sindir tajam– ketawa). `Mu`jizat yang paling besar ialah Al-Quran. Dalam dari segi balaghah, maa`ni dan bayan – Indah bahasa dan mendalam.`` Demikianlah banyak lagi contoh-contoh spontan yang mencuit hati dalam kuliahnya yang memakan masa satu jam setengah, kemudian disambung dengan soalan-soalan semacam `Tanyalah Ustaz!`` memakan masa lebih dari satu jam. Ada lebih 600 soalan dikemukakan. Yang dijawab yang dipilih untuk masa sekadar lebih sejam.

Ustaz Azhar boleh dianggap berani dalam menjawab soalan yang disiarkan secara langsung. Kerana kemungkinan jawapan spontan boleh berlaku kesalahan. Di dalam hal ini beliau menjawab soalan-soalan secara jelas dan yakin, namun dari satu segi menunjukkan kealiman dan kedalaman ilmu beliau. Dalam menjawab soalan-soalan tidak lekang terkeluar dari beliau unsur-unsur humor yang mentertawakan.

Inilah daya tarikan yang ada pada ungkapan-ungkapan yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus.

Selepas ceramah didirikan solat Isyak berjemaah. Sebelum bersurai Adun Bangi sempat menyampaikan kepada Setiausahanya Surat Tempahan Jemputan kepada Ustaz Azhar dengan hadiah buku `Bangi Bandar Ilmu,` Kami menunggu giliran yang akan diberitahu.

Sekian.

June 24, 2012

Berita Ringkas Tertunda: Dari Wetland Putrajaya Ke Karnival Keluarga Seksyen 7 BBB

Bersama Keluarga-Keluarga Kelab Berbasikal Ke Wetland
Wet Land, Putrajaya, 27 Rejab 1433 = 17 Jun (Ahad):

Jam 8.30 pagi ini Adun menyertai Ahli-Ahli Kelab Berbasikal Kajang Utama dan Keluarga mereka berkelah di Kawasan Rekreasi Wetland Putrajaya. Pada mulanya Adun menjangka mereka ke sana berbasikal beramai-ramai, tetapi rupanya dengan kereta masing-masing. Turut ke sana Tuan Haji Azizan Pengerusi Kelab Berbasikal, Tuan Haji Azhar Arshah Pengerusi Surau Al-Muhajirin, Kajang Utama, Tuan Haji Azhar Imam Surau, Wak Zul Setiausaha Kelab, Tuan Haji Abdul Razak dan Saudara Azman dan 48 keluarga. Berada di Wet Land terasa kedamaian menyelubungi diri. Bersalam dan berkenalan dengan ahli kelab dan keluarga mereka. Juga sempat bergambar. Mereka akan menaiki motor boat ke beberapa pulau di Tasik Putera Jaya dan berbarbeque dan bersantai bersama keluarga di sana.

Adun diminta bersama menaiki motor boat yang disewakan, tapi memohon maaf, walaupun ingin sama ke sana, tetapi oleh kerana mempunyai banyak program pada hari ini tak dapat bersama. Selepas bergambar beramai-ramai Adun memohon diri.

Merasmikan Kursus Menjahit

Desa Surada, Jam 9.30 Pagi

Bertempat di Balai Komuniti Desa Surada Adun merasmikan Kelas Jahitan yang dianjurkan oleh Ketua Muslimat Desa Surada yang diketuai Puan Zaitun. Hadir sama saudara Shukor Atan Imam Surau Al-Muhajirin, En. Azam Abdul Rahman Wakil Pengerusi Persatuan Penduduk. Kursus dihadiri lebih dari 20 orang wanita dari Surada dan juga Sungai Ramal Dalam. Mereka mengikuti beberapa siri kursus. Terdapat 8 mesin jahit digunakan. Berbagai jenis jahitan dan pakaian yang diajar menjahit. En. Azam sendiri mengendalikan perusahaan menjahit seperti membuat sarung tangan, buat tudung, jubah dan sebagainya. Beliau sedia membantu melengkapkan kurus. Adun di dalam ucapan perasmian memuji usaha mengadakan kelas jahitan. Kemahiran menjahit membolehkan peserta membuka perusahaan menjahit atau mengendalikan dari rumah atau sekurang-kurangmenjahit untuk keluarga. Semua orang berpakaian dan memerlukan jahit. Jadi permintaan tinggi. Bergabtung kepada usaha. Adun sedia membantu sebarang keperluan – Insya Allah.

