BBB, 01 Muharram 1434 = 15 November 2012 (Khamis):
Pada hari ini Adun mempunyai dua jemputan menyempurnakan upacara berkhatan. Pertama ialah di Masjid Sungai Ramal Luar (Masjid Haji Mat saman) dan di Surau Taman Sutera, Balakong. Oleh kerana anak-anak ini dikhatankan pada awal tahun Hijrah, maka dapat dikatakan perkhatanan mereka merupakan penghijrahan anak-anak dari zaman kanak-kanak ke Alam Remaja. Iaitu satu tahap penting dalam perjalanan hidup seseorang, khususnya lelaki.
Seawal jam 7.45 pagi Adun sudah sampai bersama saudara Azizi dan turut sama saudara Azemi Ahmad ke pekarangan Masjid Sungai Ramal Luar. Sebahagian besar dari anak-anak yang bakal berkhatan sudah sampai dan berada di laman masjid. Acara pada pagi ini agak sederhana. Ibu bapa bersama anak-anak mereka berkumpul dalam satu kumpulan. Adun, Tuan Haji Mohd. Yusof Ketua Kg. Sungai Ramal Luar, saudara Fuad Setiausaha JKKK, Dr. Zainuddin Imam Satu dan AJK diminta berada di dalam saf hadapan untuk memulakan perarakan. Di belakang adalah pasukan kompang yang dijemput dari Pasukan Kompang Rumah Prihatin di Kg. Sungai Ramal Luar di sini. Selepas kompang dibunyikan pasukan bergerak dari medan sayap kanan Masjid berarak sambil bersalawat menuju ke medan bawah berhadapan dengan masjid. Di sini anak-anak bakal berkhatan berbaris iaitu seramai 23 orang. Adun diminta berucap ringkas kepada yang hadir terutama ibu bapa anak-anak. Adun mengucapkan terima kasih kepada pihak JKKK dan masjid yang setiap tahun mengadakan program berkhatan. Ia merupakan khidmat Masjid dan JKKK kepada masyarakat.
Dengan adanya anjuran berkhatan beramai-ramai memudahkan urusan bagi ibu bapa untuk anak-anak berkhatan. Ianya menjimatkan masa dan juga lebih ekonomik.Adun menyebut, pemilihan tarikh bagi berkhatan anak-anak pada hari ini, iaitu awal Hijrah memberi makna yang penting. Ianya bukan saja sempena awal tahun Hijrah, tetapi memberi makna bahawa anak-anak kita melalui berkhatan ini sebenarnya juga berhijrah dari alam anak-anak ke alam remaja. Selain daripada itu sempena kita berada di dalam suasana awal Hijrah hendaklah kita menanamkan azam bahawa kita juga berniat untuk berhijrah dari kehidupan kurang baik kepada lebih baik, dari kurang beramal kebajikan kepada yang suka kepada ibadat dan beramal kebajikan, dari kesempitan keluarga kepada kelawasan dan dari kesusahan kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.
Berikut dari ucapan, Adun menyampaikan buah tangan bagi setiap daripada anak-anak dan kemudian bergambar beramai-ramai di pekarangan hadapan Masjid. Selepas itu anak-anak dipancut dengan air mandi. Adun tidak berkesempatan menyaksikan acara berkhatan yang diketuai Dr Shahrizal Azam dan 3 pembantu dari Klinik di Kg. Baru, Kuala Lumpur.
Satu lagi jemputan menghadiri Majlis Berkhatan ialah di Surau Taman Sutera, Balakong. Pemergian Adun agak lewat, kerana menghadiri program tempat lain terlebih dahulu. Walau bagaimana semasa ketibaan anak-anak baru dimandikan. Turut sama hadir ialah Y.B.Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang di samping AJK setempat yang terdiri dari Pengarah Program saudara Shahrizal Basiron, Tuan Haji Ramli Saripan Setiausaha Persatuan Penduduk. Pengerusi saudara Wan Nazri Wan Nasir, Pak Din Tukang Masak.
Adun berkesempatan menyampaikan buah tangan bagi setiap anak-anak yang berkhatan yang berjumlah 21 orang dan kemudian bergambar beramai-ramai. Kemudian Adun berkesempatan menyaksikan acara berkhatan dua dari anak-anak, iaitu Hakimi dan Daniel. Turut sama Y.B. Teo Nie Ching yang agak exited dengan acara berkenaan. Beliau turut sama menenangkan anak-anak yang sedang mengalami proses berkhatan. Dr. Perubatan yang mengendalikan berkhatan ialah Dr. Azlan dari Hospital Kajang dan Dr Omar dari Hospital Serdang. Walau pun Pak Din menjemput Adun menikmati makanan masakannya, sayang Adun tidak berkesempatan, kerana program di tempat lain sedang menunggu dan perlu bergerak segera.
Sekian.
No comments:
Post a Comment