November 13, 2012

Selamat Menyambut Deepavali: Agihan Barangan Kepada Hampir 1,000 Keluarga India

Dun Bangi, 28 Zulhijjah 1433 = 13 November 2012 (Ahad):


Selamat Menyambut Deepavali kepada semua kaum India beragama Hindu, khususnya di Dun Bangi. Harap semua berada di dalam keadaan sejahtera di samping keluarga, jiran tetangga dan masyarakat Malaysia.


Adun Bangi sebelum tiba Deepavali berusaha mengagihkan peruntukan dari Kerajaan Negeri Selangor dan tambahan barangan dari Adun. Hampir 1,000 keluarga menerima agihan barangan bagi keperluaan masakan bagi Deepavali. Bagi setiap keluarga dibekalkan beras, tepung maruku, cordial, mee, minyak masak, sardine ikan dan ayam dan rempah masakan. Agihan ini diberi kepada seramai mungkin keluarga orang India tanpa mengira miskin atau kaya.


Bagi memastikan seramai mungkin keluarga India menerima sumbangan barangan, pihak Lajnah Antara Kaum yang diketuai saudara Ari Krishnan dan Abu Bakar mengatur program bagi mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Barangan Deepavali bermula dari Rabu 7 November 2012 hinggalah ke Ahad 11 November 2012. Pengagihan pada 7 November bertempat di Pekan Bangi adalah berikut dari diadakan gotong royong oleh MPKj bersama penduduk di Taman Permai. Tapi oleh kerana sebelum dari itu dijangka barangan tiba dari Shah Alam, tetapi tidak tiba, Adun terpaksa menggunakan peruntukan Adun bagi menyediakan barang-barang berkenaan. Seramai 250 keluarga dapat diagihkan. Senarai nama-nama mereka dibanci oleh wakil penduduk dan pimpinan kaum setempat. Turut sama pada hari itu ialah Ahli-Ahli Majlis Ustaz Shafie Ngah dan Tuan Haji Mazwan Johar.


Selepas barangan berkenaan sampai pengagihan kedua dilakukan pada Sabtu 10 November bertempat di Balai Komuniti Taman Zamrud. Hadir bersama ialah YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Ustaz Shafie Ngah dan En. Chandra Mohan yang kedua-dua adalah Ahli MPKj, En. Muhammad Suhaimi Ketua Persatuan Penduduk dan Tuan Haji Mohd Yusof Ketua Cawangan Bukit Mewah. Seramai 150 keluarga dapat diagihkan barangan. Kaum India yang datang ke Taman Zamrud ini termasuk dari Taman Jasmin, Bukit Mewah dan Lembah Mewah. Selepas dari penyampaian barangan di Taman Zamrud ini Adun bersama Y.B.saudari Teo Nie Ching ke Taman Kajang Baru. Di sana menunggu kaum India setempat dan Adun brsama Ahli Parlimen menyampaikan peruntukan di sini kepada lebih dari 30 keluarga.


Pada keesokan pagi hari Ahad 11 November penyampaian peruntukan dilakukan di Kajang Utama, bertempat di hadapan Bangunan Rukun Tetangga di sini. Hadir sama Y.B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Ustaz Shafie Ngah dan En. Ibrahim Martibi Ketua Rukun Tetangga di sini. Kekecohan berlaku sedikit di sin. Difahamkan pihak MIC sengaja menyediakan senarai kedua yang sedikit mencelarukan keadaan. Pengagihan tambahan terpaksa dilakukan kepada lebih dari 250 keluarga dan melebihi peruntukan yang dijangkakan.


Oleh kerana barangan diedarkan melebihi dari jangkaan dan peruntukan bagi tempat terakhir pada sebelah petang iaitu di West Country, Seksyen 5 BBB, maka saudara Abu Bakar dan pembantu-pembantu memohon tambahan barangan dari Pejabat Adun bagi disampaikan kepada masyarakat India di West Country yang berjumlah 250 orang bertempat di Sekolah Tamil di sini. Hadir bersama Adun ialah Ustaz Shafie Ngah, saudara Sem, Wakil Masyarakat India di sini. Pengagihan di sini berjalan dengan lancar. Semua barangan yang dibawa dapat diagihkan dan semua mendapat barangan.


Bagi semua majlis yang diadakan ada ucapan-ucapan ringkas yang menyatakan bahawa barangan yang diedarkan adalah untuk semua masyarakat India, tanpa mengira miskin atau kaya. Ia adalah sumbangau dari pihak negeri dan Adun. Ini adalah sebahagian dari sumbangan pemerintah Pakatan Rakyat yang prihatin terhadap rakyat. Banyak lagi sumbangan yang lain yang diberi kepada rakyat. Sumbangan akan terus diberikan pada masa akan datang. Sebab itu berikan sokongan kepada Pakatan Rakyat agar nasib rakyat terus dibela.

Selamat Menyambut Deepavali.

Sekian.

No comments:

Post a Comment