November 25, 2012

Moko, Pemberdayaan Wanita & Diskriminasi Gender: Anekdot

Dewan Negeri Selangor, 09 Muharram 1434 = 23 November 2012 (Jumaat):


Lima hari bersidang di Dewan Negeri Selangor (19-23 November), berbagai-bagai isu dibangkitkan. Sidang kadang-kadang hangat bila ada isu menggugat. Kadang-kadang pecah ketawa bila ada isu melucukan terbawa. Antara yang tercetus juga tentang istilah yang antaranya agak asing, janggal dan kontradik!

Hari pertama (Isnin 19 November) bersidang, ketika Y.B. Dr. Yaakob Sapari Exco Pemodenan Pertanian, Penggunaan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan menjawab soalan mengenai masalah penyakit pisang disebabkan oleh penyakit dikenali dengan `Moko` Adun Bangi bangun memohon dari Tuan Speaker membuat soalan tambahan, ``Tuan Speaker adakah `Moko` perkataan Jawa atau istilah saintifik ! Tapi gaya sebutannya macam Jawa – Ahli Dewan Ketawa. Y.B. Dr. Yaakob menjawab, ``Moko istilah saintifik yang memaksudkan kepada virus yang merosakkan tanaman pisang``. Adun mencelah, ``Mungkin dipinjam dari istilah Jawa.`` Sekali lagi ahli Dewan Ketawa. Menurut Dr. Yaakob penyakit Moko setakat ini masih lagi tidak dapat dibasmi kecuali pindah pokok pisang dari tapak yang berpenyakit Moko ke tapak yang baru. Kekurangan pisang, terutama pisang nipah kini kerana merebaknya virus penyakit berkenaan.

Pada hari ketiga Y.B. Puan Hajah Rodziah Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan menimbulkan perkataan `Pemberdayaan Wanita` yang kalau salah tanggap semacam `Memperdayakan`. Adun Bangi juga bangun mohon keizinan dari Tuan Speaker dan bertanya, ``Tuan Speaker dari mana sebenarnya istilah `Pemberdayaan` yang agak janggal sebutannya ? Y.B. Puan Rodziah memberi jawapan, Ia memaksudkan semacam memberi kekuatan atau keupayaan kepada wanita.

Selepas pulang dari Sidang Dewan, ketika di rumah, selepas Subuh, Adun ingin mendapat kepastian tentang maksud kedua-dua istilah di atas. Adun dapati, tiada istilah`Moko` baik di dalam Kamus Dewan atau Kamus Longman atau Oxford-Fajar Dictionary. Penyebutan `Pemberdayaan` juga tidak ada di dalam Kamus Dewan (Dengan penambahan dan sebutan Pemberdayaan!).

Pada hari (Khamis 22 November) Y.B.Puan Rodziah menjawab soalan Adun Bangi berhubung dengan `Diskriminsi Gender` dan menurut beliau ada diskriminasi terhadap wanita seperti dalam pekerjaan dan pendapatan.

Esoknya timbul lagi jawaban oleh Y.B. Puan Hajah Rodziah, kali ini tentang pemeriksaan dan rawatan percuma terhadap pesakit kanser perempuan. Adun Bangi bangun mohon izin dari Tuan Speaker membuat soalan tambahan.
``Tuan Speaker, semalam Batu Tiga (Y.B.Rodziah), menyatakan ada berlaku diskriminasi terhadap wanita, Adun berhujah, bahawa diskriminasi juga berlaku terhadap kaum lelaki. Contoh perkhidmatan mengesan penyakit kenser percuma diberi kepada kaum wanita? Ahli Dewan Ketawa. Tambah Adun, `Orang lelaki juga sakit termasuk penyakit kanser! Mengapa tidak diadakan skim pemeriksaan kanser lelaki percuma! Atau Skim pemeriksaan bagi mengesan kanser bagi semua tanpa membezakan gender.

Y.B. Rodziah menjawab, beliau mengkhususkan kepada Wanita, atas kapasiti beliau menjaga Hal Ehwal Wanita.

Adun berhujah Pemeriksaan percuma kanser dan lain-lain boleh juga dilihat dari segi kebajikan yang juga di bawah Exco Puan Rodziah. Sebenarnya tidak ada diskriminasi gender antara lelaki dan perempuan, wujudnya jantina (gender) bagi kesempurnaan dan kelangsungan hidup– yang ada adalah hikmah kasih sayang. Bagi lelaki wanita adalah ibu, isteri, anak, kakak, adik yang menjadi laut kasih sayang begtitu juga sebaliknya bagi wanita. Diskriminasi terjadi bila hilang kasih sayang misalnya antara majikan dengan pekerja yang mementingkan keuntungan dan hilang kemanusiaan!

Adun Bangi bercakap kembali tentang istilah – Moko dan Pemberdayaan, tidak ada di dalam Kamus dan kamus yang lain. Sedang Adun Bangi bercakap Y.B.Dr. Yaakob mengunjuk kepada Adun sekeping kertas di dalamnya tercatat maklumat nama saintifik Bakteria Moko ialah `Rolstonia solanaceoivm` yang nampaknya beliau mencari istilah bagi virus yang merosakkan tanaman pisang itu bagi menjawab pertanyaan Adun Bangi. Walau bagaimana tidak timbul istilah `Moko` dalam istilah saintifik ini. Nampaknya nama Moko masih samar dan masih tidak terjawab dari segi asal usulnya.

Sekian.

1 comment:

  1. salam.

    kalau google moko disease, boleh tahu asal usulnya.
    Moko ni nama satu tanaman sejenis pisang di Trinidad yang hampir pupus kerana penyakit pd tahun 1890.

    ReplyDelete