Merasmikan Kursus Pengurusan Jenazah

Surau Al-Umm, 17 Jun, 10.00 pagi:

Kembali ke Jalan 1/3 ke Surau Al-Umm, Seksyen Satu Bandar Baru Bangi merasmikan Kursus Jenazah yang dianjurkan oleh pihak Surau Al-Umm di bawah AJK Kebajikan diketuai Tuan Haji Abdul Rahman Daud. Peruntukan di Taja oleh Adun Bangi. Kursus setengah hari ini dibimbing oleh Tuan Syed Othman Sani Imam Masjid Al-Hasanah dan Puan Haji Zaidah. Adun singgah sekejap dan berterima kasih kepada pihak Penganjur. Di harap kursus dapat memberi kefahaman mengenai pengendalian jenazah dan dapat dipraktikkan bila ada kematian terutama di kawasan sendiri, khusus berlaku kematian di kalangan keluarga. Menguruskan jenazah adalah fardu kifayah. Dengan adanya yang berkebolehan mengurus jenazah dapat melepaskan tuntutan Fardu Kifayah.

Menyertai Karnival Hijau Peringkat Negeri Di Tasik Cempaka

Tasik Cempaka 10.30 Pagi:

Segera ke Tasik Cempaka, menyertai Karnival Hijau Peringkat Negeri yang diadakan di sini. Tiba majlis sedang berjalan YB Lee Kim Sin sedang berucap mewakili Exco Alam Sekitar YB Elizabeth Wong. Ada di dalam majlis YDP MPKj Dato` Hasan Nawawi, Tuan Zulkifli Timbalan YDP MPKj, Puan Siti Zaleha dan tamu-tamu jemputan. Karnival adalah kempen bagi menyedarkan masyarakat memelihara alam sekitar. Adun berpendapat kesedaran alam sekitar hendaklah diberi penekanan, terutama dari segi kebersihan dan menghijaukan kawasan. Bangi masih belum tiba pada peringkat yang boleh dikatakan Bandar Bersih dan belum dihijaukan secara teratur hingga menjadi Bangi Bandar dalam Taman, sekurang-kurangnya seperti Shah Alam. Matlamat ini perlu dilaksanakan.

Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk di Surau Damai Impian

Surau Damai Impian 11.30 pagi

Ke Surau Damai Impian disambut oleh Tuan Haji Sufi Munassir Ketua Persatuan Penduduk Damai Impian yang juga selaku YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang baru. Turut sama saudara Shamsul Timbalan Ketua Persatuan Penduduk Damai Impian.

Adun diberitahu oleh Tuan Haji Sufi dalam ucapan alu-aluan, sejak surau baru disiapkan dua tahun lalu banyak aktiviti yang dibuat termasuk gotong royong, ceramah dan sambutan-sambutan. Surau menjadi pusat kegiatan ibadat, pendidikan dan kemasyarakatan. Penduduk terditri dari 158 keluarga (600 orang).

Dalam ucapan perasmian Adun memuji Persatuan Penduduk Damai Impian yang banyak mengadakan kegiatan dan berharap akan terus menjalankan khidmat bagi kepentingan pendudukdan kesejahteraan bersama. Adun merasmikan mesyuarat Agung.

Melawat Pertandingan Bola Sepak

Impian Putera Bangi, 12.00 Tengahari

Berada di sini menyaksikan pertandingan bola sepak 9 sebelah.. Menurut Tuan Azmi Abdul Aziz Ketua Persatuan Penduduk di sini. Ini adalah pertandingan kali kedua selepas 2010 yang Adun tajakan termasuk kali kedua ini. Menurut En. Azmi kali ini pertandingan 6 pasukan secara lega. Turut sama En. Mohd. Akhir Timbalan Ketua Persatuan Penduduk. Menurutnya YB Teo Nie Ching telah datang berkunjung pada sebelah pagi. Menurut program Adun akan mengadakan penutupan, tapi oleh kerana pertandingan masih belum berakhir dan dijangka tamat pada sebelah petang, maka upaca gimik sahaja diadakan dengan penyerahan cenderahati.

Karnival Keluarga Penduduk Seksyen 7, BBB

Kawasan Seksyen 7, Jam 12.30 Tengahari

Berada di kawasa Seksyen 7 bersama penduduk yang sedang meriah berhari Keluarga. Turut sama berada Ustaz Shafie Ngah Ketua Persatuan Penduduk di sini yang juga YDP Pas Serdang. Turut sama Puan Halina, Ketua Biro Wanita yang sedang mengendalikan pertandingan-pertandingan yang disertai anak-anak. Menurut Puan Halina, Program Karnival merupakan Acara Tahunan bagi kawasan penduduk yang berjumlah 280 buah rumah dengan 1.000 penduduk. Adun diberi peluang berucap ringkas dan mengucapkan terima kasih di atas jemputan. Adun sukacita melihat kerjasama penduduk. Sesungguhnya melalui kegiatan mesra masyarakat sedemikian merapatkan hubungan antara penduduk. Kegiatan di sini berindukkan Surau D` Wakaf. Ada memaklumkan kelulusan permohonan bagi menampung perbelanjaan karnival.

Sekian.