June 20, 2012

Perasmian Sekolah KAFA Integrasi Al-Mubarak, Seksyen 8, Kota Damansara

Kota Damansara, 29 Rejab 1433 = 19 Jun 2012 (Selasa):

Dari ketiadaan Sekolah agama, maka atas hasrat mahu memberi pendidikan Islam pada anak-anak setempat, maka dari usaha pemimpin setempat mengadakan kelas agama bagi anak-anak di Surau Lama di bawah bangunan rumah pangsa di sini. Pada permulaan (2009) hanya dapat menampung 25 orang sahaja dengan empat kelas dengan dua daripadanya menumpang di bahagian belakang surau baru.

Sementara menggunakan bangunan sementara pihak AJK berusaha mengumpul dana dan memhon kepada pihak PKNS dan JAIS bagi mendapat peruntukan untuk membina sebuah Sekolah Agama di atas tapak lebih kurang setengah ekar bersama dengan kawasan surau. Alhamdulillah pihak PKNS bersetuju membiayai pembinaan bangunan sebanyak RM450,000 dan pihak JAIS sebanyak RM300,000 ditampung kekurangan dengan derma hingga jumlah peruntukan RM800,000. Maka pada 2010 siap didirikan Sekolah Kafa Integrasi Al-Mubarak, iaitu sebuah bangunan 3 tingkat dengan 6 bilik darjah, I bilik guru, 1 bilik serbaguna dan sebuah kantin.. Sekolah ini siap pada November 2011 dan semalam pada 18 Jun 2012 mendapat CF. Kini murid berjumlah 246 orang dengan 9 tenaga guru.

Sebagai pernyataan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta`ala, maka pada hari ini diadakan Majlis Perasmian Sekolah Kafa Integrasi Al-Mubarak. Bagi menyempurnakan majlis ini maka Adun Bangi selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dijemput bagi merasmikan Sekolah Kafa Integrasi Al-Mubarak. Turut sama dijemput ialah YB. Tuan Dr. Mohd Nasir Hashim Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, Yang Berusaha Encik Othman Omar Pengurus Besar PKNS, Tuan Haji Mashkur Zamani Wakil dari JAIS, Encik Mohd Hassan Pengerusi Jamaah Pengurusan Kafa Integrasi Al-Mubarak, Encik Mohd Nizam Guru Besar, Puan Norita Sidek dari PKNS, Wakil dari Kontrektor dan Arkitek, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid.

Majlis bermula dengan alu-aluan dari Enciik Mohd Hassan Selaku Pengerusi Lembaga Pengelola yang berterima kasih di atas kehadiran semua pihak dan berterima kasih kepada semua tamu jemputan yang hadir. Beliau juga menggalurkan sejarah ringkas yang membawa kepada terdirinya bangunan Sekolah yang baru. Nama Al-Mubarak ialah diberi kepada surau yang diikuti oleh Sekolah. Menurutnya nama ini diambil dari nama ulama. Selain dari PKNS dan JAIS beliau juga berterima kasih kepadab pihak Bank Islam, jemaah masjid dan surau dan individu-individu yang turut menderma bagi membina Sekolah.Beliau menyebut tenaga yang bekerja kuat bagi mendapat derma ialah Ustaz Nizam bin Abu yang juga selaku Guru Besar.

Encik Othman Omar Pengurus Besar PKNS, dalam ucapannya bersyukur kerana pihak PKNS dapat membuat kebajikan dengan memberi peruntukan dari PKNS sebanyak RM450,000. Menurutnya, ``Ini adalah antara kerja kebajikan yang PKNS dapat lakukan bagi kepentingan masyarakat, khususnya menyediakan keperluan bangunan bagi anak-anak di Seksyen 8, Kota Damansara ini mendapat pendidikan agama. Ini dilengkapkan lagi dengan tambahan peruntukan dari JAIS sebanyak RM300,000. Menurutnya, PKNS sebagai agensi Kerajaan Negeri Selangor yang terlibat di dalam pembinaan perumahan dan bandar, sesungguhpun berorientasikan komersil, tetapi lebih mengutamakan polisi kerajaan di dalam menyediakan kemudahan perumahan kepada rakyat dan terlibat sama di dalam bidang kebajikan. Beliau bersukacita mendapat tahu bahawa Sekolah Kafa Integrasi Al-Mubarak yang satu-satunya Sekolah agama di sini adalah merupakan antara Sekolah agama terbaik dan murid-murid dari sini terpilih menyambung pengajian agama menengah kerajaan. Beliau juga menyebut bahawa pihak PKNS mengeluarkan zakat sebanyak RM2.2 juta dalam mana RM1.4 juta untuk asnaf fakir-miskin dan RM726,000 untuk fi sabilillah.

Adun Bangi selaku Pembantu Exco Agama mengucap syukur dan tahniah kerana dengan kerjasama semua pihak terutama PKNS, JAIS dan usaha AJK Pembinaan dan pihak Sekolah, maka bangunan Sekolah Kafa Integrasi Al-Mubarak dapat disiapkan dan bangunan dapat diguna dengan selesa. Adun menyebut, satu yang amat menggembirakan ibu bapa kini cenderung menghantar anak-anak mereka belajar di Sekolah agama baik pada waktu pagi atau sebelah petang. Mereka mau anak-anak mereka terdidik dengan agama dan berakhlak mulia. Pihak kerajaan negeri yang sekolah di bawah JAIS hingga kini menyediakan 315 Kafa & Kafai dan 215 buah Sera &Serai, namun ini hanya dapat menampung tak sampai separuh dari jumlah yang memerlukan pendidikan sedemikian berjumlah satu juta murid. Kerajaan berusaha menambahkan keperluan Sekolah, guru dan peruntukan. Antara peruntukan yang digunakan ialah dari zakat. Pada tahun 2012 Zakat negeri Selangor berjumlah RM330 juta. Sejumlah RM55 juta diperuntukkan kepada pendidikan Islam dan RM26 juta daripadanya ialah untuk elaun guru Kafa.

Adun menyebut sedar atau tidak, bahawa Negeri Selangor adalah negeri yang paling utama menyediakan kemudahan pendidikan Islam berbanding dengan negeri-negeri yang lain. Kita mempunyai ribuan pendidikan pada peringkat, Kafa, Sra, pendidikan Pra-Sekolah, Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menengah Agama, Tahfiz, Kolej Universiti Islam bahkan universiti UNISEL. Selangor adalah Hub Ilmu yang didatangi pelajar dari dalam negeri, negeri-negeri, bahkan luar Negara. Kerajaan Negeri juga menyediakan kemudahan pelajaran dengan menyediakan biasiswa dan pinjaman serta bantuan kepada pelajar-pelajar miskin dan insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang.

Adun berpendapat bahawa, semua ibu bapa mementingkan pelajaran dan maukan anak-anak kita berjaya- Untuk kejayaan anak-anak kita selain memberi tumpuan kepada anak-anak, kerjasama hendaklah diberi kepada Sekolah dan guru-guru bagi memajukan anak-anak kita. Anggaplah Sekolah sebahagian dari infrastruktur keperluan kehidupan masyarakat di sini dan jaga dan lengkaplah kesempunaannya secara bersama. Berikutnya

Dengan lafaz: Bismillahi`r-Rahmani`r-Rahim

Adun merasmikan Sekolah KAFA Integrasi Al-Mubarak dengan mendoakan kepada Allah semoga diberi taufik, hidayah dan barakah kepada Sekolah, murid, guru-guru, ibu bapa, masyarakat dan kepada semua. Tanda tangan pada plag perasmian dilakukan oleh Adun.

Selepas Perasmian Adun diiringi YB Tuan Dr. Mohd Nasir Hashim, Tuan Othman Omar, Wakil JAIS, Pengerusi, Guru Besar dan lain-lain melawat kelas-kelas, diikuti dengan minum petang dan bersurai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment