June 28, 2012

Meneliti Misteri Jugra: Rasmi Kerja Ekskavasi Arkeologi

Kuala Langat, 07 Sya`ban 1433 = 27 Jun 2012 (Rabu):

Bukit Jugra adalah salah sebuah pusat pemerintahan awal Kesultanan Selangor di Jugra, selepas Kuala Selangor, bermula dengan Sultan Abdul Samad (1857-1898). Di Bukit Jugra terdapat kesan peninggalan sejarah yang penting, seperti Insitu Jugra, Tapak Pejabat Daerah dan kesan tapak bangunan yang lain.Tempat-tempat ini masih mistri dan perlu dikaji. Di sini terdapat tinggalan-tinggalan arkeologi yang mengukuhkan era kesultanan dan pemerintahan di Jugra dan mungkin terdapat tinggalan-tinggalan yang lebih awal dari itu. Bidang arkeologi memerlukan kepakaran, lantaran itu pihak PADAT mengadakan MOU bersama Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya yang bidang arkeologi menjadi sebahagian dari Jabatan Sejarah di bawah Fakulti tersebut. MOU ditandatangani di PADAT pada 23 Mei 2012 lepas.

Berdasarkan MOU di atas, maka pada hari ini diadakan Majlis Perasmian Kerja-Kerja Ekskavasi Arkeologi di Bukit Jugra Lama di atas. Majlis bermula dengan membaca Yasin dan doa di Masjid Kampong Permatang, Jugra. Hadir bersama ialah Puan Hajah Azlinda Azman Ketua Eksekutif Padat, Encik Mohd Ezham Penghulu Kawasan Bandar Jugra, Dr. Sufian bin Sabtu Pensyarah Universiti Malaya yang membimbing pelajar-pelajar mengekskavasi lokasi, Puan Intan Ketua Bahagian Arkeologi Padat, Encik Adnan bin Mud Pegawai Tadbir Padat, Tuan Haji Abdul Aziz Imam Masjid Kg. Permatang, mahasiswa/mahasiswi (22 orang) Selepas membaca Yasin dan doa diadakan sedikit ucapan disampaikan oleh saudara Adnan yang menerangkan kepada tamu tujuan kehadiran. Beliau meminta agar mereka tidak dicuriga. Mereka pula dikehendaki menjaga adab sopan dengan masyarakat setempat. Mereka akan berada di lapangan dari 25 Jun hingga 18 Ogos. Mereka menginap di rumah-rumah yang di sewa khas di Jugra.

Tuan Penghulu En. Mohd Ezhuan juga mengucap terima kasih kerana memilih kawasan Jugra untuk diekskavasikan. Beliau berharap dari ekskavasi akan menemui sesuatu yang berharga yang akan lebih mempopularkan Jugra sebagai salah satu destinasi pelancongan. Adun Bangi selaku Pengerusi Padat mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis. Adun juga berharap semoga Allah memberikan kemudahan bagi kerja-kerja yang akan dilakukan. Kita harap kata Adun, kita akan dapat menemui beberapa artifak . Pencarian kita bukan setakat di dalam tanah, tetapi juga dari penemuan tuan-tuan dan puan-puan. Jika ada sesiapa dapat kemukakan kepada pihak Padat sebarang bahan sejarah, kita akan mempertimbangkan sagu hati. Adun berharap dengan pembukaan ekskavasi di sini mencapai objektif dan menghasilkan penemuan-penemuan. Selepas perasmian hadiah-hadiah cenderahati disampaikan oleh Adun dan juga Puan Azlinda kepada mereka yang berkenaan. Jamuan diadakan sempena pembukaan.

Selepas daripada itu Adun dan semua pihak bergerak ke lokasi ekskavasi, iaitu di tapak yang merupakan perumahan dan juga tapak bagi runtuhan Pejabat Daerah. Tumpuan awal bagi peringkat permulaan ialah bagi tapak binaan.

Lokasi tapak ekskavasi ialah di atas Bukit Jugra Lama, iaitu bahagian atas dari Insitu Jugra yang mempunyai jalan rentas berjalan kaki ke atas, tetapi kami mendaki ke atas bukit terlebih dahulu dengan kenderaan dan turun melalui denai yang telah dirintis. Tapak ini pada asal berada di dalam semak dan tumbuhan kayu hutan dan dibersihkan. Tapaknya di pinggir bukit yang sengaja ditarah seluas 2 x 2 meter bagi memuat bangunan. Menurut Puan Intan Arkiologis Padat, ``Tempat ini ditemui secara tidak sengaja di dalam mencari tapak untuk diekskavasi Di sini terdapat bekas tapak bagi tiang bangunan, longgokan batu bata dan juga atap yang sama dengan atap Insitu Jugra. Tapak ini mungkin bangunan tempat meninjau kawasan yang dapat dilihat sungai dan sebarang pergerakan keluar masuk di Kuala Sungai Langat.

Semasa tiba ke lokasi, mahasiswa/siswi membuka payung-payung lindungan dan peralatan bertempat di tepi tapak lokasi ekskavasi. Kawasan tapak telah direntang dengan tali. Menurut Dr. Sufian yang mengetuai Ekskavasi dan pernah membuat kajian di Lembah Bujang, Kedah. ``Rentangan silang tali mewujudkan 15 trench (kotak ruang) yang setiap ruang akan dicarigali secara teliti oleh 3 orang mahasiswa/i.`` Seterusnya Dr. Sufian memaklumkan kepada Adun, ``Terdapat beberapa lapisan tanah dari permukaan ke bawah yang setiap lapisan mempunyai warna.`` . Beliau menunjukkan katalog warna-warna tanah. Sedikit tanah diambil dan diadukan dengan warna-warna di dalam katalog warna tanah berkenaan. Ada 10 warna lapisan tanah seperti humus, gelap, kelabu, cerah, pasir dan kuning. Perlapisan berlaku dalam sejarah yang dialami permukaan tanah yang bertambah lapisan misalnya akibat dari penutupan dari hakisan, penambakan, reputan tumbuhan, aktiviti manusia yang merubah permukaan dan sebagainya. Dalam masa perubahannya ini, khususnya dari aktiviti manusia membuat bangunan, dan masa kediaman berlaku tinggalan bahan-bahan misalnya peralatan yang digunakan dari logam, tembikar, duit shilling timah, perak dan sebagainya. Pada tapak ini Adun diterangkan oleh Puan Intan tentang batu bata yang diikat dengan pecahan batu dan campuran menjadikannya sebagai `semin` yang mengikat batu-batu bata bagi pembinaan bangunan.

Cara menggali ada kaedahnya, antaranya menggunakan sodek pembancuh semin dengan mengorek tanah dan diletakkan dalam bekas pertama dan diperhati kandungan, bila dipasti tiada apa bahan carian bersifat arkeologi, maka dipindah kepada bekas kedua yang berlainan warna bekas, terakhir akan dilonggok sebagai bahan yang telah dikaji. Cara yang lebih canggih ialah dengan mengesan tanah yang diambil dengan menggunakan alat pengesan logam. Adun mau melihat kaedah ini, tetapi alat ini masih belum dibawa ke lokasi, Pengorekan ini akhinya sampai ke tanah bawah yang asal berwarna kuning yang bukan tambahan akibat dari pertambahan alamiah atau akibat dari aktiviti manusia. Ia menjadi had terakhir penggalian bagi satu-satu trench.

Sebagai merasmikan aktiviti ekskavasi dan cari gali Adun dibekal dengan sepasang sarung tangan, pengacau pembancuh simen dan alat perelai dan sebuah bekas plastik. Adun mengorek tanah dan meletakkannya dalam bekas plastik dan mempastikan kandungan dan memindahkan ke bekas yang lain. Ini dilakukan beberapa kali korekan tanah. Turut sama menggali ialah Tuan Penghulu En. Mohd. Ezhuan. Selepas daripada ini, mahasisawa/i terus berada di tapak, sedang kami termasuk Puan Azlinda, Dr. Sufian, Puan Intan, Nabilah, Aisyah dan beberapa yang lain menuruni denai jalan ke bawah yang menyampaikan kami ke Insiti Jugra. Di Insitu Jugra tumpuan kami lebih melihat kepada struktur susunan batu blok granit yang diikat dengan bahan batu dan campuran. Menurut Puan Intan, ``Teknologi ini sama dengan pembinaan Kota Melaka yang pada masa itu masih belum ada simen.`` Adun menambah, ``Cara susunan batu blok granit macam susunan batu binaan ``kaabah.``, iaitu disusun cara bertindih, berselang dari lapisan bawah ke atas, lantas kelihatan batu-batu granit empat segi diperkukuhkan dengan bahan semacam `simen kapur` yang melekatkan antara dua blok.

Dr. Sufian mencelah, bahawa teknologi ini selain dari bersifat tempatan, juga dipengaruhi India, yang British bawa semasa ke Negara ini. Beliau bergurau, "Jika mahu kepastian dari segi kajian, patut ke India," katanya.

Walau apa pun dari pemerhatian terhadap teknologi binaan secara khusus dan rangkaian binaan yang terdapat di Bukit Jugra ini, kelak setelah hasil kajian lengkap, wajar semuanya ini akan dipeta, dilakar, disusun, ditulis dan dibukukan sebagai warisan bagi generasi akan datang.``

Kajian ini adalah asli, kerana Jugra masih belum terdapat di dalam peta arkeologi, tiada dalam kajian dan catatan selama ini. Bahkan istilah Jugra itu sendiri masih misteri dari segi asal usul perkataan dan maknanya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment