Pada Rabu 29 Februari 2012, Adun Bangi selaku Pengerusi Padat ke Kuala Selangor bermesyuarat di Palma Hotel, Kuala Selangor tentang `Rumah Tradisional Selangor`. Pada tengahari itu juga Adun bersama rombongan – sebahagian dari yang bermesyuarat, ke Kampong Permatang yang agak jauh ke dalam dan menyaksi serta meneliti `Rumah Tradisi Selangor` yang dimaksudkan yang boleh disifatkan sebagai `istimewa`, tetapi terbengkalai. Jika tiada usaha menyelamatkan, maka akan runtuh dan hilang. Rumah ini tidak lagi dihuni (rosak), kecuali bahagian belakang (tambahan) dihuni oleh waris turunan. Difahamkan, waris sedia melepaskan pemilikan dengan bayaran berpatutan.
Dalam mesyuarat ada dua pendapat. Pendapat pertama, Rumah Tradisi Selangor ini perlu dibaikpulihara, tetapi dikekalkan pada tapak yang ada kini secara asli dan pengunjung boleh datang menyaksikan keunikan Rumah Tradisi Selangor. Iklan mempopularkannya perlu dibuat. Masalahnya Kampong Permatang ini begitu jauh terpencil, tiada saiapa yang mahu datang kecuali mereka yang benar-benar berminat. Contoh bagi membuat kajian dan penyelidikan.
Pendapat kedua, Rumah Tradisi Selangor ini perlu diselamatkan dengan memindahkannya ke kawasan Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam. Rumah ini perlu dibaikpulih dan ditempatkan di pekarangan Muzium bagi menjadikannya salah satu daya tarikan bagi pengunjung-pengunjung. Pendapat ini mendapat sokongan yang banyak. Rundingan dengan waris rumah dan usaha memindahkannya diusahakan. Sebenarnya kajian dan peta ukuran terhadap rumah ini telah dilaku dan direkodkan, apabila dirombak untuk pemindahan dan pemasangan kembali dapat dikekalkan keaslian.
Pada tengahari hari ini pertemuan dengan Ybhg. Dato`Haji Mohd. Jaafar bin Atan Dato` Bandar Shah Alam dapat dilakukan, iaitu melalui Mesyuarat Bagi Membaikpulih Bangunan Muzium dan Kemasan Dinding. Turut ditimbulkan di dalam mesyuarat ialah Rancangan Memindahkan Rumah Tradisi Selangor Ke Pekarangan Muzium, sama ada di pinggir sebelah kanan berhampiran Bangunan MBSA atau sebelah kiri berhadapan Muzium. Cadangan ini kurang disetujui oleh Dato` Bandar, kerana ruang terlampau sempit, lagi pula mengganggu kawasan parking dan juga merosakkan pandangan. Beliau mengesyurkan agar dilihat kemungkinan tapak di belakang Bangunan Teater Di Raja, dipinggir sebuah padang yang terdapat di siti. Terbaik dikawasan bersebelahan dengan Muzium.
Perlu diingat bahawa menempatkan Rumah Tradisi Selangor, bukan semata-mata meletak bangunan dan membuka kepada orang ramai untuk melihatnya. Tetapi bersama Rumah Tradisi Selangor hendaklah ditempatkan pada tempat yang suasana alam kelilingnya semacam suasana kampong. Misalnya ada satu dua pokok kelapa dan satu dua pokok buah-buahan dan ada kepuk padi, ada taman bunga. Misalnya ada bunga raya, bunga melor, bunga mawar. Di belakang ada tanaman dan sayur yang boleh dipetik segera untuk dimasak. Di tangga rumah atau atas lamburnya ada tempayan air dan cebok bagi membasuh kaki.
Rumah Trasisi Selangor ini bertiang tinggi yang membolehkan anak-anak bermain dan berlari di bawahnya, terutama di bawah rumah ibu. ini ada tersimpan alat-alat permainan anak-anak, mungkin terdapat jala atau pukat, lesung menumbuk padi dan sebuah basikal tua.
Naik ke atas, maka ianya hendaklah bersuasana rumah yang sedang dihuni. Ruangnya terhampar tikar mengkuang, ada peralatan membuat telepuk dan jahitan kelingkan, tersangkut didinding baju kebaya dan Melayu Selangor. Di dinding tanduk rusa yang disangkut padanya songkok dan kupiah. Ada ayat-ayat Quran bersama ukiran. Tersusun pada rak ialah kain baju dan sajdah. Sebuah Quran di atas rehal di atas sebuah kotak peti simpanan barang-barang. Di satu sudut terdapat cerana dengan peralatan makan sirih seperti daun sirih, kacip, cembul-cembul untuk pinang, kapur dan gambir. Diguna oleh tuan rumah dan dihulur juga kepada tetamu berkunjung sebagai penghormatan.
Di bahagian tengah terdapat tikar yang dalam proses menganyam.Terdapat tabir yang memisah tempat tidur dengan dapur. Dibahagian bumbung terdapat ruang sebagai bilik untuk anak perempuan dara bersembunyi, khususnya bila ada tamu yang ajnabi.
Ke belakang ke bahagian dapur terdapat ruang untuk tetamu perempuan datang melalui tangga dapur (tangga belakang). Di dapur sendiri terdapat dapur tanah, bertungku batu, bertiang kayu yang menggunakan kayu api untuk memasak. Terdapat periuk belanga dari tanah juga guri beras, tempayang yang disimpan air dan bagi kegunaan memasak yang airnya diambil dari perigi berdekatan rumah atau dari sungai berdekatan. Terdapat golok, pisau dan parang. setandan pisang, sayur bayam, kangkong dan labu juga buah-buahan tempatan seperti rambutan, manggis, langsat dan pulasan. Bersebelah bekas air terdapat bekas ikan haruan, keli dan puyu untuk dimasak. Juga terdapat ubi kayu, keledek dan nenas. Terdapat rak mangkuk pinggan dan cawan lama yang agak antik. Tersusun talam kecil dan besar bagi hidangan. Di atas rak terdapat bungkusan tempe, bungkusan ikan kering dan daging salai. Manakala atas para di atas dapur tersusun berbagai bahan keperluan dapur.
Pendek kata bila melawat ke rumah Selangor tercermin segalanya yang bersifat dan berbudaya rakyat Selangor.
Sekian.
No comments:
Post a Comment