November 19, 2012

Bantuan Untuk Anak-Anak Bukit Mutiara Berkhatan

Bukit Mutiara, 04 Muharram 1434 = 18 November 2012 (Ahad):


Sungguhpun Bukit Mutiara terletak di dalam Kawasan Bukit Mewah, Kajang, tetapi penduduk di rumah pangsa Bukit Mewah bukan orang kaya. Hakikatnya mereka miskin. Adun beberapa kali turun menyampaikan bantuan kepada penduduk yang bersesuaian. Adun juga pernah membantu dari segi sambutan Ramadhan, kegiatan sukan dan perayaan-perayaan.


Hari ini Adun turun ke perumahan Pangsa Bukit Mutiara bagi menyertai acara berkhatan. Seramai 13 orang menyertai berkhatan, Pihak Adun memperuntukkan sejumlah RM1,000/= bagi urusan dan berkhatan, sehelai kain pelikat setiap orang beserta dengan satu sampul mengandungi wang RM10 setiap orang.


Bagi menyertai acara berkhatan jam 8.00 pagi Adun sudah sampai bersama saudara Azizi dan mengatur program bersama Pengerusi Surau/Persatuan Penduduk En. Ahmad Said. Turut sama mengatur ialah Tuan Haji Yusof Ketua Kawasan Haji Rushdi Ketua Kebajikan. Pihak Bomba seramai 5 orang diketua En. Mustaza turut sama datang.


Golongan wanita pula sibuk gotong royong, terutama menyediakan makanan.


Upacara bermula dengan perarakan dan kompang mulai jalan masuk dari belakang ke kanan mengelilingi rumah hingga ke bahagian hadapan berdekatan dengan jentera bomba. Perarakan terdiri dari para tetamu, ibu bapa, penduduk setempat dan anak-anak yang diraikan. Suasana begitu meriah ketika perarakan. Antara tujuan ialah menghilangkan rasa risau di kalangan anak-anak yang mau berkhatan dan memberi semangat.

Selepas berarak dan penyampaian cendera hati, Adun memulakan acara mandi dan diteruskan oleh pegawai bomba, Ternyata anak-anak begitu riang.


Upacara berkhatan dilakukan dalam surau oleh Dr. Jemputan dari Hospital Kajang.

Selamat Berkhatan – Didoakan Selamat Sejahtera.

Sekian.

No comments:

Post a Comment