November 6, 2012

Jelajah Kempen Perdana Di Seremban Jalan Menuju Ke Putrajaya

Seremban II, 18 Zulhijjah 1433 = 03 November 2012 (Sabtu):


Pakatan Rakyat mengambil pendekatan baru mendekati rakyat dengan kempen secara jelajah menggunakan Bas Khas dan Lori yang membawa rombongan dan peralatan secara lengkap. Kempen Pertama dan Perdana adalah bermula di Seremban bertempat di sebuah Padang di Senawang. Kempen mendapat sambutan hebat dan hangat, walaupun hujan turun sejak dari petang dan berterusan hingga jam 9.00 malam, tetapi tidak menghalang para hadirin datang. Yang datang bukan saja penduduk setempat, tetapi sejauh Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri yang lain.


Puncak kempen adalah dengan ketibaan tiga kepimpinan utama Pakatan Rakyat, iaitu Y.B. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas, Y.B. En. Lim Kit Siang Penasihat DAP dan Y.B. Dato` Seri Anwar Ibrahim Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat dan Ketua Pembangkang. Turut hadir ramai pemimpin peringkat Pusat dan Negeri. Antara mereka Tuan Haji Mat Sabu Timbalan Presiden Pas dan Pengarah Kempen, Dato` Mahfuz Omar Naib Presiden Pas, Y.B. Dr. Hatta Ramli AJK Pas Pusat, Y.B. Saudara Taufik Adun Paroi, Y.B. Anthony Loke, Seremban, Y.B. Gunasigaran Adun Senawang dan ramai lagi pimpinan Pakatan Rakyat.


Perhimpunan di Senawang di sini bermula dari jam 4.00 petang dengan diisi dengan kegiatan-kegiatan yang lebih dituju kepada golongan muda. Adun Bangi bertolak bersama saudara Azizi dan Amir Udin selepas solat Asar, tetapi dalam perjalanan hujan turun, jalan Plus-Highway ke Seremban jem dan terpaksa lencong ke Jalan Lekas, tiba ke Senawang hujan masih berterusan dan makin lebat. Sebelum masuk ke tempat perhimpunan kami mencari surau untuk solat Maghrib terlebih dahulu, tetapi tidak ketemui surau, akhirnya saudara Amir Udin menunjuk hala ke Taman Perumahan di Senawang dan kami berhenti di rumah Anak Buah Amir Udin dan bersolat Maghrib di situ.


Selepas solat Maghrib kami kembali menuju ke padang perhimpunan, hari masih berterusan hujan, al-hamdulillah, walaupun kenderaan biasa tidak dibenarkan masuk ke padang, tetapi kenderaan Adun yang berlogo Pas dan Kerajaan negeri Selangor dibenarkan masuk ke Padang dan parking berhampiran dengan skrin besar yang dipasang dan disiarkan acara ceramah diskrin berkenaan. Sebenarnya sebagaimana dimaklumkan kepada orang ramai yang hadir bahawa acara pada malam itu disiarkan secara terus menerus ke seluruh Negara (dunia).


Pada masa kehadiran kami, Bas Jelajah dan Lori yang membawa peralatan belum tiba, tetapi ceramah permulaan sudah bermula yang disampaikan oleh peminmpin dan tokoh tempatan. Oleh kerana hujan berterusan dan skrin siaran berdekatan amat hampir dengan kenderaan yang kami parking, maka Adun, Azizi dan Amir Udin mengikuti ceramah dari dalam Hilux, bahkan ada pengunjung yang datang naik duduk di belakang Hilux kami mengikuti ceramah. Walau bagaimana saudara Azizi turun ke tengah perhimpunan bagi mengambil gambar. Menurut saudara Azizi agak sukar untuk mengambil gambar, bukan saja kerana hujan, tetapi sukar untuk bergerak oleh kerana bersesakan dengan pengunjung dan terhalang untuk fokus, kerana mereka berpayung.


Fokus dari Jelajah Penerangan Perdana ialah bila pimpinan utama tiba dengan Bas Jelajah dan ucapan disampaikan oleh ketiga-tiga pimpinan utama. Yang pertama berucap ialah Y.B. Encik Lim Kit Siang. Beliau bercakap antaranya tentang penyelewengan yang berlaku di dalam pemerintahan kerajaan Persekutuan seperti unsur kroni dengan pemberian peluang hasil minyak negera kepada kroni, penguasaan pemimpin negeri terhadap hasil negeri di Sarawak, beban tol dan cadangan melaksanakan AES bagi jalanraya yang banyak mendapat tentangan. Y.B.Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bercakap tentang amanah yang sepatutnya diamalkan dalam pemerintahan Negara, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Beliau juga berpendapat bahawa konsep BN yang komponannya berasaskan kaum-kaum sudah ketinggalan zaman. Sebaliknya parti-parti dalam Pakatan Rakyat adalah terbuka bagi semua kaum. Beliau menyeru rakyat agar mengubah landscape politik pemerintahan BN kepada yang beramanah, adil dn saksama. Sebagai penerusan Dato` Seri Anwar Ibrahim berjanji akan membuat perubahan drastic sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandate memerintah Negara. Antara perubahan segera yang akan dilakukan ialah penurunan harga petrol, pendemokrasian dari segi pendidikan dan menilai kembali konsesi tol yang dikuasai kroni yang mebebankan. Beliau juga mengecam pihak yang mempermainkan isu mengkristiankan rakyat dan menegaskan bahawa Pakatan Rakyat menjunjung Perlembagaan bahawa Agama Islam adalah Agama Rasmi Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Rasmi dan menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu.


Terdahulu daripada itu Tuan Haji Mat Sabu bercakap tentang Program Jelajah yang akan diteruskan dari negeri ke negeri dan puncaknya adalah perhimpunan raksaksa d Bukit Jalali. Pemilihan Seremban sebagai tempat utama, kerana yakin akan berlaku perubahan besar di negeri Sembilan pada pilihanraya ke 13 yang membuka jalan ke Putrajaya. Y.B. Dato` Mahfuz Omar juga turut bercakap tentang situasi politik semasa yang mencerminkan betapa tergugahnya BN yang makin akhir makin banyaknya isu yang menikam BN. Perhimpunan dan kehadiran orang ramai mencerminkan sokongan mereka terhadapa Pakatan Rakyat makin bertambah dan jalan ke Putrajaya semakin cerah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment