Shah Alam 5-6 Muharram 1434 = 19-20 November 2012 (Isnin-Selasa):
Bagi mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan Kedua Belas dari 19 – 30 November 2012 Adun Bangi sebagaimana biasa menghantar 10 soalan lisan untuk dijawab dalam sidang dan 10 soalan tulisan untuk dijawab secara bertulis yang biasanya dihantar selepas bersidang. Tidak semua Adun menghantar genap 10 bagi lisan dan 10 bagi tulisan. Bagi soalan lisan lebih banyak (jumlah kesemua 260), manakala soalan tulisan yang dihantar lebih rendah (118). Tidak semua soalan lisan dapat dijawab dalam sidang. Biasanya untuk sehari 10 soalan dapat dijawab. Bagi yang tak sempat dijawab biasanya akan dijawab secara bertulis kemudian.
Kesemua soalan lisan Adun Bangi dterima (tanpa ada penolakan). Ada soalan-soalan ditolak jika tidak releven, tidak sesuai atau tidak menurut format yang ditentukan. Soalan-soalan atau pertanyaan mulut Adun Bangi adalah mengenai Gelanggang Sukan Anak Muda, Meningkatkan Hasil Nelayan, Diskriminasi Gender, Rumah Mampu Milik, Prestasi Bola Sepak Selangor, Hasil Negeri Selangor, Prestasi Unisel, Audit Kewangan 2011, Masalah Banjir Di Serdang Dan Kajang dan Jalan Reko Ke Bangi Dengan Pemasangan Tiang Lampu.
Manakala Soalan Tulisan pula ialah mengenai Peruntukan Sekolah Agama Rakyat, Banjir Lumpur Di Pekan Bangi, Projek Langat 2, Tender Padi, Jenayah Di Selangor, Masalah Talam, Lawatan Ke Luar Negara, Harga Rumah Melambung Tinggi, Tuntutan Air Percuma dan Kaedah Rawatan Air Lebih Murah.
Sementara itu selama dua hari bersidang iaitu pada 19 & 20 November setiap hari satu soalan lisan Adun Bangi keluar (dijawab), Soalan pertama – Gelanggang Sukan Anak Muda dijawab oleh YB Dr. Ahmad Yunus Hairi Selaku Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan. Beliau menjawab jumlah gelanggang sukan yang dibina ialah 47. Syarat boleh dibina ada padang bagi futsal yang bersesuaian dan bukan milik individu. Menurut YB Dr. Ahmad bila diaju soalan tambahan mengapa berbeza dari segi kelengkapan, Beliau menjawab berdasarkan kehendak yang diminta oleh pihak tempatan. Soalan kedua mengenai hasil nelayan yang dijawab oleh YB Dr.Hj. Yaakob Sapari, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pebangunan Usahawan, iaitu mengenai jumlah nelayan di Selangor berjumlah 7,635. Kadar pendapatan mereka antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Beliau menyebut usaha bagi meningkatkan pendapatan nelayan seperti memberi subsidi, bantuan peralatan dan khidmat nasihat kepakaran. Bila diaju soalan tambahan dari Adun tidakkah digalakkan nelayan memelihara ikan dalam sangkar di sungai dan laut (selain dari kolam di darat). Menurut beliau memang ada. Beliau memberi contoh perusahaan sedemikian di Pulau Ketam diusaha nelayan dengan menternak dalam 40 sangkar hingga memberi pendapatan lumayan hingga berjumlah RM70 juta (keseluruhan ?). Ikan sangkar juga diternak di Sungai Bernam. Jika demikian sewajarnya diperluaskan usaha menternak ikan di dalam sangkar di laut dan sungai.
Dalam sesi soal jawab setiap hari Adun Bangi membuat soalan tambahan bagi soalan-soalan dari Adun lain. Misalnya pada Isnin 19 November Adun Bangi bertanya kepada YAB Dato` Menteri Besar Selangor yang menjawab soalan, balairaya lama sudah tidak sesuai untuk berbagai fungsi, tidakkah ada cadangan untuk membina menurut kesesuaian semasa , seperti di Putrajaya dikenali dengan Kompleks Kejiranan dan boleh diguna bagi berbagai tujuan dan agak selesa, Jawapan YAB akan dibina menurut kesesuaian pada masa akan datang. Adun juga turut bertanya mengenai cadangan meraikan dua sasterawan Negara Negeri Selangor. Menurut YB Dr. Ahmad Yunus, ianya bergantung pada perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Adun Bangi juga membuat soalan tambahan mengenai penyakit pisang yang sedang merebak yang dikenali dengan Moko. Istilah Moko ini bahasa Jawa atau bahasa saintifik ? dan bagaimana membasmikannya ? Menurut YB Yakoob Sapari Moko adalah istilah saintifik, bagi membasmikan penyakit ini pokok pisang terpaksa dipindah tanaman dari tempat berpenyakit ke tempat lain.
Pada hari Selasa 20 November Adun membuat soalan tambahan mengenai rangka pendekatan dan pengisian Pusat Kebudayaan dan adakah nasihat pakar-pakar didapati?
Menurut YB Rodziah, memang penasihat pakar-pakar dijemput memberi pendapat. Beliau tidak menyebut nama, kecuali Sasterawan Negara. Mungkin dimaksudkan Sasterawan Negara A. Samad Said. Manakala yang lain menurut beliau tidak dapat mengingatinya. Beliau tidak menjawab soalan bagaimana pendekatan dan pengisian bagi kompleks kebudayaan bagi setiap kaum yang mau diwujudkan itu.
Sekian.
ReplyDeleteSetakat soalan buat apa. Org politik ne sama sahaja, kalau dia memerintah dia tak buat apa, bila jadi pembangkang barulah melalak (kecuali PM). Sewajarnya dia ada buku kerja yg mencatatkan segala kerja yg dia buat selama ini dan dibentangkan kepada rakyat. Duit peruntukkan ada tapi projek tak seberapa.