BBB, 17 Rejab 1433 = 07 Jun 2012 (Khamis):
Mahathir membuka gelanggang melontar andaian bahawa Himpunan Bersih – contoh 3.0 adalah mekanisme bagi Pakatan Rakyat (PR) sebagai base melakukan kekacauan, kiranya kalah pilihanraya ke 13 bagi menggulingkan kerajaan yang sah. Muhyiddin menambah, Himpunan Bersih adalah bermodelkan `Arab Springs` yang mencetuskan kekacauan dalam Negara bagi meruntuhkan kerajaan yang sah !
Argumentasi, bahawa andaian, jika tidak bersifat tuduhan, dibuat oleh kedua-dua pemimpin dari pihak kerajaan yang memerintah itu adalah naïf, himpunan sebelum pilihanraya pernah diadakan menjelang pilihanraya dan PR sebagai Kerajaan Menanti tidak berjaya menguasai kerajaan pusat, tetapi tidak pernah tercetus atau terjadi sebarang kekacauan bertujuan untuk mengambil alih kuasa dari pihak yang berkuasa. Mereka patuh pada demokrasi pilihan rakyat, walaupun ada keraguan pernah ditimbulkan.
Lojik lebih memberat kepada kerajaan yang berkuasa, jika mengalami kekalahan, akan melakukan kekacauan bagi mempertahankan kekuasaan yang dipegang dengan menggunakan mekanisme dan kekuatan kepolisian dan ketenteraan yang masih ada dihujung kuasanya bagi mempertahan dan meneruskan kekuasaan.
Berdasarkan sejarah dan pilihanraya yang lalu, tidak timbul percubaan mengadakan kekacauan bagi menghalang kenaikan yang berkuasa, tetapi apa yang ditimbulkan oleh pemimpin pemerintah adalah sublimasi dalaman pemerintah yang mencerminkan `bawah sedar` yang berlegar di dalam jiwa dan minda bawah sedar mereka. Semua ini tidak lain adalah jelmaan rasa takut mereka kemungkinan berdepan dengan kegawatan dan ketewasan politik.
Membaca tentang kebimbangan mereka, maka secara tepat dan jitu, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang meningkah jawapan dengan menawarkan `Politik Beradab` kepada pimpinan BN. Politik Beradab ini bukan sesuatu yang baru di dalam politik Pas, kerana ia adalah inti ajaran di dalam Islam yang menuntut umatnya berakhlak, beramanah, adil dan rahmah. Piagam ini diharap dapat dipegang bersama oleh BN dan semua mereka yang terlibat di dalam arus politik Malaysia .
Adalah diharapkan tawaran positif Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang ini mendapat respond jujur dan positif terutama dari Mahathir dan Muhyiddin, bukan mencari helah mematah hujah dan merendah-rendah tawaran. Kini sudah tiba masanya semua pihak memfokus kepada pembinaan Negara dan warga di dalam Negara Malaysia baru dan Maju. Hasrat meletakkan Negara pada tahap bermaruah hendaklah menjadi harapan, tidak meletakkan rakyat pada tahap lemah berfikir dengan menghidangkan kepada mereka melalui media budaya rendah dan lucah, tetapi sebaliknya mendidik mereka melalui pendidikan dan kesedaran Politik Beradab menjadi masyarakat yang peka pada kemajuan dan budaya tinggi bermasyarakat Madani. Di dalam hal ini masing-masing beramanah dan beradab, dan jika berlaku perubahan, turun naik kerajaan, maka ianya seharusnya berlaku secara beradab, patuh pada undang-undang dan perlembagaan.
Bagi mencapai kesedaran politik tinggi, beradab dan bermasyarakat Madani, semua pihak perlu berpegang pada Kontrak Politik yang antara ciri-cirinya amanah, bertanggungjawab dan adil. Semua pihak seharusnya menerima perubahan dan pertukaran pemerintahan yang mungkin berlaku secara terbuka dan berdada lapang. Kita menunggu respond positif dari Mahathir dan Muhyiddin, bahkan Najib berhubung dengan Gagasan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang – Politik Beradab.
Kontrak Politik Beradab, mungkin sesuatu yang ideal dan tidak mudah untuk dicapai, namun itulah yang dihasratkan. Pas haruslah mendepani di dalam memberi kesedaran tentang Kontrak Politik Beradab sebagai keperluan membina masyarakat Madani.
Sekian.
No comments:
Post a Comment