June 22, 2012

Kajian Naskhah Kesultanan Melayu Selangor: Bengkel Ilmiah Berkualiti

Shah Alam 30 Rejab 1433 = 20 Jun 2012 (Rabu):

Bengkel selama 2 hari bermula dari 19 – 20 Jun 2012 bertempat di Dewan Raja Lumu Muzium Sultan Alam Shah, Selangor adalah dirasmikan pembukaannya oleh YB Dr. Ahmad Yunus Exco Perbadanan Adat Melayu dan Warisan, Belia dan Sukan. Beliau mengharapkan bengkel berjaya dan bertaraf akademik. Dengan bengkel dan kajian bukan saja dapat menemui bahan, tetapi menyelamatkan naskhah dari luput. Beliau berharap bahan bengkel menjadi rujukan pada masa akan datang. Bengkel ini anjuran bersama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor dengan Bahagian Penyelidikan Sastera DBP dengan kerjasama Yayasan Karyawan dan Perpustakaan Negara Malaysia.

Kejayaan Bengkel Kajian Naskhah Kesultanan Melayu Selangor kerana kemampuan penganjur menarik hadir penulis-penulis berwibawa yang menulis topik-topik yang berhubung dengan kepakaran masing-masing. Sebanyak 18 buah kertas kerja dihasilkan. Kombinasi dari kepelbagaian topic menyerlahkan sejarah pemerintahan kesultanan, tradisi, ekonomi dan warisan negeri Selangor. Ada tiga pendekatana di dalam melihat Kesultanan Melayu Selangor. Pertama dengan mengkaji dari naskhah-naskhah yang terhasil di Selangor sendiri, Kedua dengan menggali fakta-fakta dari naskhah-naskhah yang bukan dari Selangor dan ketiga ialah dari pelbagai sumber selain dari dua pendekatan di atas yang mengukuhkan sejarah pemerintahan, tradisi, budaya, ekonomi dan warisan Selangor.

Bengkel berhasrat kalau boleh mahu membicarakan apa jua aspek yang berhubung dengan negeri Selangor. Bagi mendapat maklumat bagi negeri Selangor, antara sumber yang penting ialah arkib.Sebab itu dalam penyusunan pembentangan persoalan sumber ini diawalkan seperti kertaskerja Sumber-sumber Bahan Di Arkib Negara Malaysia Berkenaan Negeri Selangor dibentangkan oleh Encik Azmi Abdul Aziz. Menurutnya, Antara maklumat terawal di arkib mengenai Selangor ialah mngenai Sekretariat Kerajaan Negeri Selangor (1875-1898). Puan Effah Imtiaz Zainol membicarakan Khazanah Kesultanan Melayu Selangor di Perpustakaan Negara Malaysia. Kesultanan Selangor dari Keturunan Bugis bermula dari pertengahan abad ke 18, apabila Raja Lumu, putera kepada Daeng Chelak dan abang kepada Raja Haji menjadi Sultan Selangor yang pertama dengan gelaran Sultan Salehuddun dan memerintah selama 22 tahun (1756-1778), Daripadanya dan dari keturunannya berterusan jurai keturunan Kesultanan Negeri Selangor hingga kini.

Sumber-sumber luar yang bukan dihasil dalam negeri Selangor membantu di dalam memberi maklumat tentang Negeri Selangor. Kertas utama yang membicarakan Selangor Dalam Naskhah-Naskhah Kesultanan Melayu dibentangkan oleh Dr. Arbaiyah Mohd Nor. Maklumat tentang Negeri Selangor antaranya tersebut di dalam Sejarah Melayu, Misa Melayu, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Negeri Johor dan Hikayat Siak. Sejarah Melayu melihat Sejarah Selangor awal berada di bawah naungan Kesultanan Melayu Melaka. Menariknya Tun Perak yang berasal dari Kelang setelah membantu Melaka menentang Siam, kemudian dilantik menjadi Bendahara Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah di Melaka.

Dr. Mardiana Nordin pula membentangkan kertas kerja yang berjudul, Hikayat Negeri Johor Sebagai Sumber Sejarah Selangor. Menurut Dr. Mardiana, ``Hikayat Negeri Johor sebenarnya sangat penting dalam pengkajian sejarah Selangor.`` Tambahnya,``Intipati naskhah ini lebih mengisahkan kepada keturunan raja-raja Bugis di Selangor (dan Riau) dan bukanlah Johor semata-mata sebagaimana judulnya.``, bahkan Ismail Hussein yang pernah menyelenggarakan naskhah ini mempercayai sebahagian besar naskhah ini ditulis di istana Selangor, selain ditulis di istana Johor dan Riau.`` Jadi Sejarah Johor ini begitu penting bagi Sejarah Kesultanan Negeri Selangor.

Namun naskhah-naskhah yang langsung dihasilkan di Selangor atau tokoh-tokoh berada di Selangor lebih langsung menampilkan maklumat atau bahan-bahan di Selangor, termasuk mengenai tokh-tokoh (tidak semestinya bahan sejarah sahaja). Kertas-kertas seperti inilah yang paling banyak dibentang dan selayaknya dibentang, kerana topik pembicaraan mengenai Selangor. Kertas-kertas dimaksudkan ialah:

1) Surat-Surat Sultan Abdul Samad Menjejaki Beberapa Aspek Sejarah Selangor Dari Tahun 1857 Hingga 1898 oleh Prof. Dr. Abdullah Zakaria Ghazali.

2) Kesinambungan Sistem Kerajaan Melayu: Kajian Perlembagaan Selangor oleh Prof. Datuk Zainal Kling.

3) Adat Dan Budaya Dalam Kenang-Kenangan Selangor oleh Datuk Zainal Abidin Borhan

4) Salasilah Dato` Ungku Kelang oleh Puan Halimah Hassan

5) Riwayat Tengku Musauddin – Hubungan Dua Teks, Hikayat Dan Sejarah.

6) Adat Segala Hamba Orang Lari Di Dalam Selangor Berasaskan Salinan Manuskrip Oleh Edouard Dulaurier 1840 oleh Prof. Madya Dr. Jelani Harun

7) Mata Wang Kesultanan Melayu Selangor: Interpretasi Jumpaan Terkini Di Kampung Lubuk Jaya oleh Dr. Mohd. Supian Sabtu.

8) Kitab Tazkiyat Al-Anzar Wa Tasfiyat Al-Afkar Karangan Tengku Mahmud Zuhdi Bin Tengku `Abd Al-Rahman Al-Fatani – Shaykh Al-Islam Selangor: Melibas Fatwa Salah oleh Dr. Mohd Taufik Arridzo Bin Mohd. Balwi.

Semua karya di atas amat membantu di dalam menggali, memperluas dan memperbanyakkan sumber maklumat berdasarkan surat-surat, tokoh-tokoh, adat budaya. Aturan dan perlembagaan yang memperkukuhkan tentang sejarah, pemerintahan dan budaya Selangor. Penemuan wang shilling di Selangor menambah kuat lagi tentang mata wang dan system ekonomi dan kekuasaan di Negeri Selangor. Selangor juga amat mementingkan nasihat dan didikan ke agamaan yang terserlah pada zaman Sultan Sulaiman dalam mana Tengku Mahmud Zuhdi dilantik menjadi Shaykhul Islam pada zamannya di Selangor. Kertas-kertas seperti Kesenian Telepuk Warisan Kesultanan Melayu Selangor oleh Puan Intan Salina Idrus, kertas, Hubungan Pulau Pinang – Selangor Sekitar Suku Akhir Abad Ke 19 Satu Perkhabaran dari Surat-Surat Francis Light oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Jelani Halimi dan Si Tenggang, Batu Belah Batu Bertangkup Dan Cerita-Cerita Asal Usul, Nama Tempat: Suatu Pembicaraan Terhadap Folklor Selangor oleh Prof. Madya Dr. Shaiful Bahri Md. Radzi memperkaya dan melengkapkan maklumat tentang pemerintahan, budaya dan warisan Negeri Selangor.

Dalam Ucapan Penutup Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim mewakili DBP memaklumkan Kajian Manuskrip Kesultanan Negeri Selangor makin melengkapkan kajian yang telah dibuat -Kajian Naskhah Terangganu, Kelantan dan Kedah. Kajian akan datang mengenai Negeri Sembilan, Melaka dan lain-lain lagi. Beliau berharap pemakalah-pemakalah memperbaiki makalah-makalah masing-masing dan kembalikan kepada DBP dalam kadar segera bagi tujuan penerbitan.

Manakala Dato` Paduka Raja Dato` Haji Wan Mahmood Pa` Wan Teh Orang Besar Daerah Gombak dalam Ucapan Penutupnya mewakili PADAT menyatakan pentingnya pengajian sejarah. Dengan sejarah dapat membetulkan fakta dan persepsi yang salah. Misalnya British menganggap penentang-penentang mereka seperti Bugis sebagai lanun. Pada hakikatnya Bugis adalah pahlawan-pahlawan yang menentang penjajahan seperti British dan Belanda, sebaliknya British dan Belandalah lanun maha besar yang menjajah Negara ini dan Negara-negara yang lain !

Beliau berpendapat bengkel ini amat berguna. Bengkel-bengkel sedemikian harus diteruskan pada masa hadapan, termasuk bengkel-bengkel kecil melibatkan pakar-pakar bagi mengkaji aspek-aspek yang lebih halus yang memerlukan penelitian yang lebih mendalam. Menurutnya, ``Apa yang dihasilkan dalam bengkel ini akan menjadi warisan yang akan ditatap oleh anak cucu dan warisan akan datang.`` Beliau berharap hasil dari bengkel akan diterbitkan.

Adun Bangi sebagai Pengerusi PADAT bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan bengkel. Beliau berpendapat Bengkel Bertaraf Ilmiah dan Berkualiti. Insya Allah kegiatan ilmiah sedemikian akan diteruskan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment