November 1, 2012

Bicara Kompang



Guruh berdentum hujan pun turun
Pokok tersiram di waktu petang
Gemuruh kompang di depan penonton
Tuntut penilaian alat warisan.

Pergi ke bukit mencari rotan
Untuk diikat bilah bubu
Jika sedikit peri pengenalan
Sukar dilihat terserlah mutu.

Turun ke lembah menebang bemban
Menganyam nipah di tepi pintu
Kita persembah alatan bunyian
Kesudahan natijah biarlah bermutu.


*****************



Bermula sebagai alat
Menyampaikan maklumat
Ketuk, canang, gendang, kompang
Dipukul menurut rentak
Berirama mesej bertujuan.

Kompang alat bunyi pilihan
Mereka berkumpulan berkompang
Memukul permukaan mini gendang
Gemuruh gema terhantar ke ruang
Menanggapinya telinga alam
Bangkit cergas semangat kewiraan
Naluri mendesak penyertaan.

Dengarlah gemersik bunyi berulang
Menjemput kehadiran terhormat
Majlis Agama dan Sambutan
Ahlan wa sahlan wa marhaban
Salawat dan Salam kepada Junjungan
Takbir tahmid membesarkan Rabbul Alam.

Lihatlah ketika lain pasukan kompang
Berpakaian seragam bergerak ke depan
Menggemuruh suasana menyambut ketibaan
Mereka mengiiringi pemimpin datang
Disambut dengan pancak silat
Menjadikan suasana bertambah hebat
Majlis mesra rakyat makin memikat.

Sempena Hari Bahagia
Pasukan kompang
Mengiringi mempelai
Ke jinjang pelamin
Atau Sunathon beramai
Ditandu ke persalinan
Sambil hadirin dihiburkan
Dengan Silat Pulut
Memeriahkan suasana
Sejarah terakam.

Mereka berkompang
Dalam kumpulan
Gemuruh bertingkah pukulan
Meriah suasana berbagai sambutan
Mengocak ketenangan sekitaran
Gemanya terhantar ke seluruh alam.

Memancarkan unik budaya warisan
Sama dipertahan dan dimegahkan.

Kita berhimpun memperkatakan Kompang
Mungkin tentang bahan teknik pembuatan
Cara memukul rentak irama, kuat perlahan
Asal usul bermula dari mana datang
Kini menjadi budaya berbagai upacara
Perlu difikir teknik kaedah tingkat kualiti
Gemanya lantang merentasi negeri
Bertingkah irama tiada tandingan
Kompang diterima beridentiti negeri
Perkaya budaya Selangor Darul Ehsan.


Shafie Abu Bakar,
Shah Alam,
14 Zulhijjah 1433
30 Oktober 2012.

No comments:

Post a Comment