June 7, 2012

Bantu Pelajar Yatim Mengikuti Kursus Pengukuhan Bahasa Arab Di Mesir

Pejabat Adun Bangi, 15 Rejab 1433 = 05 Jun 2012 (Selasa):

Ainn Farhana bt. Samah menulis surat kepada Adun (15 Mei, 2012), Pelajar Tahun 3 Pendidikan bahasa Arab di Fakulti Pendidikan UKM, memohon bantuan dari Adun untuk ke Mesir mengikuti Kursus Pengukuhan Bahasa Arab di Qurtuba Institute For Arabic Studies, Iskandariah Mesir. Pemergian bersama 18 pelajar (7 Fakulti Pendidikan dan 11 dari Fakulti Pengajian Islam, UKM). Sebagai seorang pelajar yatim dari Tanjung Karang yang tidak mendapat sebarang biasiswa/pinjaman, kecuali sekali sekala dari Zakat, Ainn Farhana memohon dari Adun bantuan bagi menambahkan peruntukan yang diperlukan untuk ke Mesir., iaitu sebanyak RM4,000.00 seorang.

Pemergian Ainn dan kumpulan adalah di bawah Program Pengukuhan Bahasa Arab Dalam Persekitaran Arab yang berlangsung dari 12 Julai hingga 09 September 2012 di Qortoba Institute For Arabic Studies, Iskandariah, Mesir dengan tujuan memantapkan kemahiran Bahasa Arab kepada bakal guru Pendidikan Islam di samping mempraktikkannya dalam persekitaran masyarakat Arab, ianya juga bertujuan memupuk kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat dan berkomunikasi di kalangan bakal guru supaya mereka dapat mengenali rumpun budaya di luar Negara serta menjalin hubungan dua hala di universiti yang dipilih, juga sebagai persediaan latihan mengajar bahasa Arab di Sekolah.

Membaca permohonan Ainn Farhana dan mengetahui latar belakang Ainn, sebagai anak yatim dan dari kumpulan yang mau pergi mengikuti kursus hanya Ainn seorang saja memohon bantuan dari Adun, Adun meminta Pegawai di Pejabat Adun menghubungi Ainn untuk datang ke Pejabat Adun.

Photobucket

Hari ini Ainn Farhana datang ke Pejabat bersama kawannya yang juga akan sama ke Mesir, iaitu Nur Syakirah bt. Hj. Omar.Kehadirannya membolehkan Adun mengetahui latarbelakangnya lebih dekat. Beliau berlapan adik beradik tinggal di Batu 3, Sawah Sempadan, Tanjung Karang bersama ibunya yang bekerja sebagai pekerja rendah di Klinik Kesihatan, Tanjung Karang. Bapanya bekerja sebagai pemotong rumput telah meninggal pada tahun 2010. Beliau anak kedua dan abangnya yang lulus SPM tidak mempunyai kerja tetap dan adik beradik yang lain masih bersekolah.

Simpati dengan latar keluarga Ainn Farhana dan menyokong hasratnya untuk ke Mesir bagi mengikuti Kursus Pengukuhan Bahasa Arab di sana, maka kami memperuntukkan sejumlah bantuan kepada Ainn Farhana, semoga dengan peruntukan tambahan itu membolehkan beliau mengikuti kursus bersama-sama kumpulan kawan-kawannya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment