November 9, 2012

Lawatan Kerja Y.B. Dr Abdul Rani Osman Ke Masjid Al-Hasanah

Masjid Al-Hasanah, BBB, 21 Zulhijjah 1433 = 06 November 2012 (Selasa):


Setelah beberapa kali tertangguh, kerana masalah yang tidak dapat dielekkan, maka pada petang ini Y.B. Dr. Abdul Rani Osman selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam Negeri Selangor dapat datang ke Masjid Al-Hasanah bagi menemui Nazir, Pengerusi-Pengerusi Surau dan Imam-Imam di Dun Bangi, khususnya surau-surau di bawah Masjid Al-Hasanah. Dr. Rani tiba dan berkesempatan berjamaah Maghrib bersama, bermesra dengan jamaah dan makan malam seterusnya bersolat Isya` bersama.


Majlis pertemuan secara formal adalah selepas solat Isya` bertempat di Dewan Seminar Masjid Al-Hasanah – bersebelahan Masjid. Hadir sama merai dan mengikuti taklimat dan penerangan dari Y.B. Dr. Rani ialah Adun Bangi Dr. Shafie Abu Bakar, Y.B.Dr. Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, En. Abdul Jalil Dato` Rani Orang Besar Daerah Hulu Langat, Ustaz Mohd Arif bin Abdul Samad Pegawai Tadbir Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), Hulu Langat, Tuan Haji Hafifuddin bin Ruslan Pegawai Unit Masjid, Ustaz Durabi Timbalan Pegawai Tadbir PAID, Hulu Langat (Mempengerusikan Majlis Perbincangan), Ustaz Mohd Hafiz bin Khamis Imam Masjid Daerah Hulu Langat, Tuan Haji Napiah Sha`rani Nazir Masjid Al-Hasanah, Pengerusi-Pengerusi Surau-Surau, Imam-Imam dan AJK.


Majlis bermula dengan ucapan Tuan Haji Mohd Arif yang mengalu-ngalukan kedatangan Dr. Abd. Rani Osman yang pertama kali datang ke Masjid Al-Hasanah atas tugas selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam. Tujuan pertemuan menurut Tuan Haji Mohd Arif ialah untuk berbincang dan mencari jalan bagi memperbaiki pentadbiran masjid dan Surau dan juga mendapat maklumat terakhir berhubung dengan pentadbiran agama Islam dan mungkin menimbulkan masalah-masalah yang boleh dibincang bagi diatasi.

Tuan Haji Hafifuddin yang mewakili Yang Dipertua JAIS Dato` Marzuki – masih kurang sihat kerana baru pulang dari Tanah Suci, memuji para pentadbir masjid yang dapat dikategorikan sebagai `Orang yang hatinya senantiasa di masjid` sebagai orang yang mendapat lindungan Allah di hari Kiamat. Beliau meminta maaf kadang-kadang teks khutbah lambat sampai dan lewat dari tarikh sebenarnya, tapi boleh di downlook melalui laman web Jais e – masjid. Pihak pentadbiran tidak rijid mengenai teks khutbah, tapi jika hendak disampaikan teks yang lain boleh dirujuk kepada PAID. Berhubung dengan ceramah di masjid-surau perlu ada tauliah, tapi dari segi keperluan biasa boleh dapat kebenaran dari Polis. Beliau akur bahawa dakwah perlu diteruskan, tapi peraturan perlu diikuti untuk elak dari masalah yang mungkin timbul.


Ucapan yang ditunggu ialah dari Y.B. Dr. Abdul Rani, beliau memuji para pegawai masjid yang terpilih, mereka adalah orang yang berada pada saf hadapan di dalam menegak dan membela Islam. Para pegawai masjid juga adalah mereka yang rapat dengan masyarakat. Sebab itu fahami keperluan dan masalah mereka dan cuba selesaikan sebaik mungkin. Beliau mau masjid-surau bukan sebagai institusi ibadah dalam makna yang khusus, tapi juga sebagai pusat pendidikan dan kemasyarakatan. Tugas yang dipikulkan adalah amanah – Tidak ada agama bagi yang tidak amanah. Beliau mempersoalkan dan tidak setuju jika dikatakan Islam tidak ada kena mengena dengan politik. Rasulullah tidak memisah diri dari politik pentadbiran. Tapi beliau bersetuju untuk tidak membawa politik kepartian di dalam masjid-surau. Beliau mengingatkan dalam bergaul kita bukan saja menyebutkan – Ana akhukum fil Islam, tapi tekankan dan kaitkan bahawa `Inni daiyan ilallah.


Majlis seterusnya ialah soal jawab. Antaranya soal tauliah yang boleh menyebabkan ramai yang berkelayakan mengajar dan bertazkirah, tapi kerana taulian terhalang dan mereka tidak berhasrat memohon tauliah. Ini merugikan apa lagi perlu berjumpa Polis!

Tauliah dikatakan sebagai pencegahan dari penyelewengan dan dapat dielak dari masalah.


Turut ditimbulkan masalah, kuasa pencegahan maksiat yang kuasa begitu terhad diberi hanya kepada seorang dua pegawai masjid dan menyukarkan untuk bertindak. Jika ditangkap mereka yang bermasalah tidak dapat diselesaikan, kerana sekatan dan karinah dan biasa dilepas begitu saja. Yang dapat dibuat sekadar nasihat. Semua bersetuju masalah kurang kuatkuasa perlu diatasi. Turut ditimbulkan juga masalah gejala sosial, buang anak, dedah dan dadah. Ini merupakan cabaran bagi pimpinan masjid untuk meningkatkan pendidikan bagi ahli kariah dan mesyarakatnya. Fungsi pimpinan masjid-surau bukan dalam masjid-surau semata-mata, tetapi masyarakatnya. Turut ditimbulkan masalah elaun nazir yang amat sedikit dan wajar dinaikkan. Juga ditimbul dan diingatkan amalan qurban bukan saja setakat Eidul Adhha, tapi qurban wang ringgit dan tenaga hendaklah berterusan bagi membuat kebajikan dan keredaan Allah, jika tidak dapat dilakukan dengan banyak, maka secara sedikit perlu dilakukan. Jangan tinggal keseluruhan.


Majlis berakhir jam 11.00 malam dengan harapan pertemuan dan perbincangan sedemikian dapat diteruskan dari masa ke semasa untuk memupuk kesefahaman dan menyatukan tenaga dakwah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment