November 12, 2012

Acara Berkhatan Yang Menceriakan

Dun Bangi, 25-26 Zulhijjah 1433 = 10-11 November 2012 (Sabtu-Ahad):



Dua hari berturut-turut Adun menghadiri acara berkhatan yang boleh disifatkan amat menceriakan. Tutup Sekolah panjang diambil kesempatan bukan saja untuk majlis berkahwin, tetapi juga untuk berkhatan. Sabtu semalam Adun menghadiri acara berkhatan di Surau Al-Hikmah, Kajang Raya. Seramai 24 orang anak-anak dikhatankan di sini. Acara adalah anjuran bersama antara AJK Surau yang diketuai Saudara Mat Jani dan Pihak Pejabat Adun Bangi diketuai saudara Hanafiah Khalid & saudara Murtadha bersama Ketua Lajnah Masjid Surau Adun Bangi saudara Azemi Ahmad. Pasukan Dr. Perubatan difahamkan adalah dari Shah Alam.



Manakala pada hari ini Majlis berkhatan di Impian Putra di bawah kelolaan saudara Azmi, Ketua Persatuan Penduduk dengan AJK. Seramai 10 orang anak-anak disunatkan di sini. Pasukan perubatan adalah dari Klinik di Seriputra di sini. Kedua-dua tempat mendapat perkhidmatan bomba Bandar Baru Bangi bagi memandikan anak-anak sebelum berkhatan.


Apa yang menarik bahawa upacara berkhatan menjadi upacara yang menceriakan bagi yang berkhatan, ibu bapa dan penduduk. Sudah pastilah sebelum hari berkhatan persediaan dibuat seperti persediaan tempat, menyiapkan bunga telur, bunga getar, pasukan kompang bagi perarakan, berbagai hiasan dan sebagainya. Adun menyediakan peruntukan kepada kedua-dua acara sambutan berkenaan.

Seawal 8.30 pagi Adun telah tiba di Padang Surau Al-Hikmah, Kajang Raya dan masuk ke dalam kumpulan perarakan melalui jalan tepi padang ke Surau Al-Hikmah. Perarakan diiringi pasukan kompang dan salawat dilagukan sehingga tiba ke depan surau, sedang kereta bomba telah tiba. Sebelum mandi Adun membahagi-bahagikan kain pelikat sehelai seorang daripada 24 peserta sunat atau khatan untuk disalin selepas bersiram mandi. Satu sampul berisi wang RM10.00 juga diberi oleh Adun kepada setiap yang bersunat. Adun merasmikan majlis dengan menyembur air kepada anak-anak yang berkhatan. Selepas itu anak-anak yang berbaju melayu selengkap masa mandi itu bersalin. Selepas itu bermulalah upacara berkhatan di dalam surau. Adun menyaksikan seorang dari mereka berkhatan dan kemudian memohon diri.



Manakala di Impian Putra, Bandar Seri Putra, Adun tiba jam 8.15 pagi dan menyertai perarakan. Anak-anak dibawa diatas lori pickup diiringi pasukan dari penduduk secara beramai-ramai berjalan mengikuti lori bergerak dalam taman dengan diiringi pasukan kompang. Pergerakan berterusan sehingga sampai ke sebuah rumah yang dijadikan tempat berkhatan. Di sini Adun juga membahagi-bahagikan kain pelikat kepada setiap anak yang berkhatan serta satu sampul duit bagi menggembirakan hati mereka, termasuk anak-anak yang turut mandi bersiram, walaupun tidak berkhatan. Kemudian Adun memulakan acara memandikan anak-anak dengan siraman air dari bomba dari Balai Polis Bandar Baru Bangi. Adalah difahamkan sepatutnya ada acara silat sebelum mandi, tapi acara silat tidak dipertunjukkan.


Sebelum upacara berkhatan ada acara selingan seperti hadiah bagi nomber bertuah yang dicabut oleh Adun. Ia adalah acara selingan yang menggembirakan yang datang mengiringi dan merestui anak-anak yang berkhatan. Oleh kerana sampul duit untuk anak-anak berkhatan ada lebihan lebih dari 10 sampul, maka Adun sampaikan sampul berkenaan kepada setiap ahli kompang yang merupakan anak-anak remaja setempat.


Selepas menyampaikan hadiah bagi cabutan nombor bertuah, maka upaca berkhatan bermula dengan peserta anak yang paling muda, iaitu Mohd. Hafizi bin Razali. Setelah proses penyediaan berkhatan dilakukan Pegawai Kesihatan yang mengendalikan upacara – Encik Mahmudin meminta Adun memulakan acara mengerat kulit kemaluan Mohd Hafizi. Inilah pertama kali Adun menjalankan upacara berkhatan secara sebenarnya.



Sekian.

No comments:

Post a Comment